Followers

Wednesday, February 26, 2014

Saya, Abuya Dan Abang Polis




Tahun 2008, ada beberapa kenangan yang indah buat saya waktu itu, hingga kini kenangan itu tidak luput dari ingatan ini, ia masih terbayang-bayang di ruang mata ini. Sampai bila-bila pun tidak akan saya lupakan kenangan ini. Harapan dan impian sejak saya bersekolah rendah lagi dengan izin Allah SWT, impian dan harapan itu termakbul.

Bertemu dan ziarah tokoh yang sangat kontroversi waktu itu dan kini pun namanya masih disebut-sebut sama ada pujian mahu pun kutukan, kejian jua cemuhan. Tokoh tersebut adalah Ustaz Ashaari Muhammad bekas pemimpin Al-Arqam sebelum diharamkan, beliau pun sudah meninggal dunia (al-fatihah), sudah menjadi kenangan buat saya, juga tentunya buat mereka yang seiring sejalan dalam perjuangan yang mereka ikuti sewaktu dulu. Saya cuma mengikuti perkembangan dan simpati apa yang berlaku.

Kisah ini sengaja saya tulis kembali di sini, kerana dari sisi lain ada cerita menarik lagi yang saya ingin kongsikan dalam kesempatan ini. Selepas kami sembang-sembang dan dihiburkan dengan dua buah lagu nasyid oleh anak-anak Abuya, maklum waktu itu kita baharu sahaja merayakan hari raya aidilfitri, mood raya masih ada, anak-anak Abuya menghiburkan kami dengan lagu-lagu raya secara live. Saya sempat mengambil video untuk kenangan. Seorang anggota keselamatan yang hadir juga merakam suasana pada malam tersebut.

Selesai kami bertemu abuya di biliknya, kami terus dijamu dengan pelbagai macam juadah, juga ada air minuman ikhwan, di ruang tamu rumah besan Abuya, saya hanya jamah sedikit kerana selepas itu kami akan dijamu pula oleh anggota keselamatan yang hadir bertemu abuya kerana menjalankan tugas, saya dimaklumkan ketika itu, bila Abuya ke mana-mana negeri anggota keselamatan dari cawangan khas tempat tersebut akan membuat lawatan ke tempat Abuya transit.

Sembang Santai Di Medan Ikan Bakar

Sekitar jam 10.15 malam kami bertolak ke Medan Ikan Bakar. Sampai sahaja, semua hidangan sudah tersedia ada, kami mengambil tempat masing-masing. Macam-macam ada, biasalah namanya medan ikan bakar, mesti ada ikan bakar macam-macam jenis. Kami menikmati dengan penuh selera lagi kerana tempat kami hampir dengan pantai, alunan angin yang lembut menyelerakan sekali.

Sambil makan-makan masing-masing berbual bicara, saya mengikuti penuh minat, maklum pertama kali makan-makan, sembang-sembang dengan anggota keselamatan dan anak-anak buah Abuya. Seorang anggota keselamatan, berbadan agak gempal bercerita tentang tugas yang dilakukan, pengalaman menangkap penjenayah dan operasi-operasi yang dijalankan sangat menarik sekali.

Sesekali beliau ditugaskan untuk merisik dalam program berkaitan parti pembangkang. Beliau pernah berjubah dan berserban semata-mata menjalankan tugas yang diamanahkan. Setiap program parti pembangkang beliau akan hadir, itu semua kerana tugas katanya. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham apa yang diceritakannya.

Seorang lagi anggota keselamatan bercerita tentang pengalamannya untuk menangkap seorang aktivis parti, katanya aktivis ini sangat licik sekali, susah untuk ditangkap. Aktivis ini seolah-olah tahu dan boleh menghidu bila ada anggota keselanmatan yang mengekorinya. Saya mendengari dengan penuh minat sekali, dalam hati waktu itu begitu sukarnya tugas polis rupanya.

Lebih menarik lagi bila anggota keselamatan itu kata, Malaysia yang menyebabkan berlaku kecoh atau huru-hara ini disebabkan orang itu (Anwar Ibrahim), waktu itulah. Saya tidak berkata apa-apa, hanya senyum sahaja. Telinga mendengar, mulut masih meratah ikan bakar yang masih ada. Rasa kenyang tak terkata...Syukur Alhamdulillah, kawan yang di sebelah bersembang dengan mesra sekali dengan adik abuya, kalau tidak silap saya Inaam Mohammad namanya.

Selepas bersalam-salaman, mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan tersebut  dan anak-anak buah Abuya, kami bertiga bertolak malam itu juga ke Selangor. Saya dengan penuh syukur dan nikmat Allah SWT yang tidak terhingga, kerana segala cita, impian dan harapan sudah termakbul...ia menjadi kenangan yang cukup indah hingga ke saat ini.


Ini merupakan cerita dulu-dulu yang masih dalam ingatan, hajat puluhan tahun ketika itu tertunai sudah, saya berterima kasih banyak pada Syeikh Dr.Abdul Hamid Bin Sujak dan sahabat sekerja waktu itu saudara Hasbullah, tanpa mereka mungkin hajat untuk bertemu pemimpin penuh kontroversi itu tidak saya temui.

Sekian adanya...

Tuesday, February 25, 2014

Buntu Tiada Idea Menulis


Entahlah aku pun tak tahu apa yang aku mahu coretkan dalam kesempatan ini. Rasa tidak punyai idea untuk dikongsi. Aku cuba mencari-cari idea untuk penulisanku kali ini. Biar pun kelilingku banyak buku-buku yang boleh dirujuk namun entah mengapa segalanya seolah-olah buntu, kaku dan tidak ada satu pun yang mahu diperlaku.

Aku terus coba dan mencoba agar tertulis sesuatu di lembaran kertas kosong ini. Begini rupanya bila buntu kering idea untuk menulis sesuatu. Tiap kali mahu difikirkan mahu tulis apa, langsung tidak mahu timbul apa-apa di benak fikiran ini. Jadinya aku hanya menulis apa-apa sahaja yang terfikir di minda ini.

Aku tahu aku bukan seorang penulis besar, cuma suka-sukaan, Cuma mahu belajar-belajar menulis bagi mahu meluah apa sahaja yang terfikir di relung hati ini. Menulis, menulis dan terus menulis ingatan ku pada beberapa bulan yang lalu tentang dorongan seorang penceramah penulisan agar menulis berterusan, jangan difikir apa salahnya dahulu yang penting terus menulis.


Ya, menulis, menulis apa sahaja yang terluah di benak masing-masing. Sehari ke sehari aku cuba, cuba dan cuba lagi. Benar sunggung berkesan rupa-rupanya, ia harus berterusan, jika tidak bakal lemah semangat lagi. Menulis juga perlukan semangat, diri harus dipaksa agar terus-terusan menulis, apa yang pastinya waktu dan kesempatan mesti perlu ada.

Ruang waktu yang kosong tanpa ada apa yang mahu dimanfaati perkara lain, baik diambil untuk menulis sesuatu. Tidak rugi apa-apa, cuma sediakan perkara-perkara yang mahu ditulisnya. Masing-masing punya gaya penulisan berbeza, namun juga matlamatnya cuma satu, mahu berkongsi ilmu yang sedikit, juga pengalaman barangkali khalayak bisa memanfaati apa yang ditulisi.

 Justeru itu, apa sahaja tulisan yang dihasilkan pastinya nanti akan menjadi bahan fikir bagi yang mahu membacanya. Maka dari itu, tulis perkara yang baik-baik, yang mana nanti segala tulisan yang dinukilkan dapat dipertimbang sebagai hasil tulisan yang punyai manfaatnya. Jadi siapa bilang kita tidak bisa menulis. Nah, sekarang bukankah sudah boleh menulis.

Tadinya tidak ada idea apa-apa tapi kini sudah panjang berjela, sudah menjadi satu bicara tentang penulisan. Sungguh, kita perlu memerah otak kita untuk mendapatkan idea penulisan. Idea boleh dicari dan dikerah perah dari otak. Apa sahaja mahu ditulis pasti dan pasti akan menjadi. Katanya yang sudah pakar “tulis sahaja...apa-apa sahaja..”.

Wah, aku tulis persis macam gaya orang indon si, bagaimana si boleh jadi beginian. Entah tiba-tiba sahaja macam tulis lenggok bahasa indonesia. Apa pun, inilah tulisan merapu aku pada pagi rabu ini. Entah betul atau tidak aku pun tidak tahu. Saja-saja mahu mahirkan menulis laju, maklum guna laptop, kalau guna pen mungkin lagi laju sikit.

Tulisan ini sekadar latihan saya, tanpa ada persediaan dan rangka-rangka persedian untuk menulis. hasilnya seperti di atas. Jika sudi baca, bacalah, jika tidak, abaikan sahaja. Demikian adanya...


Sekian.

Monday, February 24, 2014

Setakat Febuari 2014



  
Alhamdulillah setakat hari ini 17 buah buku sudah selesai dibaca, tinggal 3 buah buku untuk bulan januari belum dibaca lagi. Insyallah dalam minggu ini ketiga-tiga buku tersebut akan diselesaikan, itu pun jika ada masa yang terluang.

Bagaimana sahabat semua, sudah berapa buah buku setakat ini?. Saya yakin sahabat lebih dari saya.

Harap-harap masa yang ada tidak dibuang begitu sahaja, apa yang penting kerja yang lain selesai dahulu. Lepas itu mahu baca sampai jemu pun tak mengapa.

Jemu?. Takkanlah jemu, baca status di fb pun tak pernah jemu, takkanlah baca buku jemu. InSha Allah...kejemuan tidak akan bertunjang di hati jika kita sudah biasa akrab dengan buku. Cuba tengok, buku-buku di rak-rak buku sahabat. Pasti mengundang ghairah untuk membacamya.

Semoga terghairah dan termotivasi.

JOM BACA BUKU.

Sunday, February 23, 2014

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi



Setiap insan yang punyai hati nurani yang bersih suci pasti inginkan kasih sayang terjalin penuh aman dan harmoni. Hidup saling bantu-membantu, hormat menghormati, dan penuh saling percaya mempercayai, tanpa ada prasangka buruk antara satu sama lain. Itulah manis dan indahnya kehidupan yang dilatari dengan kejujuran dan keikhlasan antara satu sama lain.

Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum, justeru itu keharmonian dan keamanan yang wujud sekarang merupakan satu elemen penting yang harus mesti dipertahankan oleh setiap warga penduduknya. Biar apa sekalipun yang melanda, setiap kaum yang wujud ini mestilah bertanggungjawab mempertahankan keharmonian sesama warga.

Melayu, India, Cina dan warga bangsa dari sabah dan sarawak sama turut mengharmonikan hubungan kaum sesama kita. Inilah harapan yang kita mahukan, biar pun ada segelintir dari mereka yang seolah-olah menunjukkan tidak kesenangan dengan kaum lain, atas dasar perbezaan politik, namun kita sebagai warga yang cerdik dan celik atas permainan kotor golongan tersebut, haruslah kita menjauhi provokasi tersebut.

Seolah-olah mereka mahu mengkucar-kacirkan perpaduan yang sedang terjalin dengan harmoni ini. Mereka tidak pernah senang dengan perpaduan ini selagi tidak dapat dipecah berantakan oleh mereka. Namun sebahgian warga sudah faham atas permainan licik bodoh mereka untuk melaungkan isu perkauman yang tiada kesudahannya. Jelas kepada kita, mereka berbuat begitu kerana hanya memuaskan nafsu mereka dan atas konon memperjuangkan hak satu-satu kaum.

Justeru itu, marilah semua warga kaum yang bijak menilai apa yang berlaku dipersekitaran hidup kita, sama-sama berjuang dengan penuh kasih sayang bagi mempertahankan perpaduan kaum ini terus terjalin dengan penuh realiti dan yang pastinya bukan sebuah mimpi.

Inilah yang saya maksudkan dalam lewat sajak yang saya nukilkan beberapa minggu yang lalu. Di sini saya nukilkan kembali sajak tersebut di bawah ini;

Perpaduan Sejati Bukan Mimpi

Negara aman perpaduannya harmoni
baik dalam negara mahupun negeri
rakyatnya berganding bahu bersatu hati
demi kasih sayang cinta mencintai.

Tiada sengketa, irihati jua benci membenci
setiap budaya , bangsa, agama saling mempercayai
menjaga hati sanubari jua sentiviti
bekerjasama tolong bantu sungguh toleransi.

Baik melayu india cina serani jua benggali
setiap perayaan saling sama rasa dirai
saling bersalaman muhibbah memupuk silaturahmi
sudah sering menjadi budaya murni sebati.

Kita bina negara atas nama demokrasi
tiada siapa diantara kita dilupai dan diketepi
itu agenda sudah termaktub dalam kitab hak asasi
saling tunduk patuh undang-undang dihormati.

Wujudnya satu yang pasti realiti bukan fantasi
kerna ia satu harapan sejati suci murni
kelak negara jua negeri makmur dipunyai
inilah perpaduan sejati realiti bukannya mimpi.

Masshah 2013
Bili buku
Meru

(31012014- Jumaat- 9:39pagi)

Akhirnya, semoga perpaduan di antara kita semakin hari semakin indah dan harmoni, Jangan sesekali kita cemari dengan perkara-perkara yang boleh menguggah keharmonian ini.

Selamat membaca.

Tuesday, February 4, 2014

Kursus Penulisan Artikel Dan Berita 2013




Perkongsian Tentang Bagaimana Persediaan Menulis Sesebuah Artikel

Selesai ucapan dan memperkenalkan sedikit tentang biodata dirinya, Wak Saring terus kepada agenda seterusnya, memberi penerangan tentang bagaimana sesebuah artikel itu disediakan, disamping itu juga beliau menyelitkan pengalaman-pengalaman yang beliau lalui dalam dunia kewartawanan dan dunia penulisan masa lalu.

Untuk sesebuah artikel yang hendak ditulis, beliau menekankan agar setiap penulis mengenal pasti dahulu jenis rencana atau artikel yang hendak ditulis. Antara yang boleh dipilih untuk dijadikan rencana artikel penulisan;

1) Rencana berbentuk evergreen-ia boleh ditulis dan diguna bila-bila masa, ia lebih selamat. Contohnya penulisan tentang pembangunan desa.

2) Rencana berbentuk perjuangan, semangat kebangsaan, politik, agama. Ekonomi,sejarah, sastera, budaya, hiburan dan pelancongan.

Beliau berpengalaman dalam bidang ‘Travel Writer’ selama 9 tahun (1994-2003), beliau amat mengalakkan kepada kami berkaitan penulisan pengembaraan ini. Baginya ia memberikan pulangan yang agak lumayan, disamping meluaskan pengalaman sebagai seorang penulis.

3) Rencana Lawatan dan Pengalaman Perjalanan

Namun begitu terpulang kepada minat masing-masing tentang apa jenis rencana yang ingin ditulis oleh setiap penulis. Begitu pun semasa melaksanakan tugas-tugas penulisan perlu dielakan dari menulis rencana yang berbaur atau berbentuk fitnah, pembohongan dan ketidakjujuran.

Membuat rujukan melalui buku-buku atau pun rencana dari akhbar, majalah juga merujuk kepada yang berkaitan tentang apa yang sedang kita tuliskan. Menurutnya lagi, penulis perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang apa yang sedang ditulisnya. Seperkara lagi beliau mengingatkan kepada bakal-bakal penulis, tentang fakta dalam penulisan.

Menulis perlu berdasarkan fakta benar dan bukan auta( andaian sahaja), yang mana ia dapat dipertanggungjawabkan sekiranya ada pihak tertentu membawanya ke mahkamah. Penggunaan nama samaran juga perlu dalam penulisan rencana, namun begitu, nama dan alamat perlu dilampirkan untuk rujukan pengarang majalah atau akhbar. Ini bukan bermakna seseorang penulis itu takut, mungkin ada beberapa perkara yang tidak mahu diketahui umum.

Beberapa perkara yang beliau lontarkan dalam penerangan di atas merupakan ‘guide line’ yang beliau praktiskan dalam penulisan rencana, beliau tidak memaksa para peserta mengikutinya. Masing-masing mempunyai idea yang berlainan dalam melakarkan penulisan mereka. Apa pun baginya, menulis perlu berterusan tanpa ada rasa jemu.

Harapan Saya

Insyallah, panduan yang diberikan oleh Wak Saring akan saya gunakan dalam penulisan yang sedang saya pelajari dan ushakan ini. Pengalaman yang banyak oleh beliau memberikan suntikan motivasi buat diri saya. Mudah-mudahan Allah SWT terus membimbing saya untuk terus tidak rasa jemu menulis apa-apa sahaja perkongsian ilmu yang sedikit ini kepada para sahabat semua.

Sekitar jam 1, kami berhenti untuk berehat, makan tengahari dan seterusnya bersolat zohor di dewan Masjid Negeri Shah Alam.


Catatan: Tulisan ini berdasarkan nota yang diberikan pada kami.


Sunday, February 2, 2014

Koleksi Sajak Entah Apa-Apa Entah (2): Sajak Pasca Reformasi






Tentang Koleksi Sajak Entah Apa-Apa Entah; Koleksi Sajak Pasca Reformasi-Kemuncak kesombongan dan keegoan sang penguasa.

Melalui penulisan pengenalan ringkas ini, mudah-mudahan dapat difahami oleh para pembaca. Catatan ini merupakan catatan dalam era pemerintahan Tun Mahathir, ketika itu perasaan marah, benci, geram, meluat dan pelbagai perasaan tentang pemerintahan sangat dibenci oleh sebahgaian rakyat Malaysia ketika itu. Selepas pemecatan Dato Sri Anwar Ibrahim, berlakulah era reformasi yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim.

Suhu panas politik semasa ketika itu amat membahang, demontrasi di sana-sini. Ceramah-ceramah dianjurkan oleh penyokong Anwar Ibrahim berlaku di seluruh negara, begitulah kemuncaknya permusuhan politik Anwar dengan Mahathir. Perpaduan Melayu tergugat lebih-lebih lagi UMNO yang menunjangi kerajaan waktu itu. Mahathir tidak berdiam diri. Dengan menggunakan segala kemudahan instrumen kerajaan bagi menyahkan gelombang reformasi Anwar Ibrahim.

Kemuncak itulah, dari setahun ke setahun, keegoan dan kesombongan bagi pendapat penulis rakyat biasa ini, Mahathir makin terserlah keangkuhannya. Segala media elektronik dan media cetak sepenuhnya digunakan untuk memberi gambaran yang jelak terhadap para reform, khususnya serangan ke atas Anwar Ibrahim. Biar pun ketika itu Anwar sudah di I.S.A kan, namun pihak rejim tidak pernah puas, jika boleh watak Anwar dimatikan, kemungkinan ada perancangan untuk itu.

Semua yang berlaku ini, sangat menekan sebahgian rakyat, juga terhadap diri penulis secara pribadinya. Sebab itu lahir catatan-catatan yang mengecam, membidas, memperleceh, makian, memperbodoh setiap tindakan rejim. Catatan ini menghasilkan tulisan yang sangat anti pada rejim. Penulis melihat keadaan itu pada waktu itu, wajib ditentang. Malah rejim sangat zalim dan menindas rakyat. Sesiapa yang melalui waktu itu pasti mengerti.

Namun begitu kebencian itu bukanlah pada sosok tubuh sang penguasa itu, tetapi lebih kepada sikap dan tindak tanduk yang sangat tidak bertamadun yang dilakukan oleh sang penguasa, pemikiran yang sonsang terhadap agama sangat menjengkelkan, mana tidaknya jika agama dan sunah nabi boleh dipermainkan, malah seolah-olah agama hanya diakal-akalkan. Malah kebiadapannya itu tidak ditegur oleh para penasihat di sisinya. Mereka seperti saiton bisu, bungkem berterusan dan sangat menghodohkan.

Sehingga kini pun, usaha-usaha menuntut perubahan tetap berlaku, PRU tahun 99, PRU tahun 2004 (Zaman Pak Lah), PRU 2008 dan PRU 2013 telah memperlihatkan kepada kita bahawa perubahan telah berlaku sedikit demi sedikit bahkan amat mengejutkan rejim. Kini rejim sudah beralih tangan, namun Mahathir masih ada lagi, kecelaruan pandangan beliau makin ketara, namun cengkamannya masih berkuku. Nafsunya masih besar. Masih tidak ada perubahan pada dirinya untuk tidak mencampuri urusan negara.

Itulah Mahathir, dulu kini dan selamanya masih begitu, catatan-catatan dalam koleksi ini banyak menyentuh tentang Tun Mahathir. Penulis bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis.

Di bawah ini, undian tentang adakah Tun Mahathir seorang Diktaktor?. Keputusan ini... bagaimana pandangan anda?, kaitkan dengan catatan penulis dalam koleksi ini. Adakah ada kebenarannya. PRO dan KONTRA...







Namun begitu, penulis tetap mendoakan agar Tun Mahathir beroleh hidayah dari Allah SWT, melihat umurnya yang sudah menjangkau 80tahun lebih. Mudah-mudahan dalam usia begitu beliau dapat bermuhasabah. Itu pun jika beliau insaf dan sedar.

Sekian.


DEMI MASA