Followers

Showing posts with label Umrah 2013. Show all posts
Showing posts with label Umrah 2013. Show all posts

Tuesday, January 7, 2014

Membeli Buku Di Souq Quba


Terimbau kembali saat ziarah luar di kota Madinah, sewaktu ke Masjid Quba..., selepas menunaikan solat sunat. Saya sengaja berjalan-jalan dibahagian luar hadapan masjid. Terlihat kedai di bawah sana. Saya cuba memasukinya, sengaja ingin melihat-lihat, sebenarnya ia sebuah pasar raya (Souq Quba’ Yar Harb). Menjual pelbagai barangan keperluan.

Di satu sudut bahagian saya terlihat rak-rak buku, ada bahgian menjual kitab-kitab. Kebanyakan dalam bahasa arab, biasalah namanya pun di tanah Arab, bumi Madinah yang berkat pula. Memang seronok tengok buku-buku, baik dalam negara atau luar negara, perasaan terhadap buku sama sahaja.

Biar pun dalam bahasa Arab, pegang-pegang, selak-selak biar pun tidak faham apa maksudnya. Saya cuba mencari dan meninjau-ninjau mana tahu ada buku dalam bahasa Melayu. Saya terlihat beberapa buah buku tulisan bahasa Melayu Indonesia, dalam hati terdetik, “ada juga buku dalam bahasa melayu...”.

Saya teruja melihatnya buku-buku tersebut, saya mencari tajuk-tajuk yang sesuai untuk saya beli, kebetulan ada bawa duit lebih untuk ziarah luar. Akhirnya terpilih dua buah buku yang antara tajuknya ‘ Menjadi Suami Penuh Cinta’ tulisan Imad Hakim dan sebuah buku berkenaan Rasulullah bertajuk ‘Keagungan Rasulullah, Seakan-akan Engkau melihatnya’, tulisan Zainudin Bin Qasim, kedua-dua buku tersebut terbitan Darul Furqon, Arab Saudi.

Sekurang-kurangnya ada ole-ole dari luar negara, minat dengan bahan bacaan maka beli jugalah buku untuk kenangan. Nanti bila baca, boleh kenang-kenangkan sewaktu di Madinah. Secebis kenangan di sudut buku di Pasar raya, Souq Quba Yar Harb di bahagian hadapan Masjid Quba tidak akan luput dari ingatan ini.


Ia adalah memori indah sewaktu umrah dan ziarah di kota Mekah dan Madinah. Semoga dengan mengingatinya akan berputik kerinduan pada bumi yang suci tersebut.

Selamat membaca...!.

Thursday, December 5, 2013

Terima Hadiah Kitab Tafsir Dari Pelajar Indonesia



Entah mengapa tiba-tiba saya teringat peristiwa bertemu  seorang pemuda sewaktu sampai di Masjid Nabawi seusai menunaikan beberapa solat sunat dan berdoa, tiba-tiba ada seorang pemuda menyapa dan bersalaman serta menghulurkan sebuah kitab tafsir, katanya hadiah buat saya.

Saya serba salah untuk menerimanya, dalam hati saya ketika itu terlintas, “Takkan bagi free sahaja ya, duit pun tak bawak, semua isteri yang simpan...”. Saya menyelak-nyelak kitab tersebut, tertulis di situ ‘Tafsir Al-‘Usyr AL-Akhir”, Dari Al-Quran Al-Karim, juz 28, 29, 30. Saya mengucapkan terima kasih padanya.

Lalu dia memberi satu lagi, katanya untuk kawan saya, ketentuan-Nya saya bersolat bersebelahan dengan adik ipar, mungkin dia perasan saya datang dengan adik ipar, lalu dia berikan sebuah lagi untuk adik ipar.

Rasa segan dan malu juga, sebab saya tidak beri apa-apa padanya, cuma ucapan terima kasih sahaja, mahu beri duit, langsung saya tidak bawa. Dalam hati doakan semoga pemuda tersebut berjaya dalam pelajarannya.

Pemuda tersebut belajar di Universiti Madinah, berasal dari  Negara seberang, Indonesia. Dalam hati saya terkilan juga, sekurang-kurangnya bagilah sedikit tambang, tapi ternyata saya tidak bawa walau satu riyal maklum baharu sampai Madinah malam tersebut. Hati saya terus berdoa agar pemuda tersebut dirahmati Allah.

Setelah bersalaman dia mohon pamitan dulu, sebab dia sudah lama di Masjid Nabawi, kalau tidak  silap saya cuti hujung minggu selalunya dia datang ke Masjid Nabawi. Dia juga menyatakan, beberapa kitab sudah dia serahkan kepada orang-orang yang dia jumpai. Baki itu yang dihadiahkan untuk saya dan adik ipar.

Saya memerhatikan, arah jalan yang dia keluar, dalam hati terus-menerus mendoakan pemuda tersebut, sehingga hari ini saya masih teringat-ingat pemuda tersebut. Semoga Allah SWT memudahkan urusan pengajiannya. Bila saya sesekali membelek dan membaca tafsir tersebut saya pasti ingat detik pertemuan dengan pemuda tersebut. Masih ingat lagi senyumannya yang jujur.


Semoga Allah SWT memberikan keselamatan dan kemudahan untuknya.

DEMI MASA