Followers

Monday, October 28, 2013

Pengalaman Kursus Penulisan Di Galeri Sanggar Damai Abadi



Seperti penulisan yang lalu, tujuan saya menyertai Kursus Penulisan, Makmal Istimewa: Pengalaman Penulis dan Menulis Pengalaman adalah untuk menyuntik motivasi diri agar terus bersemangat agar terus segar bugar menulis apa-apa sahaja perkara untuk dikongsi dalam blog yang dibina. Di samping itu untuk mendapatkan pengalaman dari insan-insan yang bijak dalam penulisan mereka. Ilmu yang didapati dari kursus ini boleh diambil sebagai panduan dalam kerja-kerja penulisan nanti.

Mengimbau kembali hari pertama saya menjejaki Galeri Sanggar Damai Abadi milik Dr Ibrahim Ghaffar pada beberapa minggu yang lalu. Ia telah meninggalakan nostalgia buat diri ini, dalam perjalanan pencarian ilmu penulisan dari orang yang bijak seperti Dr Ibrahim Ghaffar. Ini kali kedua saya menjejaki galeri tersebut, pertama kali semasa ada tugasan dari biro pena dan penerbitan masjid beberapa tahun yang lalu. Itu sudah saya nukilkan dalam penulisan yang lalu.

Menjejakinya kali kedua sungguh memuaskan hati ini, Dr Ibrahim telah mengizinkan kami meninjau-ninjau keseluruhan galeri miliknya sebelum bengkel penulisan dimulakan. Dari ruang galerinya sehinggalah ruang tamunya yang di hiasai dengan pelbagai lukisan-lukisan hasil karya beliau. Lukisan alam yang dihasilkannya tentunya punyai maksud yang tersirat yang sungguh mendalam pada diri pelukisnya.



Susunan buku-buku dengan pelbagai genre menghiasi meja tulis beliau, lambakan buku-buku bahagian bawah juga mengambarkan betapa beliau seorang yang kuat membaca. Sebagai seorang penulis sudah pasti memerlukan bahan-bahan bacaan untuk sebagai rujukan dan pencambahan ilmu untuk dimasukkan dalam setiap karya yang dituliskan. Sebagai seorang penulis, membaca itu sebagai makanan utama mindanya.

Banyak karya-karya puisi beliau yang terbit di akhbar arus perdana dalam ruang sastera menghiasai setiap dinding galeri, dengan dibingkaikan sebagai bahan nostalgia yang paling indah barangkalinya. Sesebuah karya yang diterbitkan bagi seorang penulis merupakan sesuatu kepuasan diri tentunya. Yang paling penting penulisannya dapat dibaca oleh khalayak. Tentu manafaatnya sungguh besar sekali.



Ya, saya cukup teruja sekali dengan seorang penulis, pelukis dan juga budayawan seperti beliau. Keratif dan inovatif seorang penulis yang boleh dicontohi oleh masyarakat. Dokumen-dokumen penting seperti sejarah Masjid At-Taqwa Kampung Bukit kapar, beliau masih menyimpannya. Bahkan bahan yang lain-lain, saya yakin pun begitu juga. Saya tidak melepaskan peluang untuk mengambil beberapa gambar  galeri beliau sebagai tatapan untuk motivasi diri. Dalam hati... “Aku pun nak ada galeri sendirilah...”.




Justeru itu, seorang penulis perlukan banyak pengalaman, dengan banyaknya pengalaman itulah nanti akan menjadi perkongsian dalam setiap hasil karyanya. Biar apa pun perkara yang mahu dikongsikan itu nanti hasilnya akan memberi manfaat pada khalayak yang membacanya. Oleh yang demikian, nukilan pengalaman ringkas yang saya tuliskan ini mudah-mudahan ada manfaat buat pembaca semua.

Pengalaman Penulis Menulis Pengalaman

Penulis Menceritakan Pengalamannya



Dalam kursus tersebut, Dr. Ibrahim telah menceritakan pengalaman hidup beliau, bermula dari usia kecil hinggalah sehinggalah usia beliau belasan tahun sehingga beberapa kejayaan demi kejayaan dalam bidang yang diceburinya. Hidupnya penuh liku-liku dan warna-warni, suka duka, dan semuanya itu merupakan pengalaman yang sungguh memberikan rangsangan buat dirinya.

Sungguh, pengalaman yang dilaluinya penuh dengan pengajarannya, lalu apakah sebagai pendengar atau peserta kursus tidak akan menimbulkan motivasi untuk merangsang diri agar terus tabah dan sabar pada setiap mehnah atau ujian hidup yang dilalui. Ya, sudah pasti pengalaman penceramah akan menjadi sumber motivasi tinggi buat bakal penulis seperti saya (konon-kononnya).

Dr.Ibrahim telah melalui pengalaman yang begitu getir dalam hidupnya, umur setahun tiga bulan, sudah menjadi anak yatim, ibunya telah meninggal dunia. Ayahnya telah menyerahkan kepada sahabatnya  juga seorang ulamak iaitu kiayi Hj Muhammad Yasin. Pernah hidup gelandangan sewaktu usia remajanya, menjadi pencuci kereta di tempat parking demi mencari sesuap nasi. Sehinggalah dari satu kehidupan hingga satu kehidupan yang dilaluinya. Dari satu takah ke satu takah kehidupannya semuanya merupakan pengalaman hidup beliau ceritakan.



Pengalaman dimasukkan ke dalam kandang ISA, juga telah menguatkan jiwanya. Tidak memberontak dan beliau redha dengan apa yang berlaku. Apa yang berlaku juga sebenarnya menurut beliau adalah ketentuan Allah SWT bukannya kebetulan. Baginya ia merupakan sebuah Universiti Kehidupan yang harus dihadapi dengan cekal, tabah dan tawakal pada Allah SWT.

Seterusnya pengalaman dalam pencarian sebenarnya, ia juga boleh dikatakan pengalaman kerohanian. Yang mana beliau telah bertemu Kiyai Laksamana  Hang Tuah di Pulau Batu Putih. Beliau telah menceritakannya di majalah Mastika. Boleh dicari dipasaran majalah tersebut.

Semasa beliau menceritakan pengalamannya, kami diberi peluang untuk menyoal kepada beliau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan pengalamannya atau pun soal tentang penulisan. Dalam masa yang sama kami memperkenalkan diri masing-masing. Menjadikan seisi perbincangan menjadi hangat dan menyeronokkan.
Dalam dunia penulisan, bagaimana beliau boleh tercebur dalam dunia penulisan kreatif. Jika mengikut bidang yang dipelajarinya tidak bersangkut paut dengan dunia penulisan. Beliau mengambil bidang Art Disgn dan Belajar membuat Arca. 



Namun melihat pengalaman yang diceritakannya seawal umur sembilan tahun sudah mula menulis puisi dan menang pertandingan dalam deklamasi puisi. Juga dalam pergaulannya bertemu orang-orang yang terlibat dalam dunia penulisan seperti Usman Awang. Itu semua merupakan titik tolak beliau menjadi seorang penulis.

Karya-karya beliau banyak tersiar di akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian. Menceritakan sewaktu mengahantar karya di akhbar pada awal menceburi penulisan keratif seperti sajak dan cerpen. Menurutnya, waktu itu sebuah sajak akan di bayar sebanyak RM10.00 dan cerpen RM50.00. Duit-duit itu digunakan untuk menampung kehidupannya dan juga pengajiannya.

Sungguh apa yang diceritakan oleh Dr.Ibrahim merupakan pengalaman hidup beliau. Pengalaman yang banyak pengajaran yang boleh diambil. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh menulis pengalaman masing-masing. Banyak lagi sebenarnya yang dikongsi oleh Dr.Ibrahim Ghaffar dalam perkongsian pengalamannya.
Untuk para pembaca sekelian, bolehlah mengenali beliau lebih mendalam lagi dengan membaca buku-buku keratif tulisan beliau seperti ‘Kembali Ke Dalam diri’, ‘Di Bumi Bertuah’, Seng Kaya Ngene, Legasi dan lain-lain lagi.



Dr. Ibrahim telah memberi input yang sangat berguna buat peserta penulisan tersebut. Lebih-lebih saya, insan yang biasa-biasa sahaja. Semoga ia terus merangsang diri untuk terus menulis, menulis dan terus menulis tanpa rasa jemu dan malas.

bersambung...

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA