Followers

Thursday, December 5, 2013

Terima Hadiah Kitab Tafsir Dari Pelajar Indonesia



Entah mengapa tiba-tiba saya teringat peristiwa bertemu  seorang pemuda sewaktu sampai di Masjid Nabawi seusai menunaikan beberapa solat sunat dan berdoa, tiba-tiba ada seorang pemuda menyapa dan bersalaman serta menghulurkan sebuah kitab tafsir, katanya hadiah buat saya.

Saya serba salah untuk menerimanya, dalam hati saya ketika itu terlintas, “Takkan bagi free sahaja ya, duit pun tak bawak, semua isteri yang simpan...”. Saya menyelak-nyelak kitab tersebut, tertulis di situ ‘Tafsir Al-‘Usyr AL-Akhir”, Dari Al-Quran Al-Karim, juz 28, 29, 30. Saya mengucapkan terima kasih padanya.

Lalu dia memberi satu lagi, katanya untuk kawan saya, ketentuan-Nya saya bersolat bersebelahan dengan adik ipar, mungkin dia perasan saya datang dengan adik ipar, lalu dia berikan sebuah lagi untuk adik ipar.

Rasa segan dan malu juga, sebab saya tidak beri apa-apa padanya, cuma ucapan terima kasih sahaja, mahu beri duit, langsung saya tidak bawa. Dalam hati doakan semoga pemuda tersebut berjaya dalam pelajarannya.

Pemuda tersebut belajar di Universiti Madinah, berasal dari  Negara seberang, Indonesia. Dalam hati saya terkilan juga, sekurang-kurangnya bagilah sedikit tambang, tapi ternyata saya tidak bawa walau satu riyal maklum baharu sampai Madinah malam tersebut. Hati saya terus berdoa agar pemuda tersebut dirahmati Allah.

Setelah bersalaman dia mohon pamitan dulu, sebab dia sudah lama di Masjid Nabawi, kalau tidak  silap saya cuti hujung minggu selalunya dia datang ke Masjid Nabawi. Dia juga menyatakan, beberapa kitab sudah dia serahkan kepada orang-orang yang dia jumpai. Baki itu yang dihadiahkan untuk saya dan adik ipar.

Saya memerhatikan, arah jalan yang dia keluar, dalam hati terus-menerus mendoakan pemuda tersebut, sehingga hari ini saya masih teringat-ingat pemuda tersebut. Semoga Allah SWT memudahkan urusan pengajiannya. Bila saya sesekali membelek dan membaca tafsir tersebut saya pasti ingat detik pertemuan dengan pemuda tersebut. Masih ingat lagi senyumannya yang jujur.


Semoga Allah SWT memberikan keselamatan dan kemudahan untuknya.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA