Followers

Tuesday, December 30, 2014

Saturday, September 6, 2014

Kursus Dari Blog Menjadi Buku



Insya-Allah, Akademi Kota Buku akan menganjurkan bengkel Dari Blog Menjadi Buku.
Ia merupakan bengkel asas yang merangkumi.
[1] Asas penulisan blog yang mesra pembaca online dan offline.
[2] Menyusun rangka besar buku melalui blog
[3] Membangunkan pembaca dari tahap pembaca karya menjadi penyokong karya sebelum buku diterbitkan.
Selain itu;
* Kajian kes projek buku saya dan para penulis best-seller terdahulu.
Informasi lebih lanjut dan pendaftaran segera, dapatlah berhubung dengan Tuan Haziq Zulkifli hari ini melalui haziq@kotabuku.my kerana tempat amat terhad.

Sumber: Facebook

Wednesday, September 3, 2014

Jalan-Jalan Cari Buku Di Pesta Buku Negeri Selangor 2014













Cuti hari isnin yang lalu, cuti ganti bagi Hari Kemerdekaan Negara yang jatuh pada hari Ahad, 31 Ogos 2014, telah saya manfaatkan pada sebelah petangnya, ke Pesta Buku Selangor 2014.  Syukur masih diberi peluang dan ruang untuk turut meramaikan pesta buku tersebut, maklum cuti umum, agak ramai pengunjung ke pameran tersebut. Ada yang bersendirian, bersama keluarga, bersama kawan-kawan dan sebagainya. Masing-masing dengan tujuan yang satu, mencari buku, melihat buku, dan seterusnya membeli buku.

Begitu dengan saya, seperti biasa akan meninjau-ninjau dahulu sebelum ke booth-booth pilihan. Untuk memenuhi naluri anak-anak, saya ke booth, Ana Muslim, biasalah si puteri seorang ni, minat dengan majalah Ana Muslim, ada jualan 3 majalah RM10.00, kira masih baik lagi majalah-majalah tersebut, belilah untuk menghiburkan hati si puteri tersebut, begitu juga dengan si putera seorang, permintaannya, rasa tidak dapat dipenuhi, di mahu buku Ultraman, rasa-rasanya memang tiada dijula di situ. Saya tunjukkan majalah Ana Muslim yang bergambar seorang wira, syukur hendak pula dia. Ragam budak-budak katakan...

Saya singgah di Kedai Buku 1Malaysia dan ITBM, membeli dua buah buku terbitan ITBM, DISKAUN 15% diberikan pada setiap pembelian buku-buku terbitannya. Ikutkan hati mahu sahaja diborong buku-buku tersebut, namun hasrat hati terbantut dan terbatal, maklum keperluan lain pun perlu difikirkan. Oklah, dapat dua buah buku dari ITBM. Saya suka buku-buku hasil terbitan ITBM, pelbagai saiz buku ada, menarik, kebanyakkannya genre sastera. Dari satu kedai ke satu kedai, memang menyeronokkan lihat buku-buku yang banyak, geram melihatnya. Syoknya buku, syoknya membaca.

Sementara saya ke Kedai Buku DBP, isteri dan anak-anak ke Kedai Buku Upin dan Ipin. Saya bersama anak yang kecil,  di dalam stroller, lena tidur si kecil. Saya membeli lapan buah kesemuanya, enam buku puisi, dua buku cerpen. Kehendak hati mahu beli lebih, buku lama, murah, dan masih baik untuk dibaca, semurah RM1.00. Namun hasrat hati dihentikan dahulu, si kecil sudah meragam gayannya. Saya terus ke kaunter membayar buku-buku tersebut. Ketentuannya isteri dan dua orang anak baru sampai, lega sikit rasa hati, maklum si kecil meragam pula, jumpa ibunya diam lah si kecil.

Si putera, pula meragam mahu mainan, menangis tidak berlagu, sementara isteri dengan dua anak tadi duduk dibahagian tepi, saya pujuk si putera tadi, bawa sekali lagi keliling kedai-kedai buku di dalam, nak pujuk punya fasal. Cari juga mainan yang diminta tapi tak jumpa kedainya. Saya tunjukkan majalah bergambar ‘Angry Bird’, mahu pula dia, syukur rasanya. Sudah tak menangis lagi, apa yang dia minat sudah dapat, lega rasa hati waktu itu. Selepas ronda di dalam, saya terus meluru keluar, menuju ke MBC@MobileBookCafe, ,melihat-lihat, meninjau-ninjau, rasa teruja dan kagum melihatnya ( baca di entri lepas ).


Dua buah buku terbitan esastera saya beli, ole-ole dari kedai buku bergerak (MBC). Habis di situ, saya terus ke tempat isteri yang sedang duduk di tempat tadi. Kami terus berjalan melalui kedai buku Karangkraf, di situ sekadar tengok-tengok sekejap, waktu sudah hampir petang. Terus ke tempat kereta, distinasi pulang ke rumah. 

Sekadar coretan untuk nostalgia...

JOM BACA BUKU.

Tuesday, September 2, 2014

Teruja Melihat MBC@Mobile Book Café di Pesta Buku Selangor 2014





MBC@MOBILE BOOK CAFE

Saya benar-benar teruja melihat jualan buku di dalam sebuah kenderaan yang telah diubah suai. Mengingatkan saya 30 tahun yang lalu, semasa di sekolah rendah tentang perpustakaan bergerak. Namun apa yang saya lihat hari itu, ia bukanlah perpustakaan bergerak, tetapi sebuah kedai buku bergerak yang dinamakan sebagai MBC@Mobile Book Cafe, satu inovasi baharu bagi penjual buku. Memang mengujakan sesiapa yang melihatnya, saya sempat meminta izin kepada pemiliknya, Tuan Muhammad Bin Ali atau nama pada muka bukunya Mba San.

Bercerita tentang MBC ini, Tuan MBA SAN memberitahu modal untuk ubah suai lebih kurang RM40,000. Setakat ini, menurut beliau yang berminat ramai, namun yang bersungguh-sungguh belum nampak lagi. Bagi saya, satu kejayaan buat negara, kerana ini julung-julung kalinya sebuah kenderaan berbentuk sebegitu, khas untuk menjual buku. Sebagai peminat buku, saya amat menyokong usaha-usaha sebegini. Menurutnya lagi, aktiviti-aktivit kini, banyak dilakukan di sekolah-sekolah, sudah banyak sekolah yang berminat untuk berkerjasama untuk menjayakan aktiviti berkaitan buku ini.

Saya sempat meninjau-ninjau setiap bahagian MBC tersebut, juga merakamkan di kamera saya, MBC yang comel dan sangat menarik sekali. Dalam hati, jika dapat sebuah, mesti seronok. Itu hanya angan-angan sahaja. Sempat juga membeli dua buah buku, untuk ole-ole di bawa balik. Mba San  mengambil gambar untuk dimasukkan ke muka buku. Dalam hati, saya mendoakan, agar usaha-usaha ini akan beroleh kejayaan, dan akan mendapat pengiktirafan dari pihak-pihak yang peka tentang industri perbukuan negara. Ini juga satu kejayaan buat negara, syabad buat Tuan Muhammad Bin Ali, juga seorang penulis buku.

Tahniah!


JOM BACA BUKU

Monday, September 1, 2014

Ismas Saring@Saring Sirad Ziarah Ke Rumah

Pada penghujung Syawal 1435H yang lalu, saya telah dikunjungi oleh seorang penulis veteren, iaitu Ismas Saring atau Saring Sirad. Saya lebih mesra memanggilnya Wak Saring Sirad. Beliau datang dengan niat ziarah raya, sudah agak lama beliau mahu ziarah, cuma waktu itu kesempatannya tidak ada. Hari itu, sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Selangor, ziarah bekas gurunya, beliau sempat menghubungi saya untuk mampir atau singgah ke rumah saya.

Sewaktu di rumah, banyak yang kami borak bualkan, dari perihal politik, MH17, kisah lama, penulisan puisi dan lain-lain. Tidak jemu mendengar cerita-cerita lama yang beliau ceritakan, adakalanya cerita-cerita ‘off record’, pengalaman lalu diceritakan pada saya. Tak perlulah saya ceritakan. ‘Off record’ kan’.  Maklum bekas seorang wartawan yang kaya dengan cerita dan kisah. Seorang penulis, wartawan, juga Tokoh Budaya Negeri Selangor 2007, kaya dengan ilmu dan pengalaman. Itulah Wak Saring Sirad, Wak tak punya apa-apa...


Sebelum balik, beliau meminta izin mahu masuk ke dalam bilik buku saya, saya berbesar hati untuk mengajaknya masuk ke dalam bilik buku saya. Dia agak kagum dengan saya. Saya kata, biasa sahaja Wak, sudah minat saya baca buku. Beliau membelek-belek buku. Saya mengambil beberapa aksi beliau dengan buku hasil karyanya ‘Kontal-Kantil’. Kenangan dengan Wak Saring Sirad terus segar, InsyaAllah selagi hayat ini masih ada.












Terima Kasih Wak Saring Sirad!

Sunday, August 31, 2014

Jom Ke Pesta Buku Selangor 2014




JOM RAMAI-RAMAI SERBU!


"Membaca Menyingkap
Keajaiban"

Saturday, August 30, 2014

Mengimbau Detik Bermulanya Dunia Pembacaan



Koleksi pertama


Seingat saya, dua buah buku pertama yang mula-mula saya beli dan masih tersimpan di dalam bilik buku saya ialah buku berkaitan dengan agama, buku yang bertajuk ‘Tanda-Tanda Kiamat’ dan ‘Azab Di Neraka’, kedua-dua buah buku tersebut susunan oleh Ibnu Idris, terbitan Pustaka Al-Mizan. Buku tersebut saya beli ketika mengikuti satu program di Taman Melewar, Gombak,  Kuala Lumpur, sekitar tahun 1988, sewaktu program Intifadah Kurun Ke-15.  Alhamdulillah, buku tersebut masih elok cuma agak kusam sedikit, maklum sudah berpuluh tahun tersimpan, masih releven untuk dibaca untuk peringatan diri yang sering lupa.

Kedua buah buku tersebut dan buku-buku yang lain telah pernah dipinjam oleh seseorang, agak lama menjadi koleksi pribadi dia, berbulan juga waktu itu, sudah sampai peringkat seperti milik sendiri, saya masih sayangkan buku-buku tersebut, sedaya upaya saya mesti dapatkannya kembali, waktu itu rasa sayang pada buku sudah mula berputik, maklum harta sendiri sudah menjadi seperti harta orang lain. Satu masa, saya cuba memberanikan diri untuk meminta kesemua buku-buku tersebut, akhirnya dikembalikan buku tersebut. Rasa syukur tidak terhingga waktu itu.

Siapa yang tidak sayangkan harta bukan?. Lebih-lebih lagi barang yang kita suka dan sayangi, seperti buku-buku itu. Dari sehari ke sehari, biarpun tidak banyak saya beli, maklum waktu itu, masih bersekolah lagi. Duit belanja pun bukan banyak emak bapa beri, adakalanya, tiada langsung untuk berbelanja, terutamanya sewaktu rehat. Maklum waktu itu susah, emak bapa cuma bekerja kampung, sebagai anak sedia maklum atas kesusahan emak bapa. Waktu itu mahu beli buku tak dapat lagi, duit tidak punya. Namun rasa seronok bila lihat buku-buku sudah mula  tersemat di hati.

Mengingatkan kembali, zaman persekolahan, sewaktu darjah satu hingga darjah enam, waktu itu, ada perpustakaan bergerak datang ke sekolah. Saya telah menjadi ahli dan setiap dua minggu sekali perpustakaan bergerak akan datang ke sekolah. Memang seronok memilih buku, pelbagai buku ada di dalam sebuah kenderaan yang diubah suai menjadi perpustakaan. Berpusu-pusu pelajar memilih buku, kami diberi tempoh beberapa minit untuk memilih buku dan seterusnya meminjam. Denda akan dikenakan pada setiap buku yang lambat dipulangkan. Bagi saya, waktu itu tidak kisah, denda pun dendalah, yang penting dapat meminjam buku. Setakat yang saya ingat, tidak pernah kena denda disebabkan lewat memulangkan buku.

Seperkara lagi yang aku ingat, sewaktu disekolah, ada seorang guru, namanya Cikgu Musa, dia mengedar majalah-majalah kanak-kanak, malah dia menjualnya kepada pelajar-pelajar yang berminat. Apa yang menariknya, pelajar boleh membayar secara beransur-ansur mengikut syarat yang ditetapkan, seingat saya setiap hari Cikgu Musa akan datang ke kelas-kelas untuk mengutip duit ansuran tersebut. Ada beberapa majalah yang agak popular waktu itu, jika tidak silap saya, majalah seperi Bambino, Al-Ain, dan Kuntum dijual oleh Cikgu Musa. Saya sendiri telah menjadi pembeli tegar untuk majalah-majalah tersebut.

Setiap bulan rasa tidak sabar untuk memilikinya, rasa seronok waktu itu tidak terkira. Majalah-majalah tersebut telah menjadi bacaan dan koleksi simpanan saya waktu itu. Adakalanya saya terpaksa mengikat perut tiap kali waktu rehat, dek kerana duit belanja sekolah saya terpaksa guna untuk membayar ansuran majalah tersebut. Begitulah detik permulaan, minat membaca kian hari kian berputik di dalam diri saya waktu itu. Dari sehari ke sehari minat membaca itu, kian mendalam. Jika saya tidak balik awal ke rumah, saya akan ke perpustakaan atau pusat sumber di sekolah waktu itu. Itu bagi melepaskan keinginan untuk membaca bahan bacaan lain seperti buku cerita.

Bila masuk ke sekolah menengah, dunianya semakin berbeza, umur pun sudah meningkat, pembacaan makin meluas. Maklum, bila sudah masuk sekolah menengah, banyak kena baca buku, terutamanya buku-buku teks mata pelajaran. Buku sejarahnya, geografinya, agamanya, sainsnya dan lain-lain lagi. Dari satu tingkatan ke satu tingkatan, bermula SRP sewaktu tingkatan tiga, serta SPM di tingkatan lima. Dunia pembacaan sekitar buku-buku teks pelajaran. Sesekali berkelapangan, baca juga bahan-bahan ringan, seperti buku cerita yang dipinjam melalui pusat sumber atau perpustakaan sekolah.

Dunia pembacaan sekitar sekolah menengah seingat saya, tertumpu kepada buku pelajaran, waktu itu, ada dua peperiksaan besar, seperti yang saya tuliskan di atas tadi. Pembacaan buku teks pelajaran lebih banyak, membaca sambil menulis nota, itu dilakukan semata-mata kerana peperiksaan yang bakal diharungi nanti. Ada juga saya membeli majalah-majalah ilmiah berbentuk agama seperti Al-Mukminah, Al-Munir, dan selainnya. Juga, senbuah tabloid berkaitan dengan dunia pelajaran, khususunya SPM, saya lupa apa nama tabloid tersebut. Memang menarik akhbar tersebut, setiap minggu juga saya berbasikal akan membelinya di sebuah kedai di Kampung Bukit Kapar.

Isikandungannya sangat menarik dan baik untuk para pelajar, tip-tip, soalan-soalan contoh, dan rencana motivasi untuk pelajar juga turut terkandung di dalam akhbar tabloid tersebut. Bila saya ingat kembali, rasa sayang dan menyesal sekali, kerana tidak disimpan akhbar tabloid tersebut. Juga majalah-majalah yang saya beli dahulu. Apa pun yang berlaku, tidak mengendurkan rasa cinta dan sayangnya saya dalam dunia buku dan pembacaan. Walaupun dalam dunia persekolahan tidak terlalu banyak dan memiliki buku waktu itu, ia bukanlah alasan untuk saya tidak membaca buku.

Begitulah beberapa rentetan yang masih ingat dalam minda ini, yang saya dapat kongsikan dan seterusnya saya dokumentasikan setiap apa yang terjadi sewaktu dahulu dalam detik perjalanan dunia pembacaan masshah. Agar nanti, anak-anak yang saya tinggalkan, andainya saya kembali ke negeri abadi terlebih dahulu dari mereka. Mereka akan dapat menatapi dan membaca rakaman dokumentasi ini, seterusnya mengambil ibrah hasil pembacaan penulisan ini. Seterusnya mereka dapat merealisaikan dalam kehidupan mereka. Membaca terus membaca.

Insyallah, akan bersambung di siri penulisan yang seterusnya, detik perjalanan dunia pembacaan massha ini akan terus berkesinambungan selagi hayat ini masih ada. Jika ada ibrahnya ambilah sebagai motivasi diri, untuk turut bersama minat membaca, membac dan terus membaca. Dunia pembacaan tidak akan selesai-selesai selagi ada buku dan penulisan yang berterusan. Semoga para sahabat terus segar, seronok, gembira, ghairah dalam menelusuri kehidupan dalam dunia pembacaan ini.

JOM MEMBACA.


DEMI MASA