Sunday, May 11, 2014

Minda Sastera Sajak: Suara Dungu Itu



Suara Dungu Itu

Suara dungu itu masih menari-nari
menafi mempertahankan laku jelaknya
puluhan tahun sudah berlalu
terlakar di peta sejarah yang luka
menangis darah sekalipun
takkan kembali mereka yang abadi di sana.

Suara dungu itu bisa menafi-nafi
mengolok-olok ribuan si dungu tolol
angguk-angguk iya-mengiyakan
benar membenarkan tak syak ragu-ragu
sungguh ia penuh daya tipu selalu
itu pun masih mahu diikuti.

Suara dungu itu masih dikagum-kagumi
biar usia sudah terlalu lama. Tua
tumpul sudah pemikiran
hilang sudah daya fikir
namun mahu masih gah persis pemimpin dunia
terbuai masa silam yang indah di singahsana.

Suara dungu itu sekali sekala menggegar
suasananya hingar bingar panas terik membakar
persis si tua, sememangnya tua lupa usia
masih mengangan kuasa jika punya adanya
akan dikekang segala info benar di alam maya
demi mengekal kuasa jika dipunya semula.

Suara dungu itu sering melulu selalu
pada musuh ketatnya di fitnah terus musnah
tidak dipeduli apa makna maruah bangsa agama
penting kuasa kepentingan terus digenggaman
diketepi ihsan akhlak maruah diri tercemar
kerna diketepi kuasa haq, tinggalkan Tuhan.

Masshah
1042014

Meru.

#Sajak 'Suara Dungu Itu' telah terpilih antara sajak yang menarik untuk bulan April di Portal eSastera.com.


Ulasan Tuan Puzi Hadi Terhada Karya-Karya Masshah Di Portal eSastera.com Bulan April 2014

BARACK OBAMA DI MALAYSIA

NADA keras daripada masshah dengan puisinya Satu Pertanyaan Untuk Kau iaitu ‘Sang Presiden’ Amerika, Barack Obama. Penyair bertanya untuk apa berkunjung ke Malaysia? (Stanza II) dan andaian tujuannya itu (Stanza VI)

Ke sini kau untuk apa
ke sini kau mahu apa
ke sini kau misi apa
ke sini kau agenda apa. (Stanza II)

Lalu ke sini kau mahu apa
ke sini konon merapat ukhwah
ke sini kau mahu ekonomi kukuh
ke sini lagi mahu melebar kuasa. (Stanza VI)

KEHILANGAN MH370

PUISI Tak Pulang-Pulang oleh masshah bagai berseloka sinis kehilangan MH370 yang ada unsur jeliknya. Ada perulangan rima akhir ‘ang’ seluruh puisinya:

Hilang tak pulang pulang
sendu tangis orang tersayang
spekulasi fikiran songsang
sebutan ramai orang sekarang.


KRITIK SOSIAL

PENYAIR masshah dengan Suara Dungu Itu merujuk pemimpin lampau (“… usia sudah terlalu lama. Tua” merasa dirinya masih hebat. Dia (baca: Suara dungu itu) masih galak dengan pendapatnya, iaitu:

Suara dungu itu masih menari-nari (Stanza I)
Suara dungu itu bisa menafi-nafi (Stanza II)
Suara dungu itu masih dikagum-kagumi (Stanza III)
Suara dungu itu sekali sekala menggegar (Stanza IV)
Suara dungu itu sering melulu selalu (Stanza V)






KEROHANIAN

puisi Tangis Taubat dengan langkah demi langkah bagi satu pertaubatan kepada Ilahi. Menjelangnya malam (Stanza I) penulis menyiapkan dirinya (Stanza II) untuk bersolat (Stanza III-IV) dan memohon keampunan atas segala dosa yang ada (Stanza V). Penyampaian secara mudah dan langsung untuk pembaca ikut menghayati penuh takzim.

MASSHAH dengan puisi Janjinya Pasti iaitu kedatangan kematian tanpa merujuk khusus sebagai ketentuan Ilahi; namun rasa-rasanya penulis bermaksudkan Ilahi. Dikatakan begitu kerana akhiran ‘nya’ bukan sebagai ‘Nya’ (Stanza  IV):

Kerna itu dijanjinya
kerna itu takdirnya
kerna itu kepastiannya
kerna itu jadualnya. (Stanza IV)


PUISI MENARIK – APRIL 2014

·         ahkarim, “sang Usang – 1”, Jumaat, 25 April 2014, 7:03 PM / Edit terakhir: 7:11 PM
·         ammarhazim, “SUARA DARI MIHRAB”, Khamis, 17 April 2014, 3:01 PM
·         aziz zabidi, “Potret Diri”, Sabtu, 26 April 2014, 2:57 AM / Edit terakhir: 3:03 AM
·         IrwanAbuBakar, “MENCARI KOTAK HITAM DI DADAMU”, Isnin, 14 April 2014, 1:12 AM / Edit terakhir: 1:14 AM
·         mansor bin a hamid, “KAPAN (kita) BERTEMU”, Isnin, 21 April 2014, 10:58 PM / Edit terakhir: 11:05 PM
·         masshah, “Suara Dungu Itu”, Khamis, 3 April 2014, 10:20 PM
·         Mohd Azmi bin Harun, “Bertemu Solehah”, Sabtu, 5 April 2014, 10:53 AM / Edit terakhir: 11:51 AM
·         mudin, “Darah Memali”, Isnin, 7 April 2014, 11:36 AM / Edit terakhir: 11:37 AM
·         Muhammad Rois Rinaldi, “ORKESTRA PENANTIAN”, Selasa, 15 April 2014, 2:40 pm / Edit terakhir: 2:51 PM
·         Nur Ain Hanis, “BICARA SUNYI”, Jumaat, 4 April 2014, 10:17 PM / Edit terakhir: 10:21 PM
·         yajuk, “Melayu Mudah Lupa”, Jumaat, 11 April 2014, 9:00 AM

No comments:

Post a Comment