Followers

Wednesday, February 26, 2014

Saya, Abuya Dan Abang Polis




Tahun 2008, ada beberapa kenangan yang indah buat saya waktu itu, hingga kini kenangan itu tidak luput dari ingatan ini, ia masih terbayang-bayang di ruang mata ini. Sampai bila-bila pun tidak akan saya lupakan kenangan ini. Harapan dan impian sejak saya bersekolah rendah lagi dengan izin Allah SWT, impian dan harapan itu termakbul.

Bertemu dan ziarah tokoh yang sangat kontroversi waktu itu dan kini pun namanya masih disebut-sebut sama ada pujian mahu pun kutukan, kejian jua cemuhan. Tokoh tersebut adalah Ustaz Ashaari Muhammad bekas pemimpin Al-Arqam sebelum diharamkan, beliau pun sudah meninggal dunia (al-fatihah), sudah menjadi kenangan buat saya, juga tentunya buat mereka yang seiring sejalan dalam perjuangan yang mereka ikuti sewaktu dulu. Saya cuma mengikuti perkembangan dan simpati apa yang berlaku.

Kisah ini sengaja saya tulis kembali di sini, kerana dari sisi lain ada cerita menarik lagi yang saya ingin kongsikan dalam kesempatan ini. Selepas kami sembang-sembang dan dihiburkan dengan dua buah lagu nasyid oleh anak-anak Abuya, maklum waktu itu kita baharu sahaja merayakan hari raya aidilfitri, mood raya masih ada, anak-anak Abuya menghiburkan kami dengan lagu-lagu raya secara live. Saya sempat mengambil video untuk kenangan. Seorang anggota keselamatan yang hadir juga merakam suasana pada malam tersebut.

Selesai kami bertemu abuya di biliknya, kami terus dijamu dengan pelbagai macam juadah, juga ada air minuman ikhwan, di ruang tamu rumah besan Abuya, saya hanya jamah sedikit kerana selepas itu kami akan dijamu pula oleh anggota keselamatan yang hadir bertemu abuya kerana menjalankan tugas, saya dimaklumkan ketika itu, bila Abuya ke mana-mana negeri anggota keselamatan dari cawangan khas tempat tersebut akan membuat lawatan ke tempat Abuya transit.

Sembang Santai Di Medan Ikan Bakar

Sekitar jam 10.15 malam kami bertolak ke Medan Ikan Bakar. Sampai sahaja, semua hidangan sudah tersedia ada, kami mengambil tempat masing-masing. Macam-macam ada, biasalah namanya medan ikan bakar, mesti ada ikan bakar macam-macam jenis. Kami menikmati dengan penuh selera lagi kerana tempat kami hampir dengan pantai, alunan angin yang lembut menyelerakan sekali.

Sambil makan-makan masing-masing berbual bicara, saya mengikuti penuh minat, maklum pertama kali makan-makan, sembang-sembang dengan anggota keselamatan dan anak-anak buah Abuya. Seorang anggota keselamatan, berbadan agak gempal bercerita tentang tugas yang dilakukan, pengalaman menangkap penjenayah dan operasi-operasi yang dijalankan sangat menarik sekali.

Sesekali beliau ditugaskan untuk merisik dalam program berkaitan parti pembangkang. Beliau pernah berjubah dan berserban semata-mata menjalankan tugas yang diamanahkan. Setiap program parti pembangkang beliau akan hadir, itu semua kerana tugas katanya. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham apa yang diceritakannya.

Seorang lagi anggota keselamatan bercerita tentang pengalamannya untuk menangkap seorang aktivis parti, katanya aktivis ini sangat licik sekali, susah untuk ditangkap. Aktivis ini seolah-olah tahu dan boleh menghidu bila ada anggota keselanmatan yang mengekorinya. Saya mendengari dengan penuh minat sekali, dalam hati waktu itu begitu sukarnya tugas polis rupanya.

Lebih menarik lagi bila anggota keselamatan itu kata, Malaysia yang menyebabkan berlaku kecoh atau huru-hara ini disebabkan orang itu (Anwar Ibrahim), waktu itulah. Saya tidak berkata apa-apa, hanya senyum sahaja. Telinga mendengar, mulut masih meratah ikan bakar yang masih ada. Rasa kenyang tak terkata...Syukur Alhamdulillah, kawan yang di sebelah bersembang dengan mesra sekali dengan adik abuya, kalau tidak silap saya Inaam Mohammad namanya.

Selepas bersalam-salaman, mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan tersebut  dan anak-anak buah Abuya, kami bertiga bertolak malam itu juga ke Selangor. Saya dengan penuh syukur dan nikmat Allah SWT yang tidak terhingga, kerana segala cita, impian dan harapan sudah termakbul...ia menjadi kenangan yang cukup indah hingga ke saat ini.


Ini merupakan cerita dulu-dulu yang masih dalam ingatan, hajat puluhan tahun ketika itu tertunai sudah, saya berterima kasih banyak pada Syeikh Dr.Abdul Hamid Bin Sujak dan sahabat sekerja waktu itu saudara Hasbullah, tanpa mereka mungkin hajat untuk bertemu pemimpin penuh kontroversi itu tidak saya temui.

Sekian adanya...

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA