Followers
Tuesday, December 30, 2014
Saturday, September 6, 2014
Kursus Dari Blog Menjadi Buku
Insya-Allah, Akademi Kota Buku akan menganjurkan bengkel Dari Blog Menjadi Buku.
Ia merupakan bengkel asas yang merangkumi.
[1] Asas penulisan blog yang mesra pembaca online dan offline.
[2] Menyusun rangka besar buku melalui blog
[3] Membangunkan pembaca dari tahap pembaca karya menjadi penyokong karya sebelum buku diterbitkan.
[2] Menyusun rangka besar buku melalui blog
[3] Membangunkan pembaca dari tahap pembaca karya menjadi penyokong karya sebelum buku diterbitkan.
Selain itu;
* Kajian kes projek buku saya dan para penulis best-seller terdahulu.
Informasi lebih lanjut dan pendaftaran segera, dapatlah berhubung dengan Tuan Haziq Zulkifli hari ini melalui haziq@kotabuku.my kerana tempat amat terhad.
Sumber: Facebook
Wednesday, September 3, 2014
Jalan-Jalan Cari Buku Di Pesta Buku Negeri Selangor 2014
Cuti hari isnin yang lalu, cuti ganti bagi
Hari Kemerdekaan Negara yang jatuh pada hari Ahad, 31 Ogos 2014, telah saya
manfaatkan pada sebelah petangnya, ke Pesta Buku Selangor 2014. Syukur masih diberi peluang dan ruang untuk
turut meramaikan pesta buku tersebut, maklum cuti umum, agak ramai pengunjung
ke pameran tersebut. Ada yang bersendirian, bersama keluarga, bersama
kawan-kawan dan sebagainya. Masing-masing dengan tujuan yang satu, mencari
buku, melihat buku, dan seterusnya membeli buku.
Begitu dengan saya, seperti biasa akan
meninjau-ninjau dahulu sebelum ke booth-booth pilihan. Untuk memenuhi naluri
anak-anak, saya ke booth, Ana Muslim, biasalah si puteri seorang ni, minat
dengan majalah Ana Muslim, ada jualan 3 majalah RM10.00, kira masih baik lagi
majalah-majalah tersebut, belilah untuk menghiburkan hati si puteri tersebut,
begitu juga dengan si putera seorang, permintaannya, rasa tidak dapat dipenuhi,
di mahu buku Ultraman, rasa-rasanya memang tiada dijula di situ. Saya tunjukkan
majalah Ana Muslim yang bergambar seorang wira, syukur hendak pula dia. Ragam
budak-budak katakan...
Saya singgah di Kedai Buku 1Malaysia dan ITBM,
membeli dua buah buku terbitan ITBM, DISKAUN 15% diberikan pada setiap pembelian
buku-buku terbitannya. Ikutkan hati mahu sahaja diborong buku-buku tersebut,
namun hasrat hati terbantut dan terbatal, maklum keperluan lain pun perlu
difikirkan. Oklah, dapat dua buah buku dari ITBM. Saya suka buku-buku hasil
terbitan ITBM, pelbagai saiz buku ada, menarik, kebanyakkannya genre sastera. Dari
satu kedai ke satu kedai, memang menyeronokkan lihat buku-buku yang banyak,
geram melihatnya. Syoknya buku, syoknya membaca.
Sementara saya ke Kedai Buku DBP, isteri dan
anak-anak ke Kedai Buku Upin dan Ipin. Saya bersama anak yang kecil, di dalam stroller, lena tidur si kecil. Saya
membeli lapan buah kesemuanya, enam buku puisi, dua buku cerpen. Kehendak hati
mahu beli lebih, buku lama, murah, dan masih baik untuk dibaca, semurah RM1.00.
Namun hasrat hati dihentikan dahulu, si kecil sudah meragam gayannya. Saya
terus ke kaunter membayar buku-buku tersebut. Ketentuannya isteri dan dua orang
anak baru sampai, lega sikit rasa hati, maklum si kecil meragam pula, jumpa
ibunya diam lah si kecil.
Si putera, pula meragam mahu mainan, menangis
tidak berlagu, sementara isteri dengan dua anak tadi duduk dibahagian tepi,
saya pujuk si putera tadi, bawa sekali lagi keliling kedai-kedai buku di dalam,
nak pujuk punya fasal. Cari juga mainan yang diminta tapi tak jumpa kedainya.
Saya tunjukkan majalah bergambar ‘Angry Bird’, mahu pula dia, syukur rasanya. Sudah
tak menangis lagi, apa yang dia minat sudah dapat, lega rasa hati waktu itu.
Selepas ronda di dalam, saya terus meluru keluar, menuju ke MBC@MobileBookCafe,
,melihat-lihat, meninjau-ninjau, rasa teruja dan kagum melihatnya ( baca di entri lepas ).
Dua buah buku terbitan esastera saya beli,
ole-ole dari kedai buku bergerak (MBC). Habis di situ, saya terus ke tempat
isteri yang sedang duduk di tempat tadi. Kami terus berjalan melalui kedai buku
Karangkraf, di situ sekadar tengok-tengok sekejap, waktu sudah hampir petang.
Terus ke tempat kereta, distinasi pulang ke rumah.
Sekadar coretan untuk nostalgia...
JOM BACA BUKU.
Tuesday, September 2, 2014
Teruja Melihat MBC@Mobile Book Café di Pesta Buku Selangor 2014
MBC@MOBILE BOOK CAFE
Saya benar-benar teruja melihat jualan buku di
dalam sebuah kenderaan yang telah diubah suai. Mengingatkan saya 30 tahun yang
lalu, semasa di sekolah rendah tentang perpustakaan bergerak. Namun apa yang
saya lihat hari itu, ia bukanlah perpustakaan bergerak, tetapi sebuah kedai
buku bergerak yang dinamakan sebagai MBC@Mobile Book Cafe, satu inovasi baharu
bagi penjual buku. Memang mengujakan sesiapa yang melihatnya, saya sempat
meminta izin kepada pemiliknya, Tuan Muhammad Bin Ali atau nama pada muka
bukunya Mba San.
Bercerita tentang MBC ini, Tuan MBA SAN memberitahu modal untuk ubah suai
lebih kurang RM40,000. Setakat ini, menurut beliau yang berminat ramai, namun
yang bersungguh-sungguh belum nampak lagi. Bagi saya, satu kejayaan buat
negara, kerana ini julung-julung kalinya sebuah kenderaan berbentuk sebegitu,
khas untuk menjual buku. Sebagai peminat buku, saya amat menyokong usaha-usaha
sebegini. Menurutnya lagi, aktiviti-aktivit kini, banyak dilakukan di
sekolah-sekolah, sudah banyak sekolah yang berminat untuk berkerjasama untuk
menjayakan aktiviti berkaitan buku ini.
Saya sempat meninjau-ninjau setiap bahagian MBC tersebut, juga merakamkan
di kamera saya, MBC yang comel dan sangat menarik sekali. Dalam hati, jika
dapat sebuah, mesti seronok. Itu hanya angan-angan sahaja. Sempat juga membeli
dua buah buku, untuk ole-ole di bawa balik. Mba San mengambil gambar untuk dimasukkan ke muka
buku. Dalam hati, saya mendoakan, agar usaha-usaha ini akan beroleh kejayaan,
dan akan mendapat pengiktirafan dari pihak-pihak yang peka tentang industri
perbukuan negara. Ini juga satu kejayaan buat negara, syabad buat Tuan Muhammad
Bin Ali, juga seorang penulis buku.
Tahniah!
JOM BACA BUKU
Monday, September 1, 2014
Ismas Saring@Saring Sirad Ziarah Ke Rumah
Pada penghujung
Syawal 1435H yang lalu, saya telah dikunjungi oleh seorang penulis veteren,
iaitu Ismas Saring atau Saring Sirad. Saya lebih mesra memanggilnya Wak Saring
Sirad. Beliau datang dengan niat ziarah raya, sudah agak lama beliau mahu
ziarah, cuma waktu itu kesempatannya tidak ada. Hari itu, sewaktu dalam
perjalanan dari Kuala Selangor, ziarah bekas gurunya, beliau sempat menghubungi
saya untuk mampir atau singgah ke rumah saya.
Sewaktu di rumah,
banyak yang kami borak bualkan, dari perihal politik, MH17, kisah lama,
penulisan puisi dan lain-lain. Tidak jemu mendengar cerita-cerita lama yang
beliau ceritakan, adakalanya cerita-cerita ‘off record’, pengalaman lalu
diceritakan pada saya. Tak perlulah saya ceritakan. ‘Off record’ kan’. Maklum bekas seorang wartawan yang kaya dengan
cerita dan kisah. Seorang penulis, wartawan, juga Tokoh Budaya Negeri Selangor
2007, kaya dengan ilmu dan pengalaman. Itulah Wak Saring Sirad, Wak tak punya apa-apa...
Sebelum balik, beliau
meminta izin mahu masuk ke dalam bilik buku saya, saya berbesar hati untuk
mengajaknya masuk ke dalam bilik buku saya. Dia agak kagum dengan saya. Saya
kata, biasa sahaja Wak, sudah minat saya baca buku. Beliau membelek-belek buku.
Saya mengambil beberapa aksi beliau dengan buku hasil karyanya ‘Kontal-Kantil’.
Kenangan dengan Wak Saring Sirad terus segar, InsyaAllah selagi hayat ini masih
ada.
Terima Kasih Wak Saring Sirad!
Sunday, August 31, 2014
Saturday, August 30, 2014
Mengimbau Detik Bermulanya Dunia Pembacaan
Koleksi pertama
Seingat saya, dua buah buku pertama yang mula-mula saya
beli dan masih tersimpan di dalam bilik buku saya ialah buku berkaitan dengan
agama, buku yang bertajuk ‘Tanda-Tanda Kiamat’ dan ‘Azab Di Neraka’, kedua-dua
buah buku tersebut susunan oleh Ibnu Idris, terbitan Pustaka Al-Mizan. Buku
tersebut saya beli ketika mengikuti satu program di Taman Melewar, Gombak, Kuala Lumpur, sekitar tahun 1988, sewaktu
program Intifadah Kurun Ke-15. Alhamdulillah, buku tersebut masih elok cuma
agak kusam sedikit, maklum sudah berpuluh tahun tersimpan, masih releven untuk
dibaca untuk peringatan diri yang sering lupa.
Kedua buah buku tersebut dan buku-buku yang lain telah
pernah dipinjam oleh seseorang, agak lama menjadi koleksi pribadi dia, berbulan
juga waktu itu, sudah sampai peringkat seperti milik sendiri, saya masih
sayangkan buku-buku tersebut, sedaya upaya saya mesti dapatkannya kembali,
waktu itu rasa sayang pada buku sudah mula berputik, maklum harta sendiri sudah
menjadi seperti harta orang lain. Satu masa, saya cuba memberanikan diri untuk
meminta kesemua buku-buku tersebut, akhirnya dikembalikan buku tersebut. Rasa
syukur tidak terhingga waktu itu.
Siapa yang tidak sayangkan harta bukan?. Lebih-lebih lagi
barang yang kita suka dan sayangi, seperti buku-buku itu. Dari sehari ke
sehari, biarpun tidak banyak saya beli, maklum waktu itu, masih bersekolah
lagi. Duit belanja pun bukan banyak emak bapa beri, adakalanya, tiada langsung
untuk berbelanja, terutamanya sewaktu rehat. Maklum waktu itu susah, emak bapa
cuma bekerja kampung, sebagai anak sedia maklum atas kesusahan emak bapa. Waktu
itu mahu beli buku tak dapat lagi, duit tidak punya. Namun rasa seronok bila
lihat buku-buku sudah mula tersemat di
hati.
Mengingatkan kembali, zaman persekolahan, sewaktu darjah
satu hingga darjah enam, waktu itu, ada perpustakaan bergerak datang ke
sekolah. Saya telah menjadi ahli dan setiap dua minggu sekali perpustakaan
bergerak akan datang ke sekolah. Memang seronok memilih buku, pelbagai buku ada
di dalam sebuah kenderaan yang diubah suai menjadi perpustakaan. Berpusu-pusu
pelajar memilih buku, kami diberi tempoh beberapa minit untuk memilih buku dan
seterusnya meminjam. Denda akan dikenakan pada setiap buku yang lambat
dipulangkan. Bagi saya, waktu itu tidak kisah, denda pun dendalah, yang penting
dapat meminjam buku. Setakat yang saya ingat, tidak pernah kena denda
disebabkan lewat memulangkan buku.
Seperkara lagi yang aku ingat, sewaktu disekolah, ada
seorang guru, namanya Cikgu Musa, dia mengedar majalah-majalah kanak-kanak,
malah dia menjualnya kepada pelajar-pelajar yang berminat. Apa yang menariknya,
pelajar boleh membayar secara beransur-ansur mengikut syarat yang ditetapkan,
seingat saya setiap hari Cikgu Musa akan datang ke kelas-kelas untuk mengutip
duit ansuran tersebut. Ada beberapa majalah yang agak popular waktu itu, jika
tidak silap saya, majalah seperi Bambino, Al-Ain, dan Kuntum dijual oleh Cikgu
Musa. Saya sendiri telah menjadi pembeli tegar untuk majalah-majalah tersebut.
Setiap bulan rasa tidak sabar untuk memilikinya, rasa
seronok waktu itu tidak terkira. Majalah-majalah tersebut telah menjadi bacaan
dan koleksi simpanan saya waktu itu. Adakalanya saya terpaksa mengikat perut
tiap kali waktu rehat, dek kerana duit belanja sekolah saya terpaksa guna untuk
membayar ansuran majalah tersebut. Begitulah detik permulaan, minat membaca
kian hari kian berputik di dalam diri saya waktu itu. Dari sehari ke sehari
minat membaca itu, kian mendalam. Jika saya tidak balik awal ke rumah, saya
akan ke perpustakaan atau pusat sumber di sekolah waktu itu. Itu bagi
melepaskan keinginan untuk membaca bahan bacaan lain seperti buku cerita.
Bila masuk ke sekolah menengah, dunianya semakin berbeza,
umur pun sudah meningkat, pembacaan makin meluas. Maklum, bila sudah masuk
sekolah menengah, banyak kena baca buku, terutamanya buku-buku teks mata
pelajaran. Buku sejarahnya, geografinya, agamanya, sainsnya dan lain-lain lagi.
Dari satu tingkatan ke satu tingkatan, bermula SRP sewaktu tingkatan tiga,
serta SPM di tingkatan lima. Dunia pembacaan sekitar buku-buku teks pelajaran.
Sesekali berkelapangan, baca juga bahan-bahan ringan, seperti buku cerita yang
dipinjam melalui pusat sumber atau perpustakaan sekolah.
Dunia pembacaan sekitar sekolah menengah seingat saya,
tertumpu kepada buku pelajaran, waktu itu, ada dua peperiksaan besar, seperti
yang saya tuliskan di atas tadi. Pembacaan buku teks pelajaran lebih banyak,
membaca sambil menulis nota, itu dilakukan semata-mata kerana peperiksaan yang bakal
diharungi nanti. Ada juga saya membeli majalah-majalah ilmiah berbentuk agama
seperti Al-Mukminah, Al-Munir, dan selainnya. Juga, senbuah tabloid berkaitan
dengan dunia pelajaran, khususunya SPM, saya lupa apa nama tabloid tersebut.
Memang menarik akhbar tersebut, setiap minggu juga saya berbasikal akan
membelinya di sebuah kedai di Kampung Bukit Kapar.
Isikandungannya sangat menarik dan baik untuk para
pelajar, tip-tip, soalan-soalan contoh, dan rencana motivasi untuk pelajar juga
turut terkandung di dalam akhbar tabloid tersebut. Bila saya ingat kembali,
rasa sayang dan menyesal sekali, kerana tidak disimpan akhbar tabloid tersebut.
Juga majalah-majalah yang saya beli dahulu. Apa pun yang berlaku, tidak
mengendurkan rasa cinta dan sayangnya saya dalam dunia buku dan pembacaan.
Walaupun dalam dunia persekolahan tidak terlalu banyak dan memiliki buku waktu
itu, ia bukanlah alasan untuk saya tidak membaca buku.
Begitulah beberapa rentetan yang masih ingat dalam minda
ini, yang saya dapat kongsikan dan seterusnya saya dokumentasikan setiap apa
yang terjadi sewaktu dahulu dalam detik perjalanan dunia pembacaan masshah.
Agar nanti, anak-anak yang saya tinggalkan, andainya saya kembali ke negeri
abadi terlebih dahulu dari mereka. Mereka akan dapat menatapi dan membaca
rakaman dokumentasi ini, seterusnya mengambil ibrah hasil pembacaan penulisan
ini. Seterusnya mereka dapat merealisaikan dalam kehidupan mereka. Membaca
terus membaca.
Insyallah, akan bersambung di siri penulisan yang
seterusnya, detik perjalanan dunia pembacaan massha ini akan terus
berkesinambungan selagi hayat ini masih ada. Jika ada ibrahnya ambilah sebagai
motivasi diri, untuk turut bersama minat membaca, membac dan terus membaca.
Dunia pembacaan tidak akan selesai-selesai selagi ada buku dan penulisan yang
berterusan. Semoga para sahabat terus segar, seronok, gembira, ghairah dalam
menelusuri kehidupan dalam dunia pembacaan ini.
JOM MEMBACA.
Tuesday, August 26, 2014
Beli Buku Di Malam Moreh Puisi Dinihari Ramadhan 2014
Pada
bulan ramadhan yang lepas, saya telah ke PROGRAM MOREH PUISI DINIHARI 2014, di
rumah Dr.Ibrahim Ghafar, di Anjung Sanggar Damai Abadi (11.07.2014), beliau seorang pengiat
seni budaya, penyair dan penulis. Program tahunan ini diadakan setiap tahun di
dalam bulan ramadhan, minggu kedua jumaat malam sabtu. Ini kali pertama saya
menghadiri, itu pun disebabkan saya kerja pagi, jika lain sift, sudah pasti
saya tidak dapat menghadirinya.
Pertama
kali ke program ini, merasa teruja, kerana di sinilah berkumpulnya
penyair-penyair ternama, seperti Pak Agi(Abdul Ghafar Ibrahim), Dr.Ibrahim
Ghafar, Zainal Abbas, Datok Baha Zain,
Sani Sudin, Tan Sri Johan Jaafar, Datok Awang Sariyan, Ismas Saring@Sarig
Sirad, Yassin Salleh, Datuk Zurinah Hassan, Rahimidin Zahari, Saleh Rahmad dan
lain-lain lagi. Mereka berpuisi sehingga ke dinihari. Memang menyeronokkan. Di
samping disajikan dengan hidangan puisi-puisi pembakar semangat, kami juga
dihidangkan dengan pelbagai menu makanan.
Apa yang
menariknya ada jualan buku dari ITBM, itu yang paling saya suka, sambil-sambil
mendengar puisi dari mereka, sempat saya
membelek-belek buku tersebut dan dapat juga membeli sebagai ole-ole dibawa
balik untuk saya baca nanti, lima buah buku kesemuanya dapat saya bawa pulang
dengan diskaun yang sangat istimewa,iaitu 40%, kerana tuan penjaga tersebut
mahu segera pulang, anak kepada pembantunya sakit katanya, saya ambil peluang
yang diberi itu, lima buah buku cukup untuk malam itu.
Buku-buku
tersebut;
1) D.U.B.L.I.N-
Karya Wan Nor Azniq
2) QALAM
KALBU- Karya Sri Rahayu Mohd Yusop
3) ANOTOMI
RUPERT- Karya Ruhani MatDarin
4) KUMPULAN
SAJAK SUARA BUKIT KEPADA LANGIT- Karya Sharunizam Abdul Mutalib
5) KUMPULAN
SAJAK TENTANG PERTANYAAN KEPADA ENGKAU- Karya Hani Salwah Yaakup
Kelima-lima
buku tersebut merupakan hasil penulisan mereka yang bertanding di Sayembara Penulisan
Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-BERITA HARIAN. Karya-karay sastera yang bermutu
hasil penilaian itu mereka telah berjaya memenangi pertandingan tersebut.
Alhamdulillah, saya sudah berjaya membaca empat dari lima buah buku tersebut.
Semua cerita novel sangat menarik, juga puisi-puisi sangat memberi inspirasi
kepada saya yang baharu berjinak-jinak dalam dunia perpuisian negara dalam
dunia sastera tanah air.
JOM BACA
BUKU.
Tuesday, August 12, 2014
Satu Perjalanan Dalam Dunia Pembacaan Masshah
Dunia buku Masshah, masih lagi berjalan seperti biasa,
biarpun penulisan blognya agak perlahan, tiada perkongsian setakat ini. Buku
tetap menjadi sahabat setia saya. Insyallah, selagi diberi waktu untuk membaca,
saya akan terus membaca tanpa malas dan jemu, jika malas dan jemu, tak jadi
apa, fikiran kusut, minda beku kerana tidak mahu baca buku.
Saya tidak mahu jadi begitu, saya mahu jadi saya yang
sentiasa membaca, membaca melorongkan saya ke dunia yang lebih membahagiakan
dengan buku. Tanpa buku, dunia ini akan gelap kehilangan cahaya panduan.
Membacalah jika anda mahu tahu mengapa perlu membaca. Dan apa nikmatnya dunia
pembacaan buku.
Jika ditanya bila masa saya mula membaca, saya akan
jawab, sejak mula mengenal huruf dan nombor, belajar di sekolah rendah
hinggalah ke sekolah menengah, syukur, dengan izin Allah SWT, saya diberikan
kebolehan untuk mengenal huruf dan seterusnya membaca buku. Sehinggalah saya
jatuh cinta dengan membaca dan dunia buku.
Saya cuba mengingat-ingat kembali sejarah bermulanya saya
benar-benar suka membaca buku, membeli buku, mengumpul buku, buku pertama yang
dibeli, minat buku apa, dan macam-macam lagi. Saya akan cuba mendokumentasikan
sejarah bagaimana bermulanya saya jatuh cinta dengan membaca.
Penulisan yang seterusnya nanti, saya akan kongsikan
perjalanan saya dalam dunia buku, insan kecil yang minat dengan buku dan dunia
membaca. Seorang insan yang hanya berkelulusan sekolah menengah, dan bekerja di
sektor swasta, kini dalam usia empat puluh tahun masih terus membaca, membaca
dan membaca. Berimpian mempunyai bilik buku sudah tercapai, biar sederhana
tetapi membangkitkan diri untuk terus cinta dalam dunia pembacaan buku.
Semoga, saya diberikan kekuatan untuk menulis detik
sejarah dalam dunia pembacaan buku ini, agar rakaman dokumentasi ini akan
merangsang khususnya buat anak-anak dan seterusnya masyarakat di luar sana.
Tujuan untuk menyemarakkan agar masyarakat suka dengan dunia pembacaan. Harapan
agar rakaman sejarah perjalanan dunia pembacaan saya ini dapat saya selesaikan
sehingga ke penghujungnya nanti.
Amin Ya Rabb...!
Saturday, June 28, 2014
Monday, June 23, 2014
Thursday, June 5, 2014
Friday, May 30, 2014
Minda Buku: Quran Teman Akrab
Buku(Kitab) penting, semoga menjadi teman akrab kita...
Dua hari lepas saya menulis tentang buku sebagai teman akrab, teman bila
mana kita sedang bersendirian atau tidak membuat apa-apa pekerjaan. Seperti
yang saya nukilkan dalam tulisan yang
lalu, agar kita berdamping mesra semesra-mesranya, tidak menyakitinya, tidak
semberono dalam melayaninya. Ya, itulah sikap kita demi menghormati sebuah buku
yang kita anggap sebagai teman akrab, itu memang fokus dalam penulisan saya
tentang perkara itu.
Namun begitu, kita perlu ingat tentang satu perkara yang mana, ada sebuah
buku, sangat-sangat penting, kita sebagai orang islam yang mukmin, mesti menghormati,
melayani penuh mesra, tanpa syak dan ragu, sepenuh hati menyakini
isikandungannya, dan pelbagai lagi yang perlu kita tahu tentangnya, yang
demikian itulah buku yang dimaksudkan, sebuah kitab al-quran, kitab panduan
setiap yang bernama mukmin yang beriman dan seluruh manusia.
Sebuah buku manual yang cukup agung, diturunkan untuk panduan seluruh
manusia. Tak perlulah saya senaraikan hikmah-hikmah yang terkandung bila kita
membacanya, saya yakin para sahabat semua sudah tahu satu persatu tentang
perkara itu. Fokus penulisan ini, untuk memberikan galakan agar kita menjadikan
kitab al-quran ini sebagai buku utama kita sebelum kita membaca buku-buku lain.
Sebuah kitab yang penuh dengan segala perkara, cerita, berita, peristiwa,
perbandingan, perumpamaan, perkara ghaib, janji-janji Ilahi, dosa pahala, dan
segala prihal ada di dalam kitab suci al-quran yang agung itu. Kitab yang
utama, mesti kita dampingi dan mesrai setiap waktu, jika kita betul akrab
dengan buku-buku kita, apatah lagi dengan kitab panduan ini, saban hari kita
perlu membukanya, membacanya, mengkajinya, bergantung kepada diri masing-masing.
Boleh dibaca selepas solat, sebelum waktu solat, diwaktu malam, ditempat
kerja(waktu free), bila-bila, dan di mana-mana( tempat yang suci dan bersih).
Dunia teknologi yang canggih, tidak memerlukan kita membawa naskah al-quran
kecuali untuk belajar, jika mahu membacanya, buka sahaja gadjet yang ada,
iphone, ipad, tab, dan melalui telefon bimbit, bukankah mudah?, bukankah itu
sudah cukup untuk kita menjadikannya teman akrab kita?. Senang bukan?.
Justeru itu, nukilan ringkas ini, mengingatkan diri sendiri juga
mengharapkan agar kita sama-sama menjadikan kitab suci Al-quran ini sebagai
sebuah buku penting dalam kehidupan sehari-harian kita. Terutamanya kita yang
mengaku beriman kepada kebesaran-Nya.
Sekian.
Wednesday, May 28, 2014
Minda Buku: Buku Teman Akrab
Jadikan buku teman akrab, di mana jua berada...
Sudah lama rasanya tidak menulis perihal buku, hari ini
cuba mahu tulis tentang buku. Buku sebagai teman akrab, jika hari ini, teman
akrab kita seorang individu yang kita amat sayangi, kini apa kiranya kalau kita
tambah satu lagi teman akrab kita dengan sebuah buku, ya sebuah buku. Ingat
sebuah buku, bukan muka buku. Buku
sebagai teman akrab yang sering mendampingi kita, bila mana kita tidak bersama
teman akrab yang lain. Tatkala bersendirian, tiada buat apa-apa kerja, kita
boleh berdamping semesra-mesranya bersama buku. Boleh?.
Ini sekadar pandangan saya, sebagai seorang peminat buku,
perasaan-perasaan begitu sering bermain-main di minda ini. Buku sebagai
pendamping setia ketika keseorangan, melaluinya kita boleh belayar, menyelami,
menghadami apa yang terkandung dalam sesebuah buku. Apa-apa sahaja buku yang
kita minati, kita mendakapi penuh erat, manja, helai demi helai muka surat
diakrabi, tentunya dalam suasana yang harmoni dan aman damai. Lagi-lagi suasana
malam tatkala bersendirian, alangkah indahnya bersamanya.
Akrabnya kita dengan buku nanti, akan mewujudkan kecintaan
terhadap buku, apa-apa sahaja jenis genere yang diminati. Ada buku genre
keratif dan buku genere bukan keratif. Terpulang pada setiap individu yang mahu
membaca dan mengakrabi. Pilih sahaja, selepas itu berdampinglah dengannya,
setiap waktu, itu pun jika setelah
kerja-kerja selesai dilaksanakan, itu yang penting. Bagi saya begitulah,
selesai semua kerja baharulah berdamping dengan buku seakrabnya.
Jangan mudah dilepaskan begitu sahaja, kecik hati buku
itu nanti, belailah manja seperti mana kita belai anak-anak kita atau orang
yang kita sayangi, sampai begitu sekali?, ya, sampai begitu, maksud saya,
biarlah bila buku itu bersama kita, kita layan buku itu dengan sebaiknya,
helaian demi helaian muka surat kita buka dengan tertib(bukan main keronyok sahaja), lemah lembut jangan
sampai terkoyak, jangan lipat, gunalah penanda, jangan dibuat bantal pula, dan
apa sahaja yang sewajarnya dilakukan, bukankah buku itu teman akrab kita?.
Tulisan ini sekadar luahan betapa indahnya berkawan
dengan buku, untuk memberi suntikan semangat kepada diri sendiri dan pembaca,
agar kita akan lebih bersemangat untuk menjadikan buku teman akrab kita yang
setia.
Sekian.
Jom baca buku.
Tuesday, May 20, 2014
Bengkel Penulisan
BENGKEL PENULISAN NOVEL, CERPEN DAN RENCANA
MAJALAH
Peluang untuk anda menceburi bidang penulisan
kini terbuka luas. Jangan lepaskan peluang ini. Sertai kami!
Tarikh: 31 Mei 2014 (Sabtu)
Masa: 9 pagi - 4.30 petang
Lokasi: Akademi Must Read, Jalan Setia Wangsa
1, Wangsa Melawati, KL.
Yuran: RM 150 (makan, minum dan sijil
disediakan)
Untuk pendaftaran:
1. Sila beri nama dan nombor fon ke 019 470
2839 (SMS/WhatsApp)
2. Bank in RM 150 ke akaun Maybank
1520-6895-6752 (Mohd Khairi)
Terhad kepada 30 orang sahaja!
Fasilitator:
1. Khairy Tajudin (Editor Bebas Press)
2. Nor Liana Omar (Penerbit Citra Fansuri)
3. Norhashimah Abdul Rahman (Editor Majalah)
4. Amir Abdul Hamid (Editor Perolehan)
5. Web Sutera (Penulis Prolifik)
"BUKUKAN APA YANG TERBUKU!"
Sumber: Bebas Press
Sunday, May 18, 2014
Sajak: Kembali Pada Ilahi
Kembali Pada Ilahi
Usah ditangisi
pada masa silam yang pergi
ia tidak akan kembali
simpan sahaja sebagai memori,
Siang berganti
malam
malam berganti siang
putaran hidup sepanjang zaman
ada masa leka, ada
masa keriangan.
Kembalilah pada ilahi
ia cinta sejati
tidak pernah memungkiri,
bila tersesat jalan ditempuhi
masih ada ruang dan peluang
untuk kembali mengabdi
mendapat cahaya kebenaran.
Merenunglah ke dalam diri
mencari erti hidup yang murni
setelah semuanya jauh pergi
namun DIA tetap di sisi,
setia menanti pada insan yang mahu kembali
ke sisi rabbul izati dengan jiwa yang suci
mengabdi hanya pada ilahi
Syukuri dan insafi
kerana DIA masih mahu memberi
pada diri yang mahu mensyukuri.
Cukuplah hanya DIA buat diri.
Masshah
Ruang tamu
Meru.
Thursday, May 15, 2014
Minda Buku: Saya Redha Dengan Ketentuan-Nya
Pesta buku(PBAKL 2014) sudah berlalu sepuluh hari yang lalu, bagi mereka
yang ke pesta buku tersebut sudah pastinya mempunyai memorinya tersendiri.
Tentu banyak buku-buku yang diborong dan dibeli. Semua itu pasti memuaskan hati
masing-masing. Maklum sahaja, pesta buku menjanjikan diskaun yang
berbaloi-baloi, rugi kalau tidak direbut. Tahniah dan syabas kepada
sahabat-sahabat blogger yang berjaya mengunjungi pesta buku tersebut.
Bagi diri ini yang tiada kesempatan
untuk ke sana, memanglah sangat rugi sekali, terpaksalah pujuk hati ini agar
sabar dan redha atas ketentuannya, insya’Allah umur panjang pada tahun hadapan
boleh pergi, begitulah diri ini memujuk hati yang tidak berjaya ke pesta buku
tersebut. Ini disebabkan oleh, langkah berjaga-jaga, maklum orang rumah sedang
sarat mengandung, bila-bila masa sahaja boleh bersalin. Tidak sanggup rasanya
saya mahu tinggalkan begitu sahaja.
Ajakan demi ajakan dari Pak Agi(Abdul Ghafar Ibrahim) saya terpaksa tolak
dengan baik, waktu itupun kerja shift petang, memanglah agak susah untuk ke
sana. Pak Agi tidak pernah jemu untuk mempelawa saya untuk pergi sama-sama,
tapi disebabkan perkara tadilah saya tidak dapat mengikutinya. Sesekali
terkilan juga tidak dapat bersama Pak Agi, apa boleh buat, jadual kerja yang
tidak mengizinkan dan juga keadaan isteri yang begitu.
Juga penulis dan wartawan veteren, Wak Saring Sirad@Ismas Saring turut
mengajak saya, kerana Wak Saring ada slot dalam bicara buku beliau ‘Kontal
Kantil’, juga saya tolak secara baik. Beberapa kali juga Wak Saring mengajak
saya, saya dengan alasan yang sama di atas tadi. Apa pun saya mengucapkan
ribuan terima kasih kepada kedua-dua sahabat penulis tersebut. Sesungguhnya
saya amat berbesar hati atas ajakan dan pelawaan mereka.
Ya, pesta buku, PBAKL 2015, jika saya diizinkan Allah SWT panjang
umur, Insya’Allah kita pasti bertemu. Itulah impian saya untuk pesta buku yang
akan datang. Sekali lagi kepada sahabat-sahabat blogger yang berjaya ke pesta
buku tersebut diucapkan syabas dan tahniah. Buku, buku, buku, baca, baca,
baca..., semoga terus bersemangat dan sukses dalam segenap lapangan yang
diceburi.
JOM BACA BUKU
Subscribe to:
Posts (Atom)