Followers

Monday, May 5, 2014

Minda Siasah: Sokong Hudud


Politik tanah air tidak henti-henti dengan pelbagai isu, lepas satu isu, isu lain menjelma, kini kedengaran lagi tentang hudud. Salahkah jika isu ini berlegar kembali?. Secara pribadi bagi saya, tidaklah salah, baguslah, ia wajar di war-warkan, diberi kefahaman kepada seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira apa jua bangsa dan agamanya, ia perlukan gerak kerja dakwah yang berkesan.

Maklum sahaja, negara kita sudah puluhan tahun merdeka, namun sampai hari ini tidak ada cita-cita mahu mengangkat undang-undang Islam ini sebagai perundangan tertinggi negara, sampai bila pun kita tidak tahu, pelbagai alasan dilontarkan dengan bermacam-macam pandangan. Tak kurang juga, memperleceh, memperlekeh, malah ada yang lebih berani sinis dalam mengeluarkan pandangan.

Entah mengapa, saya pun heran, puluhan tahun sudah, masih lagi tidak faham-faham tentang undang-undang syariah ini. Padahal negara kita, banyak institusi berkaitan keagamaan, kita ada JAKIM, kita ada IKIM( malah wujudkan lagi radio), kita ada puluhan jabatan-jabatan agama Islam rasmi, dan pelbagai lagi institusi Islam yang tidak disebut di sini. Tidak cukup lagikah? atau peruntukan ke arah itu tidak ada? Atau memang tidak ada cita-cita ke arah itu?.

Apakah tidak cukup lagi untuk mengerakkan usaha dakwah tentang undang-undang syariah tersebut?. Kita mahu semua faham?, berapa puluh tahun lagi mahu tunggu?. Pemerintah yang ada hari ini pun sudah cukup tua, apakah tidak ada lagi keinginan untuk melaksanakan undang-undang tersebut?. Ya, baharu-baharu ini sahaja kedengaran sebahagian pimpinan parti pemerintah seolah-olah bersetuju untuk menyokong perlaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Mudah-mudahan termakbullah cita-cita kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Harap-harap parti pemerintah yang mahu menyokong undang-undang hudud ini tidak berdolak-dalik seperti dahulu, kita tidak mahu ada kata hudud Pas, hudud Umno, biarlah ia akan menjadi realiti, berbincanglah, bermesyuarahlah dengan penuh kasih sayang demi undang-undang Allah SWT ini.

Hilangkanlah sementara kesangsian atau apa sahaja titik bengik politik masing-masing. Memanglah kita tidak tahu hati antara kedua-dua parti terbesar di tanah air kita, hanya Allah SWT yang tahu, apa pun usahakan dahulu itu yang penting, sekurang-kurangnya parti pemerintah sudah punyai sentiviti tentang undang-undang hudud ini. Kita tidak mahu lagi ada pemimpin-pemimpin negara cuba memperlekeh, memperleceh, mempermain-mainkan undang-undang Allah SWT ini.

Harapan dan cita-cita ini agar dipermudahkan oleh Allah SWT, saya yakin dan percaya, setiap jiwa mukmin yang beriman dan bertaqwa seratus peratus menyokong dan mendokong jika sekiranya undang-undang hudud ditegak dan dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun di bumi Malaysia sendiri. Begitu juga dengan mereka yang bukan beragama Islam, jika diberi kefahaman yang padu dan jitu, pasti menerimanya dengan berlapang dada.


Sekadar pandangan orang kecil.

Masshah 2014

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA