Followers

Saturday, November 26, 2011

Gigih Seorang Penulis


Keluarga dorong Rania terus berkarya

Bukan mudah melakukan dua perkara dalam satu masa. Belajar dan menulis novel. Namun, semua ini mampu ditangani penulis muda, Radhiah Yunus atau nama penanya, Rania Firdaus yang kini menuntut di Universiti Malaya dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Buktinya, dua buah novel Cinta Dua Jiwa dan Senyuman Manismu terbitan Alaf 21 berjaya dihasilkan walaupun pada ketika itu dia masih bergelar mahasiswa.

Namun katanya, dia pernah berhadapan situasi panik iaitu tidak tahu bagaimana untuk membahagikan masa antara belajar dan menulis.

"Saya pernah down pada waktu itu. Mujurlah keluarga memberikan kata-kata semangat dan menyarankan supaya saya menulis novel sewaktu cuti semester tiba.

"Berbekalkan semangat dan nasihat mereka, saya bangkit kembali dan kini saya bercita-cita mahu menghasilkan lebih banyak novel yang berkualiti dan memenuhi selera pembaca," katanya sambil memberitahu novel ketiganya, Tak Mungkin Dia baru sahaja menemui pembaca di pasaran.

Berkongsi tentang latar belakang Rania, dia sebenarnya berasal dari Kuala Terengganu dan merupakan anak keenam daripada tujuh beradik. Mula meminati bidang penulisan sejak memasuki alam persekolahan menengah, tetapi kebanyakan karyanya hanya disimpan sebagai koleksi peribadi semata-mata.

Selepas tingkatan tiga, Rania memberanikan diri menyiarkan setiap karyanya di dalam majalah sekolah dan juga di laman web kenalan-kenalannya.

"Saya menerima banyak respons positif dari rakan-rakan sekolah dan juga pelayar internet. Mereka mencadangkan agar menghantar karya kepada Alaf 21.

"Mendengarkan nama Alaf 21 membuatkan saya begitu takut. Apa tidaknya, Alaf 21 merupakan nama besar yang telah berjaya mengangkat nama-nama besar seperti Sharifah Abu Salem, Ramlee Awang Murshid, Aisya Sofea dan ramai lagi berbanding saya yang baru sahaja menapak dalam dunia penulisan novel.

"Namun, berkat sokongan semua pihak, saya gagahkan jua menghantar novel pertama Cinta Dua Jiwa dan gembira pabila novel tersebut diterima baik oleh mereka," katanya sambil berharap setiap novel yang dihasilkan diterima baik oleh semua pencinta novel.

Sumber:Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA