Followers

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Monday, May 21, 2012

Pasar Buku Untuk Penggemar Buku


Jualan buku dari but kereta, santai tapi meriah






Berkonsepkan 'jualan but kereta' iaitu aktiviti menjual pelbagai jenis barang baru dan terpakai dari kenderaan masing-masing, Perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL), di tepi Dataran Merdeka pagi semalam dipenuhi kereta dengan but terbuka berisi buku-buku baru dan terpakai.

Seawal jam lapan pagi hingga 12.30 tengahari, sebanyak 30 kenderaan memenuhi perkarangan PKL dalam program Pasar Buku Kuala Lumpur anjuran Perbadanan Kota Buku.

Buat julung kalinya Perbadanan Kota Buku menganjurkan program ini bagi menghimpunkan penggemar buku dalam aktiviti yang santai dan sederhana.

Menurut pengurus kanan Perbadanan Kota Buku, Razin Abdul Rahman, jualan but kereta yang hanya menjual buku merupakan acara yang  pertama kali diadakan di Malaysia bertujuan menggalakkan penerbit, pembaca, penulis serta penggiat buku untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam suasana yang ringkas tetapi meriah.

"Memang jualan but kereta sudah biasa di Malaysia tapi melibatkan barangan lain. Kalau melibatkan buku, inilah kali pertama di sini.

"Berbanding di luar negara, jualan buku dari but kereta ini memang sangat biasa cuma di Malaysia, ia belum lagi menjadi kebiasaan. Jadi kami mengambil inisiatif mendekatkan masyarakat dengan buku melalui aktiviti ini,"
kata beliau ketika ditemui di program tersebut, semalam.

Melalui aktiviti ini tambah beliau, pemilik buku khususnya penerbit dan penulis boleh menjual karya-karya terbitan mereka dengan harga yang rendah sekaligus menggalakkan pembaca untuk berkunjung ke aktiviti seperti ini pada masa akan datang.

"Kami cuba mudahkan penerbit dan individu untuk menjual buku mereka sebab hari ini mereka tak perlu sewa tapak, hanya maklumkan kepada kami penyertaan mereka. Mereka dapat sepenuhnya hasil jualan buku tanpa sebarang caj dikenakan," katanya.

Razin juga berkata, Pasar Buku Kuala Lumpur akan dijadikan acara bulanan di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Kota Buku akan mangadakan aktiviti ini sebanyak dua kali sebulan dan boleh disertai sesiapa sahaja.

"Kita akan pilih tempat yang strategik seperti di Taman Tasik Titiwangsa dan kawasan-kawasan rekreasi yang lain,"
katanya sambil melahirkan rasa gembira di atas respons positif yang diberikan orang ramai.

Buku penghibur jiwa

Sementara itu, penyair dan juga pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof Dr. Siti Zainon Ismail menyokong penuh usaha sedemikian dan menyatakan komitmennya untuk turut serta dalam aktiviti yang seterusnya.

Beliau yang turut menjual buku-buku tulisannya dan rakan-rakan seniman lain berkata, aktiviti mendidik dan santai begini sesuai untuk semua golongan.

"Buku merupakan sebahagian dari hidup saya dan saya akan terus menyokong aktiviti seperti ini. kalau kita fikirkan, buku-buku ini memang penghibur jiwa dan memberi ketenangan.

"Saya haraplah semua orang tak kira berpangkat dan berjawatan besar ke, orang biasa ke, tua atau muda, kita sama-sama meriahkan aktiviti begini.

"Contoh bagi saya sendiri, saya boleh terus terus berjumpa dengan anak-anak yang mungkin teringin nak jumpa saya, tapi tak tahu nak cari saya di mana," kata beliau yang ramah dan murah dengan senyuman.

Salah seorang penjual buku, Syikh Sazli Sabri pula berkata, beliau ingin berkongsi buku-buku yang dimilikinya dengan orang lain melalui aktiviti sebegini.

"Saya biasa tinggal di Eropah dan biasa mengikuti aktiviti begini. Jadi saya nak hidupkan budaya ini di Malaysia. Bila kita beli buku, kita hanya baca sekali dan tak ulang lagi. Jadi apa salahnya saya jual semula dengan harga yang murah untuk dikongsi oleh orang lain pula," katanya yang banyak menjual buku cerita kanak-kanak dari dalam dan luar negara.

Selain jualan buku, pasar buku tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan gurindam oleh penulis Mohd Sidek Mohd Dollah atau nama penanya Mas Adeki, bacaan puisi oleh Prof Siti Zainon dan lelongan buku yang dikelolakan pengacara televisyen, penyelidik dan perunding kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Sumber: Harakahdaily

Friday, October 14, 2011

Berita:Dana RM2 juta sangat bermakna: Pen


BERITA BAIK BUAT PARA PENULIS

SHAH ALAM
- Dana RM2 juta bagi menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf tinggi dalam bahasa Melayu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin disifatkan sebagai sangat bermakna.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena)
, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, penerbitan buku ilmiah tidak mendatangkan pulangan yang lumayan kepada penulisnya kerana tidak popular sedangkan kos penghasilannya sangat tinggi.

“Oleh itu, pemberian dana sebanyak RM20,000 kepada setiap buku yang dihasilkan dapat merangsang semangat sarjana tempatan untuk menulis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas pengumuman Muhyiddin bahawa kerajaan mewujudkan dana RM2 juta melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggalakkan penerbitan buku-buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu bermula tahun depan.

Dana tersebut diwujudkan memandangkan jumlah buku ilmiah dalam bidang dan bahasa tersebut amat terhad.

Mohamad Saleeh berkata, penulisan buku ilmiah dalam bidang sains sosial turut menerima nasib yang serupa, iaitu kurangnya sambutan daripada pembeli sehingga membantutkan usaha penulis dan penerbit menghasilkan buku dalam bidang ini.

Katanya, memandangkan masalah ini tidak ada jalan penyelesaiannya sehingga kini didapati buku ilmiah tidak banyak dapat dihasilkan sedangkan ramai sarjana mampu menghasilkan manuskrip yang bermutu.

“Oleh itu, peruntukan yang serupa hendaklah turut disalurkan kepada penulis buku ilmiah dalam bidang sains sosial juga,” katanya.

Namun begitu katanya, usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya penjawat awam masih gagal untuk memahami Perlembagaan dan keghairahan untuk menonjolkan ‘status yang palsu’.

“Sejak 20 tahun terakhir keghairahan penjawat awam menggunakan bahasa Inggeris sangat ketara terutamanya dalam mesyuarat dan seminar walaupun majlis itu dihadiri oleh orang tempatan atau orang luar yang memahami bahasa Melayu. “Ini menjadikan bahasa Melayu semakin terpinggir dan dipandang rendah oleh masyarakat,” katanya

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, July 6, 2011

Pesta Buku Selangor 2011

Membacalah...


Berhenti seketika dan ambil masa selama 15 minit untuk membuka buku dan membaca. Itulah yang telah dilakukan oleh pengunjung saat mengambil bahagian dalam kempen ’15 Minutes Reading Break’ sempena Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2011, 26 Jun lalu.

Tidak kira usia, pangkat dan bangsa, mereka berkumpul di bawah satu bumbung, iaitu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) untuk menyahut seruan kempen ini.

Merupakan satu inisiatif dalam mendidik rakyat supaya sedar akan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian, program sebegini pernah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebelum ini, di mana ia dilakukan di Taman Tasik Shah Alam dan telah mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Record sebagai ‘The Largest Outdoor Reading Event’ dengan kehadiran 15,271 pembaca. Disebabkan sambutan yang menggalakkan itu, ia dilakukan sekali lagi pada tahun ini.

Kempen ’15 Minutes Reading Break’ bertujuan menjadikan amalan membaca selama 15 minit sebagai saat yang amat bernilai buat seluruh rakyat Selangor. Kempen ini mendapat inspirasi daripada kempen ‘Earth Hour’ di mana ia diadakan serentak di seluruh Selangor dan waktu sasarannya bermula jam 10.45 hingga 11 pagi.

Sempena 26 Jun yang dipilih sebagai tarikh Hari Ilmu Negeri Selangor, pelbagai aktiviti diselitkan selain acara perasmian dan kempen membaca. Ini termasuklah Perhimpunan dan Konvensyen Penulis di mana pengunjung boleh bertemu dengan penulis kesayangan masing-masing.

Konvensyen penulis telah mengumpulkan dan mempertemukan penulis-penulis daripada pelbagai genre penulisan seperti novel, cerpen, komik, majalah dan sebagainya. Malah, wartawan akhbar juga berpeluang untuk menyertai konvensyen ini begitu juga penulis-penulis blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Menurut Pengarah PPAS, Matura Muhamad, penglibatan penulis secara besar-besaran ini merupakan gabungan yang amat sempurna dalam arena pembukuan mahupun perpustakaan sendiri.

“Perpustakaan ingin menjadi hab ilmuwan yang turut mendorong ilmuwan dan karyawan menggunakan kemudahan perpustakaan semaksimum mungkin, di samping berkongsi ilmu yang mereka miliki menerusi bidang penulisan.

“Kejayaan mengumpul pembaca sekali gus mencipta rekod pada tahun lepas menjadi pendorong kepada PPAS untuk mempelawa dan menghargai penulis buku pada tahun ini pula,” katanya.


Pesta Buku Selangor

Bersempena Hari Ilmu ini juga, Pesta Buku Negeri Selangor turut diadakan bermula 24 Jun dan berakhir 3 Julai lalu di tempat yang sama. Ia merupakan penganjuran kali keenam oleh PPAS dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama organisasi seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pelajaran Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kumpulan Media Karangkraf SDn Bhd dan beberapa pihak lagi.

Bermatlamat meningkatkan tahap intelektual dan pemikiran masyarakat melalui pembacaan, pesta buku kali ini menyajikan pelbagai bentuk bahan bacaan yang menarik dan terkini di samping potongan harga istimewa kepada pengunjung.

Pesta Buku berkenaan yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, merupakan usaha murni Kerajaan Negeri Selangor dan PPAS bagi menjadi wadah memupuk dan memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Memandangkan ia hanya berlangsung sekali dalam setahun, kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh pengunjung untuk mendekati dunia pembacaan, di samping mendapatkan koleksi bahan bacaan yang diingini pada harga berpatutan. Malah, kesempatan ini juga digunakan untuk bertemu penulis kegemaran memandangkan peluang sebegini jarang sekali diperoleh.

Pesta buku yang berlangsung selama 10 hari ini melibatkan 70 pihak yang mengambil bahagian dengan 150 gerai dibuka untuk kunjungan. Bilangan pengunjung disasarkan mencecah 350,000 orang.

Sumber; Sinar Harian

Tuesday, October 26, 2010

Berita Menarik:Budaya membaca anggota tentera


Tahniah kepada PERNAMA..!


TERSOHOR sebagai rangkaian kedai runcit dalam kem-kem angkatan tentera di seluruh negara, Perwira Niaga Malaysia (Pernama) kini berusaha mempelbagaikan barangan untuk dijual.

Terbaru, melalui kerjasama dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), Pernama menawarkan koleksi bahan bacaan di rangkaian kedainya.

Menurut Pengurus Besar Pernama, Datuk Ab. Wahab Khalil, 61, penjualan buku-buku tersebut bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan anggota tentera.

“Melalui usaha ini, kami sebenarnya membuka ruang kepada sesiapa yang berminat untuk meletakkan buku-buku mereka di rangkaian kedai runcit kami.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, kami mencapai kata sepakat terhadap kerjasama ini,” ujar Ab. Wahab sambil menambah untuk permulaan terdapat tujuh buah kedai runcit Pernama yang terlibat dalam penjualan buku berkenaan.

Respons

Antaranya di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur; Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor; Pangkalan TUDM Kem Batu 10, Kuantan, Pahang; Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak; Kem Mahkota Kluang, Johor dan Kem Terendak di Melaka.

Koleksi buku terbitan UP&D itu mula dijual sejak bulan Ogos lalu. Bagaimanapun, Ab. Wahab mengakui sambutan terhadap buku-buku yang dijual kurang menggalakkan kerana banyak pihak belum menyedari penglibatan Pernama dalam perniagaan buku.

Namun, ujarnya, penjualan tetap ada terutama buku-buku berkaitan wanita seperti buku resipi, masakan dan jahitan.

AB. WAHAB berharap kerjasama dengan UP&D mampu meningkatkan minat membaca di kalangan anggota tentera.

“Sebagai projek perintis, respons yang kami terima belum begitu ketara. Situasi ini mungkin disebabkan minat membaca yang masih rendah di kalangan anggota tentera.

“Dari semasa ke semasa, kami akan melihat minat mereka terhadap bahan bacaan yang digemari. Dari situ, baru kami boleh meletakkan buku-buku yang mampu menarik perhatian mereka,” jelas Ab. Wahab yang sudah 20 tahun memegang jawatan Pengurus Besar di Pernama.
Ditubuhkan pada bulan Mac 1983, Pernama merupakan perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang menguruskan kedai-kedai di dalam kem tentera bagi pihak kerajaan.

Keistimewaan cawangan kedai Pernama ialah ia berkonsep bebas cukai. Justeru, semua barangan ruji yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Ini salah satu komitmen kami untuk meringankan beban anggota tentera ketika harga minyak di pasaran dunia melambung tinggi satu ketika dahulu.

“Alhamdulillah, ia menerima sambutan yang sangat memberangsangkan,” kata Ab. Wahab. Pernama turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain seperti kedai gunting rambut, siber kafe dan medan selera.

Selain itu, Pernama juga menyediakan perkhidmatan jualan gajet-gajet terkini seperti telefon bimbit, komputer, peralatan elektrik dan motosikal menerusi skim bayaran ansuran tanpa faedah yang tinggi.

Sehingga kini Pernama mempunyai kakitangan seramai 300 orang dan mempunyai 70 cawangan kedai runcit di seluruh Malaysia.

Sumber: Kosmo
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Monday, October 25, 2010

Berita Gembira:PNM promosi Travelog Kembara Buku

Jadikan buku sahabat kita..!


KUALA LUMPUR: Rentetan pengembaraan mengenai perbukuan tempatan dan luar negara termasuk Arab Saudi, Indonesia dan Mesir menerusi Travelog Kembara Buku (TKB), menjadi promosi terbaru dilakukan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam membudaya amalan membaca.

Dokumentari yang bakal disiarkan menerusi TV1, setiap Ahad jam 2.30 petang bermula 7 November nanti, merangkumi 13 episod turut memaparkan mengenai kesan industri buku terhadap masyarakat khususnya di luar negara. Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’ Cruz, berkata menerusi dokumentari itu, orang ramai dapat melihat kepentingan buku dan ilmu yang diamalkan masyarakat luar sehingga mempengaruhi perkembangan tamadun mereka.

“Inisiatif yang diambil PNM dilihat dapat memberi pendedahan kepada remaja yang lebih ‘ketagih’ Internet berbanding buku.

“Menerusi dokumentari ini, generasi muda dapat mempelajari sesuatu terutamanya mengenai Malaysia sendiri,” katanya.

“Kerajaan sentiasa menyokong untuk memastikan industri buku negara berkembang pesat sekaligus dibuktikan melalui pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini apabila sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi dana industri kreatif,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dokumentari TKB, di PNM, di sini, semalam.

Menurutnya, industri buku negara kini menunjukkan perkembangan baik apabila statistik dikeluarkan PNM dari Januari 2009 hingga Jun 2010 merekodkan 729 syarikat penerbitan ditubuhkan.

Sumber: MY METRO

Sunday, October 24, 2010

Berita Menarik:Bahasa Melayu Mampu Satupadukan Kaum

Bahasa Melayu Bahasa Kebanggaan Kita Bersama


KUALA LUMPUR
- Tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan rakyat negara ini selain bahasa Melayu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ini kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami oleh seluruh rakyat negara ini dan dalam aspek menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum seperti di Malaysia penggunaan satu bahasa yang saling difahami oleh semua rakyat adalah sangat penting.

“Justeru dalam konteks negara kita Malaysia, harus kita akui tiada bahasa lain yang mampu menyatupadukan kita selain daripada Bahasa Melayu,” katanya dalam teks ucapan pada Majlis penutupan Program 1Malaysia Sejuta Puisi di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) Datuk Dr Rothiah Omar.

Rais berkata, penggunaan dan pembudayaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian tidak mustahil mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia seterusnya memberi penghayatan lebih mudah kepada gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata tidak mustahil zaman kegemilangan Bahasa Melayu ketika digunakan secara meluas dalam bidang pentadbiran, diplomatik, ekonomi, kesenian.

Wednesday, October 20, 2010

Berita Gembira:Fiesta Buku Kembali Lagi


Jom ke fiesta buku..!





Untuk besarkan peta klik sini: Tempat Fiesta Buku

Kepada peminat-peminat buku terbitan Karangkraf menerusi Alaf21,sekali lagi,Karangkraf mengajak Anda ke Fiesta Buku,dengan temanya Seronoknya membaca..!.

Pada: 29HB Hingga 31HB 2010

Hari: Jumaat,Sabtu dan Ahad

Tempat: ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD
Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16,
40200 Shah Alam Selangor.

JOM MERIAHKAN..MEMBELI BELAH BUKU..!

Tuesday, October 19, 2010

Berita Gembira:Perpustakaan Komuniti Sri Manja berkonsepkan ‘My Second Home’

Gambar hiasan


Oleh: Selangorkini


SHAH ALAM, 18 Okt - Perpustakaan Komuniti Sri Manja yang baru dan dijadual dibuka tahun depan, bernilai RM160 juta, dilengkapi kemudahan lengkap dan canggih.
Ia bakal dibina di Seksyen 13, Shah Alam, berdekatan Kelab Golf Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah. Perpustakaan itu juga bersifat mesra pengguna, kondusif serta berteknologi tinggi dan diharap selaras dengan konsep ‘My Second Home’.

Mengikut Pengarah Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Mahmud, perpustakaan berkonsepkan ‘didik hibur’ ini setanding dengan Perpustakaan Negara Singapura.
“Konsep ‘didik hibur’ ini merupakan gabungan daripada buku-buku sebagai koleksi asas, teknologi IT yang terkini sebagai tuntutan perkembangan semasa dan hiburan atau ‘taman tema’ yang merupakan daya penarik kepada golongan remaja dan kanak-kanak,” jelas Mastura.

Sehubungan itu, pihaknya mahu ‘Wakaf Perpustakaan’ bagi membolehkan masyarakat menderma koleksi buku.

“Apa yang membimbangkan, perpustakaan ada koleksi yang terhad, walaupun Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) diperuntukkan RM1 juta untuk pembelian buku-buku baru, namun setelah dicampur dengan koleksi sedia ada, ia berjumlah 200 ribu naskhah sahaja. Ini merupakan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan buku yang diperlukan bagi mengisi rak-rak yang disediakan,” katanya.

Perpustakaan baru ini mampu menampung 400 ribu naskhah buku dan PPAS memerlukan tambahan 200 ribu buku baru.

Jika diandai kos pembelian sebuah buku ialah RM50 sebuah, sebanyak RM10 juta diperlukan. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor kini mempunyai 92 pusat perkhidmatan di seluruh Selangor. Peningkatan ahli juga kini semakin bertambah dan Selangor menjadi negeri yang mengalami banyak peningkatan.

EXCO Pendidikan, Pendidikan tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali pula menyifatkan suasana yang mesra pengguna, kebersihan dan keselesaan juga antara faktor penting yang ditekankan.

“Idea yang diperkenalkan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana melalui pendekatan ‘My Second Home’, kemudahan kafe, tandas yang bersih, tempat solat yang selesa, perkhidmatan Internet dan multimedia percuma dan koleksi yang BEST akan mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap perpustakaan,” kata Exco Selangor.

Beliau juga menaruh keyakinan terhadap kewibawaan perpustakaan yang menelan belanja RM160 ribu hasil sumbangan kakitangan PPAS sebanyak RM10 ribu dan kerajaan negeri RM150 ribu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha pula berharap orang ramai turut sama memberi sumbangan dalam bentuk koleksi buku.

“Perpustakaan komuniti Taman Sri Manja ini sudah lama dinanti-nantikan kerana di kawasan DUN Taman Medan ini masih belum ada prasarana perpustakaan diwujudkan. Justeru, saya menyokong penuh usaha PPAS mewujudkan perpustakaan komuniti ini.

“Sebagai tanda sokongan, saya menyumbangkan RM20 ribu untuk pembelian buku-buku dan koleksi terkini. Saya harap agar kemudahan yang disediakan secara percuma ini akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Saya juga menyeru masyarakat sekeliling agar sama-sama memantau keselamatan perpustakaan ini,”
tegasnya.

SUMBER:Selangorkini.com

Wednesday, July 14, 2010

Berita Gembira: Program Menyemarakkan Islam Selangor

Jom Semarakkan..!


Dalam pertemuan hari ini aku nak kongsikan satu berita gembira buat seluruh rakyat Negeri Selangor dan pencinta ilmu semua,tentu anda dah tahu berita ini,akhbar Sinar Harian juga ada menyiarkan iklannya,dan program ini juga sudah dua minggu berjalan,apapun aku kongsikan lagi berita gembira ini buat Anda.Di harapkan Anda dapat mewar-warkan berita ini.

Sekali lagi Selangor sebagai negeri berkebajikan membuka lembaran baru,dengan niat yang tulus dan suci untuk melihat Agama Islam terus bersemarak dan menjadi tunjang yang menaungi negeri dan rakyatnya,satu program yang di beri nama PROGRAM MENYEMARAKKAN ISLAM SELANGOR (PROMISE)anjuran Pejabat Exco Hal Ehwal Islam telah di adakan dan akan berlansung setiap hari sabtu.Program akan di mulakan setipa jam 9.00 pagi hingga jam 11.30 pagi,dua penceramah akan di undang untuk memberikan kuliahnya.Tempat program di Perkarangan Muzium Negeri Selangor.

Tahniah buat Kerajaan Negeri Selangor atas keperhatinan,untuk melihat rakyatnya berilmu dan beriman..!

Kepada seluruh penduduk Selangor yang berdekatan dan jauh,marilah hari sabtu yang mendatang kita gunakan masa yang terluang,untuk mengisi minda kita untuk menuntut ilmu dan menadah ilmu dari tokoh ilmuan yang di undang.

JOM MENUNTUT ILMU..JOM SEMARRAKAN ISLAM..!

Sunday, June 20, 2010

Berita Baik:Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan Ke-2 2010

Jom Meriahkanya...

Bagi peminat buku-buku Islam,terutamanya warganegeri Kelantan Darul Naim,meriahkanlah pesta buku Islam antarabangsa kali kedua ini.Jangan lepaskan peluang ini.Jom ramai-ramai cari buku!.Selain itu pelbagai aktiviti dijalankan sempena pesta buku islam ini.Pesta ini di jalankan selama lima hari mulai hari Jumaat hingga Selasa ini(18HB-22HB 2010).

Masih ada peluang dan masa untuk anda sama-sama memeriahkan dan berkunjung ke pesta ini.

JANGAN LEPASKAN PELUANG INI...JOM CARI-CARI BUKU..!

Sunday, June 13, 2010

Berita Gembira:Jangan Lupa..! Pesta Buku Selangor 2010

Pesta Buku Selangor


Sekali lagi aku ingatkan diri aku dan semua pengunjung blog ni,terutamnya peminat-peminat buku semua,Pesta Buku Selangor pada 25HB Jun-5HB Julai 2010.Pesta Buku yang di anjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS) membawakan tema ‘JOM MEMBACA DI MANA-MANA’.Dalam berita akhbar Sinar Harian (Ahad-13Jun 2010),menyatakan 114 gerai terlibat dari penyertaan 55 peserta.Pesta buku ini akan menyajikan pelbagai bahan bacaan menarik dan terkini selain potongan harga,menurut setiausaha Pesta Buku Selangor 2010,Sarwani Abd jalal.Jadi apa lagi sahabat-sahabat semua,Jom kita serbu nanti!.

Apa yang menariknya,usaha yang berterusan ini bagi merealisasikan matlamat ‘knowladge society’ dan seterusnya meningkatkan sosio- ekonomi dan tahap hidup masyarakat.Menurutnya lagi Pesta Buku ini diadakan bagi membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah yang berlaku dikalangan masyarakat…memang cantik sekali bagi aku,usaha ini patutlah di beri sokongan yang kuat dari rakyat semua terutamnaya para peminat dan pencita buku,alihkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dari kalangan remaja kita kepada minat dengan buku.Jadi kena banyakan lagi kempen-kempen suka buku,suka membaca ini..Insyallah kita akan lihat perubahan ini,jika usaha ini di lakukan berterusan.

Pesta Buku Selangor 2010 kali ini,di anjurkan bersama dengan Program Hari Ilmu dan Gerakkan Membaca Perdana,satu kelainan tidak seperti tahun-tahun yang lalu,satu usaha yang menarik bagi aku.Apa yang menariknya Tuanku Sulatan Selangor,Sultan Sharafuddin akan menyempurnakan program ini pada 26 Jun nanti.Di jangka 10,000 masyarakat akan sama-sama menyertai program ini,berkumpul bersama keluarga dan membaca secara santai serta serentak.Program membaca beramai-ramai ini akan di perakui oleh Malaysia Book of Record sebagai ‘Largest Outdoor Reading Event’ di Malaysia.

Apa lagi,sama-sama kita meriahkan program yang sangat bermanfaat ini..Jom Semarakkan!..Membaca Beramai-ramai..!.

Monday, May 31, 2010

Berita Gembira:HARI ILMU DAN GERAKAN MEMBACA PERDANA

Jom Meriahkan..!

Lagi berita gembira buat semua peminat-peminat buku dan Anda semua di luar sana.Jangan lupa sama-sama kita meriahkan;

Tempat : Taman Tasik PKNS, Shah Alam
Tarikh : 26 Jun 2010 ( Sabtu )
Jam : 8.00 pagi – 2.00 petang


1.0 PENDAHULUAN
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor julung kalinya akan menganjurkan satu program yang dinamakan
‘Hari Ilmu & Gerakan \Membaca Perdana Negeri Selangor’ sebagai satu aktiviti membaca beramai-ramai oleh orang awam dan seterusnya dicatatkan didalam The Malaysia Book Of Records.

2.0 OBJEKTIF
2.1 Meneruskan usaha-usaha
merangsang dan mempromosikan budaya membaca;
2.2
Outreach program perpustakaan secara besar-besaran dengan Membaca Bersama Masyarakat
2.3
Membudayakan pembacaan dikalangan rakyat sambil bersantai membaca dimana-mana
2.4 Menderma dan menyumbang bahan bacaan untuk jalinan Persahabatan
2.5 Menggalakkan pihak swasta/korporat melaksanakan program CSR bersama perpustakaan.
2.6 Mempertingkatkan kualiti hidup melalui pembacaan bersama keluarga.

3.0 SASARAN PESERTA
Progam ini mensasarkan seramai 10,000 penyertaan dengan kategori penyertaan adalah seperti berikut:

3.1 Peserta Berdaftar (5,000 orang)
Seramai 5,000 peserta berdaftar yang terdiri dari penyertaan semua jabatan Kerajaan/agensi kerajaan negeri /Pejabat Daerah/ Pihak Berkuasa Tempatan/Badan Berkanun/anak syarikat Kerajaan Negeri/Ahli Dewan Undangan Negeri/Ahli Parlimen/Institusi Pengajian Tinggi (IPTA/IPTS/Kolej Swasta)/ Sekolah-sekolah, Tadika dan Taska, Persatuan-Persatuan NGO/JKKK/Persatuan Penduduk/ Persatuan Belia, Penulis, Penerbit buku, Ilmuan dan badan-badan korporat. (disaran menghantar wakil secara berkumpulan)

3.2 Pengunjung Awam (5,000 orang)
Pihak penganjur juga mensasarkan 5,000 orang awam akan hadir bersama keluarga untuk bersama-sama membaca di sekeliling tasik.

4.0 KONSEP
Keunikan penganjuran Gerakan Membaca Perdana ini adalah melalui beberapa konsep dan pendekatan seperti berikut:

4.1 Bacaan Kegemaran Saya @ My Favourite Book
Setiap peserta berdaftar akan membawa 1 bahan bacaan seperti buku/majalah/jernal/akhbar/ dan lain-lain untuk membaca dilokasi.
Peserta bersantai sambil membaca buku kegemaran masing-masing secara serentak.
ADUN dan Ahli Parlimen akan turut membaca bersama rakyat .
Pengunjung awam, (walk in) dan keluarga boleh memilih untuk duduk dimana-mana lokasi bersesuaian dengan membawa bahan bacaan /tikar/payung/topi/bekalan makanan sendiri sambil membaca.

4.2 Sumbangan Buku /Pertukaran Buku (Book Donation/ Book Crossing)
Disediakan juga kotak-kotak berhampiran pokok-pokok bagi individu membuat sumbangan bahan bacaan seperti buku dan majalah.
Bahan-bahan ini boleh di ambil dan ditukar oleh mana-mana individu yang berminat semasa program dijalankan.
PPAS akan membuat kutipan di akhir program untuk simpanan /rujukan pelanggan perpustakaan.
EXCO/ADUN/Ahli Parlimen /pegawai-pegawai kerajaan/badan korporat yang berminat untuk memberi sumbangan bahan bacaan boleh menyumbang lebih awal bermula pada 1 Jun 2010.

5.0 PENGIKTIRAFAN
Pihak penganjur akan menjadikan program ini sebagai salah satu Program Kemasyarakatan Terbesar Negeri Selangor dengan pengiktiran seperti berikut:
Pengiktirafan oleh :
The Malaysia Book of Records
Tajuk Acara :
Largest outdoor Reading Event in Malaysia
Penyertaan : Peserta berdaftar akan menerima
Sijil Penyertaan berbentuk penanda buku.


6.0 FAEDAH PROGRAM
6.1 Menjadi platform kepada aktiviti penjenamaan semula perpustakaan diseluruh negeri Selangor
6.2 Menyumbang kepada peningkatan keahlian dan pengunjung perpustakaan
6.3 Mendidik individu, bahawa membaca boleh dilakukan dimana-mana sahaja
6.4 Menjadi salah satu daya tarikan kepada para pelancong tempatan dan antarabangsa melalui tour and read.


*Perhatian
Borang Penyertaan akan dikeluarkan pada pertengahan Mei 2010 oleh Urus Setia :
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.
Pegawai untuk dihubungi Suzliana/Fazli/Khairul/Sarwani
Ditalian 55197667 ext 128/106/204

Sumber: Tourism Selangor

Wednesday, May 26, 2010

Berita Gembira:Jom Ke Read Malaysia ‘10

Jom ramai-ramai serbu..!

Pak Nil (Aznil Hj.Nawawi) sebagai duta READ MALAYSIA '10

Aku ada berita gembira nak beritahu dengan anda semua,mesti dah ada yang tahu,yang tak tahu lagi aku nak beritahu ni,kira berita gembira gak lah ni,harap-harap anda semua gembira dengan berita ini.Maklum saja,sebagai peminat buku dan pencinta buku mesti sukakan berita ni..Apa dia..?.Nak tahu sangat ni..

Oklah aku beritahu ni;

PAMERAN BUKU READ MALAYSIA ‘10

Pada: 4-13 Jun 2010

Tempat: Mines Convention Centre (Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa Malaysia)

Alhamdulillah nampaknya usaha kerajaan ni bersungguh-sungguh untuk menggalakkan rakyatnya supaya membaca,macam-macam kempen dah buat,Cuma kita ni sebagai rakyat nak sahut ke tak nak,apa pun syabaslah pada kerajaan yang sentiasa peka untuk melihat rakyatnya berilmu,kalau tak peka takkan lah nak buat perkara ni.betul tak..? Mari kita pakat ramai-ramai ke Pameran Buku Read Malaysia,di jangka 500,000 rakyat akan berhimpun di dunia buku ni…wow..bestnya ni,datang jangan tak datang.

Pada pameran kali ni Pak Nil(Aznil Hj.Nawawi ) telah di lantik sebagai duta READ MALAYSIA,Apa kata Pak Nil.

salah satu usaha untuk menggalakkan anak-anak bangsa menyuarakan pendapat mereka seperti yang selalu Paknil perjuangkan. Paknil mahu anak-anak kita lebih yakin bersuara. Hanya dengan banyak membaca seseorang kanak-kanak itu lebih berani dan tidak ragu-ragu dalam memberi pendapat. Memang jauh berbeza kualiti masyarakat yang membaca dan masyarakat yang tidak membaca.

(untuk nak lebih lanjut apa kata Pak Nil: http://aznilnawawi.blogspot.com/ )

Kalau dah Pak Nil cakap macam tu,apalagi mari sama-sama tanamkan,bukan setakat tanam,budayakan membaca dalam kehidupan seharian kita,baru nanti rakyat Malaysia berilmu dan maju.Apa macam anda? Setuju dengan aku..? Cantik..!.Apapun sama-sama kita manfaatkan pameran ini dan kita doakan sama-sama program ini berjalan dengan baik dan berjaya.Semoga satu hari nanti aktiviti membaca ini sebati dengan kita dan membudaya dalam kehidupan rakyat Malaysia.

JOM MEMBACA…JADIKAN BUDAYA KITA..!

SATU MALAYSIA MEMBACA…SATU MALAYSIA BERILMU..!

Wednesday, May 12, 2010

Berita Gembira:Pesta Buku Negeri Selangor 2010

Keratan akhbar Sinar Harian

Bertemu kembali,hari ini aku nak beritahu berita gembira pada semua pengunjung blog ini,khususnya peminat-peminat buku,petang tadi semasa aku nak pergi kerja (shift petang ) aku beli akhbar sinar,aku hanya berkesempatan membelek-belek akhbar tersebut waktu sebelum balik kerja,baca berita semasa dan tempatan,terbaca lah pulak satu berita yang sudah tentunya mengembirakan hati aku dan mungkin anda yang dah baca berita tersebut.Berita apa?..Pesta Buku Selangor 2010 sasar 400,000 pengunjung.

Begitulah tajuk berita itu,siapa yang tak gembira dengar berita tersebut,rasa tak sabar menunggu harinya,maklum sahaja tahun lepas pergi pun last-last minit,hari terakhir baru pergi,jadi kali ni tak nak miss,mesti pergi awal atau pertengahan,tak pun hari-hari…hu3..banyak duit? Ha2..peruntukan untuk pesta buku nilah…bajet maa..!

Wah..! kali ni sasarannya seramai 400,000 pengunjung yang bakal di jangka mengunjungi Pesta Buku Selangor 2010 berbanding dengan tahun lepas sejumlah 390.961,harap lebih ramai dari itu lagi bagus,kita sempit-sempitkan ruang Kompleks PKNS dengan membeli buku.Kata Exco Selangor Dr.Halimah Ali,Pesta Buku Selangor ini merupakan salah satu agenda utama dari program Gerakan Membaca Peringkat Negeri dan meneruskan usaha menjadikannya kesinambungan kepada Pesta Buku Antarabangsa Kula Lumpur yang di adakan setiap tahun.

Menurut nya lagi sebanyak 55 buah syarikat di jangkakan akan menyertai pameran ini dengan jumlah gerai 114 buah.Wow…bestnya..antaranya Kumpulan Karangkaraf dan Alaf 21 juga turut serta,kita serbu..! Di jangka juga ada beberapa buah syarikat akan memberikan diskaun pada setiap pembelian buku yang di jual,lain-lain aktiviti berkaitan dengan buku akan diadakan di pentas utama kompleks itu.

Pergi Jangan Tak Pergi..Datang Jangan Tak Datang…kita cari buku dan beli buku..! lepas tu apalagi bacalah…

Tapi bila..?..Oppss..! ye tak ye juga..lupalah pulak nak bagitahu tarikhnya,Insyallah akan diadakan pada tarikh 25 Jun hingga 5 Julai 2010,ini bermakna selama 10 hari Pesta Buku Selangor berlangsung..:).

Anda teruja?..aku pun,jadi JOM KEPESTA BUKU SELANGOR 2010.

DEMI MASA