Followers

Saturday, November 16, 2013

Nota Muharam 1435H (2)



Jauhi Budaya Asabiyyah

Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT masih mengizinkan saya untuk mengetuk papan kekunci laptop ini untuk menulis sesuatu yang bermain di minda ini. Muharam baharu dua hari berlalu, pelbagai program berlangsung di setiap masjid mahu pun surau-surau di seluruh negara. Ada juga karnival, ekspo, pameran dan pelbagai lagi acara yang dianjurkan bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435H ini.

Semasa menonton acara sambutan Ma’al Hijrah peringkat kebangsaan di kaca tv, saya tertarik dengan ucapan Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkaitan dengan ‘budaya asabiyah’. Baginda menyeru kepada seluruh rakyat agar mengelakkan dari membawa ‘budaya asabiyyah’ di dalam kehidupan masyarakat majmuk. Seruan dan ingatan yang diberikan oleh baginda seharusnya jangan diambil mudah oleh setiap rakyat.

Titah Seri Paduka;

“Janganlah kita benarkan kecelaruan berkembang dalam masyarakat sebaliknya usaha membimbing masyarakat kepada penerapan nilai kebersamaan perlu diteruskan dan dijadikan agenda negara.”

Sebagai negara yang berbilang kaum, kita sewajarnya mempertahankan prinsip kehidupan harmoni dan kedamaian yang berterusan. Ia sangat signifikan dalam sesebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia ini. Ingatan ini juga sebenarnya untuk para pemimpin di segenap bidang. Para pemimpin politik khususnya juga, janganlah ambil enteng tentang titah seruan baginda itu.

Kita tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak diingini terjadi di negara kita ini. Cukuplah pertelingkahan dalam politik yang tiada kesudahannya. Jangan dimelaratkan dengan perkara-perkara yang boleh menggangui ketenteraman kehidupan harmoni rakyat seluruhnya. Selagi ada sifat tanggungjawab dan jati diri demi mempertahankan perpaduan kaum, Insyallah keamanan dan keharmonian ini akan tetap berkekalan dengan izin Allah SWT.

Justeru itu, marilah sebagai rakyat yang punyai maruah diri yang tinggi, kita sahut titah seruan baginda agar terus mempertahankan keharmonian ini. Buangkan ‘budaya asabiyyah’ dalam diri setiap rakyat seluruhnya. Pasti keamanan, kedamaian dan keharmonian tetap akan menjadi milik bersama.


Salam Ma’al Hijrah.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA