Thursday, October 31, 2013

Santai Makan Tengah hari

Santapan tengahari kami dihidangkan dengan Nasi Ambeng Bungkus, seorang sebungkus, memang terlalu banyak, dalam hati, boleh habis ke ni..., sambil makan kami santai-santai berborak dibawah pokok cempaka yang rendang dihalaman belakang Galeri Sanggar Damai Abadi. Ya, bagi saya sangat menyeronokkan, sambil makan boleh menimba ilmu dari orang-orang yang bijak dan banyak pengalaman. Berbual sambil bertukar-tukar fikiran sedang mulut menikmati nasi ambeng.



Mendengar cerita dari seorang pelukis yang banyak pengalaman dalam perjalanan beliau ke Australia sangat mengujakan. Saudara Gahfur sangat terkesan hatinya melihat perkembangan Islam di Australia, terutamnya di Syadney, menurutnya terdapat 155 buah masjid diseluruh Bandaraya Syadney. Wajah Islam terserlah di kota syadney, pelbagai bangsa terdapat di sana. Antaranya orang Turki, Pakistan, Bangladesh, Arab dan penduduk Syadney sendiri yang beragama Islam.

Hidup yang serba kecukupan di sana menurutnya, membuatkan umat Islam di sana lebih terserlah pengamalan ajaran Islam. Mereka lebih banyak berbicara yang lebih bermanfaat dan falsafahnya sangat tinggi. Tidak seperti kita di sini, yang masih dalam keadaan tertekan dengan bebanan kos hidup yang tinggi dan pelbagai lagi karenah kehidupan yang mencengkam. Beliau merancang ingin menulis tentang pengalamanya di Australia. Sudah pasti sesuatu yang menarik akan dikongsikan lebih banyak lagi oleh beliau.



Sedang kami berbual-bual, Dr.Ghaffar datang ke meja kami, turut membawa sebungkus nasi ambeng untuk disantapinya. Dr mencelah perbualan kami, bercerita tentang asal-usul keturunan. Pernah suatu masa, beliau ke Indonesia untuk menjejaki tempat-tempat yang dicarinya, semua apa yang disebutnya ada di sana. Begitulah banyaknya pengalaman penulis seperti beliau, dengan mengembara di negara orang mencari pengalaman.

Sedar tak sedar, nasi ambeng sudah makin sedikit, mendengar celoteh mereka berdua, antara saudara Ghafur dengan Wak Saring sungguh menarik sekali, sesekali saya mencelah sedikit, angguk tanda setuju, itu yang saya mampu buat, pengalaman tak banyak mana untuk dikongsi, saya sekadar menjadi pendengar yang setia. Saudara Gahfur, beransur dahulu, menuju ke Surau Janghidin, tinggal saya dan Wak Saring ketika itu.



Pengalaman Wak Saring pun tidak kurang hebatnya, beliau menyambung semula cerita tentang penyelinapan atau penyusupan misi gerakan kristian dan yahudi di negara kita. Namun amat mengecewakan beliau, perkara ini tidak ditangani dengan sungguh-sungguh oleh mereka yang di atas. Juga dengan golongan-golongan agamawan yang asyik dengan perkara-perkara remeh temeh menurutnya.

Padahal, perkara inilah yang sepatutnya dibendung, kerana ia lebih bahaya. Misi mereka sudah merebak dan bersemarak di mana-mana. Licik, halus dan tersusun rapi gerak-kerja mereka menurut Wak Saring. Bukannya menimbulkan perselisihan yang remeh-temeh hingga perpaduan antara kaum tergugat dan juga perbezaan mazhab dibesar-besarkan. Begitulah menurut pandangan Wak Saring.



Dalam usia sebegitu, Wak Saring masih bersemangat untuk menceritakan kepada kami, beliau pernah memasuki ke gereja, malah lagu mingguan mereka Wak Saring hafal, malah Wak Saring cuba melagukannya untuk saya, saya hanya tersenyum, mungkin itu tugas Wak Saring ketika itu untuk melakukan tugasnya. Demi tugas apa pun boleh buat, yang penting berani.

Saya juga ada memberitahu pada Wak Saring, saya hanya tulis dalam blog, tulis pasal pandangan politik secara pribadi apa yang berlaku di negara kita, sekadar pandangan orang kecil dan biasa-biasa sahaja. Wak Saring kata., baguslah, tulislah, tulislah...itu katanya. Bila menatap wajahnya dalam-dalam, terasa rugi, kenapalah saya lambat sangat bertemu dengannya. Bukan apa, dulu-dulu saya pernah dengar nama Ismas Saring@Wak Saring tapi tak tahu siapa orangnya.

Pernah satu masa, ada konsert kebudayaan Islam di Dewan Serbaguna MPK Meru, saya terlihat kelibat seorang tua, pakaian biasa-biasa, rambut agak panjang, pakai topi kaberat. Masa itu saya tidak tahu siapa beliau, semasa kursus penulisan itu baharulah saya tahu itulah Wak Saring. Orangnya yang sentiasa merendah diri dan low profile. Orang jawa, duduk di Pekan Kapar rupanya. Ketika itu, sesekali kami bercakap bahasa jawa. Maklum orang jawa jumpa orang jawa... Ngomong jowolah...!.

Selesai juga menghabiskan nasi ambeng sambil berbual-bual, Wak Saring hanya separuh habis, maklum orang muda dengan orang yang sudah berusia, seleranya sangat berlainan. Syukur, ilmu dapat, kenyang pun dapat, berbaloi-baloi rasanya. Sudah ketentuan Allah, bukan kebetulan, ingat tu, pesan Dr.Ibrahim Ghaffar.

Kami pun bersalaman, “ Kapan-kapan dolanlah umah...”, Pelawa Wak Saring, “Insyallah Wak...”, jawab saya. Wak Saring mahu pulang dahulu, saya terus menuju ke Surau Janghidin.


Ya, itulah pengalaman indah saya bersama Wak Saring, makan nasi ambeng sama-sama dan berbual-bual di halaman belakang Galeri Sanggar Damai Abadi di bawah pohon cempaka.

Pertama Kali Solat Di Sini

Ini juga bukan kebetulan, tetapi ketentuan Allah SWT, yang hari ini saya direzekikan solat di Surau Hj Janghidin. Mungkin jika saya tidak menyertai bengkel penulisan ini, sampai bila pun rasanya saya tidak menjejaki surau ini. Selama ini hanya lalu sahaja bila ke Batu 8. Ya, ketentuan Allah SWT. Melihat-lihat wajah-wajah ajk surau, ada yang kenal dan tidak pada carta organisasi. Banyak juga aktiviti dan pengajian di surau ini, bisik hati saya.

Akhirnya dapat rasa juga masuk surau itu. Seusai solat, menuju keluar dari surau tersebut, saudara MBA, peserta kursus menyapa saya. Beliau memberitahu berkenaan virus yang menghinggapi pendrive saya. Setiap penulisan yang kita buat kena ada salinan, simpan elok-elok, bila ada masalah tidaklah kesemua data-data penulisan kita hilang. Ya, sungguh, nasihat berguna dari seorang penulis untuk bakal penulis (konon-kononnya)

Pernah satu masa, saya cuba menulis sejarah hidup saya, ala-ala memoir begitulah konon-kononnya, dari mula lahir, hinggalah saat yang ada ini. Sudah beberapa persen penulisannya, tetapi entah mengapa, tiba-tiba fail dalam komputer tidak dapat dibaca, begitu dengan salinanya di pendrive. Rasa lemah seluruh raga, mana tidaknya, setiap malam bersengkang mata untuk menulisnya, tiba-tiba hilang begitu sahaja. Alangkah terkilannya waktu itu. Entahlah, agaknya begitu juga pengalaman penulis lain pernah mengalaminya.

Sambil berjalan menuju ke Galeri Sanggar Damai Abadi, kami berbual, saya bertanyakan pada beliau berkenaan penulisan buku. Wah...beliau sudah tulis buku dalam sepuluh buah. Beberapa buah diterbitkan sendiri seperti buku ‘Travelog Jepun’ dan ‘Travelog German’ serta yang lain-lain terbitan karangkraf dan PTS.

Bila beliau bertanyakan saya tentang penulisan, saya memberitahunya, saya hanya sekadar menulis diblog dan juga di Portal eSastera.com. Rupa-rupanya beliau menyelenggara bahagian Haiku, sajak jepun beberpa tahun yang lalu. Begitulah indahnya pengalaman seorang penulis seperti MBA, berpengalaman luas bekerja dengan kerajaan serta banyak pengalaman di luar negara.

Apa yang saya sedang tulis ini juga adalah pengalaman, ya... saya sedang bercerita pengalaman saya ketika berkursus penulisan. Untuk pengalaman ini dapat dikongsi para pembaca maka saya pun menulis pengalaman ini. Perkongsian pengalaman yang sedikit ini, mudah-mudahan ada nilai motivasinya kepada diri saya juga kepada para pembaca.

Sesi Petang Kemuncak Dari Kursus Penulisan



Biasalah, setiap yang awal akan berakhir. Ianya pasti akan meninggalkan nostalgia yang manis buat para peserta. Tidak ketinggalan juga dengan saya. Pengalaman menghadiri kursus tersebut sungguh banyak memberi manfaat kepada diri, yang sesungguhnya memang selama ini saya cari-cari. Ia amat berbaloi untuk diri sendiri. Ia akan saya jadikan sumber suntikan motivasi diri seperti yang saya nyatakan pada awal penulisan di atas.



Sekitar jam 4.15 petang majlis berakhir dengan kata-kata penutup dari Saudara Ilhami (nama pena), agar segala apa yang dapat pada hari ini dimanfaatkan dalam kerja-kerja penulisan. Tugas menulis tidak akan terhenti selagi diri seseorang itu masih wujud dan ia akan berterusan dan berterusan selagi terdaya.
Seperti biasa, dalam kursus apa sahaja sudah pasti ada sijil sebagai penghargaan setiap peserta dari pihak penganjur. Bagi saya sesuatu sijil itu diberikan pada para peserta merupakan satu motivasi agar para perserta bersemangat untuk melaksanakan apa yang telah diterima dari kursus tersebut.



Jika kursus penulisan, maka rangsangan menulis akan terus berkobar-kobar bila melihat sijil yang diterima. Jangan pula, sijil berjela-jela, lengkap lekat di dinding tetapi satu pun tidak ada apa yang ditulis. Untuk diri sendiri, itu adalah ingatan yang mesti dipegang, jangan sampai lali. Tulis dan terus menulis, menulis sms pun menulislah tu...

Sesi bergambar, juga satu kenangan manis antara para peserta. Ia akan menjadi nostalgia juga, boleh ditatapi pada satu-satu masa. Kami bergambar dan pada akhirnya kami bersalama-salaman tanda antara kami akan berpisah sementara, umur panjang masing-masing boleh bejumpa lagi. Tidak berjumpa di alam nyata, jumpa di laman maya pun tidak mengapa, dunia sempadan yang tiada batasannya.



Dalam kesempatan penulisan ini, saya ingin mengucapakan ribuan terima kasih kepada saudara Tuan Ismail Hashim@Ilhami, dengan wadah IBHKHIDMATnya saya telah dapat menyertai bengkel penulisan ini. Juga pada Tuan Dr.Ibrahim Ghaffar dengan pengalamannya dan ilmu-ilmu yang diberikan kepada saya dan para peserta, insyallah akan dimanfaatkan dalam kerja-kerja penulisan kami nanti. Juga cenderahati dari Dr sebuah salahsilah para Nabi dan Rasul hasil dokumentasi beliau kami terima dengan besar hati.

Saudara MBA  juga menghadiahkan sebuah buku hasil penanya ‘Travelog Jepun’sebagai tanda persahabatan barangkalinya. Moga terus sukses dengan kerja-kerja penulisannya. Tidak ketinggalan Wak Saring, dengan perkongsiannya. Semoga Wak Saring terus sihat sejahtera.



Akhirnya berjaya juga menghabiskan kursus penulisan sehari suntuk di Galeri Sanggar Damai Abadi, Syukur Alhamdulillah...Terima kasih Ya Rabb...!, sebelum pulang ke rumah saya singgah di surau untuk menunaikan solat asar yang kebetulan sudah masuk waktu ketika itu...



Kepada rakan-rakan penulis dan peserta, yang mungkin tetanya-tanya mana sambungan pada episod lalu berkenaan pengalaman penulisan saya. Nah...kini sudah selesai penulisan saya ini untuk dikongsikan kepada rakan-rakan semua. Sudi kiranya membaca catatan yang tidak seberapa ini. Kurang lebih mohon dimaafi, yang baik dari Allah, yang kurang adalah dari saya yang daif ini. Insyallah bertemu kembali dalam penulisan pengalaman semasa menyertai kursus Artikel dan Berita di Masjid Negeri Shah Alam...Tungguuu...!.

Insan biasa-bisa sahaja

Masshah
Bilik buku
23/10/2013-Rabu
Jam:8:42pagi.

No comments:

Post a Comment