Followers

Tuesday, April 22, 2014

Minda Siasah: Larian Rasuah Lari Dari Rasuah


Rasuah menurut maksud Kamus Dewan Bahasa Jilid 4, membawa maksud ‘pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap), Menurut agama, pemberi dan penerima rasuah akibatnya boleh masuk ke jurang api neraka. Sudah pasti perbuatan memberi rasuah dan menerima rasuah adalah perbuatan serong, boleh merosakkan akhlak seseorang, jika ia seorang penganut Islam sudah tentu padahnya seperti yang ditulis di atas. ‘I help you, you help me’, juga boleh ditafsirkan pernyataan rasuah yang terus terang. Benarkah begitu?.

Oklah, cukup sekadar itu, maksud yang mudah tentang rasuah. Gejala rasuah semakin hari semakin meningkat, maka bila dilihat begitu, bagi kerajaan yang prihatin tentang gejala ini, maka banyaklah dilakukan kempen-kempen bagi menjauhi amalan yang tidak bermaruah ini. Sama ada di kaca-kaca tv mahupun di media-media cetak diwar-warkan kempen tersebut agar seluruh rakyat faham akan tentang peri buruknya perlakuan rasuah. Bagaimana hasilnya?.

Gejala ini boleh berlaku di mana-mana tempat, tidak kira waktu dan masa, setiap detik dan saat ia boleh dilakukan. Di pejabat, di kedai kopi, di pertemuan tertutup, semasa roadblock, melobi mahu projek, di dalam masjid?, ya...di mana-mana pun ia boleh dilakukan. Oleh sesiapa sahaja, ahli politik sudah pasti, pekerja pejabat tentu sahaja, semasa operasi roadblock ermm banyak cerita didengari, pernah berlaku? Pernah. Semua dilakukan oleh orang yang tidak amanah dengan tanggungjawab yang dipikul di pundak mereka.

Kenapa berlaku?, biasalah, nama pun manusia, lemah jiwa apatah lagi iman di dada sangat nipis, gaji tidak mencukupi, perlukan duit...terdesak, tidak tahan ujian, banyak lagi sebenarnya mengapa ia berlaku. Mahu mempertahankan kuasa juga jawatan, rasuah mahu tidak mahu diperlakukan. Banyak berlaku dan terjadi, lihatlah di dada-dada akhbar, berapa banyak penjawat-penjawat awam telah ditangkap atas salah laku rasuah ini. Mahu projek atau tender kerajaan, mahu cepat dapat, rasuah bawah meja, duit kopi, dan macam-macam istilah yang berkait dengan rasuah.

Pernah dengar orang-orang besar kena tangkap rasuah?, bila kita sebut ‘orang-orang besar’ termasuklah orang-orang politik. Sebab orang politik sekarang bukan buat kerja untuk rakyat tapi buat kerja untuk konglomerat dan ahli koperat, betulkah?. Banyak yang buat kerja rakyat bila dekat PRU, lagi setahun mahu PRU baharulah terdengar kepekaan mereka tentang rakyat, kebajikan rakyat, dan macam-macam lagi. Ada juga orang-orang politik kena tangkap atas dakwaan rasuah tidak lama dari itu lepaslah, tiada kes. Dakwaan terpilih?.

Apa yang kita lihat, ikan bilis ramai yang kena, segala ikan jerung, ikan jos dan ikan paus selamat sihat walfiat, boleh lagi berlegar-legar ke luar negara makan angin. Begitulah undang-undang dunia. Langkah kerajaan yang ada  bagi mengatasi rasuah ini, sudah macam-macam dilakukan, baginya ini langkah transformasi dan komitmen kerajaan bagi membebaskan negara dari gejala rasuah, terbaharu perdana menteri telah merasmikan larian ‘Hapuskan Rasuah Jangan Beri, Jangan Terima’ beberapa hari lepas.

Tujuan larian ini menurut Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan;

"Tujuan utama ialah untuk menghapuskan rasuah. Rasuah bukanlah budaya kita serta tidak memberi apa-apa rezeki sebaliknya ia hanya melumpuhkan kestabilanekonomi negara. Keupayaan menangani rasuah perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.
   
"Rasuah akan tetap berlaku selagi adanya 'pemberi' dan 'penerima'. Justeru, Larian Hapuskan Rasuah merupakan tanggungjawab individu dalam melahirkan ikrar integriti masing-masing ke arah mewujudkan negara yang bebas rasuah,"

(Portal Sinar Harian)

Tak tahulah apakah kempen ini akan berjaya atau tidak, menarik slogan kempennya tapi apakah ia benar-benar akan dipraktiskan?, kita tunggu hasilnya nanti atau akan bertambah parah separahnya?. Bila kata mahu benteras rasuah, yang empunya diri juga kena bersih bebas dari rasuah, bukan sekadar omong-omong kosong. Rakyat menilai dengan bijak sekarang. Bukan macam dulu-dulu, melulu mengikut hawa nafsu.

Siapa pun kita, sama ada penyokong pembangkangkah, penyokong parti pemerintahkah, tidak ke mana-mana pihakkah, aku tidak campur mana-mana politikah, dan lain sebagainya, sudah sewajarnya jauhi gejala tidak bermoral dan rendah akhlak ini. Itulah yang kita mahukan, ingin melihat negara ini jauh dari gejala yang semakin membarah ini. Mudah-mudahan jangan hanya sekadar larian semata-mata tetapi biarlah kita lari terus dari fatamorgana rasuah ini.

Akhirnya, apa yang penting dari itu, pendekatan agama adalah lebih ampuh, mesti digunakan buat memberi kefahaman sungguh-sungguh kepada segenap masyarakat. Hanya agama yang mampu mengubah gejala rasuah ini. Amalkan agama dengan sungguh-sungguh pada setiap diri yang mengaku muslim, pasti amalan atau gejala rasuah ini akan terhindar dari diri individu tersebut. Harapan dan impian bersama agar negara tercinta ini bebas terus dari rasuah bermaharajalela.


Nyahkan Rasuah!.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA