Rasuah menurut maksud Kamus Dewan Bahasa Jilid
4, membawa maksud ‘pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap),
(wang) tumbuk rusuk (sogok, suap), Menurut agama, pemberi dan penerima
rasuah akibatnya boleh masuk ke jurang api neraka. Sudah pasti perbuatan
memberi rasuah dan menerima rasuah adalah perbuatan serong, boleh merosakkan
akhlak seseorang, jika ia seorang penganut Islam sudah tentu padahnya seperti
yang ditulis di atas. ‘I help you, you help me’, juga boleh ditafsirkan
pernyataan rasuah yang terus terang. Benarkah begitu?.
Oklah, cukup sekadar itu, maksud yang mudah
tentang rasuah. Gejala rasuah semakin hari semakin meningkat, maka bila dilihat
begitu, bagi kerajaan yang prihatin tentang gejala ini, maka banyaklah
dilakukan kempen-kempen bagi menjauhi amalan yang tidak bermaruah ini. Sama ada
di kaca-kaca tv mahupun di media-media cetak diwar-warkan kempen tersebut agar
seluruh rakyat faham akan tentang peri buruknya perlakuan rasuah. Bagaimana
hasilnya?.
Gejala ini boleh berlaku di mana-mana tempat,
tidak kira waktu dan masa, setiap detik dan saat ia boleh dilakukan. Di
pejabat, di kedai kopi, di pertemuan tertutup, semasa roadblock, melobi mahu
projek, di dalam masjid?, ya...di mana-mana pun ia boleh dilakukan. Oleh
sesiapa sahaja, ahli politik sudah pasti, pekerja pejabat tentu sahaja, semasa
operasi roadblock ermm banyak cerita didengari, pernah berlaku? Pernah. Semua
dilakukan oleh orang yang tidak amanah dengan tanggungjawab yang dipikul di
pundak mereka.
Kenapa berlaku?, biasalah, nama pun manusia,
lemah jiwa apatah lagi iman di dada sangat nipis, gaji tidak mencukupi,
perlukan duit...terdesak, tidak tahan ujian, banyak lagi sebenarnya mengapa ia
berlaku. Mahu mempertahankan kuasa juga jawatan, rasuah mahu tidak mahu
diperlakukan. Banyak berlaku dan terjadi, lihatlah di dada-dada akhbar, berapa
banyak penjawat-penjawat awam telah ditangkap atas salah laku rasuah ini. Mahu
projek atau tender kerajaan, mahu cepat dapat, rasuah bawah meja, duit kopi,
dan macam-macam istilah yang berkait dengan rasuah.
Pernah dengar orang-orang besar kena tangkap
rasuah?, bila kita sebut ‘orang-orang besar’ termasuklah orang-orang politik.
Sebab orang politik sekarang bukan buat kerja untuk rakyat tapi buat kerja
untuk konglomerat dan ahli koperat, betulkah?. Banyak yang buat kerja rakyat
bila dekat PRU, lagi setahun mahu PRU baharulah terdengar kepekaan mereka
tentang rakyat, kebajikan rakyat, dan macam-macam lagi. Ada juga orang-orang
politik kena tangkap atas dakwaan rasuah tidak lama dari itu lepaslah, tiada
kes. Dakwaan terpilih?.
Apa yang kita lihat, ikan bilis ramai yang
kena, segala ikan jerung, ikan jos dan ikan paus selamat sihat walfiat, boleh
lagi berlegar-legar ke luar negara makan angin. Begitulah undang-undang dunia.
Langkah kerajaan yang ada bagi mengatasi
rasuah ini, sudah macam-macam dilakukan, baginya ini langkah transformasi dan
komitmen kerajaan bagi membebaskan negara dari gejala rasuah, terbaharu perdana
menteri telah merasmikan larian ‘Hapuskan Rasuah Jangan Beri, Jangan Terima’
beberapa hari lepas.
Tujuan larian ini menurut Datuk Tan Lian Hoe,
Ketua Wanita Gerakan;
"Tujuan utama ialah untuk menghapuskan
rasuah. Rasuah bukanlah budaya kita serta tidak memberi apa-apa rezeki
sebaliknya ia hanya melumpuhkan kestabilanekonomi negara. Keupayaan menangani
rasuah perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.
"Rasuah akan tetap berlaku selagi adanya
'pemberi' dan 'penerima'. Justeru, Larian Hapuskan Rasuah merupakan
tanggungjawab individu dalam melahirkan ikrar integriti masing-masing ke arah
mewujudkan negara yang bebas rasuah,"
(Portal Sinar Harian)
Tak tahulah apakah kempen ini akan berjaya
atau tidak, menarik slogan kempennya tapi apakah ia benar-benar akan
dipraktiskan?, kita tunggu hasilnya nanti atau akan bertambah parah
separahnya?. Bila kata mahu benteras rasuah, yang empunya diri juga kena bersih
bebas dari rasuah, bukan sekadar omong-omong kosong. Rakyat menilai dengan
bijak sekarang. Bukan macam dulu-dulu, melulu mengikut hawa nafsu.
Siapa pun kita, sama ada penyokong
pembangkangkah, penyokong parti pemerintahkah, tidak ke mana-mana pihakkah, aku
tidak campur mana-mana politikah, dan lain sebagainya, sudah sewajarnya jauhi
gejala tidak bermoral dan rendah akhlak ini. Itulah yang kita mahukan, ingin
melihat negara ini jauh dari gejala yang semakin membarah ini. Mudah-mudahan
jangan hanya sekadar larian semata-mata tetapi biarlah kita lari terus dari
fatamorgana rasuah ini.
Akhirnya, apa yang penting dari itu, pendekatan
agama adalah lebih ampuh, mesti digunakan buat memberi kefahaman
sungguh-sungguh kepada segenap masyarakat. Hanya agama yang mampu mengubah
gejala rasuah ini. Amalkan agama dengan sungguh-sungguh pada setiap diri yang
mengaku muslim, pasti amalan atau gejala rasuah ini akan terhindar dari diri
individu tersebut. Harapan dan impian bersama agar negara tercinta ini bebas
terus dari rasuah bermaharajalela.
Nyahkan Rasuah!.
No comments:
Post a Comment