Followers

Monday, October 18, 2010

Novel bersiri Ain Maisarah



BERJAYA membariskan namanya dalam kelompok penulis novel remaja popular negara, Ain Maisarah kini bakal berkongsi karya terbarunya dengan pembaca Berita Harian dan Berita Minggu apabila ia disiarkan secara bersiri setiap Sabtu dan Ahad bermula Januari depan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda TESL, Universiti Darul Iman Malaysia (kini Universiti Sultan Zainal Abidin), berkata karya terbarunya itu menampilkan kesinambungan kisah pelajar Sekolah Seri Bangsar, namun diisi dengan konflik yang diberi nafas segar.

“Karya bersiri yang masih belum diberi judul ini mengisahkan pelajar Sekolah Seri Bangsar terpaksa berpindah ke Sekolah Zara Damansara selama tiga bulan kerana sebuah daripada tiga bangunan sekolah mereka rosak dan terpaksa dibaiki ekoran gempa.

“Konflik bermula apabila mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan di sekolah baru, selain terpaksa berhadapan dengan cabaran persaingan dalam pembelajaran berbanding pelajar Sekolah Zara Damansara yang lebih aktif dan cemerlang,” katanya.

Penulis sepenuh masa itu berharap kerjasama itu akan membuahkan sesuatu yang bermanfaat kepada pembaca khususnya dalam usaha memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat, sekali gus mengangkat bidang penulisan pada peringkat lebih tinggi.

Ain Maisarah yang melihat perkembangan industri buku tempatan sedang melalui revolusi, membuktikan tabiat membaca bangsa Melayu semakin meningkat dan tidak seperti diuar-uarkan sesetengah pihak sehingga timbulnya persepsi negatif terhadap penulis negara ini.

“Peluang bekerjasama dengan Berita Harian saya anggap sebagai batu loncatan untuk mengangkat karya tempatan selain mendedahkan generasi muda dengan novel mudah dan santai, namun masih mengekalkan keindahan bahasa.

“Selain terbabit dengan novel bersiri ini, saya juga akan menyertai beberapa bengkel pendidikan Skor dan Didik pada November ini serta program lain di beberapa sekolah terpilih. Ia membabitkan promosi novel dan mendedahkan pelajar kepada dunia penulisan agar mereka suka bahasa Melayu,” katanya.

Menyentuh mengenai aktiviti dan karya terbarunya, Ain Maisarah akan melancarkan Siri Dongeng Seri Bangsar pada Pesta Buku 2011 selain aktif mempromosikan karyanya di beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setakat ini, saya sudah menjejakkan kaki ke 43 sekolah, manakala sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga ada beberapa pelajar sekolah sudah mula menghasilkan novel, meskipun masih muda. Farihah Jamil berusia 13 tahun berjaya menghasilkan karya sulungnya, Gadis Piano,” katanya.

Penulis ini tampil sebagai pengkarya paling tinggi honororiumnya di PTS Publications & Distributors Sdn Bhd yakin bidang penulisan akan terus berkembang sekiranya penerbit dan penulis terus bersungguh-sungguh berkarya.

“Sekiranya penulis novel Barat berpeluang menjadi jutawan dengan menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa, penulis tempatan juga mampu berbuat demikian jika disusuli minat dan komitmen berterusan,” ujarnya.

Oleh: Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/10/18

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA