Wednesday, October 30, 2013

Santai Sarapan Pagi Dan Belajar Melalui Alam



Sekitar jam 10.05 minit pagi, berhenti seketika untuk bersarapan pagi. Begitu santai sekali. Encik Ilhami menyarankan agar Dr. Ibrahim meneruskan leterannya sambil santai sarapan pagi. Melihat sekeliling Galeri Sanggar Damai Abadi yang menghijau sangat mendamaikan, pokok-pokok cempaka menghiasai keliling rumah Dr.

Ada sembilan pokok semuanya. Malah satu masa ada orang bertanya pada beliau, mengapa tanam sembilan pokok, tetapi kata Dr. Ibrahim, dia sendiri tidak tahu ada sembilan pokok. Mungkin masyarakat lihat, orang seni ini pelik kot, sampai apa dan berapa yang ditanam pun mereka lihat seperti sesuatu yang pelik.



Satu masa, ada seorang ustaz, yang merupakan anak didik Ustaz Haron Din  ada datang ke Galeri beliau, Ustaz tersebut melahirkan rasa pelik melihat pokok-pokok yang ada di halaman Galeri Sanggar Damai Abadi beliau. Beliau hanya tersenyum dengan pertanyaan tersebut.

Sedang beliau bercakap-cakap dengan kami, tiba-tiba kucing beliau mengesel-gesel kakinya, dibelai kucing itu, lapar ke tanya Dr,...nampak manja kucing itu, mungkin sudah biasa dengan Dr. Kasih sayang antara manusia dan binatang amat terserlah, boleh bercakap-cakap lagi.

Pertanyaan dari Tuan Ilhami sangat menarik, beliau bertanyakan tentang bercakap-cakap dengan pokok, tidak kiralah pokok apa, bunga ke pokok apa yang kita tanam sekalipun. Ia ada semcam aura kata Dr.
Menurut Dr, pokok-pokok apa sahaja, boleh kita sayangi dengan cara membajainya, menyiraminya tetapi biarlah mengikut aturannya. 



Bila membaja, membajalah ikut aturan, jangan asyik membaja akhirnya mati pokok itu. Itu tanda kita sayang pada pokok tersebut. Bahkan Dr kiaskan perumpaman itu dengan sikap manusia. Begitulah insan seni yang penuh maksud kata-katanya.

Sampah-sampah yang sudah disapu dan dikumpulkan segera dibuang atau dibakar kalau tidak boleh merosakkan rumput-rumput yang berada dibawahnya dan akan mati. Juga beliau mengkiaskan dengan sikap dan tindak tanduk manusia yang masih berdegil mahu mempertahankan apa yang dimilki akhirnya menyusahkan orang lain.



Begitu dengan sampah dedaunan yang jatuh dilaluan pejalan kaki, ia tidak dibuang dan di sapu, ia sebagai simbolik mengalu-alukan kedatangan tetamu di Galeri Sanggar Damai Abadi beliau. Wah...hebatnya orang bijak berfikir sampai begitu sekali...pengalaman seorang penulis yang hebat sekali.

Sebelum masuk ke dalam galeri kami bergambar beramai-ramai sebagai potret kenangan sudah pastinya. Sesi seterusnya di dalam Galeri Dr, menyambung terus pengalaman penulis waktu-waktu kehidupan lalunya. Peserta tekun dan serius mendengarnya. Sehinggalah jam 12.50 tengahari.

Perkongsian Dari Wak Saring



Sementara menunggu Dr.Ibrahim Ghaffar mengambil makanan tengahari, slot sementara diambil oleh Haji Saring Bin Sirad atau lebih dikenali dengan nama penanya Ismas Saring@Wak Saring. Berpengalaman selama 20 tahun sebagai wartawan dan pernah bertugas di Utusan, Berita Harian juga di RTM. Beliau merupakan sahabat baik Dr.Ibrahim, menurut Wak Saring, beliau dan Dr merupakan sahabat baik tetapi tidak sehaluan.

Mungkin tidak sehaluan dari segi pemikiran, biasalah sesiapa pun akan punyai perbezaan pandangan dalam melihat sesuatu perkara. Perbezaan bukan penghalang untuk kita terus menjalinkan persahabatan.
Wak Saring seorang yang sangat low profile, namun beliau sangat banyak pengalaman, terutamanya dalam bidang penulisan kewartawanan. Dalam usianya yang menjangkau 76 tahun, Wak Saring tetap bersemangat untuk berkongsi pengalaman penulisan kepada para peserta.

Saya merasa teruja dengan keberanian beliau dalam membongkar isu-isu yang berlaku dalam masyarakat. Antara pengalaman yang beliau kongsikan, tentang pembongkaran berlakunya persundalan dikalangan pekerja-pekerja kilang di Petaling Jaya.



Juga pengalaman dalam pembongkaran isu pasir, namun ia amat mengecewakan bila mana seorang tauke cina memberitahu kepadanya tentang berlakunya rasuah. Biarpun terdedah namun isu pasir tidak kesudahan kerana adanya dalang yang mengutip wang rasuah setiap bulan.

Sekitar tahun 2000 pula beliau dengan beraninya telah menulis artikel  berkaitan tentang pengaruh yahudi yang mencampuri urusan pentadbiran negara sehingga beliau telah didatangi oleh beberapa orang anggota keselamatan untuk mengambil keterangan darinya.

Itu sedikit pun tidak mengentarkan jiwanya sebagai seorang wartawan atau penulis yang mempunyai prinsip keberanian, segala yang ditulis merupakan fakta yang diperolehi dari sumber yang sahih.
Dalam perkongsian ringkas itu, Wak Saring telah memberi nasihat kepada para peserta yang meminati bidang penulisan agar menulis dengan berani, buang rasa takut jika mahu menjadi seorang penulis

Baginya tegur kesalahan sesiapa pun yang penting faktanya betul dan benar.
Sifat berani dalam menyatakan kebenaran perlu dan mesti ada pada setiap penulis, ulang beliau dalam perkongsiannya. Ungkapan yang beliau pegang dalam setiap karya penulisannya adalah ‘Kebenaran tetap akan kembali kepada kebenaran.”.



Kini beliau sedang menyiapkan buku yang sedang ditulisnya berjodol ‘Kontal Kantil’. Insyallah akan terbit pada tahun 2014, saya rasa teruja dan tidak sabar menunggu kehadiran buku tersebut. 
Juga beliau bercadang akan menulis buku yang bertajuk ‘Suara Di Luar Kandang’. 

Menurutnya, ia merupakan peristiwa-peristiwa yang pernah dialami sewaktu menjadi wartawan ketika bertemu dengan orang-orang besar. Kita tunggu sahaja santapan yang Wak Saring akan hidangkan untuk kita.

Begitulah serba sedikit pengalaman saya ketika menikmati lontaran pengalaman dari insan yang bernama Haji Saring Bin Sirad atau Ismas Saring@Wak Saring. Insyallah, segala petua dan lontaran pengalamannya akan dijadika panduan penulis untuk dipraktikan dalam kerja-kerja penulisan nanti.

Kata-kata Wak Saring dalam buku ‘Pengakuan Penyair’:

“Apa pu pendapat orang, saya akan terus menulis dan tetap melakukan apa yang terdaya. Bagi saya apa ada pada nama, kerana dunia dan nama hanya seketika.”

bersambung...


No comments:

Post a Comment