Followers

Wednesday, January 29, 2014

Kursus Penulisan Artikel Dan Berita 2013




Jumpa Lagi Wak Saring

Semasa mahu masuk ke bilik kuliah, saya melihat seorang insan low profile yang wajahnya beberapa minggu lalu saya temui. Saya menegurnya...,“Wak Saring”. Dia senyum, sambil kami bersalaman, dia kata macam pernah jumpa. Saya beritahunya, kita jumpa semasa di rumah Dr.Ibrahim Ghaffar. Saya tidak boleh borak lama sebab ada tugasan yang diberi.

Wak Saring mempersilakan masuk, dia memahami situasi saya. Dalam hati saya, kali ini, apa lagi yang Wak Saring akan kongsikan dalam kursus hari ini. Tidak sabar rasanya mahu mendengar pengalaman lampaunya sebagai seorang wartawan yang banyak pengalaman.

Selesai Tugasan

Saya pun masuk bilik, meneruskan perbincangan tentang tugasan tadi. Cadangan tentang berita tadi diterima sebulat suara. Masing-masing mencipta ayat untuk menjadikannya berita yang menarik. Seorang mencatat dan menulisnya. Kami tertanya-tanya tentang kumpulan yang pertama tadi. Mungkin mereka menulisnya terus di tempat mereka mencari berita.

Tuan Ilhami memberitahu kami, tugasan boleh diserahkan kepada Puan Marsila, sebelah petang boleh dibaca dan dikomen oleh beliau nanti. Tidak lama kemudian kumpulan pertama pun masuk. Beberapa minit lagi giliran penyampai kedua akan memberikan perkongsian tentang penulisan berita dan artikel.





Sesi Kedua: Perkongsian Dari Haji Saring Bin Sirad@Ismas Saring

Sekitar jam 11.30, sesi kedua bermula, Tuan Ilhami memperkenalkan penyampai kedua untuk  sesi kedua iaitu Tuan Haji Saring Bin Sirad. Ini kali kedua saya bersua muka dan berkongsi pengalamannya sebagai seorang wartawan yang cukup banyak pengalamannya. Haji Saring Sirad@Ismas Saring juga dikenali dengan panggilan Wak Saring mengambil tempat dan seterusnya memberi ucapan dengan membaca teks yang beliau telah sediakan.

Kami mendengar ucapan beliau dengan penuh minat, disamping membelek-belek biodata yang diedarkan kepada kami. Melihat dan mambaca pada biodata beliau, sebenarnya Wak Saring bukanlah seorang wartawan yang kecil walaupun beliau sering merendah diri mengatakan beliau hanya pengutip botol (bahasa merendah diri), tidak sekali tidak.



Dari biodata tersebut saya melihat beliau seorang wartawan dan juga penulis yang kaya dengan pengalaman. Dalam usianya (75 tahun) yang seperti sekarang, tentu beliau punyai nostalgia sendiri tentang pengalaman yang panjang dalam bidang penulisan, khususnya dalam bidang kewartawanan.

Pada hari ini beliau pasti akan mengongsi pengalamannya selama 20 tahun kepada para peserta kursus. Saya tidak sabar untuk mendengar dan mengutip butir-butir mutiara ilmu yang beliau akan campakkan kepada kami semua.

Dalam ucapan terakhir kami tertarik dengan ayat... “terima kasih sebanyak bintang di langit”. Begitulah penulis yang kaya dengan bahasa dan pengalaman, sungguh memberi makna yang mendalam.

bersambung...


Tuesday, January 28, 2014

Leter Politik: Kangkung Betul




Kangkung ‘MeleTOP’

Beberapa minggu lalu kecoh betul di media-media sosial samaada di facebook, twitter, laman web, blog, instagram, dan sebagainya. Malah setiap ayat diungkapakan pasti ada perkataan kangkung. Para penulis sajak turut menulis sajak kangkung dengan pelbagai versi.  Ini gara-gara pemimpin negara semasa bercakap tentang kenaikan dan penurunan harga barang. Ia telah menjadi bahan lawak jenaka seluruh negara, bahkan dunia turut mengetahui tentang perkara ini.

Kangkung, kangkung dan kangkung, tak perlulah saya difinasikan apa itu kangkung, semua orang tahu, pernah lihat, sentuh dan makan sebagai menu harian adakalanya. Lawak kangkung ini menjadi lawak maharaja lawak mega, ia menjadi jenaka terkini. Habis semua segala menu kangkung dipromosikan. Gambar-gambar kangkung di sana-sini. Kangkung sudah ‘MeleTOP’, bak kata neelofa.

Malah dengan kekeratifan mereka yang berkebolehan, klip ucapan pm telah diubah suai dengan lagu kangkungnya, klip-klip video yang lain pun turut dibikin, sungguh gawat dan lucu sekali. Seluruh negara ketawa terbahak-bahak melihat dan menontotnya. Gara-gara kangkung sudah turun harganya. Apa sahaja yang diucap oleh pemimpin akan menjadi nilaian rakyat yang punyai sentiviti.

Semua Terdedah

Pendedahan dari maklumat terkini melalui media sosial amat pantas, klik sahaja segala gajet yang ada ditangan,pasti segala berita baik dan buruk pasti akan dapat dilihat dan dibaca. Hari ini sesiapa yang tidak punyai akaun fb atau apa sahaja yang berkaitan dengan media sosial akan dianggap ketinggalan. Maklum zaman serba canggih sebegini tidak punyai maklumat, harap media arus perdana?...mustahil mereka akan mendedahkan berita yang tidak menguntungkan mereka.

Apa sahaja yang dibuat pemimpin negara kini pasti akan terbongkar dan terdedah, pemimpin buat hari jadi pun rakyat boleh cepat tahu, ke luar negara makan angin dan macam-macam lagi, pasti akan terbongkar. Inilah teknologi terkini. Siapa mahu menafikannya lagi. Inilah kesan daripada ICT. Bukankah Tun Mahathir dulu beria-ia mahukan terbangunya bandaraya pintar seperti Cyebarjaya, Putrajaya yang punyai akses teknologi ICT?.

Kangkung tetap kangkung, yang kita tidak mahu pemimpin macam kangkung otak kosong tak menguntungkan siapa-siapa. Kenaikan harga barang, telah menjadi kemarahan rakyat, sana-sini membicarakan, Tidak kira orang kecil, orang besar, orang kaya dan orang miskin kini merasa bebannya. Jangan ditanya siapa yang mengundi kerajaan yang ada ini, yang mengundi kerajaan hari ini pun sudah ada yang marah-marah dan mengeluh, tapi apa makna keluhan mereka?, nasi sudah menjadi bubur...padan muka untuk mereka dan juga kita ini.

Tak Tahu Pilih Pemimpin

Lima tahun sekali pun masih tidak tahu menilai, boboroknya sistem yang ada kini olahan tangan mereka yang tidak punyai rasa sensitif dengan apa yang berlaku. Syukurlah, negara kita aman, kita tak macam Palestin, Afgahnistan, Mesir dan lain-lain negara. Kita masih boleh makan, anak-anak tak kebulur, biar harga mahal tapi masih murah berbanding singapura,US...itulah pemikiran yang lemah dijajah bertahun-tahun oleh bangsa warisan penjajah. Tak apalah yang penting Melayu masih memerintah...tak apalah...

Sedar-Sedarlah Sikit

Pembangkang pula masih mahu berpolitik, tak habis-habis masing-masing mahu tunjuk hero, buatlah kerja. Inikan masa bekerja, masa mahu buktikan pada rakyat yang mengharapkan sesuatu yang baik untuk mereka. Tanganilah setiap perselisihan atau pun pergolakan yang berlaku dengan bijak. Takkan mahu sama dengan parti yang sedang memerintah negara sekarang?.

Ingat-ingatlah sikit, rakyat sedang melihat-lihat, memperhati kalian sebagai pemimpin. Dalam media sosial hari ini juga, sudah ramai yang melahirkan kekecewaan dan ‘keboringan’ mereka terhadap pemimpin pembangkang ini. Takkanlah anda mahu macam kangkung juga. Bijak-bijaklah menjadi pemimpin, jauhilah dari terlajak macam pemimpin sebelah sana. Ingat kuasa yang ada ini bila-bila masa boleh terbang jika asyik mahu bertelagah dan berselisih.

Kita faham dan sedar, perselisihan, pertelingkahan, pergaduhan dan apa yang dinamakan krisis berlaku di mana-mana. Bahkan suami isteri pun ada bergaduh-gaduh, bermasam-muka, tidak bertegur sapa dan macam-macam lagi, itu biasalah. Nama pun manusia, tidak pernah sepi dari membuat silap salah. Tapi patut-patutlah, jangan sampai macam mahu roboh dibuatnya. Muhasabahlah...

Rakyat sekarang sedang dan tengah terbeban dengan macam-macam kenaikan, hanya kangkung sahaja yang murah, sebagai parti yang konon harapan rakyat maka buktikanlah sebaiknya. Ingatlah semua itu diperhati dan dinilai oleh rakyat yang sekarang sudah bijak-bijak, mereka tidak bodoh-bodoh lagi macam dulu-dulu. 

Mereka ada internet ditangan mereka. Masuk tandas pun mereka masih boleh online lagi.
Apa lagi...dan lagi apa?... macam-macam yang mahu diutarakan di sini, tapi rasa cukuplah sekadar ini sahaja, maklum sudah lapar nak makan, nasi putih, sayur kangkung dan ikan masin, sedap hingga menjilat jari. Kangkung pun kangkunglah.

INGAT JANGAN JADI KANGKUNG.


Sekian.

Friday, January 24, 2014

Ikuti Perkembangan Dunia Buku Melalui FB JOM BACA BUKU

Sila klik gambar untuk 'LIKE' FB JOM BACA BUKU


Assalamualaikum para sahabat blogger sekelian, semoga sentiasa dalam rahmat dan redha Ilahi.

Untuk mengikuti perkembangan dunia pembacaan buku saya, 


SEMOGA PARA SAHABAT MENDAPAT MANFAAT DARI FB TERSEBUT.

Wednesday, January 22, 2014

Kongsi Buku: Kontal Kantil- Ismas Saring@Saring Sirad



Coretan Buku Kontal Kantil

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya telah dapat menghabiskan sebuah buku yang diberi jodol ‘Kontal Kantil’ Karya-Karya Terpilih Ismas Saring. Buku setebal 203 muka surat ini merupakan hasil karya kreatif Saring Sirad@Ismas Saring, juga dikenali dengan panggilan Wak Saring. Buku ini diterbitkan oleh ITBM-PENA, dengan harga RM25 Semenanjung Malaysia dan RM30 untuk Sabah dan Sarawak.

Kepada para penulis kreatif masakini harus memilikinya, isikandungannya terdiri daripada penulisan kreatif puisi, cerpen dan drama (skrip drama pentas). Mengandungi gambar-gambar penulis sewaktu muda, semasa berkerjaya hinggalah kesaat ini. Sudah barangkali gambar-gambar ini merupakan nostalgia yang mengamit penulisnya sendiri.

Dalam memperkatakan buku ini, bukanlah saya orang yang layak sebenarnya, ia sekadar luahan pembaca seperti saya terhadap buku ‘Wak Saring’, kerana saya bukan orang sastera yang pandai bermain bahasa. Buku ini pun dalam kategori sastera, lagilah payah untuk saya membuat komen.

Apa pun saya akan cuba memberi komennya. Ia sekadar komen dan pandanga dari insan biasa-biasa sahaja dari saya. Komen atau pandangan ini sebenarnya hasil dari pertanyaan ‘Wak Saring’ lewat beberapa hari yang lalu, berkenaan pertanyaannya melalui sms yang dihantar kepada saya.

“Dah baca Kontal Kantil, sila beri komen. Tq.”,

Begitulah bunyi sms yang beliau hantar kepada saya. Saya menjawab, saya akan tulisnya di muka buku saya nanti. Ya, dalam kesempatan ini saya akan cuba memberi pandangan terhadap buku Kontal Kantil ini. Melihat dan membaca tajuknya sudah cukup teruja, Kontal kantil, dalam hati ketika melihat tajuk itu, orang jawa tajuk bukunya pun bunyi dailek jawa.

Kontal-Kantil, Sewaktu ingin memahamkannya, saya cuba membayangkan seseorang yang hidupnya keseorangan, tiada sesiapa yang tinggal, seorang-seorang sahaja, terkontal-kantil, macam buah yang berada dipohon , terkontal-kantil tinggal sebiji, dek kerana buah yang lain sudah jatuh gugur ke bumi, itulah yang saya faham, walaupun saya orang jawa, entah betul atau tidak hanya ‘Wak Saring’ boleh jawab.

Menurut Wak Saring, apa yang dimaksudkan Kontal Kantil seperti yang diungkapkannya dalam akhbar Berita Harian, katanya;
"Kontal Kantil sebenarnya ungkapan dalam dialek Jawa yang bermaksud sebiji buah yang bergoyang tanpa buah yang lain atau boleh juga bermakna bunga cempaka yang terpelanting seperti saya." - Ismas Saring

Sumber: Berita Harian, 15 Januari 2014, m/s 5

Tentang Puisi

Walaupun bunyi tajuknya jawa, sebenarnya kandungannya semua penulisan keratif dalam bahasa Melayu, hanya sebuah puisi yang berbahasa jawa terdapat di dalam buku ini, tajuknya ‘Penakonan’ atau dalam bahasa melayunya ‘Pertanyaan’ dalam muka surat 89. Dalam banyak-banyak puisi yang sebanyak 79 buah puisi, hanya satu dalam bahasa jawa.
Saya perturunkan sedikit sebahagian dari puisi dalam bahasa jawa tersebut.

‘Puniko penguripan iki
Onte remehe
Dedulur tonpo rini
Teko lungo koyo ngimpi.

Penakonan sa-iki
Piro omahmu, ageng nopo alit
Piro olehanmu
Bonten onten dedulur meneh
Nek bonten kemulan rini’

Saya sendiri amat sukar untuk memahami, ada beberapa patah perkataan dalam bahasa ‘Jawa halus@Jowo alus yang sememangnya saya sendiri tidak faham bahasa jawa halus ini. Walaupun kakek sebelah bapa saya dari Jawa Timur, saya tidak bisa bercakap dalam bahasa jawa halus. Saya cuba membacanya berulangkali dan memahami patah perkataan yang saya faham.

Kesimpulan yang saya dapat kemungkinan, puisi ini membicarkan tentang kehidupan sekarang ini, orang akan lebih betanya tentang apa yang kita ada, sering kita dengar, orang bertanya, ada berapa buah rumah, berapa banyak gaji atau pendapatan, ada pangkat, belajar di pondok atau universiti.

Lalu bila sebaliknya kehidupannya sukar atau susah, orang akan menjauhinya. Senang cakap, bila kita senang, sogeh atau kaya baharu orang akan datang pada kita, saudara-saudara akan dekat pada kita tapi bila susah tinggalkan kita. Begitulah kehidupan kita hari ini.

Saya juga tertarik dengan puisi ‘Jambatan Kota’, ia ada tiga puisi berkaitan ‘Jambatan Kota’ Ini, ‘Jambatan Kota ’ ditulis pada 1963, ‘Jambatan Kota(2)’ ditulis pada 9 November 2012, dan, ‘Jambatan Kota (3)’ ditulis tidak bertarikh. Ketiga-tiga puisi ini dalam muka surat 45, 46 dan 47. Saya teringat masa kecil dulu, dalam lingkungan umur belasan tahun ke atas. Seringkali dengar ‘Jambatan Kota’ di bandar Klang bila orang bercerita tentangnya.

Jambatan kota yang menyerbangi Sungai Klang dalam puisi ‘Wak Saring’ ada nostalgianya pada diri penulisnya. Seperti yang diungkapakan dalam puisi ‘Jambatan Kota’, Jambatan kota menjadi tempat laluan manusia sepulangan dari pencarian, ketika itu Sungai Klang masih jernih, bersih dan mengalir dengan baik sekali belum ada sebarang pencemaran. Harapannya agar sungai Klang terus menjadi warisan untuk mereka pada masa akan datang.

‘Lenggang gadis
Di jambatan kota
Menatap senja berbunga
Ria wajahnya
Sungai Klang
Jernih dan mengalir indah
Sketsa sebuah warisan bangsa.

Dan pada puisi ‘Jambatan Kota’ (2), setelah selama 50 tahun ‘Wak Saring’ mengungkapakan lagi nostalgia Jambatan Kotanya. Biar pun jambatan kota masih di situ, namun perkembangan air sungainya sangat menduka citakan, 50 tahun yang lalu, air sungai klang sangat bersih dan jernih namun peredaran zaman telah merosakkan segala keindahan sungai klang. Dek pembangunan yang kian rancak. Bahkan sejarah yang mengalir bersama sungai klang semakin dilupakan.

Lihatlah pada rangkap ungkapan yang pertama;

Masa kian tertakhta
Di istana nostalgia
50 tahun
Jambatan kota masih di situ
Merintang sungai sejarah
Dan air menaglir lesu
Tidak lagi jernih
Berbaur warna membuatku
Tidak lagi menyaksikan
Darah Tengku Kudin dan Raja Mahadi
Di dasarnya.

dan ‘Jambatan Kota’ (3).

Dalam puisi ‘Jambatan Kota (3), sekali lagi ‘Wak Saring’ meluahkan perasaannya dalam ungkapan rangkap puisinya. Pada ungkapan rangkap tiga dan empat, pembangunan telah menyebabkan kerosakan pada tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok yang hijau. Keadaan di Jambatan Kota juga tidak mengambarkan beberapa dekad yang lalu. Jambatan Kota sentiasa sibuk dan hiruk pikuk dengan pelbagai kenderaan, keadaannya juga tidak pernah tenang. Gadis-gadis yang sering melalui jambatan tersebut juga sudah tidak aman.

Di Jambatan Kota
Tak setenang abad yang berlalu
Tiada lagi gadis bangsaku
Melenggang tenang
Di senja berbunga.

Bagaikan burung hitam
Yang kehilangan suara
Di pepohonan merimbun
Kian hilang dan terhakis
Atas nama pembangunan.

Sebenarnya banyak lagi puisi-puisi yang menarik seperti Keranda 152, Gagak, Bisik, Memoir Di Aidilfitri, Di Garisan Zon Kuning dan banyak lagi. Kesemuanya itu sudah pasti ada nostalgia tersendiri buat penulisnya, cukuplah sekadar beberapa puisi yang saya dapat kongsikan dalam buku Kontal Kantil ini.

Entah betul atau tidak ulasan saya ini. Main hentam sahaja. Maafkan saya Wak Saring seandainya ulasan puisi ini tidak menepati maksud dalam puisi tersebut. Maklum sahaja Wak Saring, “ Aku bocah-bocah esek’ arek belajar nulis, orak ngeti opo-opo pasal sastera lo, angger salah maksudthe’,dimaafi yo...”.

Tentang Cerpen

Dalam buku ini mengandungi enam buah cerpen, penulisan kreatif oleh Wak Saring. Saya yakin cerita-cerita dalam cerpen tersebut merupakan cerita pengalaman beliau sendiri. Melihat gaya penceritaan dan latar dalam cerpen tersebut.

Pengalaman beliau semasa bertugas di luar negara sebagai ‘Travel Writer’ juga saya merasakan ada dirakamkan dalam cerpen yang bertajuk ‘Sakura Dari Kyushu’, ‘Saya Yang Tak Punya Apa-Apa’, ‘Sebuah Dairi Hitam’ juga cerpen yang bertajuk ‘Belum Serosak Itu’ yang membawakan cerita tentang kehidupan hitam di ibu kota Kuala Lumpur.

Cerita-cerita benar ini dijadikan sebuah cerpen yang cukup keratif oleh Wak Saring. Cerpen ‘Ritma Meja Bundar’ dan ‘KeranaTuhan Itu Satu’ pun menarik untuk dibaca. Saya yakin hasil penulisan keratif berupa cerpen ada banyak lagi yang tidak disekalikan dalam buku ini atau kemungkinan seperti yang Wak Saring katakan dalam dari meja penulis... “sebahagian besarnya ada yang musnah dan menjadi mangsa anai-anai; yang ada dalam buku Kontal kantil ini hanya sebahagian kecil yang masih terselamat.”

Namun enam buah cerpen tersebut sudah cukup membuktikan dunia penulisan keratif Wak Saring sangat memberikannya nostalgia dalam hidupnya dan perkongsiannya secara keratif amat dirasai.

Tentang Drama

Sebuah manuskrip drama tahun 1968, sebuah drama yang bertajuk ‘Seruan Damai’ yang petriotik hasil karya Wak Saring ini harus dijadikan bahan rujukan sebagai pengiat drama pentas mahu pun tv, nilai-nilai kemanusian yang terkandung dalam drama pentas ini sangat menarik sekali.

Syabas Wak Saring atas kejayaan manuskrip drama ini pada ketika itu. Inilah rupanya skrip yang Wak ceritakan dalam bengkel penulisan yang lalu semasa di Masjid Negeri Shah Alam. Bukan calang-calang orang, orang yang kata..Wak tak punya apa-apa, Wak kutip botol je..kalimah itu yang saya masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga hari ini. Namun Wak Saring sebenarnya kaya dengan ilmu dan pengalaman dalam dunia penulisannya.

Rugi rasanya, terlewat sangat mengenali Wak Saring ini.

Kesimpulannya

Justeru itu, kepada penggiat penulisan kreatif ditanahair mengambil iktibar dan ibrah apa yang berlaku pada karya-karya Wak Saring yang dimakan oleh anai-anai. Kelahiran buku Kontal Kantil; Karya-karya Terpilih Ismas Saring, harus dimiliki oleh seluruh penulis-penulis keratif. Ia boleh dijadikan bahan rujukan dan perbandingan pada masakini dan akan datang.

Kemahuan Wak Saring membukukan karya-karyanya setelah didesak dan dicabar oleh rakan-rakan penulis lain telah membuktikan kepada kita. Bahawa karya-karya penulis seperti Wak Saring tetap akan dihargai sebagai tatapan buat generasi hadapan.

Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Wak Saring tentang dirinya ‘tidak punya apa-apa’, menurut Baha Zain, ‘tidak punya apa-apa’ itulah sebenarnya Wak Saring ‘punya apa-apa’. Karya ini adalah salah satu buktinya, Wak Saring@Ismas Saring ‘punya apa-apa’.

Tahniah dan Syabas Saring Sirad@Ismas Saring, saya lebih mudah memanggilnya Wak Saring.

Untuk Wak Saring, inilah komen atau pandangan yang tidak seberapa dari saya insan biasa-biasa sahaja. Saya pun tidak tahu sama ada ini, komen atau pun ulasan buku. Apa pun semoga Wak Saring sudi membacanya. Selepas itu komen pula tulisan saya ini Wak Saring!.

Akhirnya, saya teringat dengan kata-kata Wak Saring;

“Kapan arek dolan nang umah?”.

“Insyallah kapan-kapan aku dolan nang uma’ih Wak”

Sekian.

Thursday, January 16, 2014

Bengkel Penulisan: Penulisan Berita Dan Artikel



Perkongsian Dari Puan Marsila Binti Mohd Nor


Pengenalan Diri                

Kursus dimulakan dengan pengenalan diri oleh penyampai yang pertama Puan Marsila. Bertugas di Sinar Harian sebagai editor, juga seorang wartawan. Beliau merupakan anak sulong dari keluarga yang susah, di mana ayahnya hanya bekerja kampung. Kehidupanya yang susah menjadikan seorang anak yang tidak berani meminta-minta dari keluarganya.

Tentang Penulisan

Seawal umur sepuluh tahun beliau sudah mula serius menulis, waktu itu beliau menulis cerpen. Karya yang beliau tulis dihantar ke majalah kanak-kanak. Hasil duit dari penulisan yang diterima waktu itu diguna untuk belanja sekolah. Waktu itu beliau lebih banyak menulis melalui pengalaman hidupnya.

Pengalaman Belajar

Melalui Skim Siwazah mengganggur beliau telah melanjutkan pengajian ke UiTM, mengambil jurusan perhotelan dan catering.

Pengalaman Kerjaya

Beliau pernah bertugas di penerbitan akhbar tabloid Pentas Dunia, Majalah Hawa ( bertugas selama 7 hari) dan selama lapan tahun bertugas di Brunai Press. Kini, beliau sudah selama lapan tahun bertugas di Karangkraf, dibahagian editor akhbar Sinar Harian. Disamping itu beliau belajar dalam jurusan Sains politik.
Serba sedikit tentang penyampai kursus berita dan artikel yang saya tulis dalam buku catatan saya. Sekadar yang saya sempat dengar dan catat, andai ada yang kurang tepat mohon dimaafkan.

Sekadar Pandangan Peserta

Walaupun Puan Marsila mengatakan beliau tidak punyai asas penulisan, sehingga beliau boleh menjadi seorang wartawan tetapi melihat dari pengalaman yang diceritakannya sangat mengujakan. Biar pun begitu beliau telah berjaya menjadi seorang penulis (wartawan) yang berjaya sehingga beliau ditugaskan dibahgian editor di Sinar Harian. Benarlah, melalui pelbagai pengalaman hidup. Seseorang itu boleh mengembangkannya melalui sebuah penulisan.

Setiap kita punyai pelbagai kehidupan yang boleh dikongsi oleh seluruh khalayak. Pengalaman setiap orang berbeza yang mana boleh diambil ibrah buat motivasi dan panduan hidup. Sesungguhnya pengalaman Puan Marsila telah menyuntik semangat para peserta agar terus menulis, menulis dan menulis. Begitu untuk diri saya yang datang pada hari ini.




Penerangan Tentang Penulisan Artikel Dan Berita

Sebelum memberi kami tugasan yang perlu kami lakukan, Puan Marsila telah memberi penerangan tentang bentuk-bentuk penulisan berita dan artikel. Beliau telah mengedarkan nota ringkas berkenaan penulisan berita dan artikel.

Di kesempatan ini saya tuliskan kembali tentang kandungan nota tersebut;

Apa itu berita

Berita ialah peristiwa luar biasa yang boleh dimuat dalam suatu media cetak, atau disiarkan melalui radio atau televisyen.

Contoh:

Sesorang mahasiswa yang kuliah setiap hari adalah perkara biasa. Tetapi jika mahasiswa berkelahi dengan pensyarah di dewan kuliah itu luar biasa.

Sifat-sifat berita

Baharu dan tidak basi-Peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu jelas tidak boleh dijadikan bahan berita.

5W + 1 H (WHO. WHAT, WHERE, WHEN,WHAY) + HOW

Bahasa berita-ringkas, tepat, mudah difahami

Sumber berita-sidang media, siaran akhbar, interview dan lain-lain

Fakta- Pengesahan fakta, gosip dan lain-lain.

Semoga catatan ringkas ini memberi manfaat kepada para sahabat semua dalam ingin menulis penulisan dalam bentuk berita.

Tugasan Mencari Berita

Setelah kami diberi kefahaman tentang penulisan berita dan artikel serta diperkenalkna dengan bentuk-bentuk penulisannya. Kini, masa kami diberi tugas untuk mempraktikan penulisan ini melalui tugasan yang diberi.

Kami dibahagi dengan beberapa kumpulan untuk melaksanakan tugas mencari berita di sekitar Masjid Negeri Shah Alam. Apa-apa sahaja berita yang boleh menarik untuk orang membacanya. Kami di bahagi kepada dua kumpulan. Oleh kerana kaum adam hanya seorang, saya terpaksa jugalah menyertai kumpulan untuk melaksanakan tugasan yang diberi.

Saya, fatin, kamariah dan Aisyah, memulakan tugas mencari berita sekitar Masjid Negeri, sambil berjalan kami bincang-bincang berita apa yang mahu kami tulis. Juga dalam bentuk apa yang perlu kami tulis berita tersebut. Masing-masing mencari idea berita, sambil berjalan-jalan dan meninjau-ninjau.

Satu cadangan tentang, berita beberapa pekerja asing sedang memotong rumput di kawasan masjid, sedang salah seorang tengah melakukan kerja, salah satu mesen pemotong rumput telah mengenai seketul batu yang sebesar penumbuk melantun, lalu mengenai salah seekor lembu yang sedang meragut disitu. Lembu itu mengamuk sehingga mengejar orang yang sedang lalu lalang disitu...begitulah cadangan berita yang kami mahu tuliskan dalam tugasan yang diberi dan kami telah bercadang untuk menulisnya dalam bentuk naratif writing.


Sebulat suara cadangan diterima, kami pun masuk kebilik kuliah semula, untuk terus menuliskannya dalam bentuk berita. Seorang peserta dari kumpulan kami dilantik untuk menulisnya dalam kertas. 

bersambung...

Wednesday, January 8, 2014

Kumpulan Sajak 'Entah Apa-Apa Entah'



Untaian Kata

Syukur Alhamdulillah yang tidak terhingga dipanjatkan kehadrat Allah SWT, dengan limpah kurniaan-Nya serta selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan seluruh muslimin dan muslimat. Di tangan kalian sekarang ini merupakan buah fikiran yang saya persembahkan untuk kalian, ia merupakan himpunan atau pun koleksi sajak-sajak yang saya nukilkan selama beberapa tahun, mulai tahun 1995 sehinggalah tahun 2013. Itu pun jika ianya layak disebut sebuah sajak.

Secara pribadinya, ia bukanlah sebuah sajak atau puisi, jika mahu diukur ilmu yang saya miliki. Waktu itu  hanya lontaran perasaan bila ada satu-satu persoalan dalam hidup yang melanda, maka terhasilah luahan rasa hati seperti susunan sebuah sajak atau puisi. Mungkin pengaruh dari suka membaca tulisan sajak di akhbar waktu itu. Maka terbinalah sebuah luahan yang sebegitu. Entahlah...!.

Pelbagai Rasa

Entah kenapa tiba-tiba ada keinginan untuk saya mengumpulkan kesemua hasil tulisan sajak ini sebagai koleksi pribadi. Selama beberapa bulan, menuliskan semula kesemua sajak-sajak tersebut ke dalam folder di Komputer lama, agar ianya tidak hilang dan terbuang begitu sahaja. Sedikit demi sedikit, mengikut kemampuan daya penulisan, akhirnya saya telah dapat kumpulkan tulisan-tulisan tersebut.

Menyelongkar buku-buku catatan lama, juga cebisan-cebisan kertas yang mengandungi tulisan-tulisan berbentuk sajak ini, dengan niat agar mesej yang dinukilkan ini dapat dimanfaati oleh anak-anak pada masa akan datang. Sebenarnya, tidak terniat pun pada masa lalu untuk menulis sajak, bahkan ilmu atau panduan untuk menulis sajak pun tidak dimiliki.

Cuma sekadar meluah perasaan melalui penulisan ala-ala sajak. Tapi bila ditatapi, dibaca kembali tulisan-tulisan tersebut, rupa-rupanya ada nostalgianya. Maka usaha-usaha untuk menghimpunkannya kini telah berjaya. Syukur Alhamdulillah sekali lagi!. Dalam koleksi ini, bermacam-macam perasaan luahan rasa.

Ada perasaan semangat, marah, cinta, sayang, kasih, frust, perjuangan, muhasabah kematian, politik dan pelbagai rasa lagi. Ia punyai nostalgia yang tersendiri. Perasaan-perasaan dulu-dulu yang terlalu emosi, geram, marah, rindu, jatuh cinta, memendam rasa...ya semuanya ada, boleh dinikmatinya.

Ia bukanlah sajak atau puisi-puisi yang sangat puitis, ia lontaran secara bersahaja, tanpa ada asas ilmu sajak ketika itu, tidak faham apa diksi, metafora, stanza, personifikasi dan istilah-istilah lain dalam penulisan sajak atau puisi ini. Waktu itu memang suka baca sajak-sajak dalam akhbar arus perdana ( jika ada peluang membelinya), di majalah-majalah( waktu itu tidak terfikir pun untuk membeli majalah-majalah keluaran DBP), Harakah dalam ruangan sastera dan budaya ( Ada digunting untuk dibuat buku skrap, hingga kini tidak berjaya dibuat pun).

Waktu itu tidak menekuni pun cara satu-satu sajak ditulis, sekadar membacanya begitu sahaja. Hingga apabila, perasaan adakalanya dilanda gelora, bermacam-macam luahan perasaan dilontarkan melalui penulisan ala-ala sajak begitu. Sehingga ke hari ini, bila diselongkar buku catatan lama, rupa-rupanya beratus juga hasil nukilan luahan hati itu. Bila dibaca lagi, mengimbau kenangan lama, ia sungguh mengasyikkan sekali.

Mengimbau Kembali

Sekitar tahun 1995 saya sudah mula menulis, luahan perasaan melalui buku catatan pribadi, apa sahaja yang terlintas difikiran waktu itu akan dicatat dalam buku yang disediakan khas. Juga melalui dairi pribadi, adakalanya tidak lengkap pun tetapi kerana minat untuk meluahkan perasaan melaluinya ia tetap dimiliki dairi tersebut.

Suka duka dalam dunia pekerjaan, perasaan-perasaan semangat, geram, sayang dan pelbagai rasa saya luahkan waktu itu. Ia semacam terapi yang bisa dapat mengubat hati yang adakalanya berkecamuk. Bila diulangi pembacaan hasil luahan rasa hati kita, ia dapat mendamaikan perasaan itu, waktu itulah.

Pergolakan dunia politik juga, membangkitkan perasaan-perasaan yang sangat memberontak. Melihat kezaliman penguasa, ketidakadilan dan pelabagai rasa membangkitkan perasaan yang sungguh jengkel, marah, benci, meradang dan sebagainya. Itu juga menjadi terapi diri agar bersabar dalam menghadapi situasi waktu itu.

Apatah lagi perasaan cinta, kasih, sayang, akan melahirkan lontaran-lontaran perasaan yang pelbagai, ada rindu serindu-rindunya, ada kasih sekasih-kasihnya, jiwa muda remaja tika itu sungguh mengasyikkan sekali. Memendam perasaan, cinta dan kasih pada seseorang hingga tidak terluah, akhirnya memeranakan diri sendiri. Ah... betapa cinta waktu itu sungguh asing bagi saya, tapi ia tetap menggoda-goda usia waktu itu.

Apa lagi yang tidak terluah waktu itu... semuanya ada nostalgiannya.

Untuk sajak-sajak tahun 2013, hanya sebahagian sahaja yang dapat di masukkan ke dalam koleksi ini. Mungkin akan menyusul koleksi khas sajak 2013, Ia lebih pada sajak-sajak yang saya terbitkan di Portal Esastera.com. Dan ada juga sajak-sajak politik yang sangat kritikal waktu itu yang tidak saya masukkan dalam koleksi ini, namun ia sedang dikumpulkan dalam koleksi sajak yang lain, dan usaha ini sedang dilakukan. Moga Allah SWT memberi bantuan dan kekuatan pada saya.

Kini

Dari setahun ke setahun, usia pun semakin dewasa, pemikiran pun semakin berubah, lebih matang dan rasional. Insyallah, mudah-mudahan begitulah hendaknya. Luahan dan lontaran rasa hati masih lagi dinukilkan melalui sajak-sajak yang ditulis. Dengan hasil pembacaan buku-buku sajak, melalui media maya dan sebagainya memberikan input yang banyak pada diri, agar dapat melengkapi dan mempelajari selok-belok sebuah sajak itu dibina atau ditulis.

Menjumpai portal eSastera.com, sekitar tahun 2010, kalau tidak silap saya. Telah menjadikan titik mula untuk mempelajari tentang penulisan sajak atau puisi melalui media maya ini. Melaluinya, dengan apa yang dikatakan sajak saiber, kita boleh mempelbagaikan corak persembahan sajak kita dengan disertai unsur-unsur saiber, juga sajak tanpa unsur saiber boleh diterbitkan di Portal tersebut.

Dengan menerbitkan sajak-sajak kita di sana, ia akan dinilai dan dikritik secara langsung oleh pembaca-pembaca yang membaca hasil penulisan sajak kita. Komen-komen atau kritik yang membina, akan dilontarkan oleh pembaca yang arif tentang sajak atau puisi. Di esastera, penulis sajak juga pendeklamator sajak yang hebat seperti Puzi Hadi turut memberi komen, kritik membina sajak atau puisi yang kita terbitkan di Portal tersebut.

Juga, pendiri Portal eSastera, Dr.Irwan turut memberi komen, kritik dan rangsangan kepada penulis-penulis baharu seperti saya. Selain itu IDA atau Ibnu Din AsSingkiri turut memberikan rangsangan, komen dan kritik yang membina. Juga kepada  para pembaca yang juga penulis di Portal eSastera, sentiasa membaca dan memberi komen.Semuanya itu telah memberikan semangat dan azam yang kuat untuk saya menukilkan apa sahaja yang tercetus di minda ini, dan akhirnya akan melahirkan sebuah sajak yang dapat diterbitkan di Portal tersebut.

Dalam usia yang menuju ke empat puluh tahun ini, semangat menulis semakin membuak-buak. Dalam hati sentiasa berdoa agar, Allah SWT memberikan kekuatan, kesihatan dan keselamatan ke atas diri ini. Sentiasa dalam redha-Nya dan lindungannya selalu. Di berikan idea dan ilham yang mencurah-curah. Agar semua nanti yang saya nukilkan melalui pena ini memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat. Amin!.

Apa pun, itu semua bergantung kepada kecekalan dan semangat penulisnya. Agar berterusan menulis, menulis dan menulis. Menulis tanpa jemu...tulis apa-apa sahaja. Ya, itulah harapan penulis secara pribadinya. Usia empat puluh tahun nanti akan dimanfaati untuk sesuatu yang berfaedah untuk ummah. Ilmu yang sekelumit ini akan dimanfaatkan tanpa rasa jemu dan lesu hendaknya.

Harapan

Untuk akhirnya... khusus kepada anak-anak, seandainya segala catatan, luahan hati ini boleh mendatangkan manfaat pada kalian, maka ambillah ibrah darinya. Cetusan dan getusan yang emosional hanya merupakan rasa hati Abi waktu itu. Persoalan hidup yang dilalui waktu itu banyak mendatangkan kesan emosi pada diri sehinggalah akhir hayat ini. Ia bukan sekadar emosi semata-mata tetapi setiap luahan hati itu ada nostalgianya sendiri.

Dalam koleksi ini, tiada yang rahsia, ia luhan hati yang sebenarnya dari hati seorang insan yang biasa-biasa sahaja. Boleh juga dikatakan koleksi sajak entah apa-apa entah!. Apakah ia boleh dikatakan koleksi sajak atau pun tidak saya tidak tahu, Jika ada sesiapa yang sudi menilainya, itu juga harapan saya. Entahlah...

Harapan agar anak-anak dapat menyimpannya agar ia akan dapat memberi inspirasi dan motivasi buat kalian. Ini sahajalah yang Abi dapat wariskan pada kalian selain harta yang mungkin tidak seberapa. Moga ilmu yang sedikit ini dapat dimanfaati oleh kalian, juga kepada sesiapa sahaja yang mungkin dapat menikamati hasil penulisan ini.

Sesungguhnya ribuan terima kasih kepada isteri tercinta, yang terlalu sabar dengan karenah suamimu ini. Adakalanya kelihatan berjam-jam dihadapan laptop ini. Entah apa yang dibuatnya. Inilah hasilnya, duhai isteriku...yang mungkin dapat ditatapi oleh mu dan anak-anak kita nanti bila mereka sudah dewasa. Anak-anak yang masih kecil ketika Abi sedang menulis datang mengacau dan usik Abi...apa pun kalian sangat menghiburkan hati Abi.

Sesungguhnya nikmat masa yang diberikan oleh Allah SWT ini, mudah-mudahan memberi manfaat pada saya, dan menjadilah saya manusia yang bersyukur semata-mata hanya pada-Nya. Terima kasih Tuhan kerana memberikan kekuatan dan kesempatan untuk aku menghimpunkan hasil tulisan aku ini sebuah pusaka yang dapat diwarisi oleh anak-anakku.

Amin Ya Rabb!.

Masshah 2013
Bilik Buku
10:40 malam
Ahad Malam Isnin

(20hb 10 2013M bersamaan 15 Zulhijjah 1434H.)

Tuesday, January 7, 2014

Membeli Buku Di Souq Quba


Terimbau kembali saat ziarah luar di kota Madinah, sewaktu ke Masjid Quba..., selepas menunaikan solat sunat. Saya sengaja berjalan-jalan dibahagian luar hadapan masjid. Terlihat kedai di bawah sana. Saya cuba memasukinya, sengaja ingin melihat-lihat, sebenarnya ia sebuah pasar raya (Souq Quba’ Yar Harb). Menjual pelbagai barangan keperluan.

Di satu sudut bahagian saya terlihat rak-rak buku, ada bahgian menjual kitab-kitab. Kebanyakan dalam bahasa arab, biasalah namanya pun di tanah Arab, bumi Madinah yang berkat pula. Memang seronok tengok buku-buku, baik dalam negara atau luar negara, perasaan terhadap buku sama sahaja.

Biar pun dalam bahasa Arab, pegang-pegang, selak-selak biar pun tidak faham apa maksudnya. Saya cuba mencari dan meninjau-ninjau mana tahu ada buku dalam bahasa Melayu. Saya terlihat beberapa buah buku tulisan bahasa Melayu Indonesia, dalam hati terdetik, “ada juga buku dalam bahasa melayu...”.

Saya teruja melihatnya buku-buku tersebut, saya mencari tajuk-tajuk yang sesuai untuk saya beli, kebetulan ada bawa duit lebih untuk ziarah luar. Akhirnya terpilih dua buah buku yang antara tajuknya ‘ Menjadi Suami Penuh Cinta’ tulisan Imad Hakim dan sebuah buku berkenaan Rasulullah bertajuk ‘Keagungan Rasulullah, Seakan-akan Engkau melihatnya’, tulisan Zainudin Bin Qasim, kedua-dua buku tersebut terbitan Darul Furqon, Arab Saudi.

Sekurang-kurangnya ada ole-ole dari luar negara, minat dengan bahan bacaan maka beli jugalah buku untuk kenangan. Nanti bila baca, boleh kenang-kenangkan sewaktu di Madinah. Secebis kenangan di sudut buku di Pasar raya, Souq Quba Yar Harb di bahagian hadapan Masjid Quba tidak akan luput dari ingatan ini.


Ia adalah memori indah sewaktu umrah dan ziarah di kota Mekah dan Madinah. Semoga dengan mengingatinya akan berputik kerinduan pada bumi yang suci tersebut.

Selamat membaca...!.

Sunday, January 5, 2014

2013 Pergi 2014 Datang



Sudah enam hari kita berada ditahun 2014, bermakna sudah enam hari juga tahun 2013 telah meninggalkan kita semua. Tentu ada peristiwa-peristiwa yang menarik sepanjang 2013, juga ada yang berduka lara, pahit dan ujian disepanjang 2013 lalu. Apa pun yang berlaku anggaplah itu hanya ujian dari-Nya.

Kini 2014 sudah kita lalui, yang punyai azam, teruskan segala impian dan cita-cita kalian yang mungkin belum tercapai. Semoga tahun ini, menjanjikan sesuatu yang akan membahagiakan. Oleh itu tingkatkan usaha untuk menuju ke arah itu.

Dikesempatan yang ringkas ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2014...Semoga dunia lebih aman.

Sampai jumpa lagi.

DEMI MASA