Followers

Thursday, August 16, 2012

Catatan Ramadan (34)





Rindu Pada Sang Kejora Sinar Zaman

Selamat berpuasa semua;

Salam ramadan salam penuh keindahan, semoga di rahmati dan di redai Allah SWT. Juga, semoga puasa kita dan seluruh amalan yang kita kerjakan di sepanjang ramadan ini beroleh pahala yang berganda-ganda seperti yang di janjikan-Nya. Tidak pernah lelah dan penat untuk terus memburu malam yang penuh kemulian dalam baki ramadan yang masih ada ini. Saat-saat kepergiannya makin terasa, rasa sedih dan pilu menyelinap pada setiap hati-hati orang yang beriman. Keindahan ramadan hanya tinggal beberapa waktu untuk meninggalkan kita pergi.

Yang Di rindu

Begitulah juga dengan kehidupan kita, orang yang tersayang bila mana saat mana masa sudah untuk dia pergi akan tetap pergi, itu lah ketentuan Allah SWT buat mereka. Dan ia akan menjadi kenangan dan akan di rindui nya. Namun ramadan akan tetap datang saban tahun, kita belum tentu lagi, apatah lagi orang yang tersayang dan yang kita cintai tetap meninggalkan kita tidak seperti mana ramadan. Ya..begitulah rentetan kehidupan manusia. Bila tiba saatnya akan balik ke kampung halaman yang di janjikan, kita semua akan pergi dan akan merasai kehidupan di sana.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“  Katakanlah, lari itu sekali-kali tidak berguna bagimu. Sekiranya kamu melarikan diri dari kematian atau pun pembunuhan dan sekiranya kamu terhindar daripada kematian, kamu tidak mengecap kesenangan kecuali sebentar sahaja.”

(Surah al-Ahzab,ayat 16)

Entah esok, entah lusa, entah tulat, entah hari ini, saat ini atau selepas ini kita tidak bertemu lagi. Semua dalam gengaman Allah SWT, janjinya tidak pernah di mungkiri, namun manusia dengan sifat kelemahannya tetap memungkiri janji-janjinya malah janji tak di tepati..!. Lemah dan daifnya manusia, itu pun mahu sombong, bongkak, meninggi diri, merasa diri hebat dan pelbagai lagi sifat yang keji masih menunjangi hati manusia, biar pun dalam bulan yang mulia ini. Semoga terhidar dari sifat-sifat yang tercela tersebut.

Ramadan mengingatkan memori pada seseorang, seorang yang di kenali di seluruh pelusuk tanahair bahkan di luar Negara dia cukup terkenal. Dia mempunyai suara yang mantap dan merdu, sudah tentunya suara yang di milikinya adalah anugerah Allah buat diri nya, lalu dengan suaranya itu di gunakan untuk menjulang nama agamanya melalui lagu-lagu yang di nasyidkannya. Itu lah kelebihan yang beliau miliki. Melaluinya umat Islam juga mendapat manfaatnya. Menghiburkan namun masih dalam batasan agamanya. Menghiburkan , menginsafkan, gemersik alunan zikir yang di ungkapkan menusuk kekalbu setiap insan yang mendengar, menghayati dan seterusnya mengamalkannya.

Indah Akhlaknya

Itu lah sumbangan dirinya dan pasukan nasyidnya satu ketika dulu, juara demi juara mengunggulinya, namun bukan itu matlamat yang di carinya. Keredaan Allah demi menyampaikan risalah Allah SWT melalui seni lagu yang bermesejkan perjuangan dan mengagungkan Tuhan. Watak dan akhlaknya sangat di sukai dan di contohi sahabat-sahabat terdekat, senyumannya pasti terbayang-bayang pada mereka yang mengenali dirinya. Pada pasukan nasyidnya, beliau lah ayah, beliau lah abang, beliau lah pemimpin yang sangat di hormati mereka. Sebagai ketua pasukan nasyidnya,di katakannya dia tidak pernah marah-marah, malah senyuman yang mekar di bibirnya tetap menguntum.

Terus terang saya katakan di sini, akhlaknya dengan ibunya cukup terjaga, tidak mahu mengecilkan hati ibunya, setiap persembahan,setiap kemenangan pasukannya dan apa jua, ibu lah orang nombor satu akan di beritahu dan di hubunginya. Sudah pastinya doa ibu sentiasa mengiringi beliau.Sifat-sifat anak soleh terserlah pada dirinya, ya sudah pastinya itulah sifat yang sepatutnya ada pada setiap anak. Dalam keadaan apa pun ibu tidak di belakangkan.Lagi sifatnya yang tidak mudah melenting mahu pun marah,bila mana anak-anak buah yang agak nakal menyakat beliau, mengusik beliau, beliau masih bisa tersenyum meleret tanpa rasa apa-apa,adakalanya ungkapan anak buah yang agak celupar namun untuk diri nya menunjukkan muka yang masam tidak sama sekali senyuman tetap terukir indah. Itu lah yang saya perhatikan bila mana ada satu-satu majlis yang di buat di rumah emak mertua.

Beliau Dan Nada Murni

Sebenarnya saya meminati beliau, sejak beliau di dalam jemaah Al-Arqam lagi,waktu itu beliau bersama kumpulannya Nada Murni,.Setiap album yang terbit tidak pernah saya ketinggalan untuk memilikinya, malah sanggup berbasikal ke pasar malam untuk mencari dan membeli album tersebut. Malah salah satu persembahan beliau pernah di adakan di Dewan Sekolah Menengah Tengku Idris Shah Kapar sempena Malam Kebudayaan Islam  saya turut menyaksikannya. Memang hebat dan mantap lontaran vocal dan persembahannya.

Begitulah hebatnya penangan Nada Murni waktu itu, mereka mengadakan persembahan di seluruh pelusuk tanahair, malah perjuangan mereka bukan sahaja bergelanggang di dalam Negara sahaja tetapi lewat hingga ke luar Negara. Seluruh Eropah, London, Jepun, New Zealand, Australia dan pelbagai benua lagi mereka membuat persembahan demi menyebarkan risalah Allah SWT melalui seni hiburan Islam.

Malah dakwah melalui seni ini lebih mencabar bila kumpulan Nada Murni memasuki hingga ke arena kelab-kelab malam, hingga mencetuskan kotroversi sedikit masa lalu,jika tidak silap saya. Namun fitnah dan kontroversi di tepis dengan bijaksana oleh Sang Murabbi.Sejarah tidak pernah menipu dengan kewujudan pasukan kumpulan ini. Sejarah sudah tertulis kemunculan Nada Murni ketika itu. Mungkin sudah menjadi bahan kajian orang barat ledakan Nada Murni ketika itu.

Malah secara pribadi, saya menganggap Nada Murni lah pencetus hiburan Alternatif ketika itu dengan kosert-konsert hiburan Islam yang terkenal dengan nama-nama konsert seperti ‘Malam Kebudayaan Islam’ ,Malam Penghayatan Islam’. Malam Sinar Mauliddurasul’. ‘ Malam Keindahan Islam ‘, Malam Puisi Islam’ dan beberapa konsert Islam yang lain. Sehinggalah ke hari ini ledakan kemunculan RABBANI sebagai kesinambungan perjuangan melalui seni nasyid Islam.

Sekelumit  Memori

Apabila saya bernikah dengan isteri yang merupakan adik kepada beliau, ia merupakan peluang untuk saya mengenali lebih dekat dengan beliau. Peluang ini bukanlah untuk apa-apa sekadar mahu melihat sendiri, maklum sahaja saya merupakan ribuaan malah jutaan Umat Islam yang meminati dan kagum dengan kelebihan suara beliau sejak saya di bangku sekolah lagi sehingga saya dewasa sehinggalah hari ini saya meminati beliau,malah kaset Nada Murni masih lagi saya simpan dalam koleksi saya. Lagu-lagu yang didendangkan menjadi siulan saya waktu itu, Sambil berbasikal menyanyikannya, bila mengaji  selepas ngaji ada nasyid pula, nasyid-nasyid inilah yang di ajar pada saya.
Siapa yang tidak pernah dengar lagu ‘Seruan Jihad’, Islam Yang Berkembang’, ‘Di Pondok Kecil’ malah banyak lagi, semuanya sedap-sedap belaka di dengari. Mantap dan kuat lontaran vokalnya. Semua itu sebahagian nostalgia atau memori yang pernah saya alami. Mungkin orang lain pun begitu yang seusia saya. Peminat fanatik katakan.

Bila menjadi sebahagian keluarga beliau, suatu yang tidak di sangka ketentuan Allah SWT, dari seorang peminat hingga saya di jodohkan dengan adik beliau, Itu semua kerja Tuhan. Kalau dulu peminat tegar,tika itu sudah menjadi abang ipar. Ya..ada juga memorinya biar pun tidak banyak. Saya tidak banyak sembang dengan beliau, sifat saya agak pemalu..(pemalu ke..), namun begitu biar sekadar senyum, borak sedikit sudah cukup untuk saya melepaskan kerinduan saya sejak kecil saya meminati beliau.

Melihat anak-anak buah menyakat, berborak dengan beliau cukup bagi saya. Menatap susuk tubuhnya sudah cukup, kerana satu impian untuk itu sudah tertunai.Ini lah satu impian yang pernah saya tanam sejak saya meminati beliau. Semoga deraian airmata ketika saya menulis perkongsian saya ini sebagai bukti kecintaan saya pada sosok insan soleh sepertinya. Malah saya yakin ribuan umat Islam merindui sosok  tubuhnya. Namun kerinduan itu terubat bila mendengar alunan zikir yang di ungkapakn melalui CD atau Vcd atau sesekali muncul di kaca TV.

Bila munculnya bulan ramadan, berpeluang kami untuk berbuka puasa bersama kumpulan RABBANI DI Hotel Singgahsana, Beliau membuat persembahan bila tiba bulan ramadan. Ramai juga rakan ,saudara mara, adik beradik yang dapat berbuka puasa bersama beliau.Bagi saya sekadar dapat menatap wajahnya dan persembahanya sudah memadai. Namun dalam kesibukannya membuat persembahan beliau masih sempat kemeja kami . Apa pun itu semua menjadi memori buat saya dan mungkin ahli keluarga yang lebih rapat kepada beliau. Mereka yang lebih rapat terutamanya keluarga beliau, isteri dan anak-anak beliau lebih indah memorinya dan sudah tentu mereka merinduinya.

Memori yang sekadar sekelumit itu, sudah cukup bagi saya mengenali beliau sebagai seorang anak,suami, ketua kumpulan, pendakwah, pejuang agama melalui seni hiburan Islam malah sewaktu akhir hayatnya tika itu beliau sudah menyampaikan tazkirah, motivasi di sekolah-sekolah. Beliau juga seorang penyampai yang lunak bicaranya di sulami kisah-kisah motivasi dan alunan lagu-lagu semasa menyampaikan motivasinya. Saya melihatnya melalui rakaman video dalam telefon isteri ketika beliau menyampaikan motivasinya di sekolah isteri.

Tinggal...Yang Pergi Tak Kembali

Begitulah kehidupan seorang insan yang hidup di dunia ini, Yang bermula pasti berakhir, Yang hidup pasti mati, tidak kira tua atau muda, kecil atau besar. Dan yang pastinya ‘yang Pergi Takkan Kembali Lagi’ .Bila tempoh masanya mahu di panggil.Maka tidak ada siapa yang mampu menghalangnya;

“ Allah sekali-kali tidak menangguhkan kematian seseorang apabila tiba waktu kematiannya dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(Surah aL-Munafiqun,ayat 11)

“ Katakanlah, sesungguhnya sekiranya kamu melarikan diri daripada kematian, ia tetap menemuimu. Kemudian kamu dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu dia khabarkan kepadamu apa yang kamu lakukan di dunia.’

(Surah al-Jumuah,ayat 8)

Begitulah kehendak dan ketentuan Allah SWT sejak azali lagi. Maka pada tanggal 13 hb 08 2009 bersamaan 1430H,khamis, Beliau telah di jemput oleh Allah SWT menemui kepangkuannya dalam usia 40 tahun. Hilanglah sebutir bintang yang sangat berjasa pada agama, bangsa dan negaranya. Sumbangan terhadap agama terutamanya dalam seni hiburan Islam tetap di kenang oleh semua umat Islam di mana-mana.

Dan beliau yang saya maksudkan dalam penulisan ini adalah Almarhum Ustaz Asri bin Ibrahim, Sang Kejora Sinar Zaman yang tiada galang gantinya. Semoga Allah menempatkan beliau dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Semoga penulisan ini mendapat reda Allah SWT. Semoga kebaikan beliau yang sya tulis dalam tulisan ini menjadi pahal buat beliau di sana. Perkongsian penulisan ini sempena tiga tahun kepergian beliau, bagi menghilangkan kerinduan di hati. Untuk akhirnya...Al-Fatihah buat beliau.

Amin Ya..Rabb..!

Jom Menulis...Jom Membaca





No comments:

Post a Comment

DEMI MASA