Monday, March 23, 2015

Membacalah Usah Bertangguh



Satu pagi, waktu kerja sif malam, seperti biasa saya akan berehat di kantin. Macam biasa saya akan bercinta-cinta dengan buku yang saya bawa. Waktu rehat sif malam memang saya manfaatkan dengan membaca buku. Jika saya tidak mengantuk sangat memang itulah kegiatan saya diwaktu rehat. Kawan-kawan sekerja sudah maklum tabiat saya. Mereka kadang-kadang bertanyakan saya tentang jumlah buku yang sudah terkumpul di rumah. Berapa jumlah buku yang dibeli setiap bulan, dan malah ada yang bertanya macam mana mahu sematkan suka membaca dalam diri.

Mungkin mereka melihat saya asyik membaca setiap kali rehat. Rata-rata daripada mereka berkata, membaca sikit cepat mengantuk, buku terlalu tebal nak habiskan membaca, dulu pun membaca juga, dan macam-macam lagi alasan yang boleh didengari dari mulut mereka. Mereka cuma rasa kagum, teruja melihat orang lain membaca tetapi tidak hendak cuba sematkan dengan sesungguhnya tabiat membaca pada diri sendiri.

Macam-macam perangai manusia, punca segala penghalang sikap malas, itu sahaja bagi pandangan saya, bila malas mana ada kekuatan untuk melakukan perkara yang diingini, apa sahaja perkara jika ada sikap malas, ia tetap tidak akan berjaya dilaksanakan. Saya juga sering malas mahu membaca, tetapi oleh kerana saya mahu membaca, membaca dan membaca secara automatik sikap malas terjunam terus, kalah dengan terjahan membaca, membaca, dan membaca.

Saya orang biasa sahaja, tidak hebat mana pun, lawan sikap malas dengan apa yang kita mahu lakukan. Jika mahu melukis, terus lakukan kerja-kerja melukis itu, terus lakukan, insyallah ia boleh berlaku, mahu bersihkan kawasan rumah, tanpa bertangguh-tangguh, terus lakukan, dan lain-lain seumpamanya. Ini sekadar pandangan saya, jika ada betulnya bolehlah dicuba. Jika tidak, abaikan sahaja.

Apa pun alasannya, bergerak dan bertindaklah dari sekarang, jika benar ada niat mahu membaca, usah ditangguh-tangguh usaha murni itu, sahutlah seruan agung dari yang Maha Agung, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan (sekelian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah Al-Alaq:1-5)

Semoga perkongsian ringkas ini ada manfaatnya.


Jom Membaca!

No comments:

Post a Comment