Followers

Monday, July 25, 2011

Jom Miliki Buku Terbaru Dr.Tuah

JOM BERTUAH


Sinopsis


Tuah. Siapa yang tidak mahu tuah? Menyebutnya sahaja sudah menimbulkan rasa teruja, apatah lagi menerimanya. Akan tetapi, tidak semua manusia diberi peluang untuk merasa tuah apatah lagi menjadi bertuah. Malah, tuah juga tidak datang bergolek melainkan melalui usaha yang gigih dan berterusan. Tambah molek jika usaha disertakan dengan hati yang jujur dan ikhlas. Bukan sahaja dapat menambah saham untuk ke sana tetapi juga akan dihormati dan disegani manusia sejagat. Tiada gunanya usaha yang datang bersama sifat hasad dengki, cemburu dan sakit hati demi menggapai impian sendiri. Tanamkan sifat hormat-menghormati dan bantu-membantu di dalam diri. Semoga anda semua menjadi orang yang betul-betul bertuah!

Seperti siri buku Jom Dr. HM TUAH ISKANDAR al Haj yang lain, JOM BERTUAH turut berkonsepkan motivasi santai. Gaya penyampaian beliau yang relaks, mampu menawan hati sesiapa yang membacanya, sekali gus memudahkan mereka memahami mesej yang ingin disampaikan. Semoga buku kali ini lebih menambah kualiti diri anda yang sedia ada!

Sumber; Alaf21

Wednesday, July 6, 2011

Pesta Buku Selangor 2011

Membacalah...


Berhenti seketika dan ambil masa selama 15 minit untuk membuka buku dan membaca. Itulah yang telah dilakukan oleh pengunjung saat mengambil bahagian dalam kempen ’15 Minutes Reading Break’ sempena Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2011, 26 Jun lalu.

Tidak kira usia, pangkat dan bangsa, mereka berkumpul di bawah satu bumbung, iaitu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) untuk menyahut seruan kempen ini.

Merupakan satu inisiatif dalam mendidik rakyat supaya sedar akan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian, program sebegini pernah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebelum ini, di mana ia dilakukan di Taman Tasik Shah Alam dan telah mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Record sebagai ‘The Largest Outdoor Reading Event’ dengan kehadiran 15,271 pembaca. Disebabkan sambutan yang menggalakkan itu, ia dilakukan sekali lagi pada tahun ini.

Kempen ’15 Minutes Reading Break’ bertujuan menjadikan amalan membaca selama 15 minit sebagai saat yang amat bernilai buat seluruh rakyat Selangor. Kempen ini mendapat inspirasi daripada kempen ‘Earth Hour’ di mana ia diadakan serentak di seluruh Selangor dan waktu sasarannya bermula jam 10.45 hingga 11 pagi.

Sempena 26 Jun yang dipilih sebagai tarikh Hari Ilmu Negeri Selangor, pelbagai aktiviti diselitkan selain acara perasmian dan kempen membaca. Ini termasuklah Perhimpunan dan Konvensyen Penulis di mana pengunjung boleh bertemu dengan penulis kesayangan masing-masing.

Konvensyen penulis telah mengumpulkan dan mempertemukan penulis-penulis daripada pelbagai genre penulisan seperti novel, cerpen, komik, majalah dan sebagainya. Malah, wartawan akhbar juga berpeluang untuk menyertai konvensyen ini begitu juga penulis-penulis blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Menurut Pengarah PPAS, Matura Muhamad, penglibatan penulis secara besar-besaran ini merupakan gabungan yang amat sempurna dalam arena pembukuan mahupun perpustakaan sendiri.

“Perpustakaan ingin menjadi hab ilmuwan yang turut mendorong ilmuwan dan karyawan menggunakan kemudahan perpustakaan semaksimum mungkin, di samping berkongsi ilmu yang mereka miliki menerusi bidang penulisan.

“Kejayaan mengumpul pembaca sekali gus mencipta rekod pada tahun lepas menjadi pendorong kepada PPAS untuk mempelawa dan menghargai penulis buku pada tahun ini pula,” katanya.


Pesta Buku Selangor

Bersempena Hari Ilmu ini juga, Pesta Buku Negeri Selangor turut diadakan bermula 24 Jun dan berakhir 3 Julai lalu di tempat yang sama. Ia merupakan penganjuran kali keenam oleh PPAS dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama organisasi seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pelajaran Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kumpulan Media Karangkraf SDn Bhd dan beberapa pihak lagi.

Bermatlamat meningkatkan tahap intelektual dan pemikiran masyarakat melalui pembacaan, pesta buku kali ini menyajikan pelbagai bentuk bahan bacaan yang menarik dan terkini di samping potongan harga istimewa kepada pengunjung.

Pesta Buku berkenaan yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, merupakan usaha murni Kerajaan Negeri Selangor dan PPAS bagi menjadi wadah memupuk dan memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Memandangkan ia hanya berlangsung sekali dalam setahun, kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh pengunjung untuk mendekati dunia pembacaan, di samping mendapatkan koleksi bahan bacaan yang diingini pada harga berpatutan. Malah, kesempatan ini juga digunakan untuk bertemu penulis kegemaran memandangkan peluang sebegini jarang sekali diperoleh.

Pesta buku yang berlangsung selama 10 hari ini melibatkan 70 pihak yang mengambil bahagian dengan 150 gerai dibuka untuk kunjungan. Bilangan pengunjung disasarkan mencecah 350,000 orang.

Sumber; Sinar Harian

DEMI MASA