Followers

Monday, June 4, 2012

Mimpi pimpin jalan penulisan Siti


Siti Rosmizah Semail

SIAPA sangka, sebuah mimpi menjadi pencetus untuk seseorang itu menceburi bidang penulisan. Bagi penulis novel, Siti Rosmizah Semail, 40, semuanya bermula daripada mainan tidur itu.
Ditanya lebih lanjut mengenai mimpi yang menjadi titik tolak kepada minat itu, agak memeranjatkan apabila beliau memberitahu, ia bukan mimpi biasa tetapi mimpi selama tiga malam berturut-turut. Mimpi itu, menurutnya, bersambung-sambung hingga menjadi satu cerita yang lengkap.
“Saya mula tertanya, makna mimpi yang saya alami itu. Adakah mainan tidur atau anugerah tuhan?
“Akhirnya saya memutuskan ia satu anugerah tuhan lalu menterjemahkannya dalam bentuk penulisan. Bermula daripada itu, terhasilnya novel pertama saya, Andai Itu Takdirnya pada tahun 2008,” kata Siti.
Walaupun tidak pernah menyimpan cita-cita menjadi penulis mahupun memiliki pengetahuan dalam bidang penulisan, mimpi tersebut telah memimpin Siti kepada penghasilan beberapa buah novel sekarang.
Peguam yang juga ibu kepada dua orang anak itu kini senang bergelar penulis sekali gus memiliki syarikat penerbitan, SR Publications.
Ilham daripada kes
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti mengakui, sifat kerjayanya yang banyak bergaul dengan orang ramai, terutama semasa mengendalikan kes-kes menjadi antara faktor penyumbang kepada idea menghasilkan novel.
“Jika dilihat pada novel-novel saya seperti Cinta Kau Dan Aku, Lafazkan Kalimah Cintamu, 7 Hari Mencintaiku dan terkini Takdir Itu Milik Aku, penceritaan lebih kepada kisah masyarakat setempat,” katanya.
Mengambil contoh karya Takdir Itu Milik Aku, Siti mengupas isu penderaan mental yang dilakukan oleh seorang suami.
Katanya, ia satu watak yang mungkin wujud dan penceritaan novelnya boleh membawa elemen yang memeranjatkan pembaca.
Lazimnya, kisah suami mendera isteri yang dipapar adalah dari segi fizikal dan bukan mental. Bagitupun, Siti mengetengahkan hakikat penderaan mental yang membawa impak yang lebih teruk buat mangsa sekali gus memerlukan pemulihan trauma yang jauh lebih lama.
Wanita yang meminati penulis novel dan skrip drama Sharifah Abu Salem mengakui, dia mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menghasilkan sesebuah novel.
Tetapkan tempoh masa
“Saya perlu mengehadkan tempoh masa penulisan dan memberikan deadline untuk menyiapkannya atas faktor kesibukan kerja. Jika saya tidak berbuat demikian, ia akan mengganggu tugasan saya yang lain. Atas faktor itu, disiplin amat penting,” ujarnya.
Selain itu, Siti Rosmizah juga mengakui bahawa bidang penulisan novel mempunyai cabaran tertentu.
Baginya, menjiwai watak-watak yang digarap, misalnya bagi watak sedih, dia perlu menyerap emosi kesedihan sebelum mula mengarang.
“Selaku penulis, saya perlu menangis dan merasai kesedihan. Ia akan menyumbang kepada impak pada diri pembaca. Begitu juga dengan watak komedi, perkara yang sama perlu dilakukan supaya pembaca yang membaca turut sama akan ketawa semasa membaca.
“Namun, untuk menghasilkan penulisan sebegini, memerlukan komitmen yang tinggi sebab kita perlu hidup dalam dunia halusinasi seketika,” kata Siti yang percaya ia turut menyebabkan tekanan dan menjadi cabaran utama.
Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA