Followers

Showing posts with label Alahai Anakku. Show all posts
Showing posts with label Alahai Anakku. Show all posts

Tuesday, November 12, 2013

Catatan Malam: Jalan-Jalan Cari Buku



Seperti dijanjikan, selepas maghrib saya, isteri dan dua orang anak bertolak ke Tesco Setia Alam. Demi menunaikan janji si bujang kecil, siang tadi yang bertanyakan ‘Abi mana buku...’. Dari beli mainan yang entah apa-apa, baik saya belikan anak buku atau majalah-majalah yang menarik untuk mereka. Biar pun mereka belum faham lagi tetapi agar mereka biasa dengan buku-buku atau majalah tersebut.

Sampai sahaja di Tesco Setia Alam, kami terus ke Kedai Buku Sinar Bistari, distinasi kemestian saya bila ke sini. Biasanya selepas membeli belah barangan dapur baharu saya ke kedai buku tersebut. Melihat jam, rupa-rupanya baharu awal lagi, belum pun jam lapan, tinggal beberapa minit masuk jam lapan malam. Waktu solat maghrib awal sekarang, tak terasa awal sampai pula.

Saya biarkan anak-anak dengan isteri, biar mereka pilih buku apa yang mereka mahu. Umminya boleh pilihkan. Saya melayan diri, pusing-pusing dari satu rak ke satu rak penerbitan. Mencari-cari buku yang diingini. Perasaan saya bila ke kedai buku, biasanya seronok dan teruja, melihat buku-buku yang tersusun cantik dan indah. Tak sabar rasanya ingin memiliki kesemua buku tersebut...sekadar angan-angan sahaja.

Di rak penerbitan Buku Grup Karangkraf saya memilih buku yang bertajuk Ulu Yam Di Liverpool-Aku Bukan Mat Salih Celup, tulisan Nazali Noor, tajuk yang menarik juga, buku baharu terbit. Mungkin ada motivasi yang boleh diambil dari membacanya nanti. Saya membelek-belek, sekilas membaca dan melihat gambar-gambar yang terdapat dalam buku tersebut. ‘Wah...memang best buku ni.’ ,Terdetik dalam hati saya.



Sebuah buku lagi juga dari rak penerbitan Buku Grup Karangkraf, iaitu buku bertajuk 100 Jejak Pribadi Rasulullah-Menelusuri Kehebatan Akhlak Junjungan Besar Muhammad SAW. Hasil tulisan Muhd Nasaruddin Dasuki, juga sebuah buku yang cukup menarik tentang 100 sikap unggul  Nabi SAW yang perlu kita contohi dan amalkan dalam kehidupan kita.



Melihat, anak-anak dengan umminya sungguh seronok sekali. Mungkin sedang pilih buku untuk anak-anak, sesekali anak bujang datang dekat dengan saya. Seronok dan bahagia hati ini, bila lihat anak-anak sudah minat dan suka dengan buku-buku. Insyallah, merekalah perwaris buku-buku yang berada di dalam bilik buku di rumah satu masa nanti.Mereka akan memanfaatkannya nanti. Ah...seronoknya...!.

Saya masih mencari dan mencari sebuah buku lagi, ‘Di Sebalik Ikhwan Muslimin’- Youssef Nada bersama Douglas Thompson-Hakikat tentang Pergerakan Politik Terkuat di Dunia. Alhamdulillah, jumpa juga buku tersebut, apa lagi, belek-belek dan ambil. Menarik dan seharusnya dimiliki oleh mereka yang ingin mengetahui tentang Ikhwan Muslimin. Insyallah, ada masa nanti saya akan kongsikan kepada sahabat dalam penulisan yang seterusnya.



Buku-buku untuk si bujang kecil sebenarnya hadiah untuk ulangtahunnya yang ketiga, siangnya saya sudah beritahu si bujang kecil, “nanti malam Abi belikan buku”, Alhamdulillah buku-buku tersebut pun sudah dimilikinya. Tertunai jugalah janji saya yang mahu belikan buku untuk si bujang kecil. Tidak ketinggalan si kakak, juga dapat habuan sekali, suka sangat dengan buku-buku yang dibelikannya.







Akhirnya, jalan-jalan cari buku tertunai juga, sebelum jam 9:30 kami sudah sampai di rumah. Semoga anak-anak menjadi generasi iqra!.

Selamat mambaca!.





Thursday, November 7, 2013

Abi Mana Buku Tanya Muhammad Anas



“Abi mana buku...”. Inilah kata-kata anak lelaki saya sewaktu saya baharu balik dari kerja. Dengan nada yang perlahan selepas saya membuka pintu slanding rumah. Hari ini (29hb 10 2013), merupakan hari kelahirannya, genap sudah umurnya tiga tahun. Diam tidak diam, sudah tiga tahun anak bujang seorang ini.

Tiba-tiba sahaja, tanya buku. Saya rasa hairan juga, macam mana bujang seorang ini sudah pandai minta buku. Mungkin umminya yang suruh rasanya. “Nanti malam kita jalan-jalan cari buku ya...”. kata saya padanya sambil mencium pipinya. Entah faham atau tidak, tapi melihat reaksinya, seakan gembira bila saya katakan malam nanti  jalan-jalan cari buku.

Dalam keadaan kepenatan balik kerja, anak minta buku pula. Alangkah bahagianya saat saya mendengar luahan anak bujang seorang ini. Dari perasaan penat tadinya, kini menjadi hilang sebahagian rasa penat itu. Syukur rasanya, bila anak-anak sudah mula suka pada buku, biarpun masih tidak faham kepentingan buku padanya. Namun bukan masalah untuk tidak membelikannya buku atau majalah-majalah.

Walaupun sekadar melihat gambar-gambar di dalamnya, itu sudah memberikan suntikan yang sangat baik kepada anak-anak. Maklum sahaja, anak-anak kecil dalam usianya sebegitu masih suka melihat gambar-gambar yang berwarna-warni, lagi-lagi watak yang mereka gemari seperti watak Upin dan Ipin, Boboiboy dan lain-lain. Tentu sahaja mereka amat mengemarinya.

Biar pun selepas melihat-lihat gambar di dalam majalah yang dibeli, ia akan conteng-conteng majalah tersebut, malah ada masanya dikoyakannya, rasa sebal juga melihatnya. Namun, dek’ kerana budak-budak masih tidak faham betapa pentingnya nilai sebuah bahan bacaan untuk dihargainya. Nama pun budak-budak, biarlah...yang penting perasaan minat pada buku atau pun majalah sudah ada dalam diri mereka.

Apakah saya menyesal dengan tindakan mereka menconteng-conteng dan mengoyakan itu?. Oh...tidak sesekali tidak, seperti yang saya nyatakan di atas tadi, namanya pun budak-budak. Saya akan tetap akan membelikan majalah-majalah atau buku mewarna (setakat ini) untuk mereka. Agar mereka terus akrab dengan buku-buku atau majalah-majalah serta semoga minda mereka terus lekap dengan bahan-bahan yang sebegitu. Itulah antara harapan saya. Mungkin ibu bapa di luar sana pun begitu.

“Abi mana buku...”, adakalanya bila saya bersendirian terngiang-ngiang pertanyaan itu di telinga saya. Macam tidak percaya, dalam seusia begitu sudah boleh meminta buku. Itu yang sangat membahagiakan hati saya. Moga satu hari nanti mereka juga menerapkan tabiat membaca dalam diri mereka. Biarlah mereka nanti memanfaatkan bilik buku yang saya wujudkan di rumah. Bila saya sudah tiada, bolehlah mereka membaca buku-buku peningalan saya dalam bilik buku tersebut.

Satu masa saya pernah bercakap dengan anak perempuan saya berumur empat tahun, “buku-buku ini semua untuk kakak dan adik, nanti bila besar boleh baca tau...”. Dia mengangguk-angguk faham rasanyalah begitu. Budak-budak kan’!. Itu juga harapan saya, agar anak-anak menjadi generasi yang suka membaca, bukan setakat membaca tetapi lebih dari itu sebagai konsep dalam kehidupan seharian kita dan mereka. Mudah-mudahanlah.


Amin!.

DEMI MASA