Followers

Tuesday, June 22, 2010

Tahniah..! Abang Mukhyuddin Ibrahim

Abang Mukhyuddin Ibrahim

Selepas menerima watikah perlantikkan


Assalamualaikum dan selamat bertemu lagi di dunia sempadan ini,hari ini aku tidak bercerita tentang buku,dalam kesempatan ini aku nak mengucapkan sekalung Tahniah buat kekanda iparku Tuan Hj Mukhyuddin Ibrahim atas perlantikkannya sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor.Tahniah pada Abang Udin (panggilan kami.)dan keluarga khususnya,Semoga amanah yang di pikul dapat di jalankan dengan rasa tanggungjawab dan jujur.Semoga Allah memimpin perjalanan abang Udin dalam menerajui jawatan sebagai ketua hakim Syarie.

Kepada anak-anak buah yang seramai 57 orang semoga Abang Udin dapat di jadikan contoh sebagai pembakar semangat untuk maju dan berjaya dalam lapangan hidup pada masa akan datang.

Sekali lagi kami ucapakan Syabas dan Tahniah...!


SELAMAT MEMBACA..!

Berita-Berita Perlantikkan Beliau:

SHAH ALAM, 21 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Syarie Selangor dan tiga Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri. Mukhyuddin Ibrahim yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Kanan (Kehakiman) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Hakim Syarie negeri daripada Baginda di Istana Bukit Kayangan di sini.

Pelantikan Mukhyuddin, 52, anak kelahiran Bukit Naga, Klang bermula dari 7 Jun lepas yang dilakukan di bawah Seksyen 56 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Baginda juga turut menyampaikan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah kepada Saharuddin Selamat, 33, Mohamad Yusri Kasim, 30, dan Shukran Yusuf, 35.

Sebelum upacara itu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) bernilai RM3.68 juta bagi tahun kewangan 2009, bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS). Bank Rakyat diwakili oleh Pengarahnya Datuk Md Aini Taib pada upacara itu. Secara keseluruhannya Bank Rakyat menunaikan zakat berjumlah RM35.3 juta bagi tahun kewangan 2009 berbanding RM33.4 juta pada tahun sebelumnya. –



SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Syarie Selangor dan tiga Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri.

Mukhyuddin Ibrahim yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Kanan (Kehakiman) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Hakim Syarie negeri daripada baginda di Istana Bukit Kayangan

Mukhyuddin, 52, dilantik mengikut subseksyen 56 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, untuk mengisi jawatan itu yang dikosongkan Datuk Zohdi Toha yang kini berkhidmat di Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia.

Baginda turut menyampaikan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah kepada Saharuddin Selamat, 33, Mohamad Yusri Kasim, 30, dan Shukran Yusuf, 35.

Mukhyuddin yang berasal dari Bukit Naga, Klang, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar, Mesir dan Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman syariah pada 1983 sebagai Pegawai Pentadbir Hal Ehwal Islam Tingkatan II, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan memegang pelbagai jawatan lain sebelum dilantik menjadi Pegawai Tadbir Agama/Kadi Daerah Gombak Barat, pada 1984.

Pada Julai 1991 hingga Disember 1991, Mukhyuddin dilantik menjadi Kadi Litar Bahagian Pantai membabitkan Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.
Selepas 11 tahun berkhidmat sebagai Hakim Rendah Syariah, pada Jun 2002 Mukhyuddin dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada Jun 2005.


Saharuddin pula dilantik pada 1 Mac lalu, Mohamad Yusri (29 Mac) manakala Shukran dilantik pada 7 Jun lalu.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) zakat perniagaan RM3.7 juta daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) bagi tahun kewangan 2009.

Cek pembayaran zakat diserahkan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Aini Taib dengan disaksikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Pembayaran zakat perniagaan itu adalah yang tertinggi berbanding negeri lain dan lebih RM300,000 berbanding tahun perniagaan 2008 apabila Bank Rakyat membayar zakat perniagaan sebanyak RM3.4 juta.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE

Aturcara Hari Ilmu & Gerakan Membaca Perdana 2010

Jom Meriahkanya,,!
Sama-sama memberi sokongan


Perhatian buat semua ahli Baca@LRT;

TARIKH:
26 JUN 2010 BERSAMAAN 13 REJAB 1431- (Sabtu)
MASA: 9.00 PAGI
TEMPAT: TAMAN TASIK, SHAH ALAM

Penyokong Baca@LRT akan berada di sana, insya Allah



6.30 – 9.00 pagi Ketibaan peserta berdaftar (petugas mengesahkan senarai peserta, mengedar topi+ penanda buku +pack food)

9.00 – 10.00 pagi Peserta “Largest Outdoor Reading Event in Malaysia” mengambil tempat

10.00 – 11.00 pagi Acara kemuncak “Largest Outdoor Reading Event in Malaysia” – Peserta Membaca Serentak

9.30 pagi Ketibaan Dif-dif Jemputan

10.15 pagi Ketibaan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor & Isteri

10.45 pagi Keberangkatan Tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (dari jeti Laman budaya menaiki bot melihat program membaca disekitar Tasik)

DYMM Sultan Selangor dan rombongan tiba ke jeti Restoren
Antan & Batura – ke Pentas Utama.

Lagu Negeri Selangor & Lagu Hari Ilmu

Bacaan Doa

Sembah Ucapan Alu-Aluan oleh YB Dr Hajah Halimah bt Ali
EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor

Sembah Ucapan oleh
Y.A.B. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menyampaikan Titah Perasmian

Upacara Majlis Perasmian Hari Ilmu & Gerakan Membaca Perdana Negeri Selangor & Pesta Buku Negeri Selangor 2010.

Blimp dinaikkan

12.00/thari Pengisytiharan Malaysia Book of Records & Penyerahan Sijil
Penyampaian Hadiah Penyertaan Teramai

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menandatangani Buku Gerakan Menulis Perdana

Lagu Negeri Selangor

Majlis Santapan dan Jamuan

Petugas mengedar pack food+ sijil kepada semua peserta

Keberangkatan DYMM Sultan Selangor ke Pesta Buku Selangor Kompleks PKNS

1.00 t/hari Majlis Bersurai

Dikemaskini oleh Urus Setia Hari Ilmu & Gerakan Membaca Perdana pada 18/6/2010.

Oleh: Zamri Mohamad

Monday, June 21, 2010

Hebahan terkini: Perubahan kepada gerak kerja Baca@LRT tema Palestin.


Jom beri sokongan 300%


KEPADA SEMUA AHLI Baca@LRT Semua;

Kita bakal mengalihkan 'sokongan' dan 'kerjasama' 300% kepada gerakan membaca rakan sekutu kita di Selangor.

Ini mengambil kira respon rakan-rakan sekutu yang banyak membantu Baca@LRT selama ini

Dengan itu kami akan menganjakkan gerak kerja Baca@LRT Palestin pada tarikh lain.

Kami bermesyuawarah dan keputusan kami, "Kita akan turun dan menyokong 300% gerakan membaca di Taman Tasik PKNS Shah Alam pada 26 Jun 2010 Gerakan Membaca Perdana!"

Jam 9.00 pagi di sana sempena Pesta Buku Selangor bersama-sama 10,000 pembaca lain!

Mana-mana sukarelawan Baca@LRT mahu membantu mengedarkan penanda buku Baca@LRT sebagai hadiah kepada rakan baru pada hari itu, mohon mesej kepada saya dengan mesej subjek Sukarelawan Baca@LRT

Kita membantu rakan-rakan yang berusaha ke arah budaya membaca.

Mohon hebahan di Facebook dan Blog.

BACA@ Buku Anda Cara Anda

Kita baca di mana-mana.

Kongsi Buku:AJAIBNYA SEDEKAH

Buku: Ajaibnya Sedekah


Alhamdulillah dengan izin Allah kita dapat bertemu lagi dalam ruangan Kongsi Buku,kali ini aku kongsikan sebuah buku yang sangat menarik iaitu buku AJAIBNYA SEDEKAH…semakin sedekah semakin kaya,membongkar keajaiban ,mukjizat,misteri,dan rahsia keagungan ibadah sedekah demi kesenangan dunia dan akhirat.Buku yang harus di miliki oleh kita semua,untuk mengetahui hebatnya ibadah sedekah ini,mungkin kita tidak tahu secara detail berkenaan ibadah sedekah ini.Buku tulisan Muhammad Muhyiddin yang judul asalnya bertajuk Keajaiban Shodaqoh,telah di terjemah oleh PTS MILLENNIA SDH BHD.Buku setebal 171 muka surat berharga RM 11.90 bagi Semenanjung Malaysia,RM 13.90 Sabah/Sarawak.

Antara perkara-perkara yang di kupas dalam buku ini oleh penulis:

1) Keajaiban-keajaiban bersedekah dan cara kita memandang dan mentafsir keajaiban-keajaiban itu.

2) Kekeliruan-kekeliruan dalam cara mengeluarkan sedekah.

3) Kekeliruan-kekeliruan dalam tujuan mengeluarkan zakat.

4) Hubungan antara sedekah dengan rezeki iaitu falsafah di sebalik sedekah dapat mendatangkan rezeki .

5) Hubungan antara sedekah dengan umur iaitu falsafah di sebalik sedekah dapat memanjangkan umur.

6) Hubungan antara sedekah dengan penyakit iaitu falsafah di sebalik sedekah dengan menolak,mencegah dan menyembuhkan penyakit.

“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah dan Allah tidak menyukai orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”
(Surah al-Baqarah,ayat 276)

“Orang yang memberikan apa yang mereka berikan dengan hati yang kuat,sesungguhnya mereka kembali kepada Tuhan mereka.”

(Surah al-Mukminun,ayat 60)

“Katakanlah kepada hamba-hambaku yang beriman,’Hendaklah mereka mendirikan solat,menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari kiamat.Pada hari ini,tidak ada jual beli dan persahabatan.”’

(Surah Ibrahim,ayat 31)


Jom Bersedekah..!!!

Mudah-mudahan perkongsian serba sedikit ini ada manfaatnya untuk Anda semua,untuk selebihnya carilah buku tersebut di kedai atau gedung buku yang berdekatan tempat Anda.


JADIKANLAH BUKU SEBAHAGIAN DARI KEHIDUPAN ANDA

Sunday, June 20, 2010

Betul Ke Apa Yang Aku Baca Ni..!


Dalam asyik melayari satu blog ke satu blog,aku terjumpa artikel ni di blog THINKING OF BOOK .Pesta Buku kurang dapat sambutan?.Aku minta izin pemilik blog untuk aku salin semula ke blog aku ni,sama-sama aku kongsikan untuk anda,jom fikir-fikirkan mengapa kurang sambutan.

Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan 2010 kurang menyengat?

Kini berlangsung Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan 2010. Ianya bermula dari 18 hingga 22 Jun di Di Balai Islam Lundang, Kota Bahru. Pesta buku ini bertemakan “Kelantan Memimpin Budaya Ilmu”. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat semasa merasmikan pesta ini menyeru umat Islam memperuntukkan sejumlah pendapatan bulanan bagi membeli buku pengetahuan khususnya buku agama.

“Ini kerana umat yang maju serta meningkat ilmu pengetahuannya adalah umat yang gemar membaca. Sebaliknya umat yang mundur dan ketinggalan zaman adalah umat yang tidak gemar membaca,” tegasnya.

Dalam novel tulisan isteri Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, berjudul Bidadari Dari Timur: Memoir Isteri Seorang Pejuang, beliau memetik kata-kata Tuan Guru, “Aku amat menggalakkan terbinanya perpustakaan di rumah. Milikilah ia di rumah walaupun kecil, di mana di dalamnya terdapat kitab-kitab agama, buku-buku tulisan penulis seantero dunia yang dapat kita cedok ilmunya, serta kaset atau CD berfaedah bagi santapan telinga dan nurani.”

Harakahdaily memetik Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, walaupun agama Islam telah memberi penekanan khusus kepada kegiatan membaca sejak awal turunnya wahyu yang pertama, tetapi malangnya pada hari ini masih terdapat umat Islam yang sanggup membelanjakan beratus ribu ringgit pada setiap bulan bagi membeli perkara yang tidak bermanfaat.

Justeru, anjuran pesta buku antarabangsa itu bagi menarik lebih ramai masyarakat khususnya di negeri Kelantan agar menjadikan budaya dan amalan membaca sebagai amalan harian. “Marilah sama-sama kita menukarkan tradisi bahawa umat Islam adalah umat yang tidak jemu-jemu belajar, mengkaji dan mendalami ilmu pengetahuan yang bermanfaat dalam semua aspek kehidupan."

“Sesungguhnya semua kemajuan itu hanya dapat dicapai oleh umat manusia dengan ilmu pengetahuan, yang hanya diperoleh menerusi pembacaan serta pengkajian yang mendalam dan berkesan, insya Allah,” katanya.

Saya teringat bahawa Tuan Guru pernah ditanya oleh wartawan berkenaan perpustakaan di rumah beliau. Tuan Guru menjawab bahawa di rumahnya tiada perpustakaan khusus, kerana seluruh rumahnya adalah perpustakaan.

Namun dengar khabar pesta buku ini kurang menyengat. Menurut seorang pengunjung melalui blog al-fikrah.net, Abu_sofiyyah, bahawa, “setakat yang ana lihat tadi, sambutan pengunjung kurang menggalakkan...mungkin disebabkan promosi yang agak kurang 'menyengat'.”

Kalau benarlah, saya mahu bertanya kepada penganjur, buat apa diadakan pesta buku kalau hanya setakat bagai melepas batuk di tangga sahaja! Tercapaikah matlamat Kelantan memimpin budaya ilmu?

SUMBER:http://pasalbuku.blogspot.com/

Berita Baik:Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan Ke-2 2010

Jom Meriahkanya...

Bagi peminat buku-buku Islam,terutamanya warganegeri Kelantan Darul Naim,meriahkanlah pesta buku Islam antarabangsa kali kedua ini.Jangan lepaskan peluang ini.Jom ramai-ramai cari buku!.Selain itu pelbagai aktiviti dijalankan sempena pesta buku islam ini.Pesta ini di jalankan selama lima hari mulai hari Jumaat hingga Selasa ini(18HB-22HB 2010).

Masih ada peluang dan masa untuk anda sama-sama memeriahkan dan berkunjung ke pesta ini.

JANGAN LEPASKAN PELUANG INI...JOM CARI-CARI BUKU..!

Saturday, June 19, 2010

Ke Forum Nuhbah Palestin

Bebaskan Palestin..


Assalamualaikum semua..! Dalam pertemuan hari ini aku kongsikan sedikit catatan beberapa minggu yang lepas untuk anda semua,jika sudi bacalah,kalau tidak abaikan..! he3..

Malam ini(30HB 05 2010-Ahad malam Isnin) aku ke Masjid As-Syarif Meru ada program Nuhbah Palestin,kesempatan kerja shift pagi minggu ini,aku manfaatkan sebelah malam dengan sesuatu yang dapat mencerahkan minda aku,maklum sahaja,kerja shift kena pandai bahagikan masa dan buat perancangan,kalau tidak memang asyik tertinggal dan tertangguh kerja,program yang nak disertai pun boleh gagal,Alhamdulilah dengan izin Allah malam ini,dengan semangat dan kekuatan yang ada dapat menghadiri majlis ilmu di sini.

Program pada malam ini lebih tertumpu pada isu Palestin yang tidak habis-habis kisahnya sejak dahulu hingga kini.Malam ini tokoh yang dibawa untuk membicarakan persoalan Palestin memang sangat layak dan mempunyai pengetahuan yang sangat luas tentang isu yang melanda Palestin,Beliau yang aku maksudkan Ustaz Ridhuan Mohd Noor.Pengetahuannya yang luas tentang isu Palestin ini,sangat menerujakan aku,sejarah,kisah dan yang lainnya dikupas dengan ‘detail’ dan baik sekali,mudah difahami.

Bagi aku beliau memang layak untuk membicarakan persoalan Palestin.
Seorang lagi tokoh yang di bawa khas pada malam ini,seorang ustaz dari salah satu pondok pengajian dari Kedah,namanya aku lupa,beliau juga membicarakan isu Palestin.Kalau tidak salah aku,beliau mengantikan tempat Ustaz Nik Mohammad Abduh,anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam isu Palestin ini,umat Islam mestilah mengambil berat dan rasa bersama,isu ini merupakan isu maruah umat Islam seluruhnya,Masjidil Aqsa kiblat pertama umat Islam letaknya di sini,di sinilah peristiwa besar yang berlaku keatas junjungan besar Nabi SAW,iaitu peristiwa Isra’ wa Mikraj.Sama-samalah kita memberi,membantu,menolong sedaya mampu kita untuk membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Rejim Zionis Israel Laknatullah.

Apa yang menariknya malam ini,selain forum,juga di adakan pameran tentang Palestin,jualan buku juga ada,ini yang seronoknya,dapatlah tiga buah buku di beli untuk aku baca nanti,antaranya CINTA DI LANGIT GAZA,SEPAHIT JADAM, DAN TOKOH-TOKOH GERAKKAN ISLAM MODEN ABAD KE-2(Alhamdulillah ketga-tiga buku ini sudah habis aku baca,bila-bila nanti aku kongsikan dengan anda semua).Malam ini selain dapat ilmu berkenaan Palestin dapat juga buku sebagai penguat minda aku nanti.Ilmu dapat, buku pun dapat (buku kena belilah-apa yang bestnya semua harga dapat potongan).

Catatan: Masshah,Meru.

Wednesday, June 16, 2010

Alhamdulillah Dah Jumpa..!

Dah jumpa dah..!

Cari punya cari,maka terjumpalah sebuah buku yang aku sangka dah hilang,rupa-rupanya tersorok nun di dalam almari kecil di bawa meja komputer,manusia memang tidak pernah lepas dari kesilapan dan kelemahan.Macam tanggapan dan andaian semasa kehilangan buku ni, rasa tertinggal di surau tempat kerja,sebab kalau tertinggal kat surau kilang dah memang di jamin hilang,mana tidaknya,ada jugalah beberapa buah buku,surah yassin,akhbar,majalah untuk aku wakafkan kat surau tu,habis semunya dah tak ada..habis macamana tu..nak baca-bacalah kan,dah baca letak balik,bukan bawak balik,nak bawak balik pun pulanglah balik kat surau tu..kan tu harta wakaf..ha3..masih ada yang tak faham lagi kot..

Doa apabila Lupa:

“Maha Suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa.Ya Allah,peringatkanlah aku apa yang aku lupa.”

Apapun biarkanlah cerita harta wakaf kat tempat kerja aku tu,aku amat-amat gembira buku yang aku cari-cari dah jumpa,niat nak beli lagi sebagai ganti terpaksalah di lupakan,Terima kasih Tuhan kerana menemukan aku dengan buku ini.Hai siapa yang tak sayang buku kan!,Terus terang aku memang sayangkan buku-buku aku,pantang orang pinjam tak pulang balik…memang nak kena tu..mana tak marahnya,kata pinjam tapi makan hari dan naik kebulan…he3,janji tetap janji..! habis baca mesti kena pulangkan kepada yang empunya yang sementara ini.

Macamlah juga kita pinjam di perpustakaan,bila dah sampai tarikhnya kita kena pulangkan,ingat lagi masa sekolah rendah dulu,cukup takut kalau pulangkan buku terlewat,memang alamat kena denda.Jadi siapa-siapa yang masih tak pulangkan buku yang di pinjam dari perpustakaan,ingat-ingatlah tarikh pemulangan tu.

Bila sebut perpustakaan ni,ingatlah pulak kad ahli perpustakaan negeri Selangor yang tak di ambil sampai hari ini,tak tahu bila nak ambil,aku daftar semasa karnival buku di Karangkraf awal tahun ni hujung januari,dah 6 bulan tak ambil lagi,entah ada lagi atau tidak aku pun tak tahu,aku oh aku suka sangat bertangguh..! berubahlah..wahai aku..!.

Cukuplah bebelan aku setakat ni,nanti bosan pulak pengunjung blog ini,semoga anda terus bersemangat untuk membaca,membacalah selagi berdaya,cintai dan sayangilah buku anda..! Jadikan membaca sebagai budaya dalam kehidupan seharian kita..!

JOM MEMBACA..!

Tuesday, June 15, 2010

Rejab..Di Mana Di Hati Kita.?

Semoga kita dapat memenuhi malam Rejab dengan amal ibadah.


Assalammualaikum..! Alhamdulilah dengan izin Allah aku dan anda dapat dipertemukan lagi di dunia tanpa sempadan ini,semoga di Rahmati dan di Redhai Allah selalu,pejam celik- pejam celik sudah sampai kita di bulan Rejab 1431H,Syukur dengan izinnya kita dapat bertemu lagi dalam bulan yang penuh dengan Rahmat dan keberkahan ini,berapa ramai yang sedar kita kini di bulan Rejab?..dalam masa yang sama orang tengah sibuk memperkatakan ’ Piala Dunia’.orang sibuk memperkatakan pasukan mana yang bakal ke final,pasukan pilihan masing-masing bakal menang,pasukan pilihannya’ score’ sekian-sekian..Rejab yang penuh keberkahan di mana di hati kita?

Berapa ramai yang sedar hal ini?..Amat malanglah kalau kita tidak sama-sama meraikan kedatangan bulan yang mulia ini,rugi rasanya andai kita tidak memanfaatkan bulan yang suci ini,untuk kita sama-sama merebut kelebihannya.

Dalam kesempatan pertemuan kali ini,aku kongsikan kepada anda dan juga untuk diri aku yang sering lalai tentang kelebihan bulan Rejab;

Kemuliaan Rejab:

a) Sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu muliakan rejab nescaya Allah SWT muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat”.

b) Sabda Nabi SAW: “Bulan Rejab bulan Allah SWT, bulan Sya’aban bulan ku,dan bulan Ramadhan bulan umatku”.

c) Kemuliaan Rejab dengan malam Isra’ Mikrajnya,Sya’aban dengan malam Nisfunya,dan Ramadhan dengan Lailatul Qadar.

d) Malam awal Rejab mustajab doanya.

e) Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala kalam.(Hadis)

Kelebihan Puasanya:

f) Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi. (Firdaus)

g) Puasa dua hari dilipatgandakan pahalnya.(hadis)

h) Puasa awal Rejab,pertengahannya dan akhirnya,seperti puasa sebulan pahalanya.(Hadis)

i) Berkata Saiyidina Ali kmj:

a)Puasa Rejab tiga belas hari seperti puasa tiga ribu tahun.
b)Puasa Rejab empat belas hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
c)Puasa Rejab lima belas hari seperti puasa seratus ribu tahun.
(tentang puasa di bulan Rejab ni banyak kelebihannya,,aku kongsikan sebahagiannya sahaja)

Kelebihan Sedekahnya:

j) Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.(Hadis)

k) Siapa bersedekah dalam bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar,dituliskan kepadanya setiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan,diangkat seribu darjat,di hapus seribu
kejahatan.(Hadis)

l) Bersedekah pada bulan Rejab di jauhkan Allah SWT dari api Neraka,kerana kemuliaan bulan Rejab, bulan Allah SWT.(Hadis)

Mudah-mudahan kita dapat bersama-sama menyambut kedatangan bulan Rejab (Bulan Allah)ini dengan hati yang gembira,syukur dan mengharap keampunnya setiap waktu.Rejab menjanjikan beribu fadhilat untuk kita semua,dari Allah untuk hamba-hambanya bagi mereka yang mahu merebut tawaran Allah SWT ini.

Dan juga untuk ingatan diriku dan diri anda,moga bulan Rejab ini,tidak menghalang diri kita untuk terus membudayakan amalan membaca,membaca terus untuk menambah ilmu dan seterusnya beramal dengan ilmu yang di pelajari.Membaca mempertajamkan minda kita,memberi kecerdasan untuk berfikir dan membuahkan fikiran yang rasional pada setiap apa yang kita perkatakan.

Jadi..! teruskan pembacaan anda di bulan Rejab yang mulia ini..! Selamat Membaca..!

#Kelebihan Bulan Rejab merujuk buku: FADHILAT REJAB,SYA’ABAN DAN RAMADHAN.(Versi Jawi)
Tulisan:Budiman Radhi,Terbitan: 1988(1408H)

Sunday, June 13, 2010

Berita Gembira:Jangan Lupa..! Pesta Buku Selangor 2010

Pesta Buku Selangor


Sekali lagi aku ingatkan diri aku dan semua pengunjung blog ni,terutamnya peminat-peminat buku semua,Pesta Buku Selangor pada 25HB Jun-5HB Julai 2010.Pesta Buku yang di anjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS) membawakan tema ‘JOM MEMBACA DI MANA-MANA’.Dalam berita akhbar Sinar Harian (Ahad-13Jun 2010),menyatakan 114 gerai terlibat dari penyertaan 55 peserta.Pesta buku ini akan menyajikan pelbagai bahan bacaan menarik dan terkini selain potongan harga,menurut setiausaha Pesta Buku Selangor 2010,Sarwani Abd jalal.Jadi apa lagi sahabat-sahabat semua,Jom kita serbu nanti!.

Apa yang menariknya,usaha yang berterusan ini bagi merealisasikan matlamat ‘knowladge society’ dan seterusnya meningkatkan sosio- ekonomi dan tahap hidup masyarakat.Menurutnya lagi Pesta Buku ini diadakan bagi membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah yang berlaku dikalangan masyarakat…memang cantik sekali bagi aku,usaha ini patutlah di beri sokongan yang kuat dari rakyat semua terutamnaya para peminat dan pencita buku,alihkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dari kalangan remaja kita kepada minat dengan buku.Jadi kena banyakan lagi kempen-kempen suka buku,suka membaca ini..Insyallah kita akan lihat perubahan ini,jika usaha ini di lakukan berterusan.

Pesta Buku Selangor 2010 kali ini,di anjurkan bersama dengan Program Hari Ilmu dan Gerakkan Membaca Perdana,satu kelainan tidak seperti tahun-tahun yang lalu,satu usaha yang menarik bagi aku.Apa yang menariknya Tuanku Sulatan Selangor,Sultan Sharafuddin akan menyempurnakan program ini pada 26 Jun nanti.Di jangka 10,000 masyarakat akan sama-sama menyertai program ini,berkumpul bersama keluarga dan membaca secara santai serta serentak.Program membaca beramai-ramai ini akan di perakui oleh Malaysia Book of Record sebagai ‘Largest Outdoor Reading Event’ di Malaysia.

Apa lagi,sama-sama kita meriahkan program yang sangat bermanfaat ini..Jom Semarakkan!..Membaca Beramai-ramai..!.

Thursday, June 10, 2010

Kongsi Buku:BAWA HATIMU KEPADA TUHAN

Buku:BAWA HATIMU KEPADA TUHAN


Penulis Buku:Ustaz Amaluddin


Alhamdulillah dengan izin Allah dapat bertemu lagi dalam perkongsian buku,kalau dua hari lepas aku kongsikan sebuah buku,hari ini aku nak kongsikan lagi sebuah buku yang telah aku habis baca pada tahun lepas.Buku yang sangat menarik dan baik sekali jika di miliki dan jadikan untuk bahan berfikir untuk kita semua serta panduan untuk muhasabah diri kita.Mudah-mudahan perkongsian serba sedikit ini mendatangkan manfaat kepada anda semua.

BAWA HATIMU KEPADA TUHAN

Sebuah buku terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd,Tulisan Ustaz Amaluddin bin Hj Mohd Napiah pemilik laman blog Sahabat Amal.Buku setebal 207 muka surat,kategori Tarbiah Rohani.Buku yang berharga RM 21.00 untuk Semenanjung Malaysia dan RM23.00 Untuk Sabah dan Sarawak.Buku ini harus dimiliki oleh semua orang kerana kandungannya yang banyak memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.Buku ini mengandungi empat bahagian,setiap bahagian membicarakan tajuk yang berlainan,Setiap bahagian ada membicarakan tentang Iman,tentang dosa,tentang Pahala dan tentang Syurga.

Walaupun setiap tajuk di kupas secara ringkas dan bahasa yang mudah tetapi padat dengan ilmu yang boleh kita amalkan dan sebagai bahan renungan untuk diri kita yang sentiasa lupa.Sangat sesuai sebagai bahah tarbiah untuk mendidik hati,memang pun target buku ini adalah untuk mendidik hati kita agar dekat dengan Tuhan.Bawa Hatimu Kepada Tuhan.Tuhan segala-galanya buat kita.Boleh di jadikan bahan usrah keluarga kerana setiap tajuk yang dikupas sangat mengesankan hati kita.Penulis mengajak kita agar menyanyangi hati kita di atas tajuk ‘sayangilah hati kita’,penulis mengajak kita supaya sentiasa memastikan pintu-pintu hati kita sentiasa terbuka luas dan boleh menerima sebanyak-banyaknya cahaya hidayah dan ilmu Allah SWT.

“Mencari kemanisan dalam kehidupan.Mehnah mendatang terasa terbeban.Bawa Hatimu Kepada Tuhan.Di sana menanti syurga idaman”

“Cinta itu bermula dari HATI.Andai HATI itu ikhlas,cinta yang terzahir akan terbina dengan penuh kasih sayang dan ketulusan,Untuk membina cinta itu,HATI perlulah disemai dan dibaja dengan benih mahmudah yang menjanjikan kebahagian dunia dan akhirat.


Buku BAWA HATIMU KEPADA TUHAN pasti mengesankan hati setiap pembaca,setiap tajuk yang dikupas memberi penekanan persoalan hati pada kehidupan kita sehari-harian,peranan hati yang sangat penting sebagai pemandu tingkah laku manusia.
BAWA HATIMU KEPADA TUHAN memberi dimensi baru penulisan ilmiah yang menggabungkan mutiara-mutiara pengajaran dalam pembentukan HATI yang sejahtera.” Sedikit dari tulisan di bahagian belakang buku BAWA HATIMU KEPADA TUHAN.

Bahagian Pertama:(Tentang Iman)

Suburkan iman carilah kemuliaan
Lapanglah dada hentikan ratapan
BAWA HATIMU KEPADA TUHAN
Mengharap hadir jiwa kehambaan.

Bahagian Kedua:(Tentang Dosa)

Beratnya dosa menghimpit jiwa
Jiwa terseksa inginkan penawarnya
Hapuskan dosa sucikan amalan
BAWA HATIMU KEPADA TUHAN.

Bahagian Ketiga:(Tentang Pahala)

Miliki hati orang beriman
Bersulam takwa kekal berzaman
BAWA HATIMU KEPADA TUHAN
Kembara cinta tanpa sempadan
Cinta ilahi itulah buruan.

Bahagian Keempat:(Tentang Syurga)

Carilah kemanisan dalam perjuangan
Perjuangan mengejar cinta dari Tuhan
Mehnah mendatang itulah ujian
Jangan tersungkur walau terbeban
BAWALAH HATIMU KEPADA TUHAN
Di sana menanti Syurga Idaman.

Serba ringkas aku kongsikan kandungan buku ini,agar ada manfaatnya selebihnya carilah buku ini di mana-mana kedai atau gedung buku yang menjual buku ini.


Atau layari laman blog:SAHABAT AMAL

Selamat membaca.!

JADIKANLAH BUKU SEBAHAGIAN DARI HIDUP KITA.

Tuesday, June 8, 2010

Catatan Petang

Align Center
Buku yang di beli..


Ke Pejabat Pos Kapar


Hari ini (4HB 06 2010-Jumaat),aku ambik cuti,ada perkara yang perlu di bereskan,nak memperbaharui lesen kereta yang dah tiga hari dah mati,asyik tangguh2 masuk hari ni dah empat hari,jadi petang ni jugak aku pergi ke pejabat pos kapar untuk memperbaharuinya,kebetulan lesen kereta isteri aku pun tarikh yang sama,jadi aku perbaharui lesen isteri aku sekali,petang ni aku ajak anak buah aku,Rasidi untuk menemani aku.

Alhamdulillah,tak berapa ramai orang,jadi urusan sangat mudah dan selesa,sampai pejabat pos baru teringat,ada buku nak pos pada kawan,tapi lupa nak bawa..ermm..nampak gaya tertangguh lagi,aku dah janji dengan kawan tu,alahai..! manusia tak lepas dari kesilapan dan lupa,apapun aku harap kawan aku bersabar dengan kehadiran buku tu nanti ye..! Kalau dia baca post ni,harap-harap dia dapat bersabar,dan saya minta maaf banyak-banyak!...maafkan kami…maafkan kami…maafkan kami!

Urusan di pejabat pos selesai..!

Ke Setia Alam,Gramedia Book Stores.


Tak tahu hendak kemana,ajak anak buah ke Setia Alam,jalan-jalan cari buku,ni yang
seronoknya ni,tapi tak tahu lah apa kata hati anak buah aku ni,asyik-asyik kedai buku tak ada lain ke..? mungkin jugak lah kata hatinya gitu..agak je..apa aku kisah yang penting aku dah ajak dia ikut,apa lagi ikut je lah..!,dah memang minat aku macam ni tak boleh buat apa kan?..Tempat yang memang sangat aku gemari kedai buku.Masuk ke sini je,memang menyeronokkan,susun atur buku yang menarik,selesa,nyaman..ermmm..tak dapat aku bayangkan he3.

Sampai Gedung buku Gramedia,apa lagi belek-belek mana buku yang berkenan,baca serba sedikit apa yang terkandung dalam buku yang di belek,ermm..bagus jugak ni..letak dulu,pusing-pusing dulu,dari satu rak ke satu rak,ke bahagian majalah, ada majalah tunas cipta,dewan bahasa,dewan sastera,dewan budaya dan macam macam lagi nama majalah yang rasanya tak perlu aku tulis kat sini,anda pun tahu ada macam-macam jenis majalah yang ada kat tanahair kita ni kan.

Kali ni aku tak ke bahagian novel,aku terus ke bahagian buku bisnis dan motivasi,macam-macam buku bisnis dan motivasi terdapat di sini,dari penulis melayu sampailah penulis bangsa asing.Tajuk buku yang hebat-hebat.Nak cerita panjang-panjang nanti jemu pulak ..anda mesti nak tahu buku apa yang aku belikan?..Ok lah aku kongsikan tajuk-tajuk buku yang aku beli ni:

a)Magnet Diri( Cipta Pengaruh Luar Biasa Dan Berjaya)-Amin Idris

b)30 Strategi Membina Pengaruh-Zamri Mohammad&Haeqal Zulkarnain

c)Bagaimana Islam Memimpin Masyarakat Majmuk-Mahmood Zuhdi

d)Keluarga Sakinah-Prof.Dato’Sidek Baba

f)Zikir Pagi Petang&Selepas Solat-Dr.Abdul Basit

Jadi kepada anda yang masih belum mempunyai minat membaca,tanam-tanamkanlah azam supaya diri anda minat membaca,seterusnya menjadikan membaca sebagai satu budaya dalam kehidupan kita seharian.

SELAMAT MEMBACA..!

Monday, June 7, 2010

Kongsi Buku:KEMBARA HATI DI TANAH SUCI(Menyingkap Kehebatan Dan Kemuliaan Tanah Suci)

Buku:Kembara Hati Di Tanah Suci


Aku bersama penulis buku KHDTS-Ustaz Ghazali Ibrahim

Assalamualaikum,Alhamdulillah dengan izin Allah dapat bertemu lagi,dah berapa hari tak update blog ni,kesian teman-teman yang ziarah,asyik-asyik post yang lama,naik bosan pulak..ermm..oklah dalam pertemuan kali ni aku nak kongsikan sebuah buku yang sangat baik dan bagus,boleh buat panduan dan motivasi untuk bakal-bakal haji dan hajjah.Buku ni dah habis baca buat pertama kali pada tahun lepas,sebenarnya ulasan ringkas ini,aku pernah post di blog Nur Dania Balqis ,oleh kerana blog kedua aku ini berkaitan dengan buku,aku post sekali lagi untuk di kongsikan dengan teman-teman blogger yang meminati buku.Semoga perkongsian yang serba sedikit ini dapat memberi manfaat pada anda semua,selebihnya kena cari sendirilah buku ini ye..!

Buku yang di hadiahkan oleh Abang Ipar aku yang juga selaku penulis buku ini iaitu Ustaz Ghazali bin Hj Ibrahim.Tahniah dan terima kasih aku ucapkan pada Abang Zali kerana hadiah buku ini dan Tahniah juga dengan kelahiran buku terbaru ini KEMBARA HATI DI TANAH SUCI.Sebelum ni pun beliau ada menghadiahkan buku-buku beliau kepada aku seperti KENAPA MESTI MERANCANG PUSAKA dan RM 38 BILLION PUSAKA BELUM DI TUNTUT.Untuk kali ni aku hanya nak memperkatakan buku KEMBARA HATI DI TANAH SUCI.

Buku setebal 284 muka surat berharga RM3O untuk Semenanjung dan RM32 untuk Sabah dan Sarawak,Tebitan Tijarah Network sebuah syarikat yang diasaskan oleh beliau sendiri.Buku ini dalam kategori Siri Kesedaran Bersama seperti yang tertera di bahagian bawah buku tersebut.Secara peribadi sebuah buku yang penuh dengan motivasi kesedaran,bahasa yang mudah,sesuai untuk sesiapa saja Umat Islam yang bercita-cita bukan saja bercita-cita tetapi berniat untuk menunaikan Umrah dan Haji ke Tanah Suci Mekah dan Madinah,yang sudah pergi pun sangat sesuai memiliki buku ini.Apa yang menarik tentang buku ini ialah disertai dengan foto yang menarik dan ilustrasi yang berinfo.

Ada kalanya sedih apabila penulis menulis tentang Tak Kenal,Tak Cinta Nabi(Bahagian 8,Umrah dan Haji Jangan Lupa Ziarah Nabi).bagaiman penulis membawa kita mengimbau dan menghayati cerita Nabi.yang sangat menyentuh hati kita semua,hingga mengalir airmata kita.Ini yang terjadi pada aku kisah yang sangat menyentuh hati iaitu ‘Aku akan bertemu Ilahi’ Kisah Akasyah dengan Rasulullah.Bacalah dan hayati dalam buku ini.Pasti mengalir airmata..

Buku ini mengandungi 10 bab setiap satu bab mengandungi tajuk-tajuk kecil yang di kupas dengan bahasa mudah serta penuh dengan motivasi yang sangat membina untuk para pembaca.Ia merupakn seperti apa yang penulis ungkapakan dalam mukadimah buku ini.

"tetapi lebih kepada ingin berkongsi sedikit ilmu pengetahuan,pengalaman,rasa hati kerana sesungguhnya ibadah haji dan umrah…andai kita lihat dalam-dalam,ianya adalah berkenaan cara perlaksanaan dan selebihnya ialah penghayatan.”

Namun apa yang aku dapati dalam buku ini sangat banyak ilmu dan perkara yang selama ini tak faham baru kini tahu dan faham.

Di sini aku kongsikan serba sedikit kandungan yang terdapat dalam buku ini:

• BAB1-KE TANAH SUCI MENJADI TETAMU ALLAH
• BAB2-UMRAH DAN HAJI DI TANAH SUCI
• BAB3 UMRAH DAN HAJI PERSAKSIAN DENGAN HATI
• BAB4-UMRAH DAN HAJI PROSES DIDIK HATI
• BAB5-UMRAH DAN HAJI ADA KEBAIKAN UNTUK DIRI
• BAB6-UMRAH DAN HAJI ANUGERAH ALLAH
• BAB7-UMRAH DAN HAJI KEMUNCAKNYA DI SINI
• BAB8-UMRAH DAN HAJI JANGAN LUPA ZIARAH NABI
• BAB9-UMRAH DAN HAJI MESTI BERNIAT SUCI
• BAB10-MABRURKAH UMRAH DAN HAJIKU INI

“Sebahagian umat Islam di Malaysia beranggapan…nak pergi haji:

• Kena tunggu seru,
• Bila dah pencen baru boleh pergi,
• Pergi haji muda-muda rugi,
• Tunggu semuanya dah ok,baru boleh pergi,

Dan pelbagai lagi tanggapan serta pemahaman.Hingga kedapatan segelintir daripada
Umat Islam di Malaysia,langsung tidak ambil berat tentang ibadah haji.Mereka
Memberikan perpepsi yang pasif dan negative tentang ibadah haji dan Tanah Suci.
Bahkan mereka tidak ada langsung keinginan untuk ke Tanah Suci.Bahkan langsung
Tidak ada inisiatif untuk menyediakan diri ke Tanah Suci sama ada mengerjakan
haji Ataupun umrah.”

Semoga perkongsian yang ringkas ini dapat memberi manfaat,untuk mengetahui tentang buku ini selanjutnya miliki dan carilah di mana-mana gedung buku atau kedai buku yang berdekatan tempat anda.

Selamat Membaca Kepada Semua!.


JADIKANLAH BUKU SEBAHAGIAN DARI HIDUP KITA.

#Insyallah mulai perkongsian buku yang pertama ini,akan menyusul lagi perkongsian buku yang seterusnya.Hasil pembacaan buku-buku yang telah habis aku baca,mudah-mudahan perkongsian yang serba sedikit ini,dapat menambah minat lagi anda terhadap tabiat membaca ini(budaya hidup membaca).

DEMI MASA