Followers

Friday, November 15, 2013

Nota Muharam 1435H (1)



Sambutan Ma’al Hijrah Di Mana-Mana

Alhamdulillah, di pagi yang indah dalam bulan muharam 1435H. Syukur tidak terhingga, dengan izin Allah SWT dapat lagi, menghirup udara pagi yang nyaman. Masih boleh lagi bernafas, menikmati alam maya ini. Dapat mengecapi lagi nikmat usia yang semakin bertambah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkati dan meredhai kehidupan ini.

Pada tanggal 1 muharam 1435H bersamaan 5hb 11 2013M, Selasa. Hari cuti bagi seluruh negeri-negeri di Malaysia. Juga dikenali dengan cuti Maalhijrah, di sana sini pelbagai sambutan merayakan tahun hijrah ini dilaksanakan, baik peringkat negara, negeri bahkan diperingkat kampung juga diadakan majlis sambutan Ma'al Hijrah.

Ini bagi menunjukkan bahawa, tahun hijrah juga sama pentingnya dengan tahun masehi yang setiap tahun diraikan. Lebih-lebih lagi tahun hijrah merupakan tahun yang penting bagi umat Islam diseluruh dunia Islam. Namun sambutan di Malaysia sangat menarik, saban tahun kerajaan akan merayakan dengan pelbagai acara.

Bermula pada petang semalam untuk membaca doa akhir tahun dan di sudahi dengan doa awal tahun sebelum menunaikan solat maghrib sebagai tanda bahawa 1 muharam sudah bermula saat itu. Malamnya akan di serikan dengan majlis ceramah, syarahan, diskusi, forum, kesenian Islam dan pelbagai acara yang dapat membangkitkan semangat hijrah pada diri kita.

Pada sebelah pagi akan diadakan perarakan sambutan ma’al hijrah peringkat negara, anugerah tokoh ma’al hijrah juga akan diberikan kepada tokoh yang layak menerimanya. Itu sebagai tanda penghargaan tertinggi negara terhadap jasa-jasa, khidmat serta buah fikiran berkaitan dengan Islam yang mereka curahkan untuk negara.

Untuk tahun ini, tokoh Maal Hijrah 1435H kebangsaan telah dianugerahkan kepada Tan Sri Dato Haji  Abdul Hamid Bin Zainal Abidin. Manakala tokoh Maal Hijrah untuk anugerah antarabangsa pula dianugerahkan kepada tokoh pendakwah terkenal di dunia Islam  dari benua India iaitu Dr. Zakir Abdul Karim Naik. Sesungguhnya, usaha-usaha ini sangat memberi impak yang baik terhadap masyarakat seluruhnya.

Semoga sambutan Ma’al Hijrah kali ini, bukanlah semata-mata sambutan sahaja, Ia akan memberi suntikan motivasi kepada seluruh umat Islam. Hijrah bukan sekadar ungkapan dibibir tetapi seharusnya direalisasikan dalam segenap kehidupan. Bukan semata-mata hanya memenuhi takwim tahunan semata-mata, lebih daripada itu agar ma’al hijrah dapat menghasilkan sesuatu anjakan paradigma dalam segenap sudut kehidupan umat Islam.

Hijrah demi sesuatu yang lebih baik, dari yang baik kepada yang lebih terbaik dan lebih terbaik lagi. Itu yang semua orang mahu. Dalam individu, ingin kejayaan demi kejayaan, keluarga, masyarakat dan negara begitu juga. Itu semua menuntut penghijrahan yang sebenar-benarnya. Justeru itu, sama-samalah kita mengambil ibrah dari peristiwa hijrah Nabi SAW, di dalamnya penuh dengan hikmah yang besar.


Mudah-mudahan, hijrah kita diterima oleh Allah SWT sebagai hijrah yang sebaik-baiknya.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA