Rindu Pada Sang Kejora Sinar Zaman
Selamat berpuasa semua;
Salam
ramadan salam penuh keindahan, semoga di rahmati dan di redai Allah SWT. Juga,
semoga puasa kita dan seluruh amalan yang kita kerjakan di sepanjang ramadan
ini beroleh pahala yang berganda-ganda seperti yang di janjikan-Nya. Tidak
pernah lelah dan penat untuk terus memburu malam yang penuh kemulian dalam baki
ramadan yang masih ada ini. Saat-saat kepergiannya makin terasa, rasa sedih dan
pilu menyelinap pada setiap hati-hati orang yang beriman. Keindahan ramadan
hanya tinggal beberapa waktu untuk meninggalkan kita pergi.
Yang Di rindu
Begitulah
juga dengan kehidupan kita, orang yang tersayang bila mana saat mana masa sudah
untuk dia pergi akan tetap pergi, itu lah ketentuan Allah SWT buat mereka. Dan
ia akan menjadi kenangan dan akan di rindui nya. Namun ramadan akan tetap
datang saban tahun, kita belum tentu lagi, apatah lagi orang yang tersayang dan
yang kita cintai tetap meninggalkan kita tidak seperti mana ramadan.
Ya..begitulah rentetan kehidupan manusia. Bila tiba saatnya akan balik ke
kampung halaman yang di janjikan, kita semua akan pergi dan akan merasai
kehidupan di sana .
Firman
Allah SWT yang bermaksud;
“ Katakanlah, lari
itu sekali-kali tidak berguna bagimu. Sekiranya kamu melarikan diri dari
kematian atau pun pembunuhan dan sekiranya kamu terhindar daripada kematian,
kamu tidak mengecap kesenangan kecuali sebentar sahaja.”
(Surah
al-Ahzab,ayat 16)
Entah
esok, entah lusa, entah tulat, entah hari ini, saat ini atau selepas ini kita
tidak bertemu lagi. Semua dalam gengaman Allah SWT, janjinya tidak pernah di
mungkiri, namun manusia dengan sifat kelemahannya tetap memungkiri
janji-janjinya malah janji tak di tepati..!. Lemah dan daifnya manusia, itu pun
mahu sombong, bongkak, meninggi diri, merasa diri hebat dan pelbagai lagi sifat
yang keji masih menunjangi hati manusia, biar pun dalam bulan yang mulia ini.
Semoga terhidar dari sifat-sifat yang tercela tersebut.
Ramadan
mengingatkan memori pada seseorang, seorang yang di kenali di seluruh pelusuk
tanahair bahkan di luar Negara dia cukup terkenal. Dia mempunyai suara yang
mantap dan merdu, sudah tentunya suara yang di milikinya adalah anugerah Allah
buat diri nya, lalu dengan suaranya itu di gunakan untuk menjulang nama
agamanya melalui lagu-lagu yang di nasyidkannya. Itu lah kelebihan yang beliau
miliki. Melaluinya umat Islam juga mendapat manfaatnya. Menghiburkan namun
masih dalam batasan agamanya. Menghiburkan , menginsafkan, gemersik alunan
zikir yang di ungkapkan menusuk kekalbu setiap insan yang mendengar, menghayati
dan seterusnya mengamalkannya.
Indah Akhlaknya
Itu
lah sumbangan dirinya dan pasukan nasyidnya satu ketika dulu, juara demi juara
mengunggulinya, namun bukan itu matlamat yang di carinya. Keredaan Allah demi
menyampaikan risalah Allah SWT melalui seni lagu yang bermesejkan perjuangan
dan mengagungkan Tuhan. Watak dan akhlaknya sangat di sukai dan di contohi
sahabat-sahabat terdekat, senyumannya pasti terbayang-bayang pada mereka yang
mengenali dirinya. Pada pasukan nasyidnya, beliau lah ayah, beliau lah abang,
beliau lah pemimpin yang sangat di hormati mereka. Sebagai ketua pasukan
nasyidnya,di katakannya dia tidak pernah marah-marah, malah senyuman yang mekar
di bibirnya tetap menguntum.
Terus
terang saya katakan di sini, akhlaknya dengan ibunya cukup terjaga, tidak mahu
mengecilkan hati ibunya, setiap persembahan,setiap kemenangan pasukannya dan
apa jua, ibu lah orang nombor satu akan di beritahu dan di hubunginya. Sudah
pastinya doa ibu sentiasa mengiringi beliau.Sifat-sifat anak soleh terserlah
pada dirinya, ya sudah pastinya itulah sifat yang sepatutnya ada pada setiap
anak. Dalam keadaan apa pun ibu tidak di belakangkan.Lagi sifatnya yang tidak
mudah melenting mahu pun marah,bila mana anak-anak buah yang agak nakal menyakat
beliau, mengusik beliau, beliau masih bisa tersenyum meleret tanpa rasa
apa-apa,adakalanya ungkapan anak buah yang agak celupar namun untuk diri nya
menunjukkan muka yang masam tidak sama sekali senyuman tetap terukir indah. Itu
lah yang saya perhatikan bila mana ada satu-satu majlis yang di buat di rumah
emak mertua.
Beliau Dan Nada Murni
Sebenarnya
saya meminati beliau, sejak beliau di dalam jemaah Al-Arqam lagi,waktu itu
beliau bersama kumpulannya Nada Murni,.Setiap album yang terbit tidak pernah
saya ketinggalan untuk memilikinya, malah sanggup berbasikal ke pasar malam
untuk mencari dan membeli album tersebut. Malah salah satu persembahan beliau
pernah di adakan di Dewan Sekolah Menengah Tengku Idris Shah Kapar sempena
Malam Kebudayaan Islam saya turut
menyaksikannya. Memang hebat dan mantap lontaran vocal dan persembahannya.
Begitulah
hebatnya penangan Nada Murni waktu itu, mereka mengadakan persembahan di
seluruh pelusuk tanahair, malah perjuangan mereka bukan sahaja bergelanggang di
dalam Negara sahaja tetapi lewat hingga ke luar Negara. Seluruh Eropah, London , Jepun , New Zealand , Australia dan pelbagai benua lagi
mereka membuat persembahan demi menyebarkan risalah Allah SWT melalui seni
hiburan Islam.
Malah
dakwah melalui seni ini lebih mencabar bila kumpulan Nada Murni memasuki hingga
ke arena kelab-kelab malam, hingga mencetuskan kotroversi sedikit masa
lalu,jika tidak silap saya. Namun fitnah dan kontroversi di tepis dengan
bijaksana oleh Sang Murabbi.Sejarah tidak pernah menipu dengan kewujudan
pasukan kumpulan ini. Sejarah sudah tertulis kemunculan Nada Murni ketika itu.
Mungkin sudah menjadi bahan kajian orang barat ledakan Nada Murni ketika itu.
Malah
secara pribadi, saya menganggap Nada Murni lah pencetus hiburan Alternatif
ketika itu dengan kosert-konsert hiburan Islam yang terkenal dengan nama-nama
konsert seperti ‘Malam Kebudayaan Islam’ ,Malam Penghayatan Islam’. Malam Sinar
Mauliddurasul’. ‘ Malam Keindahan Islam ‘, Malam Puisi Islam’ dan beberapa
konsert Islam yang lain. Sehinggalah ke hari ini ledakan kemunculan RABBANI
sebagai kesinambungan perjuangan melalui seni nasyid Islam.
Sekelumit Memori
Apabila
saya bernikah dengan isteri yang merupakan adik kepada beliau, ia merupakan
peluang untuk saya mengenali lebih dekat dengan beliau. Peluang ini bukanlah
untuk apa-apa sekadar mahu melihat sendiri, maklum sahaja saya merupakan
ribuaan malah jutaan Umat Islam yang meminati dan kagum dengan kelebihan suara beliau
sejak saya di bangku sekolah lagi sehingga saya dewasa sehinggalah hari ini
saya meminati beliau,malah kaset Nada Murni masih lagi saya simpan dalam
koleksi saya. Lagu-lagu yang didendangkan menjadi siulan saya waktu itu, Sambil
berbasikal menyanyikannya, bila mengaji
selepas ngaji ada nasyid pula, nasyid-nasyid inilah yang di ajar pada
saya.
Siapa
yang tidak pernah dengar lagu ‘Seruan Jihad’, Islam Yang Berkembang’, ‘Di
Pondok Kecil’ malah banyak lagi, semuanya sedap-sedap belaka di dengari. Mantap
dan kuat lontaran vokalnya. Semua itu sebahagian nostalgia atau memori yang pernah
saya alami. Mungkin orang lain pun begitu yang seusia saya. Peminat fanatik
katakan.
Bila
menjadi sebahagian keluarga beliau, suatu yang tidak di sangka ketentuan Allah
SWT, dari seorang peminat hingga saya di jodohkan dengan adik beliau, Itu semua
kerja Tuhan. Kalau dulu peminat tegar,tika itu sudah menjadi abang ipar.
Ya..ada juga memorinya biar pun tidak banyak. Saya tidak banyak sembang dengan
beliau, sifat saya agak pemalu..(pemalu ke..), namun begitu biar sekadar
senyum, borak sedikit sudah cukup untuk saya melepaskan kerinduan saya sejak
kecil saya meminati beliau.
Melihat
anak-anak buah menyakat, berborak dengan beliau cukup bagi saya. Menatap susuk
tubuhnya sudah cukup, kerana satu impian untuk itu sudah tertunai.Ini lah satu
impian yang pernah saya tanam sejak saya meminati beliau. Semoga deraian
airmata ketika saya menulis perkongsian saya ini sebagai bukti kecintaan saya
pada sosok insan soleh sepertinya. Malah saya yakin ribuan umat Islam merindui
sosok tubuhnya. Namun kerinduan itu terubat
bila mendengar alunan zikir yang di ungkapakn melalui CD atau Vcd atau sesekali
muncul di kaca TV.
Bila
munculnya bulan ramadan, berpeluang kami untuk berbuka puasa bersama kumpulan
RABBANI DI Hotel Singgahsana, Beliau membuat persembahan bila tiba bulan
ramadan. Ramai juga rakan ,saudara mara, adik beradik yang dapat berbuka puasa
bersama beliau.Bagi saya sekadar dapat menatap wajahnya dan persembahanya sudah
memadai. Namun dalam kesibukannya membuat persembahan beliau masih sempat
kemeja kami . Apa pun itu semua menjadi memori buat saya dan mungkin ahli
keluarga yang lebih rapat kepada beliau. Mereka yang lebih rapat terutamanya
keluarga beliau, isteri dan anak-anak beliau lebih indah memorinya dan sudah
tentu mereka merinduinya.
Memori
yang sekadar sekelumit itu, sudah cukup bagi saya mengenali beliau sebagai
seorang anak,suami, ketua kumpulan, pendakwah, pejuang agama melalui seni hiburan
Islam malah sewaktu akhir hayatnya tika itu beliau sudah menyampaikan tazkirah,
motivasi di sekolah-sekolah. Beliau juga seorang penyampai yang lunak bicaranya
di sulami kisah-kisah motivasi dan alunan lagu-lagu semasa menyampaikan
motivasinya. Saya melihatnya melalui rakaman video dalam telefon isteri ketika
beliau menyampaikan motivasinya di sekolah isteri.
Tinggal...Yang Pergi Tak Kembali
Begitulah
kehidupan seorang insan yang hidup di dunia ini, Yang bermula pasti berakhir,
Yang hidup pasti mati, tidak kira tua atau muda, kecil atau besar. Dan yang
pastinya ‘yang Pergi Takkan Kembali Lagi’ .Bila tempoh masanya
mahu di panggil.Maka tidak ada siapa yang mampu menghalangnya;
“ Allah sekali-kali tidak menangguhkan kematian seseorang
apabila tiba waktu kematiannya dan Allah maha mengetahui apa yang kamu
kerjakan.”
(Surah
aL-Munafiqun,ayat 11)
“ Katakanlah, sesungguhnya sekiranya kamu melarikan diri
daripada kematian, ia tetap menemuimu. Kemudian kamu dikembalikan kepada Allah
yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu dia khabarkan kepadamu apa yang
kamu lakukan di dunia.’
(Surah
al-Jumuah,ayat 8)
Begitulah
kehendak dan ketentuan Allah SWT sejak azali lagi. Maka pada tanggal 13
hb 08 2009 bersamaan 1430H,khamis, Beliau telah di jemput oleh Allah
SWT menemui kepangkuannya dalam usia 40 tahun. Hilanglah sebutir bintang yang
sangat berjasa pada agama, bangsa dan negaranya. Sumbangan terhadap agama
terutamanya dalam seni hiburan Islam tetap di kenang oleh semua umat Islam di
mana-mana.
Dan
beliau yang saya maksudkan dalam penulisan ini adalah Almarhum Ustaz Asri
bin Ibrahim, Sang Kejora Sinar Zaman yang tiada galang gantinya. Semoga
Allah menempatkan beliau dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.
Semoga penulisan ini mendapat reda Allah SWT. Semoga kebaikan beliau yang sya
tulis dalam tulisan ini menjadi pahal buat beliau di sana . Perkongsian penulisan ini sempena tiga
tahun kepergian beliau, bagi menghilangkan kerinduan di hati. Untuk
akhirnya...Al-Fatihah buat beliau.
Amin
Ya..Rabb..!
Jom Menulis...Jom Membaca
No comments:
Post a Comment