Followers

Friday, December 6, 2013

Catatan Kursus Penulisan Artikel Dan Berita

Catatan Hari Pertama: Sabtu 28hb 09 2013 

Bagi melengkapi ilmu di dada tentang penulisan, sekali lagi pada tanggal 28hb September hingga 29hb September 2013, Sabtu dan Ahad, saya menyertai untuk kali kedua kursus penulisan anjuran IBHKHIDMAT. Kursus diadakan di dewan Bilik 10, Masjid Negeri Shah Alam. Kali ini kursus berkaitan dengan penulisan artikel dan berita dengan temanya; Anjakan Penampilan Hadapi Cabaran Semasa.

Dilema Perjalanan Ke Kursus Artikel Dan Berita



Pada mulanya saya menghadapi dilema tentang kenderaan, maklum kenderaan hanya ada sebuah, isteri bawa ke tempat mengajar al-quran. Pening juga memikirkannya, bagaimana esok saya mahu ke tempat kursus. Saya cuba sms teman-teman kampung yang bekerja di Shah Alam, manalah tahu saya boleh tumpang mereka. Agak mengecewakan, sabtu ramai diantara mereka yang tidak bekerja. Dalam hati pada masa itu, terpaksakah aku membatalkan hasrat hatiku ini.

Dalam hati terus bermonolog, alangkah ruginya seandainya aku tidak pergi, peluang hanya datang sekali kemungkinannya. Hati terus berkata-kata...ha, tiba-tiba teringat seorang kawan yang duduk di Bukit Kerayong. Kemungkinan saya boleh tumpang dia, fikir saya waktu itu. Saya terus sms kawan di sana, syukur pada Allah SWT, kawan tadi besok ada ot, dia kata ok, boleh sahaja saya tumpang.

Janji ditepati sekitar jam 8:20 pagi tunggu di depan rumah ibu bapa saya di jalan belimbing. Alhmadulillah, saya mengucapkan berbanyak terima kasih pada kawan yang menumpangkan saya, dia bekerja di PKNS, pejabatnya di Kompleks PKNS. Jadi dia tidak bermasalah untuk hantar saya ke Masjid Negeri.

Syukur, Sampai Juga



Sekitar jam 8:50pagi, sampai juga di Masjid Negeri. Saya terus menuju ke masjid, mencari Dewan Bilik 10, pusing punya pusing akhirnya terlihat Bilik Kuliah 10, tetapi tengok kosong sahaja, tiada sesiapa di dalamnya. Saya optimis, kemungkinan penganjur dalam perjalanan ke Masjid Negeri.

Sementara itu, saya pusing-pusing di bahagian gerai-gerai yang berada ditepi masjid. Ada yang sudah buka gerai dan ada yang belum. Saya cuba ke gerai milik abang ipar. Tapi belum dibuka lagi. Saya duduk menunggu dengan redha dan sabar. Sesekali saya cuba sms pada Tuan haji Ismail. Saya menyatakan sudah sampai, ya salamm...beliau menyuruh aku tunggu sahaja di situ.

Sabar Menanti

Sedang saya duduk di kerusi urut menunggu, tiba-tiba datang seorang wanita sepertinya mencari-cari sesuatu, kami berpandangan, kalau tidak silap saya dia tanya, peserta kursus ya, bilik 10 mana. Saya menunujukkan arahnya, tapi saya katakan padanya, belum ada orang lagi, mungkin lewat sikit. Kami pun berborak-borak tentang penulisan. Oh...Cik Adik tersebut ada menulis di majalah fokus. Kira-kiranya waktu itu kami sedang bertukar-tukar fikiranlah sambil menunggu delegasi penganjur sampai.

Syukur, akhirnya sampai juga, penganjur bersama-sama dengan para pembantunya. Sebelum mereka siap-siap mengemas apa-apa yang patut saya masuk ke bilik kuliah 10, meletakkan beg dan duduk-duduk menunggu para peserta lain datang. Sekitar jam 9:15pagi beberapa peserta sudah mula ada yang datang.

Sedia Mula




Kelihatan seorang wanita berbangsa arab pun turut ada dalam bilik kuliah. Wah...sudah hebat ini, bisik hati saya, ada seorang arab dalam kursus penulisan pada hari itu. Menurut Tuan Haji Ismail, wanita itu dari Syria, negara yang sedang bergolak. Ummu Abdullah panggilannya.

Peserta terdiri dari para mahasiswi dari Unisel dan saya dari sektor swasta. Sebelum itu, kami bersarapan pagi yang telah disediakan. Masing-masing menjamah bagi mengisi perut, maklum selama beberapa jam kami akan duduk mendengar kuliah penulisan pagi itu.

Para peserta pun sudah menduduki kerusi masing-masing, sudah tidak sabar rasanya untuk mendengar input-input yang akan dikongsi oleh penceramah pertama. Sekitar jam 9:30 pagi, Tuan Haji Ismail mengambil tempat, sebagai pengurusi majlis. Mengalu-alukan para peserta yang menghadiri kursus penulisan artikel dan berita.

Beliau memperkenalakan satu persatu para peserta yang hadir. Apa yang menariknya, ada peserta dari nun jauh dari timur tengah, negara syiria, Ummu Abdullah panggilannya. Terpaksalah Tuan Haji Ismail berbahasa arab untuk menterjemahkan bahasa melayu, apa yang sedang diperkatakan oleh para peserta. Agak geli hati juga, saya melihat telatah Ummu Abdullah.

Apa pun tetamu jauh, harus di ladeni dengan sabar. Dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Haji Ismail@Ilhami nama penanya mungkin, beliau telah memetik kata-kata yang sangat menarik dari seorang pimpinan Ikhwanul muslimin;

“Kamu hendaklah membaca yang baik, apa yang kamu jumpai, kemudian tulis apa yang kamu baca, kemudian hafal apa yang kamu tulis...”

Bait-bait yang menarik pastinya, sebagai motivasi para peserta pagi itu.

Menurut beliau, pentingnya menulis; ikat  ilmu dengan menulisnya, agar ilmu itu tidak hilang maka dengan menulisnya ilmu tidak akan hilang begitu sahaja. Ia boleh dimanfaatkan oleh pembaca. Menulis juga amat penting dalam kehidupan manusia. Sesebuah karya akan dapat dibaca oleh khalayak, bila mana apa yang dihasilkan itu memberi manfaat kepada seluruh umat.


Akhirnya, beliau mengharapakan para peserta agar dapat menumpukan sepenuhnya, segala perkara yang akan dikongsikan oleh para penceramah selama dua hari. Mudah-mudahan, menurutnya ilmu yang didapati boleh di gunkan dalam menukang penulisan yang dihasilkan nanti.

bersambung...

Thursday, December 5, 2013

Terima Hadiah Kitab Tafsir Dari Pelajar Indonesia



Entah mengapa tiba-tiba saya teringat peristiwa bertemu  seorang pemuda sewaktu sampai di Masjid Nabawi seusai menunaikan beberapa solat sunat dan berdoa, tiba-tiba ada seorang pemuda menyapa dan bersalaman serta menghulurkan sebuah kitab tafsir, katanya hadiah buat saya.

Saya serba salah untuk menerimanya, dalam hati saya ketika itu terlintas, “Takkan bagi free sahaja ya, duit pun tak bawak, semua isteri yang simpan...”. Saya menyelak-nyelak kitab tersebut, tertulis di situ ‘Tafsir Al-‘Usyr AL-Akhir”, Dari Al-Quran Al-Karim, juz 28, 29, 30. Saya mengucapkan terima kasih padanya.

Lalu dia memberi satu lagi, katanya untuk kawan saya, ketentuan-Nya saya bersolat bersebelahan dengan adik ipar, mungkin dia perasan saya datang dengan adik ipar, lalu dia berikan sebuah lagi untuk adik ipar.

Rasa segan dan malu juga, sebab saya tidak beri apa-apa padanya, cuma ucapan terima kasih sahaja, mahu beri duit, langsung saya tidak bawa. Dalam hati doakan semoga pemuda tersebut berjaya dalam pelajarannya.

Pemuda tersebut belajar di Universiti Madinah, berasal dari  Negara seberang, Indonesia. Dalam hati saya terkilan juga, sekurang-kurangnya bagilah sedikit tambang, tapi ternyata saya tidak bawa walau satu riyal maklum baharu sampai Madinah malam tersebut. Hati saya terus berdoa agar pemuda tersebut dirahmati Allah.

Setelah bersalaman dia mohon pamitan dulu, sebab dia sudah lama di Masjid Nabawi, kalau tidak  silap saya cuti hujung minggu selalunya dia datang ke Masjid Nabawi. Dia juga menyatakan, beberapa kitab sudah dia serahkan kepada orang-orang yang dia jumpai. Baki itu yang dihadiahkan untuk saya dan adik ipar.

Saya memerhatikan, arah jalan yang dia keluar, dalam hati terus-menerus mendoakan pemuda tersebut, sehingga hari ini saya masih teringat-ingat pemuda tersebut. Semoga Allah SWT memudahkan urusan pengajiannya. Bila saya sesekali membelek dan membaca tafsir tersebut saya pasti ingat detik pertemuan dengan pemuda tersebut. Masih ingat lagi senyumannya yang jujur.


Semoga Allah SWT memberikan keselamatan dan kemudahan untuknya.

Monday, December 2, 2013

Kursus Penulisan Lagi



Kursus Penulisan Berita Dan Artikel; Anjakan Penampilan Hadapi Cabaran Semasa

Semangat untuk menuntut ilmu itu amat baik sekali. Apa sahaja bidang yang ingin kita ceburi pasti memerlukan ilmu yang membolehkan kita tahu selok belok bidang tersebut. Begitu juga dengan penulisan. Ia juga perlukan ilmu, untuk itu ia perlu digali dan dicari. Ia sangat signifikan. Mudah-mudahan perjalanan saya menimba ilmu penulisan ini bersesuaian dengan maksud firman Allah SWT dan  hadis dibawah;

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah lagi (kepadanya), “Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?”

(Surah al-Zumar 39:9)

Hadis Nabi SAW yang bermaksud

Sesiapa yang menempuh perjalanan dengan tujuan untuk menuntut ilmu. nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke Syurga.”

(Riwayat Muslim no.2699).

Maka untuk memenuhi kehendak diri, agar ilmu penulisan dapat difahami dan dipelajari, saya sebagai seorang yang ingin tahu tentang selok belok penulisan telah menghadiri sekali lagi kursus penulisan yang dianjurkan oleh IBHKHIDMAT di Masjid Negeri Shah Alam pada 28hb September hingga 29hb September 2013.

Kursus yang berjalan selama dua hari itu sangat memberi manfaat untuk diri saya untuk melengkapi ilmu penulisan melalui penceramah yang berpengalaman. Ia sangat berguna untuk saya mengetahui lebih mendalam tentang penulisan artikel dan berita.

Selama dua hari, mulai hari sabtu dan Ahad. Ianya sangat berbaloi untuk diri saya juga pada rakan-rakan pesrta lain pastinya. Kerja shift malam tidak menghalang untuk saya turut serta dalam kursus tersebut. Biar pun ada rasa mengantuk, tetapi saya tetap gagahi juga, peluang dan ruang hanya datang sekali.

Semua ini disebabkan semangat dan minat yang mendalam, tanpa semangat dan komitmen yang tinggi sudah pasti saya tidak akan menyertainya. Ia mungkin akan terlepas begitu sahaja. Biar pun ia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM200.00 untuk dua hari, namun ia amat berbaloi dan bermanfaat untuk diri ini.

Berkorban apa sahaja, harta atau pun nyawa, bait-bait dalam lirik lagu P.Ramlee tiba-tiba menerjah di minda. Tanpa ada pengorbanan mana mungkin kejayaan apa sahaja, akan dapat dinikmati dan dikecapi.

Kata mereka yang bijak pandai, menuntut ilmu itu berterusan, tiada had dan sempadan waktunya, tiada usia yang menyatakan menuntut ilmu perlu ada persaraan. Tidak sesekali tidak. Ikut kadar kemampuan yang kita ada. Belajar di mana-mana pun boleh, apa yang penting ilmu yang dipelajari itu tidak menyeleweng dan bermanfaat.

Ilmu itu sangat signifikan, tanpanya kejahilan akan menyelubungi diri, hidup akan tersesat dan tersasar kerana panduan dari ilmu tidak dimiliki. ‘Ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya’ kata-kata yang sungguh mengesankan di hati.

Beruntung dan bertuah itulah ungkapan yang boleh saya ungkapakan secara pribadinya, kerana selama ini saya hanya menikmati tulisan-tulisan mereka dan menatapinya di akhbar atau majalah, tapi ketika itu saya benar-benar dihadapan mereka, mengambil ilmu dari mereka. Ambil berkat dari orang yang berilmu.

Siapa tidak kenal Dr.AnnWan Seng, Tuan Haji Zulkifli Sulong, Ismas Saring dan Puan Marsila, mereka ini adalaha insan yang bijak dan berkemahiran dalam bidang penulisan. Banyak pengalaman, ilmu, pengajaran dan sebagainya yang mereka curahkan pada setiap sesi yang mereka diskusikan.

Justeru itu, saya sebagai peserta kursus, merasakan rugilah sekiranya, peluang dan ilmu yang diberikan oleh mereka tidak dipraktikan untuk diri sendiri terutamanya dalam penulisan yang sedang saya cuba kerjakan ini.

Semoga semangat ini akan terus berkobar dan bersemarak dalam diri. Insyallah, saya akan coretkan lagi tentang pengalaman mengikuti kursus selama dua hari ini kepada rakan-rakan penulis dan peserta penulisan semuanya.

Sampai jumpa lagi.


Sunday, November 17, 2013

Siapa Kata Kita Tidak Tahu Menulis



Sebenarnya seawal usia kita masuk sekolah, kita sudah pandai menulis, sekadar menulis A.B dan C... bukankah itu sudah dikatakan boleh menulis. Apa susahnya menulis?, Ya, apa susahnya menulis. Jarang sekali kita dengar susahnya membaca, tetapi kerap kali kita dengar malaslah membaca novel atau buku tebal-tebal. Baca sedikit dan sekejap mata sudah mengantuk, mulut mula menguap, akhirnya tidur. Itu tentang membaca.

Kita cakap-cakap pasal menulis, apa sahaja yang mahu ditulis. Pernah satu masa, saya mengesyorkan anak buah sebelah isteri, menulis dalam blog. Melihat nukilan atau tulisan di laman muka buku sangat bagus, panjang pula tu. Tapi apa jawapannya. Tak ada masa nak tulis dalam blog.

Oklah tidak mengapa, apa bezanya ya menulis di muka buku dengan blog. Menulis juga kan’, mungkin menulis di blog kena banyak masa, menulis di muka buku tidak begitu agaknya, pun begitu prosesnya juga bukankah menulis, ya, menulis. Menulislah, itu sahaja saranannya, di blog atau muka buku, terpulang!.

Menulis, menulis dan menulis itu sahaja, apa-apa sahaja yang boleh dikongsikan dan dimanfaatkan oleh khalayak. Pengalaman, apa-apa sahaja pengalaman yang pernah dilalui, suka, duka, manis, pahit, pilu, sedih dan banyak lagi boleh dikongsi. Kisah kejayaan pribadi atau kebahagian pribadi, juga boleh dikongsikan, mungkin ada nilai-nilai motivasi buat pembaca.

Pengalaman belajar di luar negara, melancong, perjalanan Umrah atau Haji, bertugas di luar negara, pengalaman masuk hutan, mendaki gunung, belayar di lautan mengelilingi bumi, merentasi berenang lautan Inggeris dan bermacam lagi pengalaman yang boleh ditulis. Itu semua ada nilai-nilai murni, semangat dan motivasi buat khalayak pembaca.

Dan apa yang saya sekarang lakukan juga adalah proses menulis, menulis apa sahaja yang terlintas di minda saya, entah betul atau tidak hanya pembaca yang sudi membaca dan memahami maksud tulisan saya ini. Memaksa diri untuk menulis seperti saya memaksa diri untuk membaca, membaca dan terus membaca.

Akhir dari penulisan ini, agar rangsanglah diri agar terus menulis. Agar kehidupan ini semakin indah dengan adanya perkongsian penulisan dari semua golongan. Orang muda dengan gaya dan pengalaman penulisannya, juga orang dewasa, tua dan sebagainya turut berkongsi dalam penulisannya.

Pada akhirnya nanti, masyarakat akan lebih peka tentang sesuatu perkara yang berlaku disekitaran mereka, lalu mereka mengambil kertas dan pena, menukilkan apa sahaja yang mereka lihat. Ia akan berkembang dan terus berkembang menjadi sebuah episod yang tiada kesudahannya. Kalau begitu, siapa kata kita tidak tahu menulis?.


Selamat membaca dan menulis!.

Saturday, November 16, 2013

Nota Muharam 1435H (2)



Jauhi Budaya Asabiyyah

Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT masih mengizinkan saya untuk mengetuk papan kekunci laptop ini untuk menulis sesuatu yang bermain di minda ini. Muharam baharu dua hari berlalu, pelbagai program berlangsung di setiap masjid mahu pun surau-surau di seluruh negara. Ada juga karnival, ekspo, pameran dan pelbagai lagi acara yang dianjurkan bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435H ini.

Semasa menonton acara sambutan Ma’al Hijrah peringkat kebangsaan di kaca tv, saya tertarik dengan ucapan Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkaitan dengan ‘budaya asabiyah’. Baginda menyeru kepada seluruh rakyat agar mengelakkan dari membawa ‘budaya asabiyyah’ di dalam kehidupan masyarakat majmuk. Seruan dan ingatan yang diberikan oleh baginda seharusnya jangan diambil mudah oleh setiap rakyat.

Titah Seri Paduka;

“Janganlah kita benarkan kecelaruan berkembang dalam masyarakat sebaliknya usaha membimbing masyarakat kepada penerapan nilai kebersamaan perlu diteruskan dan dijadikan agenda negara.”

Sebagai negara yang berbilang kaum, kita sewajarnya mempertahankan prinsip kehidupan harmoni dan kedamaian yang berterusan. Ia sangat signifikan dalam sesebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia ini. Ingatan ini juga sebenarnya untuk para pemimpin di segenap bidang. Para pemimpin politik khususnya juga, janganlah ambil enteng tentang titah seruan baginda itu.

Kita tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak diingini terjadi di negara kita ini. Cukuplah pertelingkahan dalam politik yang tiada kesudahannya. Jangan dimelaratkan dengan perkara-perkara yang boleh menggangui ketenteraman kehidupan harmoni rakyat seluruhnya. Selagi ada sifat tanggungjawab dan jati diri demi mempertahankan perpaduan kaum, Insyallah keamanan dan keharmonian ini akan tetap berkekalan dengan izin Allah SWT.

Justeru itu, marilah sebagai rakyat yang punyai maruah diri yang tinggi, kita sahut titah seruan baginda agar terus mempertahankan keharmonian ini. Buangkan ‘budaya asabiyyah’ dalam diri setiap rakyat seluruhnya. Pasti keamanan, kedamaian dan keharmonian tetap akan menjadi milik bersama.


Salam Ma’al Hijrah.

Friday, November 15, 2013

Bagaimana Membaca Meransang Otak?



Semasa membelek-belek majalah Al-Islam keluaran bulan november 2013, saya tertarik dengan satu tulisan yang bertajuk ‘Bagaimana Membaca Merangsang Otak?’. Maka dalam kesempatan penulisan ini saya coretkan semula beberapa perkara tentang tajuk di atas;

1) Membaca satu senaman minda. Dengan membaca, sel-sel otak akan menjalankan proses aktif minda menyebabkan seseorang mampu berfikir dengan baik.

2) Otak lebih cepat fokus. Melalui pembacaan, otak akan lebih fokus ketika melakukan aktiviti.

3) Membaca meningkatkan kreativiti berfikir. Apabila seseorang banyak membaca, ia pastinya mempu mengeluarkan idea-idea di luar kotak.

4) Membaca rangsang memori. Jika memori tidak dirangsang, ingatan akan lemah. Permainan teka teki lebih mudah untuk meningkatkan memori. Sekali gus elak nyanyuk di usia tua.

5) Membaca tingkatkan kemahiran komunikasi. Dengan banyak membaca, banyaklah pengetahuan yang akan diperoleh sekali gus membina keyakinan untuk komunikasi dengan sesiapa sahaja.
Semoga fakta-fakta di atas memberi suntikan motivasi kepada semua.


Selamat membaca!.

Nota Muharam 1435H (1)



Sambutan Ma’al Hijrah Di Mana-Mana

Alhamdulillah, di pagi yang indah dalam bulan muharam 1435H. Syukur tidak terhingga, dengan izin Allah SWT dapat lagi, menghirup udara pagi yang nyaman. Masih boleh lagi bernafas, menikmati alam maya ini. Dapat mengecapi lagi nikmat usia yang semakin bertambah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkati dan meredhai kehidupan ini.

Pada tanggal 1 muharam 1435H bersamaan 5hb 11 2013M, Selasa. Hari cuti bagi seluruh negeri-negeri di Malaysia. Juga dikenali dengan cuti Maalhijrah, di sana sini pelbagai sambutan merayakan tahun hijrah ini dilaksanakan, baik peringkat negara, negeri bahkan diperingkat kampung juga diadakan majlis sambutan Ma'al Hijrah.

Ini bagi menunjukkan bahawa, tahun hijrah juga sama pentingnya dengan tahun masehi yang setiap tahun diraikan. Lebih-lebih lagi tahun hijrah merupakan tahun yang penting bagi umat Islam diseluruh dunia Islam. Namun sambutan di Malaysia sangat menarik, saban tahun kerajaan akan merayakan dengan pelbagai acara.

Bermula pada petang semalam untuk membaca doa akhir tahun dan di sudahi dengan doa awal tahun sebelum menunaikan solat maghrib sebagai tanda bahawa 1 muharam sudah bermula saat itu. Malamnya akan di serikan dengan majlis ceramah, syarahan, diskusi, forum, kesenian Islam dan pelbagai acara yang dapat membangkitkan semangat hijrah pada diri kita.

Pada sebelah pagi akan diadakan perarakan sambutan ma’al hijrah peringkat negara, anugerah tokoh ma’al hijrah juga akan diberikan kepada tokoh yang layak menerimanya. Itu sebagai tanda penghargaan tertinggi negara terhadap jasa-jasa, khidmat serta buah fikiran berkaitan dengan Islam yang mereka curahkan untuk negara.

Untuk tahun ini, tokoh Maal Hijrah 1435H kebangsaan telah dianugerahkan kepada Tan Sri Dato Haji  Abdul Hamid Bin Zainal Abidin. Manakala tokoh Maal Hijrah untuk anugerah antarabangsa pula dianugerahkan kepada tokoh pendakwah terkenal di dunia Islam  dari benua India iaitu Dr. Zakir Abdul Karim Naik. Sesungguhnya, usaha-usaha ini sangat memberi impak yang baik terhadap masyarakat seluruhnya.

Semoga sambutan Ma’al Hijrah kali ini, bukanlah semata-mata sambutan sahaja, Ia akan memberi suntikan motivasi kepada seluruh umat Islam. Hijrah bukan sekadar ungkapan dibibir tetapi seharusnya direalisasikan dalam segenap kehidupan. Bukan semata-mata hanya memenuhi takwim tahunan semata-mata, lebih daripada itu agar ma’al hijrah dapat menghasilkan sesuatu anjakan paradigma dalam segenap sudut kehidupan umat Islam.

Hijrah demi sesuatu yang lebih baik, dari yang baik kepada yang lebih terbaik dan lebih terbaik lagi. Itu yang semua orang mahu. Dalam individu, ingin kejayaan demi kejayaan, keluarga, masyarakat dan negara begitu juga. Itu semua menuntut penghijrahan yang sebenar-benarnya. Justeru itu, sama-samalah kita mengambil ibrah dari peristiwa hijrah Nabi SAW, di dalamnya penuh dengan hikmah yang besar.


Mudah-mudahan, hijrah kita diterima oleh Allah SWT sebagai hijrah yang sebaik-baiknya.

Thursday, November 14, 2013

Kenaikan Barang Dan PRK Pasca PRU-13



Alhamdulillah, dalam pertemuan kali ini, saya mahu berleter tentang politik, barang naik dan PRK DUN Sungai Limau. Sesekali minda ini kena juga fikir tentang masalah masyarakat, jika tidak akan dikata, tidak tahu apa yang berlaku disekeliling kita. Kehidupan yang pelbagai ini perlu diraikan. Perbezaan pendapat atau pandangan itu perkara biasa, selagi hidup di dunia ini selagi itulah kita akan menghadapi dengan pelbagai bentuk perbezaan, kritikan, bantahan dan sebagainya. Semoga penulisan ini boleh menjadi bahan untuk kita berfikir.

Macam-Macam Isu

Inilah pilihanraya kecil pasca PRU13,  seperti selalunya setiap PRU atau PRK, masing-masing parti akan membawa isu yang berlawanan. Bagi membangkitkan semangat rakyat, apa jua isu yang dibawa akan bermatlamatkan memancing minda pengundi. Tidak kira parti pemerintah atau pun parti pembangkang.
Mereka masing-masing akan mempertahankan hujah mereka. Semua itu demi memikat hati pengundi. Apa yang penting bagi mereka (parti yang bertanding) rakyat faham apa yang mereka lontarkan untuk para pengundi fikir-fikirkan. Akhirnya nanti para pengundi akan mengundi calon parti mereka.

Kalah atau menang itu adat pertandingan atau pun perlawanan, itu menunjukkan, sejauh mana para pengundi faham tentang isu-isu yang berlaku di persekitaran hidup mereka dan luar dari tempat mereka. Pelbagai rencam dan ragam berlaku dalam politik negara. Dari skandal kecil hinggalah skandal besar, dari kenaikan cukai rokok hinggalah GST mahu dikuatkuasakan pada April 2015 nanti.

Juga kenaikan barang yang sangat menekan kehidupan rakyat. Bukan rakyat dikampung tetapi rakyat di bandar juga kini turut tertekan dengan kenaikan barang. Kos hidup semakin tinggi, gaji tidak naik-naik, lebih-lebih lagi sektor swasta, mereka mengharap kenaikan setahun sekali. Itu pun belum tentu berbaloi dengan kos kehidupan yang semakin mencengkam mereka. Sektor awam tetap dengan janji-janji bonus dari kerajaan.

Harga gula, minyak naik dan yang lain, apa lagi yang tidak naik. Semua itu memberi kesan yang amat mendalam kepada sebahagian rakyat kini. Mungkin tidak terkesan kepada para penyokong parti pemerintah, kerana mereka rakyat yang redha dengan ketentuan Allah SWT. Apa barang naik pun, mereka tidak merasakan itu membebankan mereka, malah mereka merasakan membayar lebih untuk membantu kerajaan. Itu salah salah satu perjuangan mereka.

Biar mahal sekali pun asal barang itu masih ada dan tidak kehabisan. Itulah sebahagian pemikiran mereka yang menyokong parti sedang memerintah. Parti pemerintah sungguh suka dan sayang pada mereka yang berfikiran sebegitu. Mereka akan diberi gula-gula tiap kali PRU atau pun PRK. Mereka sangat suka dengan gula-gula parti pemerintah beri. Biar pun hanya gula-gula getah.

Biar pun nanti gula-gula itu ditarik balik dengan memberinya kenaikan harga barang. Itu tidak mengapa kepada mereka. Naiklah tinggi mana pun, kami tetap menyokong dan mendokong prinsip perjuangan parti pemerintah yang banyak jasanya pada mereka...dulu, kini dan selamanya. Ubat mujarab untuk mereka adalah BRIM, jumlah yang sangat memberangsangkan buat mereka. Biar pun jumlah yang dijanjikan tidak ditepati (RM1200) seperti yang dijanjikan sebelum PRU-13. Itu pun ada yang kata, oklah tu daripada tidak ada!.

DUN Sungai Limau Menanag PAS

PRK DUN Sungai Limau, sudah beberapa hari berlalu, kemenangan pada pihak pembangkang parti PAS, sememangnya kubu kuat. Bekas calon Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak calon terdahulu sebelum ini, kini  calon muda Ustaz Azam telah memenangi DUN tersebut. Itulah harapan pengundi di sana, mudah-mudahan calon yang menang dapat menunaikan janji-janji yang ditabur sepanjang kempen tersebut sebelum ini.

Suarakan nanti apa yang rakyat mahu di sidang DUN akan datang. Itu sahaja kemampuan yang ada, maklum sebagai pembangkang, kemudahan dan keistimewaan sangat terhad. Memandangkan parti yang menerajui adalah parti UMNOBN, maka banyak halangan dan birokrasi akan dihadapinya nanti. Itulah ujian dalam perjuangan, untuk menang tidak sukar, tetapi untuk mengisi kemenangan dan mempertahankannya juga bukan mudah.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh jentera PRK DUN Sungai Limau dan para petugas yang bertungkus lumus bekerja keras demi mempertahankan DUN Sungai Limau, Kedah Darul Aman. Tidak lupa kepada para pengundi yang bijak-bijak belaka, kerana tidak termakan janji-janji manismu dari pihak parti pemerintah.

Maklum, mereka dengan jentera yang kuat, sogokan juta-juta mungkin yang boleh mencairkan pengundi, namun sesungguhnya para pengundi di DUN Sungai Limau tidak semudah itu untuk dipermainkan minda mereka. Syabas sekali lagi kepada para pengundi!.

Kepada yang tewas usahlah gundah-gulana, buatlah postmortem, buatlah analisis dengan jujur mengapa tewas. Anggaplah kekalahan ini sebagai bahan muhasabah lebih-lebih lagi kita masih diawal bulan hijrah, muharam 1435H.

Bertepatan dengan slogan mereka Hijrah, maka mereka (para pemimpin dan pendokong) sesungguhnya wajib hijrah bukannya para pengundi yang bijaksana itu. Lakukanlah transformasi seperti yang dilaung-laungak oleh pemimpin mereka. Bukan sekadar ungkapan kosong tidak bermakna, lakukanlah hijrah yang sebenar-benarnya.

Kepada yang menang sekali lagi diingatkan, bukan untuk bermegah tetapi isilah kemenangan dengan sesuatu  berfaedah untuk rakyat. Jadikanlah ia pemangkin untuk menuju kemenagan yang besar nanti dalam PRU-14 nanti. Inilah titik tolak kemenangan bagi menawan Putrajaya. Semangat ahli pasti berkobar-kobar demi perjuangan yang lebih agung, iaitu menegakan kalimah Allah yang mulia di bumi bertuah ini pada masa akan datang. Takbir!.


Selamat membaca!.

Wednesday, November 13, 2013

Tip Penulisan Dari Dr.Ibrahim Ghaffar




Beberapa tip penulisan yang sempat saya catatkan semasa kursus, insyallah boleh dipraktiskan untuk mereka yang ingin menulis. Antara yang dikongsikan oleh beliau kepada para peserta kursus;

1) Menulis dengan jujur, menurutnya ia ciri yang perlu ada pada setiap penulis. Apa yang ditulis pastikan ada fakta-fakta yang menyokong dan buaknnya main semberono.

2) Dalam mencari idea, beliau menyarankan agar wajib sehari menulis tiga muka surat (Paksakan dalam diri), apa-apa sahaja idea yang terlintas di fikiran. Jika ada perakam, maka rakam apa yang kita mahu cakapkan, Sentiasa ada buku nota dalam kocek kita. Itu yang beliau lakukan sehingga hari ini.

3) Setiap penulis, seniman atau pun penyair tidak berpihak. Itu menurutnya, tetapi terpulang kepada masing-masing, kerana setiap insan ada hak dan pendirian sendiri.

4) Jika mahu memulakan penulisan, fokus yakni pastikan kenal pasti apa yang mahu ditulis. Menulis yang kita tahu dan faham sahaja.

5) Mempunyai jadual kerja, iaitu jadual kerja-kerja penulisan, agar ia tersusun dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan. Tidak menganggu hal-hal lain.

6) Untuk penulisan buku, berbentuk pengalaman atau sejarah kehidupan (mengenai diri sendiri) boleh gunakan secara bab atau pun ikut tahun, Turutan tahun peristiwa yang berlaku.

7) Lakukan kerja-kerja penulisan dengan bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi.

8) Jangan terlalu ghairah sangat atau pun dek kerana teruja sangat. Ditakuti semangat tinggal semangat sahaja. Sabar dalam menukangi kerja-kerja penulisan, sedikit-sedkit, lama-lama jadi bukit.


Semoga ada manfaat, dari tip penulisan di atas, untuk diri sendiri dan para sahabat semua.

Tuesday, November 12, 2013

Catatan Petang: Singgah Cari Buku

Beberapa minggu lalu pada sebelah petang, bersama anak buah Amer Amerul ke Tesco Setia Alam. Bertujuan untuk menyemak penyata ahli KWSP. Setelah menyemak penyata KWSP, saya mengambil kesempatan untuk singgah di kedai buku Sinar Bistari di tingkat atas Tesco Setia Alam.
Ia merupakan distinasi utama saya, bila ke Tesco. Kalau dahulu, kedai buku Granmedia menjadi tempat persinggahan, tapi oleh kerana kedai tersebut sudah berpindah. Kini kedai buku Sinar Bistari pula menjadi sasaran saya pula.

Ke Kedai Buku Sinar

Mengambil kesempatan beberapa minit untuk memasuki dan mencari beberapa buah buku untuk dibeli. Saya tidak mengambil masa yang lama. Pusing-pusing sekejap dibahagian penerbitan buku lain seperti PTS, Galeri Ilmu, Mustread dan lain-lain. Maklum ada lagi sesi penting untuk diselesaikan bersama anak buah.

Tanpa banyak memilih saya capai sahaja dua buah buku baharu terbitan Grup Buku Karangkraf. Buku-buku tersebut bertajuk ‘Memacu Transformasi’ tulisan Saifuddin Abdullah dan ‘Maaf Cakap’ tulisan Norden Mohamed. Kedua-dua buku tersebut baharu sahaja terbit beberapa minggu yang lalu.


Bolehlah untuk saya baca, pada masa-masa yang terluang. Seronok bila dapat buku baharu, tidak sabar untuk membukanya dan menyelak-nyelak isikandungan buku tersebut. Dalam kereta lagi saya sudah buka bungkusan plastik tersebut.

Bolehlah nanti baca, ketika kerja shift malam. Itulah masa yang banyak boleh saya membaca, terutamanya pada waktu rehat. Insyallah, pada kesempatan yang lain saya akan kongsikan kedua-dua buah buku tersebut dalam penulisan yang lain nanti.


Ke KFC Setia Alam

Sambil makan-makan ayam. Amer menerangkan tentang Unit Trust, sambil mendengar penerangan dari anak buah, tangan saya asyik membelek buku-buku tadi. Dalam hati tidak sabar untuk membacanya nanti. Amer terus terangkan pasal Unit Trust, Amer rekmen saya supaya masuk unit trust. Untung...dan berbaloi nanti, katanya, biasalah bodek Aciknya.

Dia kata pulangannya lebih lumayan pada masa akan datang, saya dengar sahaja apa yang dia terangkan. Tanpa banyak pertanyaan saya terus setuju dengan cadangannya itu. Terus sign borang untuk menyertai skim tersebut. Mudah-mudahan taklah ada penipuan seperti skim-skim yang lain. Itulah harapan setiap pelabur seperti saya.

Untung-untung umur panjang, dapat menikamti hasilnya.Tidak pun para warislah yang akan dapat menikmatinya nanti. Dua perkara dapat hari ini, dapat buku dan dapat ilmu tentang Unit Trust. Semoga anak buah, sukses dengan kerjayanya itu.


Selamat membaca!.

DEMI MASA