Pembudayaan
nilai kecintaan pada ilmu pengetahuan memerlukan strategi pemupukan yang
berterusan dan pelbagai. Antara strategi penting tentunya mendorong minat
masyarakat terhadap buku dan budaya membaca.
Penulis
amat tertarik dengan penganjuran siri ‘Borak Buku’ oleh sekumpulan anak muda
baru-baru ini. Mereka bernaung di bawah Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
cawangan Wilayah Tengah dan Alumni Minggu Penulis Muda DBP.
Acaranya
mudah dan ringkas saja. Suasananya pula santai. Selepas mengenal pasti
pembicara buku dan menentukan pilihan buku yang bakal ‘diborak’ atau
dibicarakan, anak-anak muda ini menghebahkan program menerusi laman sosial
Facebook.
Urusan
penganjuran ini hanya dikendalikan oleh seorang saja. Pada acara baru-baru ini,
seorang remaja perempuan, Nisa Yusof menjadi pengendali penganjuran. Pada hari
dan waktu yang ditentukan, seramai lebih kurang 10 hingga 15 orang anak muda
berkumpul di sebuah kedai kopi di pusat hentian KL Sentral bagi berborak
tentang buku sambil menikmati minuman kopi pilihan.
Pada
siri ‘Borak Buku’ itu, selaku pembicara, saya mengulas karya sarjana Muslim
dari India iaitu Sayyid Abu Hassan Ali Al-Nadwi yang diterjemahkan dan
diterbitkan dalam sekitar 1950-an bertajuk Apakah Derita Yang Dihadapi Dunia
Akibat Kemunduran Kaum Muslimin.
Selepas
mengulas latar dan kandungan buku itu dalam tempoh 40 minit, kami saling
berbincang dan bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan buku dan kesesuaian
pemikirannya dalam konteks kehidupan hari ini.
Setelah
azan Asar, acara berakhir dan semua berjanji untuk bertemu lagi pada pertemuan
seterusnya sebelum bersurai menuju haluan masing-masing. Begitulah acara ‘Borak
Buku’ yang berlangsung dengan penuh santai, ringkas dan mudah.
Dr.
Razak (kanan sekali) ketika menjadi tetamu Borak Buku
Acara
ini dikongsi kerana ia boleh dianggap satu bentuk kegiatan yang menarik dalam
rangka strategi memupuk minat membaca dan mendorong kecintaan pada buku dan
ilmu pengetahuan dalam masyarakat terutama di kalangan generasi muda.
Kita
beranggapan acara sebegini wajar dikembangkan dan dibudayakan dengan lebih
meluas lagi. Ia dilihat satu pendekatan yang berkesan terutama bagi membuka
ruang baru bagi kegiatan serius yang membabitkan penyertaan generasi muda.
Kegiatan
berborak mengenai buku ini tidak semestinya dilaksanakan di kedai kopi. Ia juga
boleh dikembangkan di tempat umum lain seperti di taman rekreasi, di sudut
bangunan tertentu malah di ruang tertentu di masjid dan surau selagi ia tidak
mengganggu ketenteraman awam.
Unsur
utama yang perlu dikekalkan ialah sifat acaranya yang bercorak santai, mudah
dan ringkas. Kegiatan bersifat begini penting terutama bagi mengundang
penyertaan anak-anak muda yang berada dalam kategori yang dikenali kini sebagai
Generasi Y yang didapati kurang memberi minat pada acara bersifat rasmi atau
formal sejak akhir-akhir ini.
Ketika
penulis bergiat dalam sebuah pergerakan Islam di negara ini, salah satu
strategi bagi pemupukan budaya ilmu di kalangan anggotanya ialah menerusi
penganjuran acara yang dikenali sebagai ‘usrah’.
Ia
berbeza sedikit bentuknya dengan Borak Buku. Usrah dilaksanakan secara
mingguan. Ia menggunakan konsep perkumpulan keluarga di mana ahli-ahli usrah
yang berada dalam lokasi berdekatan berkumpul pada masa tertentu secara
bergilir di kediaman masing-masing.
Kebiasaannya,
usrah bermula selepas bersolat Maghrib bersama. Jamuan malam ringkas disediakan
oleh tuan rumah. Acara utama usrah dikendalikan oleh seorang moderator yang
dikenali sebagai Naqib. Dalam acara ini, ahli-ahli akan berbincang secara
ilmiah tentang pelbagai persoalan. Kegiatan tetap ialah berdiskusi tentang
buku-buku terpilih karya ilmuwan Muslim semasa.
Acara
usrah ini juga bersifat santai, mudah dan ringkas namun dalam masa yang sama
menekankan nilai persahabatan dan semangat kekeluargaan. Ahli-ahli akan
berdiskusi sehinggalah ke waktu yang tidak akan mencecah larut malam kerana
mereka harus mendapat istirahat untuk menjalankan kewajipan pekerjaan pada
keesokan harinya.
Penulis
ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber: MPR
No comments:
Post a Comment