Followers

Tuesday, October 19, 2010

Berita Gembira:Perpustakaan Komuniti Sri Manja berkonsepkan ‘My Second Home’

Gambar hiasan


Oleh: Selangorkini


SHAH ALAM, 18 Okt - Perpustakaan Komuniti Sri Manja yang baru dan dijadual dibuka tahun depan, bernilai RM160 juta, dilengkapi kemudahan lengkap dan canggih.
Ia bakal dibina di Seksyen 13, Shah Alam, berdekatan Kelab Golf Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah. Perpustakaan itu juga bersifat mesra pengguna, kondusif serta berteknologi tinggi dan diharap selaras dengan konsep ‘My Second Home’.

Mengikut Pengarah Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Mahmud, perpustakaan berkonsepkan ‘didik hibur’ ini setanding dengan Perpustakaan Negara Singapura.
“Konsep ‘didik hibur’ ini merupakan gabungan daripada buku-buku sebagai koleksi asas, teknologi IT yang terkini sebagai tuntutan perkembangan semasa dan hiburan atau ‘taman tema’ yang merupakan daya penarik kepada golongan remaja dan kanak-kanak,” jelas Mastura.

Sehubungan itu, pihaknya mahu ‘Wakaf Perpustakaan’ bagi membolehkan masyarakat menderma koleksi buku.

“Apa yang membimbangkan, perpustakaan ada koleksi yang terhad, walaupun Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) diperuntukkan RM1 juta untuk pembelian buku-buku baru, namun setelah dicampur dengan koleksi sedia ada, ia berjumlah 200 ribu naskhah sahaja. Ini merupakan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan buku yang diperlukan bagi mengisi rak-rak yang disediakan,” katanya.

Perpustakaan baru ini mampu menampung 400 ribu naskhah buku dan PPAS memerlukan tambahan 200 ribu buku baru.

Jika diandai kos pembelian sebuah buku ialah RM50 sebuah, sebanyak RM10 juta diperlukan. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor kini mempunyai 92 pusat perkhidmatan di seluruh Selangor. Peningkatan ahli juga kini semakin bertambah dan Selangor menjadi negeri yang mengalami banyak peningkatan.

EXCO Pendidikan, Pendidikan tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali pula menyifatkan suasana yang mesra pengguna, kebersihan dan keselesaan juga antara faktor penting yang ditekankan.

“Idea yang diperkenalkan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana melalui pendekatan ‘My Second Home’, kemudahan kafe, tandas yang bersih, tempat solat yang selesa, perkhidmatan Internet dan multimedia percuma dan koleksi yang BEST akan mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap perpustakaan,” kata Exco Selangor.

Beliau juga menaruh keyakinan terhadap kewibawaan perpustakaan yang menelan belanja RM160 ribu hasil sumbangan kakitangan PPAS sebanyak RM10 ribu dan kerajaan negeri RM150 ribu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha pula berharap orang ramai turut sama memberi sumbangan dalam bentuk koleksi buku.

“Perpustakaan komuniti Taman Sri Manja ini sudah lama dinanti-nantikan kerana di kawasan DUN Taman Medan ini masih belum ada prasarana perpustakaan diwujudkan. Justeru, saya menyokong penuh usaha PPAS mewujudkan perpustakaan komuniti ini.

“Sebagai tanda sokongan, saya menyumbangkan RM20 ribu untuk pembelian buku-buku dan koleksi terkini. Saya harap agar kemudahan yang disediakan secara percuma ini akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Saya juga menyeru masyarakat sekeliling agar sama-sama memantau keselamatan perpustakaan ini,”
tegasnya.

SUMBER:Selangorkini.com

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA