Followers
Thursday, January 17, 2013
Tuesday, January 15, 2013
Perkongsian Buku Minggu Pertama Januari 2013
Assalamualaikum sahabat pencinta buku;
Dalam pertemuan hari ini, saya kongsikan serba sedikit
empat buah buku yang saya dapat selesaikan membacanya sepanjang minggu pertama
tahun 2013. Alhamdulillah dengan izin-Nya, dengan masa yang diberikan, saya
dapat mengisi waktu yang terluang dengan membaca buku.
Bagaimana denga para sahabat semua ?, diharapkan pun
begitu. Maklum, jika tidak dipaksa diri, mungkin juga saya tidak dapat
menghabiskan pembacaan saya.Sekurang-kurangnya waktu yang terluang tidak di isi
dengan perkara yang sia-sia dan merugikan.
Oklah, buku pertama yang ingin saya kongsikan;
1)Travelog Minda Tajdid (Catatan
Perjalanan Dari Tanah Barat)
Buku dibeli: Pesta Buku
Sinar di Tesco Setia Alam.
Harga: RM16.00 (Sebelum diskaun)
Muka Surat: 207 Muka
Surat.
Terbitan: PTS ISLAMIKA Sdn Bhd.
Cetakan: Ketiga 2012
Penulis: Mohd Asri Zainul Abidin.
Habis dibaca: Pertama kali
habis dibaca pada 3hb 01 2013, hari khamis malam jumaat,
di surau tempat kerja.
Buku ini sebuah buku travelog, penulis yang terkenal
dengan tokoh ilmuan yang sangat disegani dan juga merupakan mantan mufti Negeri
Perlis Indra Kayangan. Tulisan dalam buku ini hasil dari catatan-catatan yang
beliau tulis semasa percutian di luar Negara, United Kingdom. Sepanjang
percutian itu beliau telah berkesempatan untuk mengkongsi catatan untuk
masyarakat di Malaysia melalui ruang bicara atau tinta beliau di akhbar perdana
dan melalui ruang maya di laman blog beliau. Buku ini terhasil dari kumpulan
artikel yang beliau tulis di akhbar dan blog.
Tulisan dan pandangan beliau sering ditunggu-tunggu
oleh khalayak, melalui buku ini, pembaca yang ketinggalan dengan tulisan beliau
bolehlah memilikinya sebagai koleksi pribadi sebagai rujukan. Kupasan dalam
satu-satu isu dalam masyarakat di olah dan di kupas dengan cukup menarik dan
mudah difahami.
Bermula dengan tajuk Kembara Mencari Bekalan
Perjuangan, Jangan Takut Bawa Pembaharuan, Jumud Mengundang Kebangkitan Liar
sehinggalah catatan terakhir beliau Kembara
Merentasi Benua Kehidupan mempunyai minda tajdidnya tersendiri. Tulisan tentang
Palestin, menyeru kepada masyarakat terus membuat bantahan melalui apa cara
sekali pun, namun dengan batas atau norma-norma yang masih diizinkan oleh
undang-undang.
Bagi beliau;
“..Bagi Umat Islam sepatutnya tugas kita lebih besar
daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita wajib membantu saudar seislam kita yang
ditindas ataupun dizalimi dengan harta dan nyawa kita.”
Pada muka surat 208, koleksi gambar kenangan beliau
semasa percutian tersebut juga boleh dilihat, warna-warni.
Banyak lagi yang disentuh oleh beliau dalam buku ini
yang perlu diambil perhatian oleh setiap umat Islam. Untuk mengetahui lebih
lanjut eloklah para sahabat semua memilikinya dari gedung buku yang berdekatan.
Buku kedua;
2) 69 Jam Di Neraka Zionis
Buku dibeli: Program Di
Ambang 2013, Dataran Kemerdekaan Shah Alam
Harga: RM20.00
Muka Surat: 262 Muka
Surat.
Terbitan: Institut Terjemahan & Buku
Malaysia
Cetakan: Pertama 2012
Penulis: Norazman Mohd Samsuddin
Habis dibaca: Pertama kali
habis dibaca pada 2hb 01 2013, Sabtu, jam 9:10 malam.
Buku hasil tulisan pengalaman sepanjang mengikuti
bantuan kemanusian ke Gaza, oleh salah seorang sukarelawan, Norazman Mohd
Samsuddin yang menyertai misi tersebut.
Buku 69 jam di Neraka zionis menceritakan detik-detik permulaan perjalanan misi
hinggalah detik-detik mencemaskan serangan tidak bertamadun oleh komando Israel
zionis di tengah-tengah lautan Antarabangsa sehinggalah detik-detik pembebasan
dari tahanan Neraka Zionis Israel hingga sambutan sebagai wira Negara.
Seramai 12 orang wira Negara telah menyertai misi
kemanusian bersama-sama dengan rakyat Negara lain serta pelbagai bangsa dan
agama. Mereka satu hati demi meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Pengalaman
yang sungguh menarik ini dirakamkan sepenuhnya di dalam buku ini. Keakraban,
persaudaran, kemesraan, tautan kasih sayang sangat indah bila membaca buku ini.
Walaupun berlainan bangsa dan agama mereka tetap bersatu
dalam misi kemanusian ini. Rakaman detik-detik serangan kejam dan tidak
bertamadun disertai gambar-gambar sungguh mengesankan, pembaca dapat
membayangkan bagaimana situasi gawat ketika berlaku serangan tersebut, emosi
pembaca terbawa-bawa dan membayangkan andainya pembaca sendiri dalam situasi
tersebut, Geram, marah, sakit hati dan pelbagai perasaan yang bergejolak di
hati pembaca.
Sungguh kejam, zalim bangsa yahudi zionis ini, mereka
bukan sahaja kejam tetapi langsung tidak ada sedikit pun rasa kemanusiaan.
Bayangkanlah bila mana seorang daripada sukarelawan mengangkat bendera putih,
menunjukkan tanda hentikan serangan, namun hati binatang tentera yahudi zionis
terus menerus dengan serangan dan tembakan bertubi-tubi. Kejam dan zalim, itu
sahaja bahasa yang selayaknya untuk bangsa yang ganas dan bangsat itu.
Cukup sedikit perkongsian dari buku tersebut, untuk
selanjutnya cari, beli dan baca, ikuti dan telusuri satu persatu catatan
tersebut. Banyak gambar-gambar terkandung dalam buku ini. Senjata-senjata yang
diguna pengganas zionis yahudi juga terdapat di dalamnya. Rasanya tidak rugi
memiliki buku yang penuh sejarah ini.
Buku Ketiga;
3) 43 Inspirasi Mendidik Anak
Buku dibeli: Pesta Buku
Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.
Harga: RM19.00 (Sebelum diskaun)
Muka Surat: 245 Muka
Surat.
Terbitan: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Cetakan: Pertama 2013
Penulis: Mohd Hisham Mohd Sharif &
Hasifah Zainuddin
Habis dibaca: Pertama kali
pada 5.01.2013 jam: 5.14 petang, Sabtu di tempat kerja.
Mendidik anak merupakan perkara yang sangat mencabar,
memerlukan kesabaran dan pergantungan dengan Allah SWT sepenuhnya tanpa
pertolongannya mana mungkin sebagai ibu bapa kita mampu mendidik dengan
sebaiknya. Penulis buku ini memberi suntikan motivasi kepada para ibu bapa
dalam mendidik anak-anak. Cabaran mendidik anak di Negara barat suatu yang
sangat mencabar, begitulah cabaran yang dihadapi oleh penulis buku ini.
Penulis merakamkan pengalamanya dalam mendidik anaknya
di bumi Australia, segala pahit manis pengalaman mendidik anaknya dinukilkan
dengan sangat menarik sekali. Setiap hujung daripada setiap penulisannya
disertai tip-tip yang sangat berguna untuk panduan pembaca. Buku ini juga
diserikan dengan gambar-gambar penulis semasa di Negara tersebut.
Buku ini mengandungi empat bab, yang mana setiap bab
membawakan tajuk yang berbeza; bab pertama lebih kepada bab tentang tarbiah
adab dan akhlak, bab kedua tarbiah tentang ibadah, bab ketiga tarbiah tentang
iman, bab keempat tarbiah tentang perjuangan dan bab yang kelima rencah
kehidupan.
Segala pengalaman penulis boleh diambil manfaat oleh
para pembaca yang mahukan setiap anak-anak mereka mempunyai jati diri yang
mantap, lebih-lebih lagi dalam mendidik anak-anak tentang perkara agama.
Bagi saya memiliki buku 43 Inspirasi Mendidik Anak
merupakan satu keuntungan kerana isi kandungan yang sangat bermanfaat dan boleh
dijadikan bahan rujukan dalam mendidik anak. Ia merupakan sebuah lagi buku yang
menjadi koleksi buku dalam bilik bacaan saya.
Untuk ibu bapa yang ingin mengetahui lebih banyak isi
kandungan buku ini, segeralah mencarinya di gedung buku yang berhampiran.
Buku Keempat;
4)Kemahiran Menulis
Buku dibeli: Pesta Buku
Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.
Harga: RM20.00 (Sebelum diskaun)
Muka Surat: 135 Muka
Surat.
Terbitan: PTS Professional.
Cetakan: Kedua
Penulis: Goh Ying Soon & Wan Mohd
Nazif Wan Mohd Nori
Habis dibaca: Pertama kali
pada 5.01.2013, Sabtu Malam, Jam: 10:23 malam.
Buku berkaitan dengan dunia penulisan, ia merupakan
sebuah buku yang menerangkan teknik kemahiran menulis e-mel, memo, surat dan
laporan. Ia sesuai untuk rujukan oleh para eksekutif termasuk juga para
penyelia, pengurus dan pegawai eksekutif. Teknik-teknik setiap penulisan diterangkan
dengan sebaiknya.
Sebagai seorang pengurus tentunya memerlukan kemahiran
menulis dengan lancar dan baik serta hasil tulisan boleh mempengaruhi
pelanggan.untuk menjadi pelanggan utama mereka. Oleh itu hasil penulisan yang
baik menjadikan sebuah organisasi itu akan lebih di percayai dan menjadi
keutamaan mereka yang mahu berhubungan bisnis dengan mereka.
Setiap organisasi memerlukan staf atau pekerja yang
berkemahiran menulis seperti pegawai pemasaran, pegawai eksekutif bahkan
penyelia sekali pun perlu mempunyai kemahiran ini. Jadi buku ini sesuai sangat
untuk mereka yang mempunyai kerjaya yang berkaitan denga tulis menulis ini.
Jadi apa lagi milikilah buku panduan kemahiran menulis
ini. Sesungguhnya anda tidak akan rugi jika memilikinya.
Sekadar ini sahaja yang saya dapat kongsikan dalam
dunia pembacaan, semoga empat buah buku yang saya kongsikan serba sedikit ini
dapat menyuntik motivasi para sahabat untuk memiliki dan seterusnya menekuni
dan mengambil manfaat darinya.
Sampai jumpa lagi dalam perkongsian buku yang lain.
Selamat membaca,
Jom Membaca…Jom Menulis.
Thursday, January 10, 2013
Pesta Buku Kembali Ke Sekolah Kedai Buku Sinar
Buku Lagi
Hujung minggu pada 6hb 01 2013,Ahad. selepas balik dari rumah
kakak ipar saya di Bukit Lancung, saya , isteri dan anak-anak terus ke seksyen
18 Shah Alam, pada mulanya saya merahsiakan distinasi yang saya mahu pergi,
tapi bila masuk menuju arah ke seksyen 18 terdapat banner penunjuk Pesta Buku Kembali
Ke Sekolah, isteri yang duduk disebelah seperti sudah tahu kemana hala tuju
saya mahu pergi. “ Oh rupa-rupanya nak pergi sini..” kata isteri saya.
Saya hanya senyum sahaja, tadi beria-ia mahu cepat balik rumah, malam
ada ceramah isu-isu semasa, maklum sahaja mahu dengar berita yang sahih di
akhbar atau tv sangat susah, jadi dengan adanya ceramah sebegini dapatlah
maklumat yang tepat dan benar. Buku punya pasal saya abaikan dulu ceramah isu
semasa, bila-bila ada lagi, fikir saya.
Sampai sahaja terus parking di hadapan Plaza Ole-Ole, memang pun jualan
buku itu dibuat di hadapan plaza tersebut, ada beberapa khemah yang memuatkan
pelbagai buku keluaran Kumpulan Media Karangkraf dan buku-buku terbitan
syarikat lain. Apa yang menariknya semua buku dari terbitan syarikat lain pun
ada diskaun. Diskaun sehingga 20%, 25% dan 30% (untuk ahli). Memang puas dan
menyeronokan melihat buku-buku yang terpamer, lebih puas bila dapat membeli
beberapa naskah untuk bahan bacaan dan koleksi bilik bacaan.
Makin bertambah buku-buku dalam bilik bacaan, nampak gaya kena tambah
rak lagi, Untuk itu nantilah saya fikirkan. Selama kurang 30 minit lebih
berlegar-legar di situ. Isteri macam biasa membeli novel dan buku untuk anak-anak.
Alhamdulillah, anak-anak pun menunjukkan minat dengan buku walau pun masih
kecil, harap-harap bila sudah besar nanti akan lebih minat dengan buku dan suka
membaca.
Selesai membuat pembayaran, kami berlega-legar ke Plaza Ole-Ole. Di bahagian bangunan atas ada
sebuah kedai buku, saya cuba
meninjau-ninjau di situ mana tahu ada buku yang terkini yang saya tengah
cari-cari. Alhamdulillah terlihat pula, apa lagi, ambil dan terus bayar. Buku
lagi…!, ya itulah perasaan seorang peminat buku, ghairah semakin menjadi-jadi.
Tidak pernah jemu untuk tidak memiliki buku. Semoga terus berkekalan sehingga
ke akhir hayat hendaknya.
Habis dari situ terus balik ke rumah, niat dalam hati masih sempat mahu
ke tempat ceramah, lagi pun masih awal lagi. Sebelum masuk ke kereta, saya
membeli nasi lemak kukus dua bungkus untuk makan malam, malas mahu
singgah-singgah. Dalam fikiran tidak sabar mahu membelek-belek buku yang sudah
dibeli.Anak-anak dalam kereta pun masih belum tidur, layanlah mereka sampai
rumah.
Sampai jumpa lagi..!
Jom Membaca dan Menulis.
Tuesday, January 8, 2013
Karnival Buku Jualan Gudang Karangkraf 2012 (Hujung Tahun)
Seperti biasa setiap
hujung tahun pihak penerbitan perbukuan terbesar dalam Negara iaitu Karangkraf
mengadakan Karnival Buku Jualan Gudang di permis syarikat itu di seksyen
15 Shah Alam. Pada tahun ini jualan gudang hujung tahun diadakan pada 2,3 dan 4
hb Disember 2012, tiga hari berturut-turut.
Dengan izin-Nya saya
dapat berkunjung ke karnival tersebut pada 4hb Disember 2012, hari Ahad
yang merupakan hari terakhir karnival tersebut. Orang ramai berpusu-pusu ingin
membeli buku dengan diskaun yang sangat berbaloi-baloi, tidak pernah
mengecewakan para peminat dan pencinta buku. Satu perkembangan menarik bila
melihat begitu ramai masyarakat yang kini mula membudayakan membaca buku. Ini
dibuktikan dengan ramainya pengunjung yang membeli buku di karnival tersebut.
Majalah, buku ilmiah,
buku agama, novel dan pelbagai lagi jenis buku dijual dengan harga yang semurah
RM5, ada juga yang berbentuk pakej terutamanya buku-buku yang masih baharu di
pasaran. Peminat-peminat novel juga tidak ketinggalan untuk memiliki koleksi
novel yang mungkin sudah tertinggal namun masih dapat dimiliki.
Ucapan tahniah kepada
pihak Karangkraf yang sering mengadakan karnival ini. Ia telah menarik minat
masyarakat untuk membudayakan amalan membaca. Semoga program seperti ini akan
dapat diteruskan. Alhamdulillah, dalam meninjau-ninjau dan membelek-belek buku,
dapatlah beberapa naskah untuk dijadikan bahan bacaan masa lapang nanti, tidak
ketinggalan isteri pun ada membeli beberapa buah buku novel dan buku untuk
anak-anak.
Semoga amalan membaca
ini akan berterusan hingga ke akhir hayat kita semua.
# Jangan lupa
juga, pihak Karangkraf akan mengadakan sekali lagi Karnival secara
besar-besaran pada 1, 2, dan 3hb Feb 2013, bertempat di Perkarangan
Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah alam.
Gambar-Gambar:
Sampai jumpa lagi, teruskan membaca.
Wednesday, January 2, 2013
Selamat Tahun Baharu 2013
Alhamdulillah,
masih tidak terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2013
kepada pengunjung blog ini. Semoga apa
yang telah kita usahakan sepanjang tahun 2012 mendapat hasil yang baik dan
dapat mengembirakan hati kita.
Jika masih
tidak kesampaian apa yang kita hajati sepanjang tahun lepas bolehlah kita
sambung pada tahun ini. Apa yang dirancang adakalanya tidak tercapai semuanya.
Namun bagaimanapun ia tidak akan mengecewakan kita. Berusaha terus berusaha
untuk mencapai apa sahaja hajat dan cita-cita yang diimpikan.
Semoga tahun
2013, akan terus memberi sinaran baharu yang lebih baik dan harmoni buat semua.
Tentunya dengan semangat dan azam yang tinggi, setiap antara kita akan beroleh
kejayaan yang diimpi. Bagi yang mengimpikan tahun ini mahu membaca buku dengan
sebanyaknya diucapkan berbanyak tahniah dan syabas.
Agar apa yang
diniatkan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Menambah ilmu melalui dunia
pembacaan sangat menguntungkan diri sendiri, namun pembahagian masa perlu
dirancang sebaiknya agar nanti tidak mengangui tugas-tugas yang penting yang
perlu diselesaikan terlebih dahulu.Membacalah walau di mana sahaja selagi ada
masa untuk kita melakukannya.
Justeru,
untuk melakukan amalan murni ini perlulah semangat yang tinggi dan dorongan
diri sendiri agar amalan membaca sebati dalam jiwa kita. Insyallah apa yang
diimpi dan dicita-citakan akan mendapat kejayaan.
Sekian.
Jumpa lagi !.
Saturday, December 29, 2012
Blogger=Da’ie – Kita Sebarkan Kebaikan.
Semoga mendapat manfaat dari artikel ini, buat semua sahabat-sahabat blogger;
Kita terus menyelak lembaran Blogger=Da’ie. Dengan tajuk yang mudah, “Kita Sebarkan Kebaikan.”
Ya. Blogger=Da’ie adalah blogger yang tidak menyebarkan keburukan di dalam blognya. Blognya adalah untuk mengajak manusia ke arah kebaikan. Tidak mengajar untuk melakukan keburukan. Tidak pula dia menyebarkan keburukan untuk tontonan ramai walaupun tidak menggunakan perkataan ‘marilah melakukan perkara ini’.
Definisi baik dan buruk.
Maka pertamanya mestilah kita perlu pulang kepada definisi baik dan buruk yang sebenar. Apakah itu baik, apakah itu buruk?
Saya mudah memakai definisi baik = apa yang Allah dan Rasulullah SAW kata baik.
Sama juga dengan definisi buruk, pada saya buruk itu adalah apa yang Allah dan Rasulullah SAW kata buruk.
Kita jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan, Islam itu sendiri sebagai panduan, di situlah kita memilih apakah yang patut kita sebarkan, dan apakah pula yang tidak.
Antara perkara baik yang boleh kita usahakan.
Antara perkara yang baik yang boleh kita usahakan untuk disebarkan di dalam blog kita adalah:
- Kita tulis berkenaan akhlak yang soleh. Di dalam Islam, wujud pelbagai adab dan sopan. Kita boleh kaji hadith dan Al-Quran, kemudian membahaskan sedikit berkenaan akhlak soleh ini dengan dikaitkan bersamanya realiti dan isu semasa yang berlaku.
- Kita boleh tulis berkenaan percintaan di dalam Islam. Bagaimana bercinta di dalam Islam. Contoh-contoh daripada hadith, ayat-ayat Al-Quran berkenaannya. Nasihat-nasihat berkenaan cinta, dan isu-isu rumahtangga di dalam Islam.
- Kita boleh juga menulis berkenaan motivasi hidup. Kita berikan harapan, menyentuh akal yang lesu, dengan dalil-dalil Al-Quran dan hadith. Kemudian kita ulas dengan baik, mengaitkannya dengan realiti dan cuba memberikan semangat. Kita sebarkan kepositifan di dalam hati masyarakat.
- Kita juga boleh menulis sirah-sirah Rasulullah SAW dan Para Sahabat bersumberkan sirah yang muktabar. Kemudian kita ulas, dan kaitkan dengan isu semasa, realiti hari ini.
- Sekiranya kita fotografer yang suka berblog, maka kita tangkap gambar pemandangan yang cantik dan kaitkan gambar itu dengan kekuasaan Allah SWT, dengan kebijaksanaanNya, dengan kesempurnaanNya. Kita letak ayat Al-Quran atau hadith Rasulullah SAW sebagai caption agar ayat dan hadith itu menjadi terjemahan kepada gambar yang anda tangkap lebih mencucuk. Kita tangkap momen-momen indah, dan kemudian kita relatekan kembali kepada Allah SWT.
- Kita boleh kongsikan isu-isu semasa, politik, realiti masa kini, dengan adab dan akhlak yang baik, dengan kalam dan bicara yang baik. Tidak menghina mana-mana pihak. Menyuakan bukti yang benar, bernas, kukuh. Kemudian mengulasnya daripada pandangan Islam.
- Jika kita adalah seorang kartunis, kita boleh uploadkan komik kita di dalam blog. Lukislah komik-komik yang mempunyai ciri-ciri Islam. Yang wataknya ada syakhsiah Islam. Yang jalan ceritanya membina masyarakat, mengajak kepada kebaikan dan ketaatan terhadap Allah SWT.
- Dan jika kita suka menulis diari, tiada masalah. Tetapi tulislah diari kita, pengalaman hidup anda, dengan mengaitkannya kepada Allah SWT. Jadikan diari itu sebagai tempat muhasabah. Muhasabah atas apa yang anda lakukan. Jadikan diari itu sebagai tempat mengekstrak manfaat. Ekstrak manfaat daripada apa yang anda lihat dan lalui. Begitulah.
Antara perkara buruk yang perlu kita jauhkan
Keburukan-keburukan ini, tidak perlulah saya senaraikan.
Sebar keaiban orang, menayangkan aurat, menggunakan blog sebagai menyebar sesuatu yang palsu, menjadikan blog medan menghina dan mengumpat. Menggunakan carutan dan kata-kata nista di dalam penulisan. Juga keburukan-keburukan tersembunyi seperti riya’ dan takabbur. Menulis diari untuk menunjuk-nunjukkan kebaikan kita dan sebagainya. Menghina-hina kerendahan orang lain, kekurangan orang lain.
Menggunakan blog untuk menentang Islam, menghina Allah, Rasulullah SAW dan para sahabat. Melukis komik yang tidak memberikan manfaat kepada Islam, menangkap gambar-gambar fotografi yang jelas menunjukkan aurat atau menaikkan nafsu.
Penutup: Bagi Penyebar Kebaikan, Pahalanya Beranak Pinak.
Kebaikan ini bukan susah. Senyum sahaja sudah kebaikan. Kita ini pula berblog. Daripada kita gunakan blog kita ke atas sesuatu yang tidak bermanfaat, apa kata kita buat pahala dengan blog kita. Kita ceritakan kebaikan, ajar manusia buat kebaikan, kenalkan manusia dengan Allah SWT, fahamkan manusia dengan Islam, tunjukkan keindahan Islam dan sebagainya.
Kita sering mengulang sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu adalah apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah menuju kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahNya akan pergi kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana perempuan yang dia mahu nikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang diniatkan olehnya.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Mari. Jangan lepaskan peluang.
Blogger=Da’ie, adalah blogger yang menyebarkan kebaikan.
Sumber: Langitilahi
Subscribe to:
Posts (Atom)







