Followers

Wednesday, January 22, 2014

Kongsi Buku: Kontal Kantil- Ismas Saring@Saring Sirad



Coretan Buku Kontal Kantil

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya telah dapat menghabiskan sebuah buku yang diberi jodol ‘Kontal Kantil’ Karya-Karya Terpilih Ismas Saring. Buku setebal 203 muka surat ini merupakan hasil karya kreatif Saring Sirad@Ismas Saring, juga dikenali dengan panggilan Wak Saring. Buku ini diterbitkan oleh ITBM-PENA, dengan harga RM25 Semenanjung Malaysia dan RM30 untuk Sabah dan Sarawak.

Kepada para penulis kreatif masakini harus memilikinya, isikandungannya terdiri daripada penulisan kreatif puisi, cerpen dan drama (skrip drama pentas). Mengandungi gambar-gambar penulis sewaktu muda, semasa berkerjaya hinggalah kesaat ini. Sudah barangkali gambar-gambar ini merupakan nostalgia yang mengamit penulisnya sendiri.

Dalam memperkatakan buku ini, bukanlah saya orang yang layak sebenarnya, ia sekadar luahan pembaca seperti saya terhadap buku ‘Wak Saring’, kerana saya bukan orang sastera yang pandai bermain bahasa. Buku ini pun dalam kategori sastera, lagilah payah untuk saya membuat komen.

Apa pun saya akan cuba memberi komennya. Ia sekadar komen dan pandanga dari insan biasa-biasa sahaja dari saya. Komen atau pandangan ini sebenarnya hasil dari pertanyaan ‘Wak Saring’ lewat beberapa hari yang lalu, berkenaan pertanyaannya melalui sms yang dihantar kepada saya.

“Dah baca Kontal Kantil, sila beri komen. Tq.”,

Begitulah bunyi sms yang beliau hantar kepada saya. Saya menjawab, saya akan tulisnya di muka buku saya nanti. Ya, dalam kesempatan ini saya akan cuba memberi pandangan terhadap buku Kontal Kantil ini. Melihat dan membaca tajuknya sudah cukup teruja, Kontal kantil, dalam hati ketika melihat tajuk itu, orang jawa tajuk bukunya pun bunyi dailek jawa.

Kontal-Kantil, Sewaktu ingin memahamkannya, saya cuba membayangkan seseorang yang hidupnya keseorangan, tiada sesiapa yang tinggal, seorang-seorang sahaja, terkontal-kantil, macam buah yang berada dipohon , terkontal-kantil tinggal sebiji, dek kerana buah yang lain sudah jatuh gugur ke bumi, itulah yang saya faham, walaupun saya orang jawa, entah betul atau tidak hanya ‘Wak Saring’ boleh jawab.

Menurut Wak Saring, apa yang dimaksudkan Kontal Kantil seperti yang diungkapkannya dalam akhbar Berita Harian, katanya;
"Kontal Kantil sebenarnya ungkapan dalam dialek Jawa yang bermaksud sebiji buah yang bergoyang tanpa buah yang lain atau boleh juga bermakna bunga cempaka yang terpelanting seperti saya." - Ismas Saring

Sumber: Berita Harian, 15 Januari 2014, m/s 5

Tentang Puisi

Walaupun bunyi tajuknya jawa, sebenarnya kandungannya semua penulisan keratif dalam bahasa Melayu, hanya sebuah puisi yang berbahasa jawa terdapat di dalam buku ini, tajuknya ‘Penakonan’ atau dalam bahasa melayunya ‘Pertanyaan’ dalam muka surat 89. Dalam banyak-banyak puisi yang sebanyak 79 buah puisi, hanya satu dalam bahasa jawa.
Saya perturunkan sedikit sebahagian dari puisi dalam bahasa jawa tersebut.

‘Puniko penguripan iki
Onte remehe
Dedulur tonpo rini
Teko lungo koyo ngimpi.

Penakonan sa-iki
Piro omahmu, ageng nopo alit
Piro olehanmu
Bonten onten dedulur meneh
Nek bonten kemulan rini’

Saya sendiri amat sukar untuk memahami, ada beberapa patah perkataan dalam bahasa ‘Jawa halus@Jowo alus yang sememangnya saya sendiri tidak faham bahasa jawa halus ini. Walaupun kakek sebelah bapa saya dari Jawa Timur, saya tidak bisa bercakap dalam bahasa jawa halus. Saya cuba membacanya berulangkali dan memahami patah perkataan yang saya faham.

Kesimpulan yang saya dapat kemungkinan, puisi ini membicarkan tentang kehidupan sekarang ini, orang akan lebih betanya tentang apa yang kita ada, sering kita dengar, orang bertanya, ada berapa buah rumah, berapa banyak gaji atau pendapatan, ada pangkat, belajar di pondok atau universiti.

Lalu bila sebaliknya kehidupannya sukar atau susah, orang akan menjauhinya. Senang cakap, bila kita senang, sogeh atau kaya baharu orang akan datang pada kita, saudara-saudara akan dekat pada kita tapi bila susah tinggalkan kita. Begitulah kehidupan kita hari ini.

Saya juga tertarik dengan puisi ‘Jambatan Kota’, ia ada tiga puisi berkaitan ‘Jambatan Kota’ Ini, ‘Jambatan Kota ’ ditulis pada 1963, ‘Jambatan Kota(2)’ ditulis pada 9 November 2012, dan, ‘Jambatan Kota (3)’ ditulis tidak bertarikh. Ketiga-tiga puisi ini dalam muka surat 45, 46 dan 47. Saya teringat masa kecil dulu, dalam lingkungan umur belasan tahun ke atas. Seringkali dengar ‘Jambatan Kota’ di bandar Klang bila orang bercerita tentangnya.

Jambatan kota yang menyerbangi Sungai Klang dalam puisi ‘Wak Saring’ ada nostalgianya pada diri penulisnya. Seperti yang diungkapakan dalam puisi ‘Jambatan Kota’, Jambatan kota menjadi tempat laluan manusia sepulangan dari pencarian, ketika itu Sungai Klang masih jernih, bersih dan mengalir dengan baik sekali belum ada sebarang pencemaran. Harapannya agar sungai Klang terus menjadi warisan untuk mereka pada masa akan datang.

‘Lenggang gadis
Di jambatan kota
Menatap senja berbunga
Ria wajahnya
Sungai Klang
Jernih dan mengalir indah
Sketsa sebuah warisan bangsa.

Dan pada puisi ‘Jambatan Kota’ (2), setelah selama 50 tahun ‘Wak Saring’ mengungkapakan lagi nostalgia Jambatan Kotanya. Biar pun jambatan kota masih di situ, namun perkembangan air sungainya sangat menduka citakan, 50 tahun yang lalu, air sungai klang sangat bersih dan jernih namun peredaran zaman telah merosakkan segala keindahan sungai klang. Dek pembangunan yang kian rancak. Bahkan sejarah yang mengalir bersama sungai klang semakin dilupakan.

Lihatlah pada rangkap ungkapan yang pertama;

Masa kian tertakhta
Di istana nostalgia
50 tahun
Jambatan kota masih di situ
Merintang sungai sejarah
Dan air menaglir lesu
Tidak lagi jernih
Berbaur warna membuatku
Tidak lagi menyaksikan
Darah Tengku Kudin dan Raja Mahadi
Di dasarnya.

dan ‘Jambatan Kota’ (3).

Dalam puisi ‘Jambatan Kota (3), sekali lagi ‘Wak Saring’ meluahkan perasaannya dalam ungkapan rangkap puisinya. Pada ungkapan rangkap tiga dan empat, pembangunan telah menyebabkan kerosakan pada tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok yang hijau. Keadaan di Jambatan Kota juga tidak mengambarkan beberapa dekad yang lalu. Jambatan Kota sentiasa sibuk dan hiruk pikuk dengan pelbagai kenderaan, keadaannya juga tidak pernah tenang. Gadis-gadis yang sering melalui jambatan tersebut juga sudah tidak aman.

Di Jambatan Kota
Tak setenang abad yang berlalu
Tiada lagi gadis bangsaku
Melenggang tenang
Di senja berbunga.

Bagaikan burung hitam
Yang kehilangan suara
Di pepohonan merimbun
Kian hilang dan terhakis
Atas nama pembangunan.

Sebenarnya banyak lagi puisi-puisi yang menarik seperti Keranda 152, Gagak, Bisik, Memoir Di Aidilfitri, Di Garisan Zon Kuning dan banyak lagi. Kesemuanya itu sudah pasti ada nostalgia tersendiri buat penulisnya, cukuplah sekadar beberapa puisi yang saya dapat kongsikan dalam buku Kontal Kantil ini.

Entah betul atau tidak ulasan saya ini. Main hentam sahaja. Maafkan saya Wak Saring seandainya ulasan puisi ini tidak menepati maksud dalam puisi tersebut. Maklum sahaja Wak Saring, “ Aku bocah-bocah esek’ arek belajar nulis, orak ngeti opo-opo pasal sastera lo, angger salah maksudthe’,dimaafi yo...”.

Tentang Cerpen

Dalam buku ini mengandungi enam buah cerpen, penulisan kreatif oleh Wak Saring. Saya yakin cerita-cerita dalam cerpen tersebut merupakan cerita pengalaman beliau sendiri. Melihat gaya penceritaan dan latar dalam cerpen tersebut.

Pengalaman beliau semasa bertugas di luar negara sebagai ‘Travel Writer’ juga saya merasakan ada dirakamkan dalam cerpen yang bertajuk ‘Sakura Dari Kyushu’, ‘Saya Yang Tak Punya Apa-Apa’, ‘Sebuah Dairi Hitam’ juga cerpen yang bertajuk ‘Belum Serosak Itu’ yang membawakan cerita tentang kehidupan hitam di ibu kota Kuala Lumpur.

Cerita-cerita benar ini dijadikan sebuah cerpen yang cukup keratif oleh Wak Saring. Cerpen ‘Ritma Meja Bundar’ dan ‘KeranaTuhan Itu Satu’ pun menarik untuk dibaca. Saya yakin hasil penulisan keratif berupa cerpen ada banyak lagi yang tidak disekalikan dalam buku ini atau kemungkinan seperti yang Wak Saring katakan dalam dari meja penulis... “sebahagian besarnya ada yang musnah dan menjadi mangsa anai-anai; yang ada dalam buku Kontal kantil ini hanya sebahagian kecil yang masih terselamat.”

Namun enam buah cerpen tersebut sudah cukup membuktikan dunia penulisan keratif Wak Saring sangat memberikannya nostalgia dalam hidupnya dan perkongsiannya secara keratif amat dirasai.

Tentang Drama

Sebuah manuskrip drama tahun 1968, sebuah drama yang bertajuk ‘Seruan Damai’ yang petriotik hasil karya Wak Saring ini harus dijadikan bahan rujukan sebagai pengiat drama pentas mahu pun tv, nilai-nilai kemanusian yang terkandung dalam drama pentas ini sangat menarik sekali.

Syabas Wak Saring atas kejayaan manuskrip drama ini pada ketika itu. Inilah rupanya skrip yang Wak ceritakan dalam bengkel penulisan yang lalu semasa di Masjid Negeri Shah Alam. Bukan calang-calang orang, orang yang kata..Wak tak punya apa-apa, Wak kutip botol je..kalimah itu yang saya masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga hari ini. Namun Wak Saring sebenarnya kaya dengan ilmu dan pengalaman dalam dunia penulisannya.

Rugi rasanya, terlewat sangat mengenali Wak Saring ini.

Kesimpulannya

Justeru itu, kepada penggiat penulisan kreatif ditanahair mengambil iktibar dan ibrah apa yang berlaku pada karya-karya Wak Saring yang dimakan oleh anai-anai. Kelahiran buku Kontal Kantil; Karya-karya Terpilih Ismas Saring, harus dimiliki oleh seluruh penulis-penulis keratif. Ia boleh dijadikan bahan rujukan dan perbandingan pada masakini dan akan datang.

Kemahuan Wak Saring membukukan karya-karyanya setelah didesak dan dicabar oleh rakan-rakan penulis lain telah membuktikan kepada kita. Bahawa karya-karya penulis seperti Wak Saring tetap akan dihargai sebagai tatapan buat generasi hadapan.

Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Wak Saring tentang dirinya ‘tidak punya apa-apa’, menurut Baha Zain, ‘tidak punya apa-apa’ itulah sebenarnya Wak Saring ‘punya apa-apa’. Karya ini adalah salah satu buktinya, Wak Saring@Ismas Saring ‘punya apa-apa’.

Tahniah dan Syabas Saring Sirad@Ismas Saring, saya lebih mudah memanggilnya Wak Saring.

Untuk Wak Saring, inilah komen atau pandangan yang tidak seberapa dari saya insan biasa-biasa sahaja. Saya pun tidak tahu sama ada ini, komen atau pun ulasan buku. Apa pun semoga Wak Saring sudi membacanya. Selepas itu komen pula tulisan saya ini Wak Saring!.

Akhirnya, saya teringat dengan kata-kata Wak Saring;

“Kapan arek dolan nang umah?”.

“Insyallah kapan-kapan aku dolan nang uma’ih Wak”

Sekian.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA