Followers

Showing posts with label Catatan Aku Budak Kilang. Show all posts
Showing posts with label Catatan Aku Budak Kilang. Show all posts

Thursday, May 1, 2014

Selamat Hari Pekerja 1 Mei 2014



Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada teman-teman dan sahabat sekelian, selamat bercuti sempena menyambut 1 Mei, Hari Pekerja. Kepada pekerja-pekerja yang bertugas di hari cuti ini, saya ucapkan selamat bertugas, yang pastinya pengorbanan yang dilakukan itu amat besar, mudah-mudahan pekerjaan yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Walaupun hari ini, hari cuti untuk mereka, tapi mereka tetap bertugas demi negara, antaranya seperti anggota keselamatan, tentera, polis, kastam, bomba, dan lain-lain. Semoga mereka menjalankan tugas dengan amanah, merekalah yang menjaga perairan dan sempadan negara, 24 jam mereka laksanakan tugas itu, ternyata pengorbanannya amat besar sekali. Syabas diucapkan kepada anggota keselamatan negara kita.

Bagi yang bercuti, walaupun bercuti hari ini, bukanlah bermakna kita boleh duduk-duduk, santai-santai tanpa membuat apa-apa kerja rumah. Mesti ada kerja-kerja rumah yang belum selesai, kemas rumahlah, bersihkan halaman rumahlah, bersihkan bilik mandilah, bersihkan tandaslah dan macam-macam lagi perlu dilakukan kerja tersebut. Membantu isteri buat para suami, biar pun hari ini cuti, cuci baju, cuci kereta, dan lain sebagainya.

Selesai buat kerja-kerja tersebut baharulah boleh rehat-rehat dan santai-santai. Jika rajin bolehlah keluar jalan-jalan bawa anak-anak, maklum seharian bekerja setiap hari, jadi hari ini bercuti, ada peluang untuk bersama anak-anak, tentu mereka suka. Mungkin boleh bawa anak-anak ke pesta buku yang sedang berlaku sekarang. Atau pergi berkelah di mana-mana distinasi perkelahan yang menarik seperti Port Dickson. Terpulanglah pada masing-masing mahu bagaimana cuti 1 mei ini dimanfaatkan.

Oh, ya ada yang pergi demontrasi hari ini, terpulanglah hak masing-masing dijamin oleh perlembagaan negara, selagi mana tidak memudaratkan pergilah, tunjukkan perasaan anda terhadap perkara yang anda tidak persetujui, namun begitu jagalah adab-adabnya. Usah membuat onar dan perkara-perkara yang dilarang sudah. Di harapkan demontrasi yang berjalan nanti berjalan dengan aman dan teratur.

Bak kata, macam-macam boleh dilakukan bila cuti, jadi manfaatkanlah hari pekerja ini dengan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat. Cukuplah, sekadar ingin memberi ucapan sempena hari pekerja, apa pun syabas diucapakan kepada seluruh pekerja dari semua sektor, sama ada sektor awam, sektor swasta, dan sebagainya, agar bertambah-tambah bersemangat untuk bekerja, pengorbanan anda untuk negara, bangsa dan negara, juga agama, sesungguhnya amat dihargai. Syabas!.


Semoga juga apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan mendapat pahala dan redha dari Allah SWT. Niatkanlah setiap pekerjaan yang kita laksanakan dengan niat untuk ibadah kerana Allah SWT semata-mata.

Sunday, April 13, 2014

Catatan Budak Kilang: Berkat Kesabaran



Dalam banyak-banyak kilang, inilah syarikat (1999-2014) yang agak lama saya bekerja di sini. Berkat kesabaran dan ketabahan. Mana mungkin boleh kerja lama, jika tidak ada sifat itu dalam diri. Siapa sahaja pun, jika tidak ada sifat sabar, pasti akan tewas. Kerja disektor perkilangan memerlukan kesabaran, maklum macam-macam jenis kerja kena buat. Ada kerja berat, kerja ringan dan macam-macam. Walaupun setakat jaga satu mesin pun, adakalanya karenahnya bermacam-macam.

Karenah manusianya yang bermacam-macam. Itu belum lagi karenah supervisornya dan orang atasannya lagi. Macam-macam yang boleh menghilangkan kesabaran seseorang pekerja kilang. Mahu tidak mahu kena sabar dan sabar, itulah jawapannya. Tidak sabar, alamat berhenti kerja, cari kerja lain. Tak ke’ membuang masa namanya.

Saya ingat lagi, sewaktu menjejaki kilang ini pada hari pertama, dalam hati terdetik , “Boleh ke aku kerja lama di sini...macam tak ok je kilang ni...”. Itu sewaktu pertama kali, tapi lama-lama kerja, pujuk hati kena bersabar, sabar, sabar...akhirnya, dengan berkat kesabaran itulah, lama saya sudah bekerja di sini. Biar pun masih tiada apa-apa kebajikan yang istimewa yang diberi oleh pihak syarikat.

Itu yang kadang-kadang saya beri nasihat pada kawan-kawan yang mahu berhenti kerja tanpa ada alasan yang kukuh. Lagi-lagi kalau sudah berkeluarga, elok-elok sudah ada kerja mahu berhenti. Yalah, mungkin kebajikan  kurang menarik, gaji tidak cukup, elaun lagilah kurang, itu pun faktor juga mengapa setengah-setengah pekerja berhenti kerja. Betul juga, mereka pun mahukan gaji yang setimpal dengan mereka.

Tetapi, sebelum berhenti kerja, kenalah fikir masak-masak. Janganlah ikut perasaan, fikirlah dua tiga kali. Betul ke jika berhenti nanti sudah ada kerja yang menanti kita?. Atau baru berhenti baru mahu pusing cari kerja lagi. Kelulusan tinggi tidaklah mengapa, tapi kalau berhenti pun masuk kilang, baik fikir masak-masak, sementara ada kerja, kerjalah dulu baik-baik, ada peluang lain yang lebih lumayan, nanti  bolehlah berhenti kerja.

Jangan menyusahkan diri sendiri, kalau bujang lain cerita, tapi sudah berkeluarga, anak tiga empat orang, isteri tidak pula bekerja. Bukankah naya jika berhenti dengan terburu-buru. Fikir-fikirkanlah. Inilah yang kadang-kadang saya sarahkan pada mereka yang mahu berhenti kerja. Mahu terima atau tidak terpulang, yang penting kita sudah beri nasihat.

Pernah satu ketika, seorang bercerita pada saya, seolah-olah dia mencurahkan perasaannya. Tentang sudah beberapa lama dia tidak confirm, sedang macam-macam kerja dia boleh buat, sana dia buat, situ boleh buat. Bahkan dicampak ke mana pun, dia boleh kerja. Dek’ kerana lamanya tidak confirm-confirm, dia menyatakan ingin berhenti kerja. Seperti yang saya tuliskan di atas tadi, begitulah nasihat saya padanya.

Akhirnya, mungkin dengan berkat kesabarannya, confirmlah dia, itu pun setelah menunggu lama, dan hampir-hampir dia berhenti kerja. Entahlah, saya pun tidak faham, mengapa susah sangat mahu beri confirm pada pekerja, sedangkan pekerja bersungguh-sungguh memberi komitmen kerja mereka. Sabar, sabar, sabar...itulah jawapannya.

Itulah...sabar sahaja yang mampu memberi ketenagan hati pekerja. Itu pun jika mahu bersabar, tidak sabar berhenti sahaja, cari kerja lain. Banyak cerita yang saya dengar, kawan-kawan lama yang sudah berhenti, tidak lama dari itu, meluahkan penyesalannya  kerana berhenti kerja. Ada yang sudah bekerja lepas itu berhenti...hai nasiblah kawan, kenapa terburu-buru sangat mengikut nafsu mahu berhenti kerja, akibatnya menyesal.

Malah ada yang cukup lama menunggu untuk confirm, sampai bertahun, akhirnya tewas juga, berhenti juga akhirnya. Bila saya fikir, sakit hati pun ada. Mengapalah majikan tidak nampak perkara tersebut. Supervisor macam mana buat kerja. Pekerja sudah banyak mengerahkan tenaga yang sungguh-sungguh. Komitmen yang tinggi, rajin kerja lebih masa, sudah pandai buat kerja dan macam-macam lagi kalau mahu diikutkan. Mengapa susah sangat mahu confirmkan mereka?. Entahlah...

Banyak lagi kalau saya mahu cerita tentang suka duka kerja di sebuah kilang yang besar tapi dari segi kebajikannya sangat menduka citakan. Apa pun apa yang terjadi pada diri saya sekarang, mengapa saya boleh lama di sini, jawapannya kerana saya sabar, sabar, sabar dan tempat kerja yang berdekatan dari rumah serta pertanyaan pada diri sendiri “Nak pergi mana lagi?. Usia pun semakin meningkat...anak-anak dan isteri dibawah tanggungjawab saya, sikit-sikit hasil pun dapat juga beri makan pada mereka.”

Kepada kawan-kawan, sabarlah dan berdoa-doalah agar ada perubahan pada pihak pengurusan syarikat kita ini. Semoga nanti kita dapat sama-sama kecapi perubahan.


Sabar, sabar dan sabar...kerjalah jangan tidak kerja!.

Kerja tetap kerja!


DEMI MASA