Followers

Monday, November 4, 2013

Corat-Coret Dari Kursus Pengalaman Penulis Menulis Pengalaman

Dr. Ibrahim Ghaffar

Ada beberapa perkara yang dapat dikongsiakan lagi, semasa menghadiri kursus tersebut, yang sempat saya catatkan dalam buku nota saya. Kata-kata mutiara yang mungkin kita dapat ambil pengajarannya dan mempraktikan dalam kehidupan kita.  Hari ini ingin saya kongsikan kepada sahabat semua. Antaranya;

Kata-kata Dr.Ibrahim Ghaffar

1) Sebelum memulakan pembentangan perkongsian pengalaman penulis, Dr.Ibrahim telah memulakan dengan ucapan kalimah istighfar beberapa kali, baginya ia merupakan amalan biasa dirinya dalam memulakan apa-apa kerja yang hendak dilakukan. Ia juga merupakan saranan atau pesanan oleh ayahnda beliau dan guru juga ayahnda angkat beliau, Kiyai Haji Muhammad Yassin.

2) Dendam, sifat dendam ada pada setiap diri seseorang, juga pada dirinya. Menurutnya manusia bersifat tidak berkecukupan dalam segala hal. Keinginan dan ketamakan manusia menyebabkan sifat dendam itu bertunjang di dalam hati. Namun bagaimanapun, dendam ini perlu diurus dan diangkat sebagai sesuatu yang membuahkan perkara positif.

Ya, menurutnya, dendam yang diurus secara positif , maka buahnya juga akan menghasilan yang positif. Beliau telah merealitikannya dalam kehidupannya, dengan dendam yang positif itulah, kejayaan demi kejayaan dikecapi oleh beliau.

3) Ungkapan kebetulan dalam kehidupan kita. Baginya ungkapan kebetulan tidak boleh digunakan. Menurutnya dalam pencarian, melalui pertanyaan bijak pandai dan faktanya, sesungguhnya apa yang terjadi dan berlaku pada kita dalam semua perkara adalah aturan Allah, bukan secara kebetulan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengatur.

Maka baginya istilah atau ungkapan kebetulan itu sangat tidak bersesuian untuk kita gunakan. Padanya, yang lebih tepat adalah ungkapan ‘Segalanya adalah ketentuan Allah SWT’. Seperti contoh, 
“Alhamdulillah, sudah ketentuan Allah hari ini saya dapat sekali lagi menjejaki Galeri Sanggar Damai Abadi milik Dr. Ibrahim.”

4) Jika berlakunya permasalahan dan kerusuhan pada dirinya, beliau, sebagai hamba Allah SWT, sering mengadu pada khaliqnya. Agama, sebagai anutan dan pegangannya telah membukakan jalan menuju pintu Rabbi. Bangun malam sebagai ubat mujarab untuk menyelesaikan kerusuhan pada dirinya. Dengan mengerjakan tahajud, solat istikharah, sunat taubat, sujud syukur dan sebagainya adalah penyembuh hati yang sedang berkecamuk dengan pelbagai masalah.

5) Ungkapan kata-kata Laksamana Hang Tuah “Tak kan Melayu Hilang Di Dunia...”. Ia ungkapan yang belum lengkap sebenarnya. Melalui penceritaannya, boleh dikatakan perjalanan rohani untuk dirinya, semasa menemui Laksamana Hang Tuah di Pulau Batu Putih. Beliau menyatakan ayat penyambungnya seterusnya adalah “Selagi berpegang pada agama...”.

6) Menurutnya, ‘Orang yang tidak ada masalah, adalah orang yang tidak membuat apa-apa’. Sungguh tepat 
kata-kata tersebut.


Demikianlah beberapa perkara, mungkin ada motivasinya, boleh diambil dan dipraktikan.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA