Followers

Thursday, November 14, 2013

Kenaikan Barang Dan PRK Pasca PRU-13



Alhamdulillah, dalam pertemuan kali ini, saya mahu berleter tentang politik, barang naik dan PRK DUN Sungai Limau. Sesekali minda ini kena juga fikir tentang masalah masyarakat, jika tidak akan dikata, tidak tahu apa yang berlaku disekeliling kita. Kehidupan yang pelbagai ini perlu diraikan. Perbezaan pendapat atau pandangan itu perkara biasa, selagi hidup di dunia ini selagi itulah kita akan menghadapi dengan pelbagai bentuk perbezaan, kritikan, bantahan dan sebagainya. Semoga penulisan ini boleh menjadi bahan untuk kita berfikir.

Macam-Macam Isu

Inilah pilihanraya kecil pasca PRU13,  seperti selalunya setiap PRU atau PRK, masing-masing parti akan membawa isu yang berlawanan. Bagi membangkitkan semangat rakyat, apa jua isu yang dibawa akan bermatlamatkan memancing minda pengundi. Tidak kira parti pemerintah atau pun parti pembangkang.
Mereka masing-masing akan mempertahankan hujah mereka. Semua itu demi memikat hati pengundi. Apa yang penting bagi mereka (parti yang bertanding) rakyat faham apa yang mereka lontarkan untuk para pengundi fikir-fikirkan. Akhirnya nanti para pengundi akan mengundi calon parti mereka.

Kalah atau menang itu adat pertandingan atau pun perlawanan, itu menunjukkan, sejauh mana para pengundi faham tentang isu-isu yang berlaku di persekitaran hidup mereka dan luar dari tempat mereka. Pelbagai rencam dan ragam berlaku dalam politik negara. Dari skandal kecil hinggalah skandal besar, dari kenaikan cukai rokok hinggalah GST mahu dikuatkuasakan pada April 2015 nanti.

Juga kenaikan barang yang sangat menekan kehidupan rakyat. Bukan rakyat dikampung tetapi rakyat di bandar juga kini turut tertekan dengan kenaikan barang. Kos hidup semakin tinggi, gaji tidak naik-naik, lebih-lebih lagi sektor swasta, mereka mengharap kenaikan setahun sekali. Itu pun belum tentu berbaloi dengan kos kehidupan yang semakin mencengkam mereka. Sektor awam tetap dengan janji-janji bonus dari kerajaan.

Harga gula, minyak naik dan yang lain, apa lagi yang tidak naik. Semua itu memberi kesan yang amat mendalam kepada sebahagian rakyat kini. Mungkin tidak terkesan kepada para penyokong parti pemerintah, kerana mereka rakyat yang redha dengan ketentuan Allah SWT. Apa barang naik pun, mereka tidak merasakan itu membebankan mereka, malah mereka merasakan membayar lebih untuk membantu kerajaan. Itu salah salah satu perjuangan mereka.

Biar mahal sekali pun asal barang itu masih ada dan tidak kehabisan. Itulah sebahagian pemikiran mereka yang menyokong parti sedang memerintah. Parti pemerintah sungguh suka dan sayang pada mereka yang berfikiran sebegitu. Mereka akan diberi gula-gula tiap kali PRU atau pun PRK. Mereka sangat suka dengan gula-gula parti pemerintah beri. Biar pun hanya gula-gula getah.

Biar pun nanti gula-gula itu ditarik balik dengan memberinya kenaikan harga barang. Itu tidak mengapa kepada mereka. Naiklah tinggi mana pun, kami tetap menyokong dan mendokong prinsip perjuangan parti pemerintah yang banyak jasanya pada mereka...dulu, kini dan selamanya. Ubat mujarab untuk mereka adalah BRIM, jumlah yang sangat memberangsangkan buat mereka. Biar pun jumlah yang dijanjikan tidak ditepati (RM1200) seperti yang dijanjikan sebelum PRU-13. Itu pun ada yang kata, oklah tu daripada tidak ada!.

DUN Sungai Limau Menanag PAS

PRK DUN Sungai Limau, sudah beberapa hari berlalu, kemenangan pada pihak pembangkang parti PAS, sememangnya kubu kuat. Bekas calon Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak calon terdahulu sebelum ini, kini  calon muda Ustaz Azam telah memenangi DUN tersebut. Itulah harapan pengundi di sana, mudah-mudahan calon yang menang dapat menunaikan janji-janji yang ditabur sepanjang kempen tersebut sebelum ini.

Suarakan nanti apa yang rakyat mahu di sidang DUN akan datang. Itu sahaja kemampuan yang ada, maklum sebagai pembangkang, kemudahan dan keistimewaan sangat terhad. Memandangkan parti yang menerajui adalah parti UMNOBN, maka banyak halangan dan birokrasi akan dihadapinya nanti. Itulah ujian dalam perjuangan, untuk menang tidak sukar, tetapi untuk mengisi kemenangan dan mempertahankannya juga bukan mudah.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh jentera PRK DUN Sungai Limau dan para petugas yang bertungkus lumus bekerja keras demi mempertahankan DUN Sungai Limau, Kedah Darul Aman. Tidak lupa kepada para pengundi yang bijak-bijak belaka, kerana tidak termakan janji-janji manismu dari pihak parti pemerintah.

Maklum, mereka dengan jentera yang kuat, sogokan juta-juta mungkin yang boleh mencairkan pengundi, namun sesungguhnya para pengundi di DUN Sungai Limau tidak semudah itu untuk dipermainkan minda mereka. Syabas sekali lagi kepada para pengundi!.

Kepada yang tewas usahlah gundah-gulana, buatlah postmortem, buatlah analisis dengan jujur mengapa tewas. Anggaplah kekalahan ini sebagai bahan muhasabah lebih-lebih lagi kita masih diawal bulan hijrah, muharam 1435H.

Bertepatan dengan slogan mereka Hijrah, maka mereka (para pemimpin dan pendokong) sesungguhnya wajib hijrah bukannya para pengundi yang bijaksana itu. Lakukanlah transformasi seperti yang dilaung-laungak oleh pemimpin mereka. Bukan sekadar ungkapan kosong tidak bermakna, lakukanlah hijrah yang sebenar-benarnya.

Kepada yang menang sekali lagi diingatkan, bukan untuk bermegah tetapi isilah kemenangan dengan sesuatu  berfaedah untuk rakyat. Jadikanlah ia pemangkin untuk menuju kemenagan yang besar nanti dalam PRU-14 nanti. Inilah titik tolak kemenangan bagi menawan Putrajaya. Semangat ahli pasti berkobar-kobar demi perjuangan yang lebih agung, iaitu menegakan kalimah Allah yang mulia di bumi bertuah ini pada masa akan datang. Takbir!.


Selamat membaca!.

No comments:

Post a Comment

DEMI MASA