Jauhi Budaya
Asabiyyah
Alhamdulillah,
syukur pada Allah SWT masih mengizinkan saya untuk mengetuk papan kekunci
laptop ini untuk menulis sesuatu yang bermain di minda ini. Muharam baharu dua
hari berlalu, pelbagai program berlangsung di setiap masjid mahu pun
surau-surau di seluruh negara. Ada juga karnival, ekspo, pameran dan pelbagai
lagi acara yang dianjurkan bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435H ini.
Semasa menonton
acara sambutan Ma’al Hijrah peringkat kebangsaan di kaca tv, saya tertarik
dengan ucapan Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkaitan
dengan ‘budaya asabiyah’. Baginda menyeru kepada seluruh rakyat agar
mengelakkan dari membawa ‘budaya asabiyyah’ di dalam kehidupan masyarakat
majmuk. Seruan dan ingatan yang diberikan oleh baginda seharusnya jangan
diambil mudah oleh setiap rakyat.
Titah Seri Paduka;
“Janganlah
kita benarkan kecelaruan berkembang dalam masyarakat sebaliknya usaha
membimbing masyarakat kepada penerapan nilai kebersamaan perlu diteruskan dan
dijadikan agenda negara.”
Sebagai negara yang
berbilang kaum, kita sewajarnya mempertahankan prinsip kehidupan harmoni dan
kedamaian yang berterusan. Ia sangat signifikan dalam sesebuah negara yang
berbilang kaum seperti Malaysia ini. Ingatan ini juga sebenarnya untuk para
pemimpin di segenap bidang. Para pemimpin politik khususnya juga, janganlah
ambil enteng tentang titah seruan baginda itu.
Kita tidak mahu
berlaku sesuatu yang tidak diingini terjadi di negara kita ini. Cukuplah
pertelingkahan dalam politik yang tiada kesudahannya. Jangan dimelaratkan
dengan perkara-perkara yang boleh menggangui ketenteraman kehidupan harmoni
rakyat seluruhnya. Selagi ada sifat tanggungjawab dan jati diri demi
mempertahankan perpaduan kaum, Insyallah keamanan dan keharmonian ini akan
tetap berkekalan dengan izin Allah SWT.
Justeru itu,
marilah sebagai rakyat yang punyai maruah diri yang tinggi, kita sahut titah
seruan baginda agar terus mempertahankan keharmonian ini. Buangkan ‘budaya
asabiyyah’ dalam diri setiap rakyat seluruhnya. Pasti keamanan, kedamaian dan
keharmonian tetap akan menjadi milik bersama.
Salam Ma’al Hijrah.
No comments:
Post a Comment