Friday, May 30, 2014

Minda Buku: Quran Teman Akrab

Buku(Kitab) penting, semoga menjadi teman akrab kita...


Dua hari lepas saya menulis tentang buku sebagai teman akrab, teman bila mana kita sedang bersendirian atau tidak membuat apa-apa pekerjaan. Seperti yang saya nukilkan  dalam tulisan yang lalu, agar kita berdamping mesra semesra-mesranya, tidak menyakitinya, tidak semberono dalam melayaninya. Ya, itulah sikap kita demi menghormati sebuah buku yang kita anggap sebagai teman akrab, itu memang fokus dalam penulisan saya tentang perkara itu.

Namun begitu, kita perlu ingat tentang satu perkara yang mana, ada sebuah buku, sangat-sangat penting, kita sebagai orang islam yang mukmin, mesti menghormati, melayani penuh mesra, tanpa syak dan ragu, sepenuh hati menyakini isikandungannya, dan pelbagai lagi yang perlu kita tahu tentangnya, yang demikian itulah buku yang dimaksudkan, sebuah kitab al-quran, kitab panduan setiap yang bernama mukmin yang beriman dan seluruh manusia.

Sebuah buku manual yang cukup agung, diturunkan untuk panduan seluruh manusia. Tak perlulah saya senaraikan hikmah-hikmah yang terkandung bila kita membacanya, saya yakin para sahabat semua sudah tahu satu persatu tentang perkara itu. Fokus penulisan ini, untuk memberikan galakan agar kita menjadikan kitab al-quran ini sebagai buku utama kita sebelum kita membaca buku-buku lain.

Sebuah kitab yang penuh dengan segala perkara, cerita, berita, peristiwa, perbandingan, perumpamaan, perkara ghaib, janji-janji Ilahi, dosa pahala, dan segala prihal ada di dalam kitab suci al-quran yang agung itu. Kitab yang utama, mesti kita dampingi dan mesrai setiap waktu, jika kita betul akrab dengan buku-buku kita, apatah lagi dengan kitab panduan ini, saban hari kita perlu membukanya, membacanya, mengkajinya, bergantung kepada diri masing-masing.

Boleh dibaca selepas solat, sebelum waktu solat, diwaktu malam, ditempat kerja(waktu free), bila-bila, dan di mana-mana( tempat yang suci dan bersih). Dunia teknologi yang canggih, tidak memerlukan kita membawa naskah al-quran kecuali untuk belajar, jika mahu membacanya, buka sahaja gadjet yang ada, iphone, ipad, tab, dan melalui telefon bimbit, bukankah mudah?, bukankah itu sudah cukup untuk kita menjadikannya teman akrab kita?. Senang bukan?.

Justeru itu, nukilan ringkas ini, mengingatkan diri sendiri juga mengharapkan agar kita sama-sama menjadikan kitab suci Al-quran ini sebagai sebuah buku penting dalam kehidupan sehari-harian kita. Terutamanya kita yang mengaku beriman kepada kebesaran-Nya.


Sekian.

Wednesday, May 28, 2014

Minda Buku: Buku Teman Akrab



Jadikan buku teman akrab, di mana jua berada...



Sudah lama rasanya tidak menulis perihal buku, hari ini cuba mahu tulis tentang buku. Buku sebagai teman akrab, jika hari ini, teman akrab kita seorang individu yang kita amat sayangi, kini apa kiranya kalau kita tambah satu lagi teman akrab kita dengan sebuah buku, ya sebuah buku. Ingat sebuah buku, bukan muka buku.  Buku sebagai teman akrab yang sering mendampingi kita, bila mana kita tidak bersama teman akrab yang lain. Tatkala bersendirian, tiada buat apa-apa kerja, kita boleh berdamping semesra-mesranya bersama buku. Boleh?.
                                              
Ini sekadar pandangan saya, sebagai seorang peminat buku, perasaan-perasaan begitu sering bermain-main di minda ini. Buku sebagai pendamping setia ketika keseorangan, melaluinya kita boleh belayar, menyelami, menghadami apa yang terkandung dalam sesebuah buku. Apa-apa sahaja buku yang kita minati, kita mendakapi penuh erat, manja, helai demi helai muka surat diakrabi, tentunya dalam suasana yang harmoni dan aman damai. Lagi-lagi suasana malam tatkala bersendirian, alangkah indahnya bersamanya.

Akrabnya kita dengan buku nanti, akan mewujudkan kecintaan terhadap buku, apa-apa sahaja jenis genere yang diminati. Ada buku genre keratif dan buku genere bukan keratif. Terpulang pada setiap individu yang mahu membaca dan mengakrabi. Pilih sahaja, selepas itu berdampinglah dengannya, setiap waktu,  itu pun jika setelah kerja-kerja selesai dilaksanakan, itu yang penting. Bagi saya begitulah, selesai semua kerja baharulah berdamping dengan buku seakrabnya.

Jangan mudah dilepaskan begitu sahaja, kecik hati buku itu nanti, belailah manja seperti mana kita belai anak-anak kita atau orang yang kita sayangi, sampai begitu sekali?, ya, sampai begitu, maksud saya, biarlah bila buku itu bersama kita, kita layan buku itu dengan sebaiknya, helaian demi helaian muka surat kita buka dengan tertib(bukan main keronyok sahaja), lemah lembut jangan sampai terkoyak, jangan lipat, gunalah penanda, jangan dibuat bantal pula, dan apa sahaja yang sewajarnya dilakukan, bukankah buku itu teman akrab kita?.

Tulisan ini sekadar luahan betapa indahnya berkawan dengan buku, untuk memberi suntikan semangat kepada diri sendiri dan pembaca, agar kita akan lebih bersemangat untuk menjadikan buku teman akrab kita yang setia.

Sekian.


Jom baca buku.

Tuesday, May 20, 2014

Bengkel Penulisan


BENGKEL PENULISAN NOVEL, CERPEN DAN RENCANA MAJALAH

Peluang untuk anda menceburi bidang penulisan kini terbuka luas. Jangan lepaskan peluang ini. Sertai kami!

Tarikh: 31 Mei 2014 (Sabtu)
Masa: 9 pagi - 4.30 petang
Lokasi: Akademi Must Read, Jalan Setia Wangsa 1, Wangsa Melawati, KL.

Yuran: RM 150 (makan, minum dan sijil disediakan)

Untuk pendaftaran:

1. Sila beri nama dan nombor fon ke 019 470 2839 (SMS/WhatsApp)

2. Bank in RM 150 ke akaun Maybank 1520-6895-6752 (Mohd Khairi)

Terhad kepada 30 orang sahaja!

Fasilitator:

1. Khairy Tajudin (Editor Bebas Press)
2. Nor Liana Omar (Penerbit Citra Fansuri)
3. Norhashimah Abdul Rahman (Editor Majalah)
4. Amir Abdul Hamid (Editor Perolehan)
5. Web Sutera (Penulis Prolifik)

"BUKUKAN APA YANG TERBUKU!" 

Sumber: Bebas Press



Sunday, May 18, 2014

Sajak: Kembali Pada Ilahi



Kembali Pada Ilahi

Usah ditangisi
pada masa silam yang pergi
ia tidak akan kembali
simpan sahaja sebagai memori,
Siang  berganti malam
malam berganti siang
putaran hidup sepanjang zaman
ada masa leka, ada  masa keriangan.

Kembalilah pada ilahi
ia cinta sejati
tidak pernah memungkiri,
bila tersesat jalan ditempuhi
masih ada ruang dan peluang
untuk kembali mengabdi
mendapat cahaya kebenaran.

Merenunglah ke dalam diri
mencari erti hidup yang murni
setelah semuanya jauh pergi
namun DIA tetap di sisi,
setia menanti pada insan yang mahu kembali
ke sisi rabbul izati dengan jiwa yang suci
mengabdi hanya pada ilahi

Syukuri dan insafi
kerana DIA masih mahu memberi
pada diri yang mahu mensyukuri.

Cukuplah hanya DIA buat diri.

Masshah
Ruang tamu

Meru.

Thursday, May 15, 2014

Minda Buku: Saya Redha Dengan Ketentuan-Nya


Pesta buku(PBAKL 2014) sudah berlalu sepuluh hari yang lalu, bagi mereka yang ke pesta buku tersebut sudah pastinya mempunyai memorinya tersendiri. Tentu banyak buku-buku yang diborong dan dibeli. Semua itu pasti memuaskan hati masing-masing. Maklum sahaja, pesta buku menjanjikan diskaun yang berbaloi-baloi, rugi kalau tidak direbut. Tahniah dan syabas kepada sahabat-sahabat blogger yang berjaya mengunjungi pesta buku tersebut.

Bagi  diri ini yang tiada kesempatan untuk ke sana, memanglah sangat rugi sekali, terpaksalah pujuk hati ini agar sabar dan redha atas ketentuannya, insya’Allah umur panjang pada tahun hadapan boleh pergi, begitulah diri ini memujuk hati yang tidak berjaya ke pesta buku tersebut. Ini disebabkan oleh, langkah berjaga-jaga, maklum orang rumah sedang sarat mengandung, bila-bila masa sahaja boleh bersalin. Tidak sanggup rasanya saya mahu tinggalkan begitu sahaja.

Ajakan demi ajakan dari Pak Agi(Abdul Ghafar Ibrahim) saya terpaksa tolak dengan baik, waktu itupun kerja shift petang, memanglah agak susah untuk ke sana. Pak Agi tidak pernah jemu untuk mempelawa saya untuk pergi sama-sama, tapi disebabkan perkara tadilah saya tidak dapat mengikutinya. Sesekali terkilan juga tidak dapat bersama Pak Agi, apa boleh buat, jadual kerja yang tidak mengizinkan dan juga keadaan isteri yang begitu.

Juga penulis dan wartawan veteren, Wak Saring Sirad@Ismas Saring turut mengajak saya, kerana Wak Saring ada slot dalam bicara buku beliau ‘Kontal Kantil’, juga saya tolak secara baik. Beberapa kali juga Wak Saring mengajak saya, saya dengan alasan yang sama di atas tadi. Apa pun saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua sahabat penulis tersebut. Sesungguhnya saya amat berbesar hati atas ajakan dan pelawaan mereka.

Ya, pesta buku, PBAKL 2015, jika saya diizinkan Allah SWT panjang umur, Insya’Allah kita pasti bertemu. Itulah impian saya untuk pesta buku yang akan datang. Sekali lagi kepada sahabat-sahabat blogger yang berjaya ke pesta buku tersebut diucapkan syabas dan tahniah. Buku, buku, buku, baca, baca, baca..., semoga terus bersemangat dan sukses dalam segenap lapangan yang diceburi.


JOM BACA BUKU

Wednesday, May 14, 2014

Sajak: Ingat-Mengingati




Ingat-Mengingati

Bicara ini
bicara hati
dari hati ke hati.

Ingat mengingati sampai mati
tidak kira raja atau menteri
bergaji atau bisnis rugi
mati tetap mati.

Jangan dilupai ajaran nabi
jangan diketepi ulamak ukhrawi
nanti rugi
di kubur sendiri.

Ingat-ingat jangan dilupai
pesan para rasul dan nabi
umpat dan keji
hendaklah jauhi,

dengki dan irihati
benci-membenci 
dan sakit hati
penghalang rezeki.

Ingatlah saudara dan saudari
ingatan sedikit
moga terkesan di hati.

Masshah 2012
Jam: 2:46 pagi
2/12/2012-Ahad

Bilik Buku.

Monday, May 12, 2014

Sajak: Ulamak Pewaris Nabi



Ulamak Perwaris Nabi

Ulamak itu perwaris nabi
memimpin umat ke syurgawi
banyak ilmunya menerangi
berkarisma wibawanya tinggi.

Itulah ulamak ukhrawi
tegas, tangkas dan berani
hatinya bersih, tulus dan murni
Allah sentiasa di hati.

Ungkapannya lembut
tegas tapi berani
bukan penakut
yakin Allah pemberi rezeki.

Musuh sangat irihati
melihat ulamak perwaris nabi
siang malam tiada henti
menyambung risalah para rasul dan nabi.

Ulamak itu perwaris nabi
duhai umat mari ikuti
jangan musuhi dan sakiti
kelak rugi di akhirat nanti.

Masshah 2012
Jam: 1:44pagi
2/12/2012-Ahad.

Minda Buku: Budaya Membaca Semakin Baik



"Sambutan terhadap Sofa Putih dan jumlah jualan tertinggi yang dicatatkan oleh buku umum yang lazimnya dianggap berat serta karya sastera seperti novel pada pesta buku ini menunjukkan budaya membaca yang semakin baik dalam kalangan rakyat Malaysia" 

 Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM

Sumber: FB ITBM

Sunday, May 11, 2014

Sajak: Bukan Undang-Undang Sembarangan



Bukan Undang-Undang Sembarangan

Berbicara sering bertelagah
hilang kewarasan minda terjajah
mengolah wajah hodoh syariat Allah
memperlekeh, mempeleceh tanpa rasa bersalah
itulah bicara sering dilaungkan
mana bisa mereka bukan seagama faham
seandai diri berkata nista sinis bicara
seolah tidak yakin percaya itu syariat Allah.

Mungkinkah satu masa akan tertegak juga
namun bukan dari tangan-tangan pendosa
bermulut celupar seolah tiada Tuhan
bermuka-muka seolah beria-ia mahu ditegakkan
pada hati kecilnya, takut nanti apa tertimpa padanya
kerna tahu kesalahan diri akan terima akibatnya
hukum Tuhan bukan suka-suka, ia halus serta teliti
disemak saksinya penuh saksama bukan semberono.

Jangan sekadar potong tangan hujahnya
itu sudut sinis jahil fahamannya
ia perlu difahami sesungguhnya
bukan perkara main-main boleh dipermain-mainkannya
kerna itu kemuncak bila sudah punya negara kuasa
ulilamri punya suara kuasa menguatkuasakannya
bukan tunggu-tunggu semua boleh fahamkannya
juga berbilang bangsa dijadikan alasannya.

Nyata, ia bukan undang-undang sembarangan
yang boleh ditegakkan oleh penguasa sembarangan
ia perlu dilaksana oleh penguasa tahu agama bukan ikut-ikutan
baharulah semua jelas, negara aman damai tenteram disayangi Tuhan.

Masshah 2014
06052014
Meru.

Minda Sastera Sajak: Suara Dungu Itu



Suara Dungu Itu

Suara dungu itu masih menari-nari
menafi mempertahankan laku jelaknya
puluhan tahun sudah berlalu
terlakar di peta sejarah yang luka
menangis darah sekalipun
takkan kembali mereka yang abadi di sana.

Suara dungu itu bisa menafi-nafi
mengolok-olok ribuan si dungu tolol
angguk-angguk iya-mengiyakan
benar membenarkan tak syak ragu-ragu
sungguh ia penuh daya tipu selalu
itu pun masih mahu diikuti.

Suara dungu itu masih dikagum-kagumi
biar usia sudah terlalu lama. Tua
tumpul sudah pemikiran
hilang sudah daya fikir
namun mahu masih gah persis pemimpin dunia
terbuai masa silam yang indah di singahsana.

Suara dungu itu sekali sekala menggegar
suasananya hingar bingar panas terik membakar
persis si tua, sememangnya tua lupa usia
masih mengangan kuasa jika punya adanya
akan dikekang segala info benar di alam maya
demi mengekal kuasa jika dipunya semula.

Suara dungu itu sering melulu selalu
pada musuh ketatnya di fitnah terus musnah
tidak dipeduli apa makna maruah bangsa agama
penting kuasa kepentingan terus digenggaman
diketepi ihsan akhlak maruah diri tercemar
kerna diketepi kuasa haq, tinggalkan Tuhan.

Masshah
1042014

Meru.

#Sajak 'Suara Dungu Itu' telah terpilih antara sajak yang menarik untuk bulan April di Portal eSastera.com.


Ulasan Tuan Puzi Hadi Terhada Karya-Karya Masshah Di Portal eSastera.com Bulan April 2014

BARACK OBAMA DI MALAYSIA

NADA keras daripada masshah dengan puisinya Satu Pertanyaan Untuk Kau iaitu ‘Sang Presiden’ Amerika, Barack Obama. Penyair bertanya untuk apa berkunjung ke Malaysia? (Stanza II) dan andaian tujuannya itu (Stanza VI)

Ke sini kau untuk apa
ke sini kau mahu apa
ke sini kau misi apa
ke sini kau agenda apa. (Stanza II)

Lalu ke sini kau mahu apa
ke sini konon merapat ukhwah
ke sini kau mahu ekonomi kukuh
ke sini lagi mahu melebar kuasa. (Stanza VI)

KEHILANGAN MH370

PUISI Tak Pulang-Pulang oleh masshah bagai berseloka sinis kehilangan MH370 yang ada unsur jeliknya. Ada perulangan rima akhir ‘ang’ seluruh puisinya:

Hilang tak pulang pulang
sendu tangis orang tersayang
spekulasi fikiran songsang
sebutan ramai orang sekarang.


KRITIK SOSIAL

PENYAIR masshah dengan Suara Dungu Itu merujuk pemimpin lampau (“… usia sudah terlalu lama. Tua” merasa dirinya masih hebat. Dia (baca: Suara dungu itu) masih galak dengan pendapatnya, iaitu:

Suara dungu itu masih menari-nari (Stanza I)
Suara dungu itu bisa menafi-nafi (Stanza II)
Suara dungu itu masih dikagum-kagumi (Stanza III)
Suara dungu itu sekali sekala menggegar (Stanza IV)
Suara dungu itu sering melulu selalu (Stanza V)






KEROHANIAN

puisi Tangis Taubat dengan langkah demi langkah bagi satu pertaubatan kepada Ilahi. Menjelangnya malam (Stanza I) penulis menyiapkan dirinya (Stanza II) untuk bersolat (Stanza III-IV) dan memohon keampunan atas segala dosa yang ada (Stanza V). Penyampaian secara mudah dan langsung untuk pembaca ikut menghayati penuh takzim.

MASSHAH dengan puisi Janjinya Pasti iaitu kedatangan kematian tanpa merujuk khusus sebagai ketentuan Ilahi; namun rasa-rasanya penulis bermaksudkan Ilahi. Dikatakan begitu kerana akhiran ‘nya’ bukan sebagai ‘Nya’ (Stanza  IV):

Kerna itu dijanjinya
kerna itu takdirnya
kerna itu kepastiannya
kerna itu jadualnya. (Stanza IV)


PUISI MENARIK – APRIL 2014

·         ahkarim, “sang Usang – 1”, Jumaat, 25 April 2014, 7:03 PM / Edit terakhir: 7:11 PM
·         ammarhazim, “SUARA DARI MIHRAB”, Khamis, 17 April 2014, 3:01 PM
·         aziz zabidi, “Potret Diri”, Sabtu, 26 April 2014, 2:57 AM / Edit terakhir: 3:03 AM
·         IrwanAbuBakar, “MENCARI KOTAK HITAM DI DADAMU”, Isnin, 14 April 2014, 1:12 AM / Edit terakhir: 1:14 AM
·         mansor bin a hamid, “KAPAN (kita) BERTEMU”, Isnin, 21 April 2014, 10:58 PM / Edit terakhir: 11:05 PM
·         masshah, “Suara Dungu Itu”, Khamis, 3 April 2014, 10:20 PM
·         Mohd Azmi bin Harun, “Bertemu Solehah”, Sabtu, 5 April 2014, 10:53 AM / Edit terakhir: 11:51 AM
·         mudin, “Darah Memali”, Isnin, 7 April 2014, 11:36 AM / Edit terakhir: 11:37 AM
·         Muhammad Rois Rinaldi, “ORKESTRA PENANTIAN”, Selasa, 15 April 2014, 2:40 pm / Edit terakhir: 2:51 PM
·         Nur Ain Hanis, “BICARA SUNYI”, Jumaat, 4 April 2014, 10:17 PM / Edit terakhir: 10:21 PM
·         yajuk, “Melayu Mudah Lupa”, Jumaat, 11 April 2014, 9:00 AM