Santapan tengahari
kami dihidangkan dengan Nasi Ambeng Bungkus, seorang sebungkus, memang terlalu
banyak, dalam hati, boleh habis ke ni..., sambil makan kami santai-santai
berborak dibawah pokok cempaka yang rendang dihalaman belakang Galeri Sanggar
Damai Abadi. Ya, bagi saya sangat menyeronokkan, sambil makan boleh menimba
ilmu dari orang-orang yang bijak dan banyak pengalaman. Berbual sambil
bertukar-tukar fikiran sedang mulut menikmati nasi ambeng.
Mendengar cerita
dari seorang pelukis yang banyak pengalaman dalam perjalanan beliau ke
Australia sangat mengujakan. Saudara Gahfur sangat terkesan hatinya melihat
perkembangan Islam di Australia, terutamnya di Syadney, menurutnya terdapat 155
buah masjid diseluruh Bandaraya Syadney. Wajah Islam terserlah di kota syadney,
pelbagai bangsa terdapat di sana. Antaranya orang Turki, Pakistan, Bangladesh,
Arab dan penduduk Syadney sendiri yang beragama Islam.
Hidup yang serba
kecukupan di sana menurutnya, membuatkan umat Islam di sana lebih terserlah
pengamalan ajaran Islam. Mereka lebih banyak berbicara yang lebih bermanfaat
dan falsafahnya sangat tinggi. Tidak seperti kita di sini, yang masih dalam
keadaan tertekan dengan bebanan kos hidup yang tinggi dan pelbagai lagi karenah
kehidupan yang mencengkam. Beliau merancang ingin menulis tentang pengalamanya
di Australia. Sudah pasti sesuatu yang menarik akan dikongsikan lebih banyak
lagi oleh beliau.
Sedang kami
berbual-bual, Dr.Ghaffar datang ke meja kami, turut membawa sebungkus nasi
ambeng untuk disantapinya. Dr mencelah perbualan kami, bercerita tentang
asal-usul keturunan. Pernah suatu masa, beliau ke Indonesia untuk menjejaki
tempat-tempat yang dicarinya, semua apa yang disebutnya ada di sana. Begitulah
banyaknya pengalaman penulis seperti beliau, dengan mengembara di negara orang
mencari pengalaman.
Sedar tak sedar,
nasi ambeng sudah makin sedikit, mendengar celoteh mereka berdua, antara
saudara Ghafur dengan Wak Saring sungguh menarik sekali, sesekali saya mencelah
sedikit, angguk tanda setuju, itu yang saya mampu buat, pengalaman tak banyak
mana untuk dikongsi, saya sekadar menjadi pendengar yang setia. Saudara Gahfur,
beransur dahulu, menuju ke Surau Janghidin, tinggal saya dan Wak Saring ketika
itu.
Pengalaman Wak
Saring pun tidak kurang hebatnya, beliau menyambung semula cerita tentang
penyelinapan atau penyusupan misi gerakan kristian dan yahudi di negara kita.
Namun amat mengecewakan beliau, perkara ini tidak ditangani dengan
sungguh-sungguh oleh mereka yang di atas. Juga dengan golongan-golongan
agamawan yang asyik dengan perkara-perkara remeh temeh menurutnya.
Padahal, perkara
inilah yang sepatutnya dibendung, kerana ia lebih bahaya. Misi mereka sudah
merebak dan bersemarak di mana-mana. Licik, halus dan tersusun rapi gerak-kerja
mereka menurut Wak Saring. Bukannya menimbulkan perselisihan yang remeh-temeh
hingga perpaduan antara kaum tergugat dan juga perbezaan mazhab
dibesar-besarkan. Begitulah menurut pandangan Wak Saring.
Dalam usia
sebegitu, Wak Saring masih bersemangat untuk menceritakan kepada kami, beliau
pernah memasuki ke gereja, malah lagu mingguan mereka Wak Saring hafal, malah
Wak Saring cuba melagukannya untuk saya, saya hanya tersenyum, mungkin itu
tugas Wak Saring ketika itu untuk melakukan tugasnya. Demi tugas apa pun boleh
buat, yang penting berani.
Saya juga ada
memberitahu pada Wak Saring, saya hanya tulis dalam blog, tulis pasal pandangan
politik secara pribadi apa yang berlaku di negara kita, sekadar pandangan orang
kecil dan biasa-biasa sahaja. Wak Saring kata., baguslah, tulislah,
tulislah...itu katanya. Bila menatap wajahnya dalam-dalam, terasa rugi,
kenapalah saya lambat sangat bertemu dengannya. Bukan apa, dulu-dulu saya
pernah dengar nama Ismas Saring@Wak Saring tapi tak tahu siapa orangnya.
Pernah satu masa,
ada konsert kebudayaan Islam di Dewan Serbaguna MPK Meru, saya terlihat kelibat
seorang tua, pakaian biasa-biasa, rambut agak panjang, pakai topi kaberat. Masa
itu saya tidak tahu siapa beliau, semasa kursus penulisan itu baharulah saya
tahu itulah Wak Saring. Orangnya yang sentiasa merendah diri dan low profile.
Orang jawa, duduk di Pekan Kapar rupanya. Ketika itu, sesekali kami bercakap
bahasa jawa. Maklum orang jawa jumpa orang jawa... Ngomong jowolah...!.
Selesai juga
menghabiskan nasi ambeng sambil berbual-bual, Wak Saring hanya separuh habis,
maklum orang muda dengan orang yang sudah berusia, seleranya sangat berlainan.
Syukur, ilmu dapat, kenyang pun dapat, berbaloi-baloi rasanya. Sudah ketentuan
Allah, bukan kebetulan, ingat tu, pesan Dr.Ibrahim Ghaffar.
Kami pun
bersalaman, “ Kapan-kapan dolanlah umah...”, Pelawa Wak Saring, “Insyallah
Wak...”, jawab saya. Wak Saring mahu pulang dahulu, saya terus menuju
ke Surau Janghidin.
Ya, itulah
pengalaman indah saya bersama Wak Saring, makan nasi ambeng sama-sama dan
berbual-bual di halaman belakang Galeri Sanggar Damai Abadi di bawah pohon
cempaka.
Pertama Kali Solat
Di Sini
Ini juga bukan
kebetulan, tetapi ketentuan Allah SWT, yang hari ini saya direzekikan solat di
Surau Hj Janghidin. Mungkin jika saya tidak menyertai bengkel penulisan ini,
sampai bila pun rasanya saya tidak menjejaki surau ini. Selama ini hanya lalu
sahaja bila ke Batu 8. Ya, ketentuan Allah SWT. Melihat-lihat wajah-wajah ajk
surau, ada yang kenal dan tidak pada carta organisasi. Banyak juga aktiviti dan
pengajian di surau ini, bisik hati saya.
Akhirnya dapat rasa
juga masuk surau itu. Seusai solat, menuju keluar dari surau tersebut, saudara
MBA, peserta kursus menyapa saya. Beliau memberitahu berkenaan virus yang
menghinggapi pendrive saya. Setiap penulisan yang kita buat kena ada salinan,
simpan elok-elok, bila ada masalah tidaklah kesemua data-data penulisan kita
hilang. Ya, sungguh, nasihat berguna dari seorang penulis untuk bakal penulis (konon-kononnya)
Pernah satu masa,
saya cuba menulis sejarah hidup saya, ala-ala memoir begitulah konon-kononnya,
dari mula lahir, hinggalah saat yang ada ini. Sudah beberapa persen
penulisannya, tetapi entah mengapa, tiba-tiba fail dalam komputer tidak dapat
dibaca, begitu dengan salinanya di pendrive. Rasa lemah seluruh raga, mana
tidaknya, setiap malam bersengkang mata untuk menulisnya, tiba-tiba hilang
begitu sahaja. Alangkah terkilannya waktu itu. Entahlah, agaknya begitu juga
pengalaman penulis lain pernah mengalaminya.
Sambil berjalan
menuju ke Galeri Sanggar Damai Abadi, kami berbual, saya bertanyakan pada
beliau berkenaan penulisan buku. Wah...beliau sudah tulis buku dalam sepuluh
buah. Beberapa buah diterbitkan sendiri seperti buku ‘Travelog Jepun’ dan
‘Travelog German’ serta yang lain-lain terbitan karangkraf dan PTS.
Bila beliau
bertanyakan saya tentang penulisan, saya memberitahunya, saya hanya sekadar
menulis diblog dan juga di Portal eSastera.com. Rupa-rupanya beliau
menyelenggara bahagian Haiku, sajak jepun beberpa tahun yang lalu. Begitulah
indahnya pengalaman seorang penulis seperti MBA, berpengalaman luas bekerja
dengan kerajaan serta banyak pengalaman di luar negara.
Apa yang saya
sedang tulis ini juga adalah pengalaman, ya... saya sedang bercerita pengalaman
saya ketika berkursus penulisan. Untuk pengalaman ini dapat dikongsi para
pembaca maka saya pun menulis pengalaman ini. Perkongsian pengalaman yang
sedikit ini, mudah-mudahan ada nilai motivasinya kepada diri saya juga kepada
para pembaca.
Sesi Petang
Kemuncak Dari Kursus Penulisan
Biasalah, setiap
yang awal akan berakhir. Ianya pasti akan meninggalkan nostalgia yang manis
buat para peserta. Tidak ketinggalan juga dengan saya. Pengalaman menghadiri
kursus tersebut sungguh banyak memberi manfaat kepada diri, yang sesungguhnya
memang selama ini saya cari-cari. Ia amat berbaloi untuk diri sendiri. Ia akan
saya jadikan sumber suntikan motivasi diri seperti yang saya nyatakan pada awal
penulisan di atas.
Sekitar jam 4.15
petang majlis berakhir dengan kata-kata penutup dari Saudara Ilhami (nama
pena), agar segala apa yang dapat pada hari ini dimanfaatkan dalam
kerja-kerja penulisan. Tugas menulis tidak akan terhenti selagi diri seseorang
itu masih wujud dan ia akan berterusan dan berterusan selagi terdaya.
Seperti biasa,
dalam kursus apa sahaja sudah pasti ada sijil sebagai penghargaan setiap
peserta dari pihak penganjur. Bagi saya sesuatu sijil itu diberikan pada para
peserta merupakan satu motivasi agar para perserta bersemangat untuk
melaksanakan apa yang telah diterima dari kursus tersebut.
Jika kursus
penulisan, maka rangsangan menulis akan terus berkobar-kobar bila melihat sijil
yang diterima. Jangan pula, sijil berjela-jela, lengkap lekat di dinding tetapi
satu pun tidak ada apa yang ditulis. Untuk diri sendiri, itu adalah ingatan
yang mesti dipegang, jangan sampai lali. Tulis dan terus menulis, menulis sms
pun menulislah tu...
Sesi bergambar,
juga satu kenangan manis antara para peserta. Ia akan menjadi nostalgia juga,
boleh ditatapi pada satu-satu masa. Kami bergambar dan pada akhirnya kami
bersalama-salaman tanda antara kami akan berpisah sementara, umur panjang
masing-masing boleh bejumpa lagi. Tidak berjumpa di alam nyata, jumpa di laman
maya pun tidak mengapa, dunia sempadan yang tiada batasannya.
Dalam kesempatan
penulisan ini, saya ingin mengucapakan ribuan terima kasih kepada saudara Tuan
Ismail Hashim@Ilhami, dengan wadah IBHKHIDMATnya saya telah dapat menyertai
bengkel penulisan ini. Juga pada Tuan Dr.Ibrahim Ghaffar dengan pengalamannya
dan ilmu-ilmu yang diberikan kepada saya dan para peserta, insyallah akan
dimanfaatkan dalam kerja-kerja penulisan kami nanti. Juga cenderahati dari Dr
sebuah salahsilah para Nabi dan Rasul hasil dokumentasi beliau kami terima
dengan besar hati.
Saudara MBA juga menghadiahkan sebuah buku hasil penanya
‘Travelog Jepun’sebagai tanda persahabatan barangkalinya. Moga terus sukses
dengan kerja-kerja penulisannya. Tidak ketinggalan Wak Saring, dengan
perkongsiannya. Semoga Wak Saring terus sihat sejahtera.
Akhirnya berjaya
juga menghabiskan kursus penulisan sehari suntuk di Galeri Sanggar Damai Abadi,
Syukur Alhamdulillah...Terima kasih Ya Rabb...!, sebelum pulang ke rumah saya
singgah di surau untuk menunaikan solat asar yang kebetulan sudah masuk waktu ketika
itu...
Kepada rakan-rakan
penulis dan peserta, yang mungkin tetanya-tanya mana sambungan pada episod lalu
berkenaan pengalaman penulisan saya. Nah...kini sudah selesai penulisan saya
ini untuk dikongsikan kepada rakan-rakan semua. Sudi kiranya membaca catatan
yang tidak seberapa ini. Kurang lebih mohon dimaafi, yang baik dari Allah, yang
kurang adalah dari saya yang daif ini. Insyallah bertemu kembali dalam
penulisan pengalaman semasa menyertai kursus Artikel dan Berita di Masjid
Negeri Shah Alam...Tungguuu...!.
Insan biasa-bisa
sahaja
Masshah
Bilik buku
23/10/2013-Rabu
Jam:8:42pagi.