Followers

Wednesday, May 14, 2014

Sajak: Ingat-Mengingati




Ingat-Mengingati

Bicara ini
bicara hati
dari hati ke hati.

Ingat mengingati sampai mati
tidak kira raja atau menteri
bergaji atau bisnis rugi
mati tetap mati.

Jangan dilupai ajaran nabi
jangan diketepi ulamak ukhrawi
nanti rugi
di kubur sendiri.

Ingat-ingat jangan dilupai
pesan para rasul dan nabi
umpat dan keji
hendaklah jauhi,

dengki dan irihati
benci-membenci 
dan sakit hati
penghalang rezeki.

Ingatlah saudara dan saudari
ingatan sedikit
moga terkesan di hati.

Masshah 2012
Jam: 2:46 pagi
2/12/2012-Ahad

Bilik Buku.

Monday, May 12, 2014

Sajak: Ulamak Pewaris Nabi



Ulamak Perwaris Nabi

Ulamak itu perwaris nabi
memimpin umat ke syurgawi
banyak ilmunya menerangi
berkarisma wibawanya tinggi.

Itulah ulamak ukhrawi
tegas, tangkas dan berani
hatinya bersih, tulus dan murni
Allah sentiasa di hati.

Ungkapannya lembut
tegas tapi berani
bukan penakut
yakin Allah pemberi rezeki.

Musuh sangat irihati
melihat ulamak perwaris nabi
siang malam tiada henti
menyambung risalah para rasul dan nabi.

Ulamak itu perwaris nabi
duhai umat mari ikuti
jangan musuhi dan sakiti
kelak rugi di akhirat nanti.

Masshah 2012
Jam: 1:44pagi
2/12/2012-Ahad.

Minda Buku: Budaya Membaca Semakin Baik



"Sambutan terhadap Sofa Putih dan jumlah jualan tertinggi yang dicatatkan oleh buku umum yang lazimnya dianggap berat serta karya sastera seperti novel pada pesta buku ini menunjukkan budaya membaca yang semakin baik dalam kalangan rakyat Malaysia" 

 Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM

Sumber: FB ITBM

Hebahan: Rakaman Secara Langsung HALAQAH Di Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar

Sunday, May 11, 2014

Sajak: Bukan Undang-Undang Sembarangan



Bukan Undang-Undang Sembarangan

Berbicara sering bertelagah
hilang kewarasan minda terjajah
mengolah wajah hodoh syariat Allah
memperlekeh, mempeleceh tanpa rasa bersalah
itulah bicara sering dilaungkan
mana bisa mereka bukan seagama faham
seandai diri berkata nista sinis bicara
seolah tidak yakin percaya itu syariat Allah.

Mungkinkah satu masa akan tertegak juga
namun bukan dari tangan-tangan pendosa
bermulut celupar seolah tiada Tuhan
bermuka-muka seolah beria-ia mahu ditegakkan
pada hati kecilnya, takut nanti apa tertimpa padanya
kerna tahu kesalahan diri akan terima akibatnya
hukum Tuhan bukan suka-suka, ia halus serta teliti
disemak saksinya penuh saksama bukan semberono.

Jangan sekadar potong tangan hujahnya
itu sudut sinis jahil fahamannya
ia perlu difahami sesungguhnya
bukan perkara main-main boleh dipermain-mainkannya
kerna itu kemuncak bila sudah punya negara kuasa
ulilamri punya suara kuasa menguatkuasakannya
bukan tunggu-tunggu semua boleh fahamkannya
juga berbilang bangsa dijadikan alasannya.

Nyata, ia bukan undang-undang sembarangan
yang boleh ditegakkan oleh penguasa sembarangan
ia perlu dilaksana oleh penguasa tahu agama bukan ikut-ikutan
baharulah semua jelas, negara aman damai tenteram disayangi Tuhan.

Masshah 2014
06052014
Meru.

Minda Sastera Sajak: Suara Dungu Itu



Suara Dungu Itu

Suara dungu itu masih menari-nari
menafi mempertahankan laku jelaknya
puluhan tahun sudah berlalu
terlakar di peta sejarah yang luka
menangis darah sekalipun
takkan kembali mereka yang abadi di sana.

Suara dungu itu bisa menafi-nafi
mengolok-olok ribuan si dungu tolol
angguk-angguk iya-mengiyakan
benar membenarkan tak syak ragu-ragu
sungguh ia penuh daya tipu selalu
itu pun masih mahu diikuti.

Suara dungu itu masih dikagum-kagumi
biar usia sudah terlalu lama. Tua
tumpul sudah pemikiran
hilang sudah daya fikir
namun mahu masih gah persis pemimpin dunia
terbuai masa silam yang indah di singahsana.

Suara dungu itu sekali sekala menggegar
suasananya hingar bingar panas terik membakar
persis si tua, sememangnya tua lupa usia
masih mengangan kuasa jika punya adanya
akan dikekang segala info benar di alam maya
demi mengekal kuasa jika dipunya semula.

Suara dungu itu sering melulu selalu
pada musuh ketatnya di fitnah terus musnah
tidak dipeduli apa makna maruah bangsa agama
penting kuasa kepentingan terus digenggaman
diketepi ihsan akhlak maruah diri tercemar
kerna diketepi kuasa haq, tinggalkan Tuhan.

Masshah
1042014

Meru.

#Sajak 'Suara Dungu Itu' telah terpilih antara sajak yang menarik untuk bulan April di Portal eSastera.com.


Ulasan Tuan Puzi Hadi Terhada Karya-Karya Masshah Di Portal eSastera.com Bulan April 2014

BARACK OBAMA DI MALAYSIA

NADA keras daripada masshah dengan puisinya Satu Pertanyaan Untuk Kau iaitu ‘Sang Presiden’ Amerika, Barack Obama. Penyair bertanya untuk apa berkunjung ke Malaysia? (Stanza II) dan andaian tujuannya itu (Stanza VI)

Ke sini kau untuk apa
ke sini kau mahu apa
ke sini kau misi apa
ke sini kau agenda apa. (Stanza II)

Lalu ke sini kau mahu apa
ke sini konon merapat ukhwah
ke sini kau mahu ekonomi kukuh
ke sini lagi mahu melebar kuasa. (Stanza VI)

KEHILANGAN MH370

PUISI Tak Pulang-Pulang oleh masshah bagai berseloka sinis kehilangan MH370 yang ada unsur jeliknya. Ada perulangan rima akhir ‘ang’ seluruh puisinya:

Hilang tak pulang pulang
sendu tangis orang tersayang
spekulasi fikiran songsang
sebutan ramai orang sekarang.


KRITIK SOSIAL

PENYAIR masshah dengan Suara Dungu Itu merujuk pemimpin lampau (“… usia sudah terlalu lama. Tua” merasa dirinya masih hebat. Dia (baca: Suara dungu itu) masih galak dengan pendapatnya, iaitu:

Suara dungu itu masih menari-nari (Stanza I)
Suara dungu itu bisa menafi-nafi (Stanza II)
Suara dungu itu masih dikagum-kagumi (Stanza III)
Suara dungu itu sekali sekala menggegar (Stanza IV)
Suara dungu itu sering melulu selalu (Stanza V)






KEROHANIAN

puisi Tangis Taubat dengan langkah demi langkah bagi satu pertaubatan kepada Ilahi. Menjelangnya malam (Stanza I) penulis menyiapkan dirinya (Stanza II) untuk bersolat (Stanza III-IV) dan memohon keampunan atas segala dosa yang ada (Stanza V). Penyampaian secara mudah dan langsung untuk pembaca ikut menghayati penuh takzim.

MASSHAH dengan puisi Janjinya Pasti iaitu kedatangan kematian tanpa merujuk khusus sebagai ketentuan Ilahi; namun rasa-rasanya penulis bermaksudkan Ilahi. Dikatakan begitu kerana akhiran ‘nya’ bukan sebagai ‘Nya’ (Stanza  IV):

Kerna itu dijanjinya
kerna itu takdirnya
kerna itu kepastiannya
kerna itu jadualnya. (Stanza IV)


PUISI MENARIK – APRIL 2014

·         ahkarim, “sang Usang – 1”, Jumaat, 25 April 2014, 7:03 PM / Edit terakhir: 7:11 PM
·         ammarhazim, “SUARA DARI MIHRAB”, Khamis, 17 April 2014, 3:01 PM
·         aziz zabidi, “Potret Diri”, Sabtu, 26 April 2014, 2:57 AM / Edit terakhir: 3:03 AM
·         IrwanAbuBakar, “MENCARI KOTAK HITAM DI DADAMU”, Isnin, 14 April 2014, 1:12 AM / Edit terakhir: 1:14 AM
·         mansor bin a hamid, “KAPAN (kita) BERTEMU”, Isnin, 21 April 2014, 10:58 PM / Edit terakhir: 11:05 PM
·         masshah, “Suara Dungu Itu”, Khamis, 3 April 2014, 10:20 PM
·         Mohd Azmi bin Harun, “Bertemu Solehah”, Sabtu, 5 April 2014, 10:53 AM / Edit terakhir: 11:51 AM
·         mudin, “Darah Memali”, Isnin, 7 April 2014, 11:36 AM / Edit terakhir: 11:37 AM
·         Muhammad Rois Rinaldi, “ORKESTRA PENANTIAN”, Selasa, 15 April 2014, 2:40 pm / Edit terakhir: 2:51 PM
·         Nur Ain Hanis, “BICARA SUNYI”, Jumaat, 4 April 2014, 10:17 PM / Edit terakhir: 10:21 PM
·         yajuk, “Melayu Mudah Lupa”, Jumaat, 11 April 2014, 9:00 AM

Tuesday, May 6, 2014

Detik Perjalanan Menuju Medan Penulisan: Proksi Nov 2011:Penulisan Cerpen Dan Novel

Gambar dari: Google Image


#Tulisan lama berkaitan dengan detik-detik perjalanan menuju ke medan penulisan melalui eSastera.

Proksi Nov 2011:Penulisan Cerpen Dan Novel

Kursus selama dua hari (Sabtu-19hb dan Ahad-20hb 11 2011) yang di adakan di Bangunan SUK,Kerajaan Negeri Selangor anjuran Pejabat ADUN Batu Tiga, Puan Rodziah, dengan kerjasama komuniti eSastera. Kursus percuma ini sangat bermanfaat untuk semua. Alhamdulillah, untuk kali ini, saya dapat meluangkan masa selama dua hari bagi menimba ilmu berkenaan penulisan cerpen dan novel.

Jika selama ini saya hanya dapat membaca cerpen dan novel, tapi kali ini saya dapat mengetahui bagaimana sesuatu penulisan cerpen mahupun novel di tulis oleh seseorang penulis. Mentor-mentor yang di bawakan juga adalah mereka yang sangat berpengalaman dalam genere yang mereka ceburi, iaitu penulisan cerpen dan novel.

Siapa yang tidak kenal dengan Faizal Tehrani, Ummu Hani, dan juga Prof Dr.Irwan Abu Bakar? Mereka adalah insan yang cukup berpengalaman dalam bidang penulisan ini. Sebagai orang yang ingin tahu dan ingin mendalami serba sedikit tentang bagaimana penulisan ini boleh di ceburi, maka kursus ini sangat berguna dan bermanfaat sekali, lagi-lagi kursus ini percuma dan makanan juga di sediakan. Rugi seandainya peluang yang ada ini tidak direbut.

Saya sempat berborak dengan Dr Irwan sewaktu makan tengah hari, bahawa kursus sebegini jika dibuat di luar sudah barang kali dalam RM200-RM300, malahan boleh lebih dari itu. Beliau mengiyakan tanda setuju, Namun kesedaran dan pemahaman sesetengah orang tidak terjangkau untuk difikirkan. Ialah,  masing-masing ada komitmen lain yang lebih penting dari menghadiri kursus sebegini. Kita biarkan masalah mereka. Hak masing-masing untuk memikirkannya.

Setelah menghadiri kursus selama dua hari itu, barulah saya tahu serba sedikit apa itu tema, plot, anti plot, latar, gaya bahasa, dan lain-lain. Insyallah, saya akan cuba praktikan apa yang telah dipelajari. Alhamdulillah saya telah cuba hantar dua buah cerpen ke dalam folder “PROKSI NOV 2011 Sayembara Cerpen” di eSastera.com dalam komuniti Cerpenis.Tak tahulah sama ada menarik dibaca atau tidak, Harap-harap sahabat di eSastera dapat komen dan membetulkan kesilapan yang ada.

Untuk novel, insyallah saya sedang cuba mencari dan merangka-rangka apa yang perlu di masukkan dalam novel nanti. Masih dalam mencari idea. Doa-doakanlah semoga sukses ;).

Saya sungguh tertarik dengan pengalaman hidup yang di ceritakan oleh mentor hari kedua iaitu Ummu Hanni, bagaimana perjalanan kehidupannya dalam penulisan, bapanya sebagai simbol contoh untuk dia menjadi penulis.

Bayangkanlah selama 12 tahun tiada tv di rumahnya, bukan bermakna tidak mampu membeli tetapi itulah didikan bapanya bagi mengelakkan anak-anaknya dari melihat sesuatu yang tidak menarik dari hasil menonton tv. Bapanya lebih banyak memberikan hadiah  berbentuk buku-buku dan majalah yang bermanfaat. Itulah yang dia dan adik-adiknya hadam sejak kecil.

Rentetan demi rentetan kehidupan itulah yang menyebabkan jiwa menjadi penulis menusuk dihatinya,bermula dengan menulis dairi kehidupan yang dia lalui, meluahkan rasa hatinya sehinggalah dia dapat menulis sajak,cerpen, dan novel. Buku-bukunya banyak menceritakan tentang pengalaman kehidupannya. Itulah serba sedikit tentang Puan Ummu Hanni yang saya dapat catatkan dalam buku catatan saya.

Seseorang penulis dengan seseorang penulis yang lain, mempunyai gaya dan corak penulisan yang berlainan. Namun antara satu sama lain saling lengkap melengkapi, tiada timbul masalah dia betul sahaja, dia salah sahaja. Faizal Tehrani dengan gaya penulisannya, Ummu Hanni dengan gaya penulisannya, juga dengan Dr.Irwan dengan gaya penulisannya. Namun ilmu yang kita dapat dari setiap penulis sangat bemanfaat sekali untuk kita semua.

Jadi dengan adanya Proksi(Tidak kiralah modul apa pun),  kita dapat memanfaatkan segala pengalaman mentor yang berlainan untuk kita mencungkil manfaat daripada mereka. Tidak sia-sia rasanya masa dua hari untuk mengutip butir-butir mutiara dari mereka yang sudah ada nama yang harum di persada sastera di negara kita. Syabas untuk mereka.

Syabas dan Tahniah buat eSastera dan Kerajaan Negeri Selangor(Pejabat ADUN YB Rodziah) atas penganjuran kursus ini.

( Catatan lama semasa menyertai kursus penulisan anjuran eSastera dam Pejabat ADUN YB Rodziah)


DEMI MASA