Satu pagi,
waktu kerja sif malam, seperti biasa saya akan berehat di kantin. Macam biasa
saya akan bercinta-cinta dengan buku yang saya bawa. Waktu rehat sif malam
memang saya manfaatkan dengan membaca buku. Jika saya tidak mengantuk sangat
memang itulah kegiatan saya diwaktu rehat. Kawan-kawan sekerja sudah maklum
tabiat saya. Mereka kadang-kadang bertanyakan saya tentang jumlah buku yang
sudah terkumpul di rumah. Berapa jumlah buku yang dibeli setiap bulan, dan
malah ada yang bertanya macam mana mahu sematkan suka membaca dalam diri.
Mungkin
mereka melihat saya asyik membaca setiap kali rehat. Rata-rata daripada mereka
berkata, membaca sikit cepat mengantuk, buku terlalu tebal nak habiskan
membaca, dulu pun membaca juga, dan macam-macam lagi alasan yang boleh
didengari dari mulut mereka. Mereka cuma rasa kagum, teruja melihat orang lain
membaca tetapi tidak hendak cuba sematkan dengan sesungguhnya tabiat membaca
pada diri sendiri.
Macam-macam
perangai manusia, punca segala penghalang sikap malas, itu sahaja bagi
pandangan saya, bila malas mana ada kekuatan untuk melakukan perkara yang
diingini, apa sahaja perkara jika ada sikap malas, ia tetap tidak akan berjaya
dilaksanakan. Saya juga sering malas mahu membaca, tetapi oleh kerana saya mahu
membaca, membaca dan membaca secara automatik sikap malas terjunam terus, kalah
dengan terjahan membaca, membaca, dan membaca.
Saya orang
biasa sahaja, tidak hebat mana pun, lawan sikap malas dengan apa yang kita mahu
lakukan. Jika mahu melukis, terus lakukan kerja-kerja melukis itu, terus
lakukan, insyallah ia boleh berlaku, mahu bersihkan kawasan rumah, tanpa
bertangguh-tangguh, terus lakukan, dan lain-lain seumpamanya. Ini sekadar
pandangan saya, jika ada betulnya bolehlah dicuba. Jika tidak, abaikan sahaja.
Apa pun
alasannya, bergerak dan bertindaklah dari sekarang, jika benar ada niat mahu
membaca, usah ditangguh-tangguh usaha murni itu, sahutlah seruan agung dari
yang Maha Agung, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Bacalah (Wahai
Muhammad) dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan (sekelian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah
Al-Alaq:1-5)
Semoga
perkongsian ringkas ini ada manfaatnya.
Jom Membaca!
No comments:
Post a Comment