Sunday, April 13, 2014

Catatan Budak Kilang: Berkat Kesabaran



Dalam banyak-banyak kilang, inilah syarikat (1999-2014) yang agak lama saya bekerja di sini. Berkat kesabaran dan ketabahan. Mana mungkin boleh kerja lama, jika tidak ada sifat itu dalam diri. Siapa sahaja pun, jika tidak ada sifat sabar, pasti akan tewas. Kerja disektor perkilangan memerlukan kesabaran, maklum macam-macam jenis kerja kena buat. Ada kerja berat, kerja ringan dan macam-macam. Walaupun setakat jaga satu mesin pun, adakalanya karenahnya bermacam-macam.

Karenah manusianya yang bermacam-macam. Itu belum lagi karenah supervisornya dan orang atasannya lagi. Macam-macam yang boleh menghilangkan kesabaran seseorang pekerja kilang. Mahu tidak mahu kena sabar dan sabar, itulah jawapannya. Tidak sabar, alamat berhenti kerja, cari kerja lain. Tak ke’ membuang masa namanya.

Saya ingat lagi, sewaktu menjejaki kilang ini pada hari pertama, dalam hati terdetik , “Boleh ke aku kerja lama di sini...macam tak ok je kilang ni...”. Itu sewaktu pertama kali, tapi lama-lama kerja, pujuk hati kena bersabar, sabar, sabar...akhirnya, dengan berkat kesabaran itulah, lama saya sudah bekerja di sini. Biar pun masih tiada apa-apa kebajikan yang istimewa yang diberi oleh pihak syarikat.

Itu yang kadang-kadang saya beri nasihat pada kawan-kawan yang mahu berhenti kerja tanpa ada alasan yang kukuh. Lagi-lagi kalau sudah berkeluarga, elok-elok sudah ada kerja mahu berhenti. Yalah, mungkin kebajikan  kurang menarik, gaji tidak cukup, elaun lagilah kurang, itu pun faktor juga mengapa setengah-setengah pekerja berhenti kerja. Betul juga, mereka pun mahukan gaji yang setimpal dengan mereka.

Tetapi, sebelum berhenti kerja, kenalah fikir masak-masak. Janganlah ikut perasaan, fikirlah dua tiga kali. Betul ke jika berhenti nanti sudah ada kerja yang menanti kita?. Atau baru berhenti baru mahu pusing cari kerja lagi. Kelulusan tinggi tidaklah mengapa, tapi kalau berhenti pun masuk kilang, baik fikir masak-masak, sementara ada kerja, kerjalah dulu baik-baik, ada peluang lain yang lebih lumayan, nanti  bolehlah berhenti kerja.

Jangan menyusahkan diri sendiri, kalau bujang lain cerita, tapi sudah berkeluarga, anak tiga empat orang, isteri tidak pula bekerja. Bukankah naya jika berhenti dengan terburu-buru. Fikir-fikirkanlah. Inilah yang kadang-kadang saya sarahkan pada mereka yang mahu berhenti kerja. Mahu terima atau tidak terpulang, yang penting kita sudah beri nasihat.

Pernah satu ketika, seorang bercerita pada saya, seolah-olah dia mencurahkan perasaannya. Tentang sudah beberapa lama dia tidak confirm, sedang macam-macam kerja dia boleh buat, sana dia buat, situ boleh buat. Bahkan dicampak ke mana pun, dia boleh kerja. Dek’ kerana lamanya tidak confirm-confirm, dia menyatakan ingin berhenti kerja. Seperti yang saya tuliskan di atas tadi, begitulah nasihat saya padanya.

Akhirnya, mungkin dengan berkat kesabarannya, confirmlah dia, itu pun setelah menunggu lama, dan hampir-hampir dia berhenti kerja. Entahlah, saya pun tidak faham, mengapa susah sangat mahu beri confirm pada pekerja, sedangkan pekerja bersungguh-sungguh memberi komitmen kerja mereka. Sabar, sabar, sabar...itulah jawapannya.

Itulah...sabar sahaja yang mampu memberi ketenagan hati pekerja. Itu pun jika mahu bersabar, tidak sabar berhenti sahaja, cari kerja lain. Banyak cerita yang saya dengar, kawan-kawan lama yang sudah berhenti, tidak lama dari itu, meluahkan penyesalannya  kerana berhenti kerja. Ada yang sudah bekerja lepas itu berhenti...hai nasiblah kawan, kenapa terburu-buru sangat mengikut nafsu mahu berhenti kerja, akibatnya menyesal.

Malah ada yang cukup lama menunggu untuk confirm, sampai bertahun, akhirnya tewas juga, berhenti juga akhirnya. Bila saya fikir, sakit hati pun ada. Mengapalah majikan tidak nampak perkara tersebut. Supervisor macam mana buat kerja. Pekerja sudah banyak mengerahkan tenaga yang sungguh-sungguh. Komitmen yang tinggi, rajin kerja lebih masa, sudah pandai buat kerja dan macam-macam lagi kalau mahu diikutkan. Mengapa susah sangat mahu confirmkan mereka?. Entahlah...

Banyak lagi kalau saya mahu cerita tentang suka duka kerja di sebuah kilang yang besar tapi dari segi kebajikannya sangat menduka citakan. Apa pun apa yang terjadi pada diri saya sekarang, mengapa saya boleh lama di sini, jawapannya kerana saya sabar, sabar, sabar dan tempat kerja yang berdekatan dari rumah serta pertanyaan pada diri sendiri “Nak pergi mana lagi?. Usia pun semakin meningkat...anak-anak dan isteri dibawah tanggungjawab saya, sikit-sikit hasil pun dapat juga beri makan pada mereka.”

Kepada kawan-kawan, sabarlah dan berdoa-doalah agar ada perubahan pada pihak pengurusan syarikat kita ini. Semoga nanti kita dapat sama-sama kecapi perubahan.


Sabar, sabar dan sabar...kerjalah jangan tidak kerja!.

Kerja tetap kerja!


2 comments:

  1. Ya Allah. Syabas untuk tuan kerana berjaya memupuk kesabaran dalam diri. Mungkin untuk generasi saya yang sekadar mencari 'part time' setiap kali bercuti kuliah, sifat kesabaran itu masih tipis dalam diri. Tak suka, tak kena, tak puas hati, mudah sangat nak berhenti. Mungkin sebab belum ada tanggungjawab sebenar. Kerja untuk suka-suka, cari duit belanja.

    Tapi kalau dah ada anak isteri, dah ada tanggungjawab, memang kesabaranlah menjadi kunci utama untuk mencari rezeki.

    Terima kasih untuk perkongsian 'biasa' yang cukup bermakna ini. :)

    ReplyDelete
  2. Benar tu Wan, hanya dengan berkat kesabaran sahaja buat hati ini menghadapi pancaroba alam pekerjaan ini. Wan belajarlah sungguh-sungguh demi kesinambungan kehidupan masa akan datang;).

    Semoga perkongsian ini ada manfaat dan ibrahnya buat diri yang membacanya.

    ReplyDelete