Followers

Saturday, October 5, 2013

Minda Siasah: Drama Terus, Lima Tahun Lagi



Untuk lima tahun lagi, kita akan lihat dan menonton pelbagai adengan drama atau sandiwara semasa. Mahu tidak mahu kita terpaksa lihat dan menontonnya. Biarpun sebahagian rakyat sudah jemu dan jelak melihat permainan drama atau sandiwara semasa mereka. Bermula episod sebelum PRU 13, sehinggalah malam kemenangan dan kini, sudah terakam beberapa aksi lucu lagi memualkan drama ditayangkan untuk seluruh rakyat.

Aksi-aksi jelak mereka dengan janji-janji untuk rakyat begitu sensasi dan terkini, dari isu keselamatan, perundangan, transformasi hinggalah kenaikkan barang semuanya telah dan sedang dipertontonkan di panggung-panggung di seluruh pelusuk ceruk bandar, desa, kampung, negara dan negeri. Ia semakin menyakitkan mata rakyat lebih-lebih hati.

Ketidakpedulian para pemimpin mereka tentang untung nasib rakyat langsung tidak dipedulikan. Naluri mereka sungguh kejam, malah tidak berperikemanusiaan. Rakyat semakin tertekan dengan kos hidup yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi nilai 20 sen yang mereka anggap kecil itu telah dirampok dengan drama yang mereka hasilkan baharu-baharu ini. Mereka tidak peka bahkan pekak untuk melihat dan mendengar rintihan dan keluhan rakyat.

Ya, itulah sebahagian drama transformasi mereka, menjerut leher rakyat dengan pelbagai alasan yang muluk-muluk. Kedangkalan minda pemimpin mereka semakin hari semakin terserlah, lihat sahajalah dalam drama isu ayam semasa musim perayaan lalu, bila ayam naik, dikatanya jangan makan ayam, begitu mudah aksi jawapan mereka untuk menyelamatkan diri.

Dan itulah standard sebahgian menteri, dan itu jugalah sebahagian agenda transformasi yang digembar-gemburkan. Beberapa hari lalu, kita sekali dikejutkan sebenarnya tidak terkejut pun, tentang laporan audit 2012 oleh Ketua Audit Negara. Pelbagai bentuk kelemahan dan ketirisan pengurusan kewangan entiti kerajaan yang sangat menjengkelkan.

Setiap kali laporan audit dikeluarkan ada-ada sahaja perkara yang menjelakkan, tiada usaha langsung untuk memperbaikinya, juga seperti laporan audit yang sudah-sudah. Apa tindakan mereka untuk mengelakkan perkara itu terjadi. Apa pun tak boleh!. Ulasan demi ulasan, teguran demi teguran, begitulah keputusannya bila terbit laporan audit setiap tahun.

Banyak lagi sebenarnya drama-drama yang mereka persembahkan yang tidak sanggup kita mahu tonton. Semakin menyampah dan menyesakan nafas ini. Adakalanya terfikir, sampai bila bangsaku mahu berfikiran waras, cukup-cukuplah dengan biru haru biru, tidak lihatkah pemimpin mereka makin lama makin tidak bijak mengolah khazanah negara ini. Mereka mengkayakan suku sakat dan kerabat mereka.

Kekayaan negara dipunggah kepundak mereka masing-masing, nasib rakyat sebangsa semakin tenat, sakit dengan pelbagai perkara yang tidak sanggup lagi ditanggung. Bebanan ini akan berterusan sehingga sebelum menjelangnya PRU akan datang. Selepas itu drama janji-janji manis berkumandang lagi dan lagi. Begitulah akhirnya terjadi nasib rakyat, asyik tunggu janji, tagih janji entah sampai bila terus-terusan begitu dan begini.


Cukuplah, leteran untuk kali ini, ada masa leter lagi.

Selamat membaca.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA