Followers

Sunday, August 31, 2014

Jom Ke Pesta Buku Selangor 2014




JOM RAMAI-RAMAI SERBU!


"Membaca Menyingkap
Keajaiban"

Saturday, August 30, 2014

Mengimbau Detik Bermulanya Dunia Pembacaan



Koleksi pertama


Seingat saya, dua buah buku pertama yang mula-mula saya beli dan masih tersimpan di dalam bilik buku saya ialah buku berkaitan dengan agama, buku yang bertajuk ‘Tanda-Tanda Kiamat’ dan ‘Azab Di Neraka’, kedua-dua buah buku tersebut susunan oleh Ibnu Idris, terbitan Pustaka Al-Mizan. Buku tersebut saya beli ketika mengikuti satu program di Taman Melewar, Gombak,  Kuala Lumpur, sekitar tahun 1988, sewaktu program Intifadah Kurun Ke-15.  Alhamdulillah, buku tersebut masih elok cuma agak kusam sedikit, maklum sudah berpuluh tahun tersimpan, masih releven untuk dibaca untuk peringatan diri yang sering lupa.

Kedua buah buku tersebut dan buku-buku yang lain telah pernah dipinjam oleh seseorang, agak lama menjadi koleksi pribadi dia, berbulan juga waktu itu, sudah sampai peringkat seperti milik sendiri, saya masih sayangkan buku-buku tersebut, sedaya upaya saya mesti dapatkannya kembali, waktu itu rasa sayang pada buku sudah mula berputik, maklum harta sendiri sudah menjadi seperti harta orang lain. Satu masa, saya cuba memberanikan diri untuk meminta kesemua buku-buku tersebut, akhirnya dikembalikan buku tersebut. Rasa syukur tidak terhingga waktu itu.

Siapa yang tidak sayangkan harta bukan?. Lebih-lebih lagi barang yang kita suka dan sayangi, seperti buku-buku itu. Dari sehari ke sehari, biarpun tidak banyak saya beli, maklum waktu itu, masih bersekolah lagi. Duit belanja pun bukan banyak emak bapa beri, adakalanya, tiada langsung untuk berbelanja, terutamanya sewaktu rehat. Maklum waktu itu susah, emak bapa cuma bekerja kampung, sebagai anak sedia maklum atas kesusahan emak bapa. Waktu itu mahu beli buku tak dapat lagi, duit tidak punya. Namun rasa seronok bila lihat buku-buku sudah mula  tersemat di hati.

Mengingatkan kembali, zaman persekolahan, sewaktu darjah satu hingga darjah enam, waktu itu, ada perpustakaan bergerak datang ke sekolah. Saya telah menjadi ahli dan setiap dua minggu sekali perpustakaan bergerak akan datang ke sekolah. Memang seronok memilih buku, pelbagai buku ada di dalam sebuah kenderaan yang diubah suai menjadi perpustakaan. Berpusu-pusu pelajar memilih buku, kami diberi tempoh beberapa minit untuk memilih buku dan seterusnya meminjam. Denda akan dikenakan pada setiap buku yang lambat dipulangkan. Bagi saya, waktu itu tidak kisah, denda pun dendalah, yang penting dapat meminjam buku. Setakat yang saya ingat, tidak pernah kena denda disebabkan lewat memulangkan buku.

Seperkara lagi yang aku ingat, sewaktu disekolah, ada seorang guru, namanya Cikgu Musa, dia mengedar majalah-majalah kanak-kanak, malah dia menjualnya kepada pelajar-pelajar yang berminat. Apa yang menariknya, pelajar boleh membayar secara beransur-ansur mengikut syarat yang ditetapkan, seingat saya setiap hari Cikgu Musa akan datang ke kelas-kelas untuk mengutip duit ansuran tersebut. Ada beberapa majalah yang agak popular waktu itu, jika tidak silap saya, majalah seperi Bambino, Al-Ain, dan Kuntum dijual oleh Cikgu Musa. Saya sendiri telah menjadi pembeli tegar untuk majalah-majalah tersebut.

Setiap bulan rasa tidak sabar untuk memilikinya, rasa seronok waktu itu tidak terkira. Majalah-majalah tersebut telah menjadi bacaan dan koleksi simpanan saya waktu itu. Adakalanya saya terpaksa mengikat perut tiap kali waktu rehat, dek kerana duit belanja sekolah saya terpaksa guna untuk membayar ansuran majalah tersebut. Begitulah detik permulaan, minat membaca kian hari kian berputik di dalam diri saya waktu itu. Dari sehari ke sehari minat membaca itu, kian mendalam. Jika saya tidak balik awal ke rumah, saya akan ke perpustakaan atau pusat sumber di sekolah waktu itu. Itu bagi melepaskan keinginan untuk membaca bahan bacaan lain seperti buku cerita.

Bila masuk ke sekolah menengah, dunianya semakin berbeza, umur pun sudah meningkat, pembacaan makin meluas. Maklum, bila sudah masuk sekolah menengah, banyak kena baca buku, terutamanya buku-buku teks mata pelajaran. Buku sejarahnya, geografinya, agamanya, sainsnya dan lain-lain lagi. Dari satu tingkatan ke satu tingkatan, bermula SRP sewaktu tingkatan tiga, serta SPM di tingkatan lima. Dunia pembacaan sekitar buku-buku teks pelajaran. Sesekali berkelapangan, baca juga bahan-bahan ringan, seperti buku cerita yang dipinjam melalui pusat sumber atau perpustakaan sekolah.

Dunia pembacaan sekitar sekolah menengah seingat saya, tertumpu kepada buku pelajaran, waktu itu, ada dua peperiksaan besar, seperti yang saya tuliskan di atas tadi. Pembacaan buku teks pelajaran lebih banyak, membaca sambil menulis nota, itu dilakukan semata-mata kerana peperiksaan yang bakal diharungi nanti. Ada juga saya membeli majalah-majalah ilmiah berbentuk agama seperti Al-Mukminah, Al-Munir, dan selainnya. Juga, senbuah tabloid berkaitan dengan dunia pelajaran, khususunya SPM, saya lupa apa nama tabloid tersebut. Memang menarik akhbar tersebut, setiap minggu juga saya berbasikal akan membelinya di sebuah kedai di Kampung Bukit Kapar.

Isikandungannya sangat menarik dan baik untuk para pelajar, tip-tip, soalan-soalan contoh, dan rencana motivasi untuk pelajar juga turut terkandung di dalam akhbar tabloid tersebut. Bila saya ingat kembali, rasa sayang dan menyesal sekali, kerana tidak disimpan akhbar tabloid tersebut. Juga majalah-majalah yang saya beli dahulu. Apa pun yang berlaku, tidak mengendurkan rasa cinta dan sayangnya saya dalam dunia buku dan pembacaan. Walaupun dalam dunia persekolahan tidak terlalu banyak dan memiliki buku waktu itu, ia bukanlah alasan untuk saya tidak membaca buku.

Begitulah beberapa rentetan yang masih ingat dalam minda ini, yang saya dapat kongsikan dan seterusnya saya dokumentasikan setiap apa yang terjadi sewaktu dahulu dalam detik perjalanan dunia pembacaan masshah. Agar nanti, anak-anak yang saya tinggalkan, andainya saya kembali ke negeri abadi terlebih dahulu dari mereka. Mereka akan dapat menatapi dan membaca rakaman dokumentasi ini, seterusnya mengambil ibrah hasil pembacaan penulisan ini. Seterusnya mereka dapat merealisaikan dalam kehidupan mereka. Membaca terus membaca.

Insyallah, akan bersambung di siri penulisan yang seterusnya, detik perjalanan dunia pembacaan massha ini akan terus berkesinambungan selagi hayat ini masih ada. Jika ada ibrahnya ambilah sebagai motivasi diri, untuk turut bersama minat membaca, membac dan terus membaca. Dunia pembacaan tidak akan selesai-selesai selagi ada buku dan penulisan yang berterusan. Semoga para sahabat terus segar, seronok, gembira, ghairah dalam menelusuri kehidupan dalam dunia pembacaan ini.

JOM MEMBACA.


Tuesday, August 26, 2014

Beli Buku Di Malam Moreh Puisi Dinihari Ramadhan 2014



Pada bulan ramadhan yang lepas, saya telah ke PROGRAM MOREH PUISI DINIHARI 2014, di rumah Dr.Ibrahim Ghafar, di Anjung Sanggar Damai Abadi (11.07.2014), beliau seorang pengiat seni budaya, penyair dan penulis. Program tahunan ini diadakan setiap tahun di dalam bulan ramadhan, minggu kedua jumaat malam sabtu. Ini kali pertama saya menghadiri, itu pun disebabkan saya kerja pagi, jika lain sift, sudah pasti saya tidak dapat menghadirinya.

Pertama kali ke program ini, merasa teruja, kerana di sinilah berkumpulnya penyair-penyair ternama, seperti Pak Agi(Abdul Ghafar Ibrahim), Dr.Ibrahim Ghafar,  Zainal Abbas, Datok Baha Zain, Sani Sudin, Tan Sri Johan Jaafar, Datok Awang Sariyan, Ismas Saring@Sarig Sirad, Yassin Salleh, Datuk Zurinah Hassan, Rahimidin Zahari, Saleh Rahmad dan lain-lain lagi. Mereka berpuisi sehingga ke dinihari. Memang menyeronokkan. Di samping disajikan dengan hidangan puisi-puisi pembakar semangat, kami juga dihidangkan dengan pelbagai menu makanan.

Apa yang menariknya ada jualan buku dari ITBM, itu yang paling saya suka, sambil-sambil mendengar puisi dari mereka, sempat  saya membelek-belek buku tersebut dan dapat juga membeli sebagai ole-ole dibawa balik untuk saya baca nanti, lima buah buku kesemuanya dapat saya bawa pulang dengan diskaun yang sangat istimewa,iaitu 40%, kerana tuan penjaga tersebut mahu segera pulang, anak kepada pembantunya sakit katanya, saya ambil peluang yang diberi itu, lima buah buku cukup untuk malam itu.

Buku-buku tersebut;

1) D.U.B.L.I.N- Karya Wan Nor Azniq

2) QALAM KALBU- Karya Sri Rahayu Mohd Yusop

3) ANOTOMI RUPERT- Karya Ruhani MatDarin

4) KUMPULAN SAJAK SUARA BUKIT KEPADA LANGIT- Karya Sharunizam Abdul Mutalib

5) KUMPULAN SAJAK TENTANG PERTANYAAN KEPADA ENGKAU- Karya Hani Salwah Yaakup

Kelima-lima buku tersebut merupakan hasil penulisan mereka yang bertanding di Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-BERITA HARIAN. Karya-karay sastera yang bermutu hasil penilaian itu mereka telah berjaya memenangi pertandingan tersebut. Alhamdulillah, saya sudah berjaya membaca empat dari lima buah buku tersebut. Semua cerita novel sangat menarik, juga puisi-puisi sangat memberi inspirasi kepada saya yang baharu berjinak-jinak dalam dunia perpuisian negara dalam dunia sastera tanah air.


JOM BACA BUKU.

Tuesday, August 12, 2014

Satu Perjalanan Dalam Dunia Pembacaan Masshah



Dunia buku Masshah, masih lagi berjalan seperti biasa, biarpun penulisan blognya agak perlahan, tiada perkongsian setakat ini. Buku tetap menjadi sahabat setia saya. Insyallah, selagi diberi waktu untuk membaca, saya akan terus membaca tanpa malas dan jemu, jika malas dan jemu, tak jadi apa, fikiran kusut, minda beku kerana tidak mahu baca buku.

Saya tidak mahu jadi begitu, saya mahu jadi saya yang sentiasa membaca, membaca melorongkan saya ke dunia yang lebih membahagiakan dengan buku. Tanpa buku, dunia ini akan gelap kehilangan cahaya panduan. Membacalah jika anda mahu tahu mengapa perlu membaca. Dan apa nikmatnya dunia pembacaan buku.

Jika ditanya bila masa saya mula membaca, saya akan jawab, sejak mula mengenal huruf dan nombor, belajar di sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah, syukur, dengan izin Allah SWT, saya diberikan kebolehan untuk mengenal huruf dan seterusnya membaca buku. Sehinggalah saya jatuh cinta dengan membaca dan dunia buku.

Saya cuba mengingat-ingat kembali sejarah bermulanya saya benar-benar suka membaca buku, membeli buku, mengumpul buku, buku pertama yang dibeli, minat buku apa, dan macam-macam lagi. Saya akan cuba mendokumentasikan sejarah bagaimana bermulanya saya jatuh cinta dengan membaca.

Penulisan yang seterusnya nanti, saya akan kongsikan perjalanan saya dalam dunia buku, insan kecil yang minat dengan buku dan dunia membaca. Seorang insan yang hanya berkelulusan sekolah menengah, dan bekerja di sektor swasta, kini dalam usia empat puluh tahun masih terus membaca, membaca dan membaca. Berimpian mempunyai bilik buku sudah tercapai, biar sederhana tetapi membangkitkan diri untuk terus cinta dalam dunia pembacaan buku.

Semoga, saya diberikan kekuatan untuk menulis detik sejarah dalam dunia pembacaan buku ini, agar rakaman dokumentasi ini akan merangsang khususnya buat anak-anak dan seterusnya masyarakat di luar sana. Tujuan untuk menyemarakkan agar masyarakat suka dengan dunia pembacaan. Harapan agar rakaman sejarah perjalanan dunia pembacaan saya ini dapat saya selesaikan sehingga ke penghujungnya nanti.


Amin Ya Rabb...!

DEMI MASA