Followers
Friday, October 14, 2011
Berita:Dana RM2 juta sangat bermakna: Pen
BERITA BAIK BUAT PARA PENULIS
SHAH ALAM - Dana RM2 juta bagi menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf tinggi dalam bahasa Melayu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin disifatkan sebagai sangat bermakna.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, penerbitan buku ilmiah tidak mendatangkan pulangan yang lumayan kepada penulisnya kerana tidak popular sedangkan kos penghasilannya sangat tinggi.
“Oleh itu, pemberian dana sebanyak RM20,000 kepada setiap buku yang dihasilkan dapat merangsang semangat sarjana tempatan untuk menulis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas pengumuman Muhyiddin bahawa kerajaan mewujudkan dana RM2 juta melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggalakkan penerbitan buku-buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu bermula tahun depan.
Dana tersebut diwujudkan memandangkan jumlah buku ilmiah dalam bidang dan bahasa tersebut amat terhad.
Mohamad Saleeh berkata, penulisan buku ilmiah dalam bidang sains sosial turut menerima nasib yang serupa, iaitu kurangnya sambutan daripada pembeli sehingga membantutkan usaha penulis dan penerbit menghasilkan buku dalam bidang ini.
Katanya, memandangkan masalah ini tidak ada jalan penyelesaiannya sehingga kini didapati buku ilmiah tidak banyak dapat dihasilkan sedangkan ramai sarjana mampu menghasilkan manuskrip yang bermutu.
“Oleh itu, peruntukan yang serupa hendaklah turut disalurkan kepada penulis buku ilmiah dalam bidang sains sosial juga,” katanya.
Namun begitu katanya, usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya penjawat awam masih gagal untuk memahami Perlembagaan dan keghairahan untuk menonjolkan ‘status yang palsu’.
“Sejak 20 tahun terakhir keghairahan penjawat awam menggunakan bahasa Inggeris sangat ketara terutamanya dalam mesyuarat dan seminar walaupun majlis itu dihadiri oleh orang tempatan atau orang luar yang memahami bahasa Melayu. “Ini menjadikan bahasa Melayu semakin terpinggir dan dipandang rendah oleh masyarakat,” katanya
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment