Sunday, November 17, 2013

Siapa Kata Kita Tidak Tahu Menulis



Sebenarnya seawal usia kita masuk sekolah, kita sudah pandai menulis, sekadar menulis A.B dan C... bukankah itu sudah dikatakan boleh menulis. Apa susahnya menulis?, Ya, apa susahnya menulis. Jarang sekali kita dengar susahnya membaca, tetapi kerap kali kita dengar malaslah membaca novel atau buku tebal-tebal. Baca sedikit dan sekejap mata sudah mengantuk, mulut mula menguap, akhirnya tidur. Itu tentang membaca.

Kita cakap-cakap pasal menulis, apa sahaja yang mahu ditulis. Pernah satu masa, saya mengesyorkan anak buah sebelah isteri, menulis dalam blog. Melihat nukilan atau tulisan di laman muka buku sangat bagus, panjang pula tu. Tapi apa jawapannya. Tak ada masa nak tulis dalam blog.

Oklah tidak mengapa, apa bezanya ya menulis di muka buku dengan blog. Menulis juga kan’, mungkin menulis di blog kena banyak masa, menulis di muka buku tidak begitu agaknya, pun begitu prosesnya juga bukankah menulis, ya, menulis. Menulislah, itu sahaja saranannya, di blog atau muka buku, terpulang!.

Menulis, menulis dan menulis itu sahaja, apa-apa sahaja yang boleh dikongsikan dan dimanfaatkan oleh khalayak. Pengalaman, apa-apa sahaja pengalaman yang pernah dilalui, suka, duka, manis, pahit, pilu, sedih dan banyak lagi boleh dikongsi. Kisah kejayaan pribadi atau kebahagian pribadi, juga boleh dikongsikan, mungkin ada nilai-nilai motivasi buat pembaca.

Pengalaman belajar di luar negara, melancong, perjalanan Umrah atau Haji, bertugas di luar negara, pengalaman masuk hutan, mendaki gunung, belayar di lautan mengelilingi bumi, merentasi berenang lautan Inggeris dan bermacam lagi pengalaman yang boleh ditulis. Itu semua ada nilai-nilai murni, semangat dan motivasi buat khalayak pembaca.

Dan apa yang saya sekarang lakukan juga adalah proses menulis, menulis apa sahaja yang terlintas di minda saya, entah betul atau tidak hanya pembaca yang sudi membaca dan memahami maksud tulisan saya ini. Memaksa diri untuk menulis seperti saya memaksa diri untuk membaca, membaca dan terus membaca.

Akhir dari penulisan ini, agar rangsanglah diri agar terus menulis. Agar kehidupan ini semakin indah dengan adanya perkongsian penulisan dari semua golongan. Orang muda dengan gaya dan pengalaman penulisannya, juga orang dewasa, tua dan sebagainya turut berkongsi dalam penulisannya.

Pada akhirnya nanti, masyarakat akan lebih peka tentang sesuatu perkara yang berlaku disekitaran mereka, lalu mereka mengambil kertas dan pena, menukilkan apa sahaja yang mereka lihat. Ia akan berkembang dan terus berkembang menjadi sebuah episod yang tiada kesudahannya. Kalau begitu, siapa kata kita tidak tahu menulis?.


Selamat membaca dan menulis!.

Saturday, November 16, 2013

Nota Muharam 1435H (2)



Jauhi Budaya Asabiyyah

Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT masih mengizinkan saya untuk mengetuk papan kekunci laptop ini untuk menulis sesuatu yang bermain di minda ini. Muharam baharu dua hari berlalu, pelbagai program berlangsung di setiap masjid mahu pun surau-surau di seluruh negara. Ada juga karnival, ekspo, pameran dan pelbagai lagi acara yang dianjurkan bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435H ini.

Semasa menonton acara sambutan Ma’al Hijrah peringkat kebangsaan di kaca tv, saya tertarik dengan ucapan Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkaitan dengan ‘budaya asabiyah’. Baginda menyeru kepada seluruh rakyat agar mengelakkan dari membawa ‘budaya asabiyyah’ di dalam kehidupan masyarakat majmuk. Seruan dan ingatan yang diberikan oleh baginda seharusnya jangan diambil mudah oleh setiap rakyat.

Titah Seri Paduka;

“Janganlah kita benarkan kecelaruan berkembang dalam masyarakat sebaliknya usaha membimbing masyarakat kepada penerapan nilai kebersamaan perlu diteruskan dan dijadikan agenda negara.”

Sebagai negara yang berbilang kaum, kita sewajarnya mempertahankan prinsip kehidupan harmoni dan kedamaian yang berterusan. Ia sangat signifikan dalam sesebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia ini. Ingatan ini juga sebenarnya untuk para pemimpin di segenap bidang. Para pemimpin politik khususnya juga, janganlah ambil enteng tentang titah seruan baginda itu.

Kita tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak diingini terjadi di negara kita ini. Cukuplah pertelingkahan dalam politik yang tiada kesudahannya. Jangan dimelaratkan dengan perkara-perkara yang boleh menggangui ketenteraman kehidupan harmoni rakyat seluruhnya. Selagi ada sifat tanggungjawab dan jati diri demi mempertahankan perpaduan kaum, Insyallah keamanan dan keharmonian ini akan tetap berkekalan dengan izin Allah SWT.

Justeru itu, marilah sebagai rakyat yang punyai maruah diri yang tinggi, kita sahut titah seruan baginda agar terus mempertahankan keharmonian ini. Buangkan ‘budaya asabiyyah’ dalam diri setiap rakyat seluruhnya. Pasti keamanan, kedamaian dan keharmonian tetap akan menjadi milik bersama.


Salam Ma’al Hijrah.

Friday, November 15, 2013

Bagaimana Membaca Meransang Otak?



Semasa membelek-belek majalah Al-Islam keluaran bulan november 2013, saya tertarik dengan satu tulisan yang bertajuk ‘Bagaimana Membaca Merangsang Otak?’. Maka dalam kesempatan penulisan ini saya coretkan semula beberapa perkara tentang tajuk di atas;

1) Membaca satu senaman minda. Dengan membaca, sel-sel otak akan menjalankan proses aktif minda menyebabkan seseorang mampu berfikir dengan baik.

2) Otak lebih cepat fokus. Melalui pembacaan, otak akan lebih fokus ketika melakukan aktiviti.

3) Membaca meningkatkan kreativiti berfikir. Apabila seseorang banyak membaca, ia pastinya mempu mengeluarkan idea-idea di luar kotak.

4) Membaca rangsang memori. Jika memori tidak dirangsang, ingatan akan lemah. Permainan teka teki lebih mudah untuk meningkatkan memori. Sekali gus elak nyanyuk di usia tua.

5) Membaca tingkatkan kemahiran komunikasi. Dengan banyak membaca, banyaklah pengetahuan yang akan diperoleh sekali gus membina keyakinan untuk komunikasi dengan sesiapa sahaja.
Semoga fakta-fakta di atas memberi suntikan motivasi kepada semua.


Selamat membaca!.

Nota Muharam 1435H (1)



Sambutan Ma’al Hijrah Di Mana-Mana

Alhamdulillah, di pagi yang indah dalam bulan muharam 1435H. Syukur tidak terhingga, dengan izin Allah SWT dapat lagi, menghirup udara pagi yang nyaman. Masih boleh lagi bernafas, menikmati alam maya ini. Dapat mengecapi lagi nikmat usia yang semakin bertambah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkati dan meredhai kehidupan ini.

Pada tanggal 1 muharam 1435H bersamaan 5hb 11 2013M, Selasa. Hari cuti bagi seluruh negeri-negeri di Malaysia. Juga dikenali dengan cuti Maalhijrah, di sana sini pelbagai sambutan merayakan tahun hijrah ini dilaksanakan, baik peringkat negara, negeri bahkan diperingkat kampung juga diadakan majlis sambutan Ma'al Hijrah.

Ini bagi menunjukkan bahawa, tahun hijrah juga sama pentingnya dengan tahun masehi yang setiap tahun diraikan. Lebih-lebih lagi tahun hijrah merupakan tahun yang penting bagi umat Islam diseluruh dunia Islam. Namun sambutan di Malaysia sangat menarik, saban tahun kerajaan akan merayakan dengan pelbagai acara.

Bermula pada petang semalam untuk membaca doa akhir tahun dan di sudahi dengan doa awal tahun sebelum menunaikan solat maghrib sebagai tanda bahawa 1 muharam sudah bermula saat itu. Malamnya akan di serikan dengan majlis ceramah, syarahan, diskusi, forum, kesenian Islam dan pelbagai acara yang dapat membangkitkan semangat hijrah pada diri kita.

Pada sebelah pagi akan diadakan perarakan sambutan ma’al hijrah peringkat negara, anugerah tokoh ma’al hijrah juga akan diberikan kepada tokoh yang layak menerimanya. Itu sebagai tanda penghargaan tertinggi negara terhadap jasa-jasa, khidmat serta buah fikiran berkaitan dengan Islam yang mereka curahkan untuk negara.

Untuk tahun ini, tokoh Maal Hijrah 1435H kebangsaan telah dianugerahkan kepada Tan Sri Dato Haji  Abdul Hamid Bin Zainal Abidin. Manakala tokoh Maal Hijrah untuk anugerah antarabangsa pula dianugerahkan kepada tokoh pendakwah terkenal di dunia Islam  dari benua India iaitu Dr. Zakir Abdul Karim Naik. Sesungguhnya, usaha-usaha ini sangat memberi impak yang baik terhadap masyarakat seluruhnya.

Semoga sambutan Ma’al Hijrah kali ini, bukanlah semata-mata sambutan sahaja, Ia akan memberi suntikan motivasi kepada seluruh umat Islam. Hijrah bukan sekadar ungkapan dibibir tetapi seharusnya direalisasikan dalam segenap kehidupan. Bukan semata-mata hanya memenuhi takwim tahunan semata-mata, lebih daripada itu agar ma’al hijrah dapat menghasilkan sesuatu anjakan paradigma dalam segenap sudut kehidupan umat Islam.

Hijrah demi sesuatu yang lebih baik, dari yang baik kepada yang lebih terbaik dan lebih terbaik lagi. Itu yang semua orang mahu. Dalam individu, ingin kejayaan demi kejayaan, keluarga, masyarakat dan negara begitu juga. Itu semua menuntut penghijrahan yang sebenar-benarnya. Justeru itu, sama-samalah kita mengambil ibrah dari peristiwa hijrah Nabi SAW, di dalamnya penuh dengan hikmah yang besar.


Mudah-mudahan, hijrah kita diterima oleh Allah SWT sebagai hijrah yang sebaik-baiknya.

Thursday, November 14, 2013

Kenaikan Barang Dan PRK Pasca PRU-13



Alhamdulillah, dalam pertemuan kali ini, saya mahu berleter tentang politik, barang naik dan PRK DUN Sungai Limau. Sesekali minda ini kena juga fikir tentang masalah masyarakat, jika tidak akan dikata, tidak tahu apa yang berlaku disekeliling kita. Kehidupan yang pelbagai ini perlu diraikan. Perbezaan pendapat atau pandangan itu perkara biasa, selagi hidup di dunia ini selagi itulah kita akan menghadapi dengan pelbagai bentuk perbezaan, kritikan, bantahan dan sebagainya. Semoga penulisan ini boleh menjadi bahan untuk kita berfikir.

Macam-Macam Isu

Inilah pilihanraya kecil pasca PRU13,  seperti selalunya setiap PRU atau PRK, masing-masing parti akan membawa isu yang berlawanan. Bagi membangkitkan semangat rakyat, apa jua isu yang dibawa akan bermatlamatkan memancing minda pengundi. Tidak kira parti pemerintah atau pun parti pembangkang.
Mereka masing-masing akan mempertahankan hujah mereka. Semua itu demi memikat hati pengundi. Apa yang penting bagi mereka (parti yang bertanding) rakyat faham apa yang mereka lontarkan untuk para pengundi fikir-fikirkan. Akhirnya nanti para pengundi akan mengundi calon parti mereka.

Kalah atau menang itu adat pertandingan atau pun perlawanan, itu menunjukkan, sejauh mana para pengundi faham tentang isu-isu yang berlaku di persekitaran hidup mereka dan luar dari tempat mereka. Pelbagai rencam dan ragam berlaku dalam politik negara. Dari skandal kecil hinggalah skandal besar, dari kenaikan cukai rokok hinggalah GST mahu dikuatkuasakan pada April 2015 nanti.

Juga kenaikan barang yang sangat menekan kehidupan rakyat. Bukan rakyat dikampung tetapi rakyat di bandar juga kini turut tertekan dengan kenaikan barang. Kos hidup semakin tinggi, gaji tidak naik-naik, lebih-lebih lagi sektor swasta, mereka mengharap kenaikan setahun sekali. Itu pun belum tentu berbaloi dengan kos kehidupan yang semakin mencengkam mereka. Sektor awam tetap dengan janji-janji bonus dari kerajaan.

Harga gula, minyak naik dan yang lain, apa lagi yang tidak naik. Semua itu memberi kesan yang amat mendalam kepada sebahagian rakyat kini. Mungkin tidak terkesan kepada para penyokong parti pemerintah, kerana mereka rakyat yang redha dengan ketentuan Allah SWT. Apa barang naik pun, mereka tidak merasakan itu membebankan mereka, malah mereka merasakan membayar lebih untuk membantu kerajaan. Itu salah salah satu perjuangan mereka.

Biar mahal sekali pun asal barang itu masih ada dan tidak kehabisan. Itulah sebahagian pemikiran mereka yang menyokong parti sedang memerintah. Parti pemerintah sungguh suka dan sayang pada mereka yang berfikiran sebegitu. Mereka akan diberi gula-gula tiap kali PRU atau pun PRK. Mereka sangat suka dengan gula-gula parti pemerintah beri. Biar pun hanya gula-gula getah.

Biar pun nanti gula-gula itu ditarik balik dengan memberinya kenaikan harga barang. Itu tidak mengapa kepada mereka. Naiklah tinggi mana pun, kami tetap menyokong dan mendokong prinsip perjuangan parti pemerintah yang banyak jasanya pada mereka...dulu, kini dan selamanya. Ubat mujarab untuk mereka adalah BRIM, jumlah yang sangat memberangsangkan buat mereka. Biar pun jumlah yang dijanjikan tidak ditepati (RM1200) seperti yang dijanjikan sebelum PRU-13. Itu pun ada yang kata, oklah tu daripada tidak ada!.

DUN Sungai Limau Menanag PAS

PRK DUN Sungai Limau, sudah beberapa hari berlalu, kemenangan pada pihak pembangkang parti PAS, sememangnya kubu kuat. Bekas calon Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak calon terdahulu sebelum ini, kini  calon muda Ustaz Azam telah memenangi DUN tersebut. Itulah harapan pengundi di sana, mudah-mudahan calon yang menang dapat menunaikan janji-janji yang ditabur sepanjang kempen tersebut sebelum ini.

Suarakan nanti apa yang rakyat mahu di sidang DUN akan datang. Itu sahaja kemampuan yang ada, maklum sebagai pembangkang, kemudahan dan keistimewaan sangat terhad. Memandangkan parti yang menerajui adalah parti UMNOBN, maka banyak halangan dan birokrasi akan dihadapinya nanti. Itulah ujian dalam perjuangan, untuk menang tidak sukar, tetapi untuk mengisi kemenangan dan mempertahankannya juga bukan mudah.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh jentera PRK DUN Sungai Limau dan para petugas yang bertungkus lumus bekerja keras demi mempertahankan DUN Sungai Limau, Kedah Darul Aman. Tidak lupa kepada para pengundi yang bijak-bijak belaka, kerana tidak termakan janji-janji manismu dari pihak parti pemerintah.

Maklum, mereka dengan jentera yang kuat, sogokan juta-juta mungkin yang boleh mencairkan pengundi, namun sesungguhnya para pengundi di DUN Sungai Limau tidak semudah itu untuk dipermainkan minda mereka. Syabas sekali lagi kepada para pengundi!.

Kepada yang tewas usahlah gundah-gulana, buatlah postmortem, buatlah analisis dengan jujur mengapa tewas. Anggaplah kekalahan ini sebagai bahan muhasabah lebih-lebih lagi kita masih diawal bulan hijrah, muharam 1435H.

Bertepatan dengan slogan mereka Hijrah, maka mereka (para pemimpin dan pendokong) sesungguhnya wajib hijrah bukannya para pengundi yang bijaksana itu. Lakukanlah transformasi seperti yang dilaung-laungak oleh pemimpin mereka. Bukan sekadar ungkapan kosong tidak bermakna, lakukanlah hijrah yang sebenar-benarnya.

Kepada yang menang sekali lagi diingatkan, bukan untuk bermegah tetapi isilah kemenangan dengan sesuatu  berfaedah untuk rakyat. Jadikanlah ia pemangkin untuk menuju kemenagan yang besar nanti dalam PRU-14 nanti. Inilah titik tolak kemenangan bagi menawan Putrajaya. Semangat ahli pasti berkobar-kobar demi perjuangan yang lebih agung, iaitu menegakan kalimah Allah yang mulia di bumi bertuah ini pada masa akan datang. Takbir!.


Selamat membaca!.

Wednesday, November 13, 2013

Tip Penulisan Dari Dr.Ibrahim Ghaffar




Beberapa tip penulisan yang sempat saya catatkan semasa kursus, insyallah boleh dipraktiskan untuk mereka yang ingin menulis. Antara yang dikongsikan oleh beliau kepada para peserta kursus;

1) Menulis dengan jujur, menurutnya ia ciri yang perlu ada pada setiap penulis. Apa yang ditulis pastikan ada fakta-fakta yang menyokong dan buaknnya main semberono.

2) Dalam mencari idea, beliau menyarankan agar wajib sehari menulis tiga muka surat (Paksakan dalam diri), apa-apa sahaja idea yang terlintas di fikiran. Jika ada perakam, maka rakam apa yang kita mahu cakapkan, Sentiasa ada buku nota dalam kocek kita. Itu yang beliau lakukan sehingga hari ini.

3) Setiap penulis, seniman atau pun penyair tidak berpihak. Itu menurutnya, tetapi terpulang kepada masing-masing, kerana setiap insan ada hak dan pendirian sendiri.

4) Jika mahu memulakan penulisan, fokus yakni pastikan kenal pasti apa yang mahu ditulis. Menulis yang kita tahu dan faham sahaja.

5) Mempunyai jadual kerja, iaitu jadual kerja-kerja penulisan, agar ia tersusun dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan. Tidak menganggu hal-hal lain.

6) Untuk penulisan buku, berbentuk pengalaman atau sejarah kehidupan (mengenai diri sendiri) boleh gunakan secara bab atau pun ikut tahun, Turutan tahun peristiwa yang berlaku.

7) Lakukan kerja-kerja penulisan dengan bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi.

8) Jangan terlalu ghairah sangat atau pun dek kerana teruja sangat. Ditakuti semangat tinggal semangat sahaja. Sabar dalam menukangi kerja-kerja penulisan, sedikit-sedkit, lama-lama jadi bukit.


Semoga ada manfaat, dari tip penulisan di atas, untuk diri sendiri dan para sahabat semua.

Tuesday, November 12, 2013

Catatan Petang: Singgah Cari Buku

Beberapa minggu lalu pada sebelah petang, bersama anak buah Amer Amerul ke Tesco Setia Alam. Bertujuan untuk menyemak penyata ahli KWSP. Setelah menyemak penyata KWSP, saya mengambil kesempatan untuk singgah di kedai buku Sinar Bistari di tingkat atas Tesco Setia Alam.
Ia merupakan distinasi utama saya, bila ke Tesco. Kalau dahulu, kedai buku Granmedia menjadi tempat persinggahan, tapi oleh kerana kedai tersebut sudah berpindah. Kini kedai buku Sinar Bistari pula menjadi sasaran saya pula.

Ke Kedai Buku Sinar

Mengambil kesempatan beberapa minit untuk memasuki dan mencari beberapa buah buku untuk dibeli. Saya tidak mengambil masa yang lama. Pusing-pusing sekejap dibahagian penerbitan buku lain seperti PTS, Galeri Ilmu, Mustread dan lain-lain. Maklum ada lagi sesi penting untuk diselesaikan bersama anak buah.

Tanpa banyak memilih saya capai sahaja dua buah buku baharu terbitan Grup Buku Karangkraf. Buku-buku tersebut bertajuk ‘Memacu Transformasi’ tulisan Saifuddin Abdullah dan ‘Maaf Cakap’ tulisan Norden Mohamed. Kedua-dua buku tersebut baharu sahaja terbit beberapa minggu yang lalu.


Bolehlah untuk saya baca, pada masa-masa yang terluang. Seronok bila dapat buku baharu, tidak sabar untuk membukanya dan menyelak-nyelak isikandungan buku tersebut. Dalam kereta lagi saya sudah buka bungkusan plastik tersebut.

Bolehlah nanti baca, ketika kerja shift malam. Itulah masa yang banyak boleh saya membaca, terutamanya pada waktu rehat. Insyallah, pada kesempatan yang lain saya akan kongsikan kedua-dua buah buku tersebut dalam penulisan yang lain nanti.


Ke KFC Setia Alam

Sambil makan-makan ayam. Amer menerangkan tentang Unit Trust, sambil mendengar penerangan dari anak buah, tangan saya asyik membelek buku-buku tadi. Dalam hati tidak sabar untuk membacanya nanti. Amer terus terangkan pasal Unit Trust, Amer rekmen saya supaya masuk unit trust. Untung...dan berbaloi nanti, katanya, biasalah bodek Aciknya.

Dia kata pulangannya lebih lumayan pada masa akan datang, saya dengar sahaja apa yang dia terangkan. Tanpa banyak pertanyaan saya terus setuju dengan cadangannya itu. Terus sign borang untuk menyertai skim tersebut. Mudah-mudahan taklah ada penipuan seperti skim-skim yang lain. Itulah harapan setiap pelabur seperti saya.

Untung-untung umur panjang, dapat menikamti hasilnya.Tidak pun para warislah yang akan dapat menikmatinya nanti. Dua perkara dapat hari ini, dapat buku dan dapat ilmu tentang Unit Trust. Semoga anak buah, sukses dengan kerjayanya itu.


Selamat membaca!.

Catatan Malam: Jalan-Jalan Cari Buku



Seperti dijanjikan, selepas maghrib saya, isteri dan dua orang anak bertolak ke Tesco Setia Alam. Demi menunaikan janji si bujang kecil, siang tadi yang bertanyakan ‘Abi mana buku...’. Dari beli mainan yang entah apa-apa, baik saya belikan anak buku atau majalah-majalah yang menarik untuk mereka. Biar pun mereka belum faham lagi tetapi agar mereka biasa dengan buku-buku atau majalah tersebut.

Sampai sahaja di Tesco Setia Alam, kami terus ke Kedai Buku Sinar Bistari, distinasi kemestian saya bila ke sini. Biasanya selepas membeli belah barangan dapur baharu saya ke kedai buku tersebut. Melihat jam, rupa-rupanya baharu awal lagi, belum pun jam lapan, tinggal beberapa minit masuk jam lapan malam. Waktu solat maghrib awal sekarang, tak terasa awal sampai pula.

Saya biarkan anak-anak dengan isteri, biar mereka pilih buku apa yang mereka mahu. Umminya boleh pilihkan. Saya melayan diri, pusing-pusing dari satu rak ke satu rak penerbitan. Mencari-cari buku yang diingini. Perasaan saya bila ke kedai buku, biasanya seronok dan teruja, melihat buku-buku yang tersusun cantik dan indah. Tak sabar rasanya ingin memiliki kesemua buku tersebut...sekadar angan-angan sahaja.

Di rak penerbitan Buku Grup Karangkraf saya memilih buku yang bertajuk Ulu Yam Di Liverpool-Aku Bukan Mat Salih Celup, tulisan Nazali Noor, tajuk yang menarik juga, buku baharu terbit. Mungkin ada motivasi yang boleh diambil dari membacanya nanti. Saya membelek-belek, sekilas membaca dan melihat gambar-gambar yang terdapat dalam buku tersebut. ‘Wah...memang best buku ni.’ ,Terdetik dalam hati saya.



Sebuah buku lagi juga dari rak penerbitan Buku Grup Karangkraf, iaitu buku bertajuk 100 Jejak Pribadi Rasulullah-Menelusuri Kehebatan Akhlak Junjungan Besar Muhammad SAW. Hasil tulisan Muhd Nasaruddin Dasuki, juga sebuah buku yang cukup menarik tentang 100 sikap unggul  Nabi SAW yang perlu kita contohi dan amalkan dalam kehidupan kita.



Melihat, anak-anak dengan umminya sungguh seronok sekali. Mungkin sedang pilih buku untuk anak-anak, sesekali anak bujang datang dekat dengan saya. Seronok dan bahagia hati ini, bila lihat anak-anak sudah minat dan suka dengan buku-buku. Insyallah, merekalah perwaris buku-buku yang berada di dalam bilik buku di rumah satu masa nanti.Mereka akan memanfaatkannya nanti. Ah...seronoknya...!.

Saya masih mencari dan mencari sebuah buku lagi, ‘Di Sebalik Ikhwan Muslimin’- Youssef Nada bersama Douglas Thompson-Hakikat tentang Pergerakan Politik Terkuat di Dunia. Alhamdulillah, jumpa juga buku tersebut, apa lagi, belek-belek dan ambil. Menarik dan seharusnya dimiliki oleh mereka yang ingin mengetahui tentang Ikhwan Muslimin. Insyallah, ada masa nanti saya akan kongsikan kepada sahabat dalam penulisan yang seterusnya.



Buku-buku untuk si bujang kecil sebenarnya hadiah untuk ulangtahunnya yang ketiga, siangnya saya sudah beritahu si bujang kecil, “nanti malam Abi belikan buku”, Alhamdulillah buku-buku tersebut pun sudah dimilikinya. Tertunai jugalah janji saya yang mahu belikan buku untuk si bujang kecil. Tidak ketinggalan si kakak, juga dapat habuan sekali, suka sangat dengan buku-buku yang dibelikannya.







Akhirnya, jalan-jalan cari buku tertunai juga, sebelum jam 9:30 kami sudah sampai di rumah. Semoga anak-anak menjadi generasi iqra!.

Selamat mambaca!.





Thursday, November 7, 2013

Abi Mana Buku Tanya Muhammad Anas



“Abi mana buku...”. Inilah kata-kata anak lelaki saya sewaktu saya baharu balik dari kerja. Dengan nada yang perlahan selepas saya membuka pintu slanding rumah. Hari ini (29hb 10 2013), merupakan hari kelahirannya, genap sudah umurnya tiga tahun. Diam tidak diam, sudah tiga tahun anak bujang seorang ini.

Tiba-tiba sahaja, tanya buku. Saya rasa hairan juga, macam mana bujang seorang ini sudah pandai minta buku. Mungkin umminya yang suruh rasanya. “Nanti malam kita jalan-jalan cari buku ya...”. kata saya padanya sambil mencium pipinya. Entah faham atau tidak, tapi melihat reaksinya, seakan gembira bila saya katakan malam nanti  jalan-jalan cari buku.

Dalam keadaan kepenatan balik kerja, anak minta buku pula. Alangkah bahagianya saat saya mendengar luahan anak bujang seorang ini. Dari perasaan penat tadinya, kini menjadi hilang sebahagian rasa penat itu. Syukur rasanya, bila anak-anak sudah mula suka pada buku, biarpun masih tidak faham kepentingan buku padanya. Namun bukan masalah untuk tidak membelikannya buku atau majalah-majalah.

Walaupun sekadar melihat gambar-gambar di dalamnya, itu sudah memberikan suntikan yang sangat baik kepada anak-anak. Maklum sahaja, anak-anak kecil dalam usianya sebegitu masih suka melihat gambar-gambar yang berwarna-warni, lagi-lagi watak yang mereka gemari seperti watak Upin dan Ipin, Boboiboy dan lain-lain. Tentu sahaja mereka amat mengemarinya.

Biar pun selepas melihat-lihat gambar di dalam majalah yang dibeli, ia akan conteng-conteng majalah tersebut, malah ada masanya dikoyakannya, rasa sebal juga melihatnya. Namun, dek’ kerana budak-budak masih tidak faham betapa pentingnya nilai sebuah bahan bacaan untuk dihargainya. Nama pun budak-budak, biarlah...yang penting perasaan minat pada buku atau pun majalah sudah ada dalam diri mereka.

Apakah saya menyesal dengan tindakan mereka menconteng-conteng dan mengoyakan itu?. Oh...tidak sesekali tidak, seperti yang saya nyatakan di atas tadi, namanya pun budak-budak. Saya akan tetap akan membelikan majalah-majalah atau buku mewarna (setakat ini) untuk mereka. Agar mereka terus akrab dengan buku-buku atau majalah-majalah serta semoga minda mereka terus lekap dengan bahan-bahan yang sebegitu. Itulah antara harapan saya. Mungkin ibu bapa di luar sana pun begitu.

“Abi mana buku...”, adakalanya bila saya bersendirian terngiang-ngiang pertanyaan itu di telinga saya. Macam tidak percaya, dalam seusia begitu sudah boleh meminta buku. Itu yang sangat membahagiakan hati saya. Moga satu hari nanti mereka juga menerapkan tabiat membaca dalam diri mereka. Biarlah mereka nanti memanfaatkan bilik buku yang saya wujudkan di rumah. Bila saya sudah tiada, bolehlah mereka membaca buku-buku peningalan saya dalam bilik buku tersebut.

Satu masa saya pernah bercakap dengan anak perempuan saya berumur empat tahun, “buku-buku ini semua untuk kakak dan adik, nanti bila besar boleh baca tau...”. Dia mengangguk-angguk faham rasanyalah begitu. Budak-budak kan’!. Itu juga harapan saya, agar anak-anak menjadi generasi yang suka membaca, bukan setakat membaca tetapi lebih dari itu sebagai konsep dalam kehidupan seharian kita dan mereka. Mudah-mudahanlah.


Amin!.

Wednesday, November 6, 2013

Sejauh Manakah Hijrah Kita



Saban tahun kita akan menyambutnya seperti tahun-tahun masehi, namun begitu sambutan yang kita lakukan agak berlainan. Kita akan mulakan dengan doa akhir tahun sebelum masuk waktu maghrib, dan akan berdoa awal tahun seusai azan  sebelum menunaikan solat maghrib. Sambutan ini dilakukan di mana-mana surau dan masjid diseluruh negara. Ini menandakan tahun baharu hijrah sudah bermula pada saat itu.

Alhamdulillah, pada tahun ini, sekali lagi kita dipertemukan dengan 1 Muharam 1435H, ini menandakan bahawa umur kita semakin banyak, semakin hampir kita menuju kematian, biar pun mati itu bila-bila masa sahaja. Namun dengan peningkatan tahun bermakna umur kita pun meningkat. Yang muda menuju ke tua, yang tua akan semakin tua. Peringatan demi peringatan sudah ditunjuki pada diri kita.

Rambut semakin beruban, mata semakin rabun, kulit semakin berkedut, pendengaran semakin kurang, makan sudah kurang selera dan bermacam peringatan yang Allah SWT sudah beri pada kita, namun sejauhmanakah peringatan itu mengingatkan kita tentang hari kematian kita?. Adakah ia menghampirkan diri semakin dekat pada-Nya atau semakin jauh kita lupa dan alpa tentang semua itu?.

Hijrah, saban tahun kita akan mendengarkan segala kupasan yang dilontarkan oleh para ilmuan dan para ustaz-ustazah yang memberikan ceramah atau syarahan di mana-mana sahaja. Baik di masjid-masjid atau surau-surau serta di kaca-kaca tv dan juga dicorong-corong radio. Saranan serta ajakan agar masyarakat melakukan hijrah kepada yang baik kepada yang lebih baik sangat dialu-alukan.

Istilah-istilah seperti reformasi, revolusi, transformasi, islah dan pelbagai lagi menjadi ungkapan para pemimpin politik agar rakyat bersatu padu melakukan perubahan dalam segenap kehidupan. Bermula dalam diri, keluarga dan masyarakat serta lebih besar dari itu negara. Ia juga merupakan satu hijrah yang sangat dituntut dan mesti dilakukan oleh semua masyarakat muslim khususnya dan secara amnya seluruh rakyat.

Mengimbau sirah Nabi SAW berkaitan hijrah, semua orang sudah tahu, betapa peristiwa hijrah ini merupakan peristiwa penting. Nabi SAW dan para sahabat berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, dari satu keadaan yang sangat negatif ke suatu keadaan yang sangat mendamaikan keadaan ketika itu. Setiap para sahabat memainkan peranan penting dalam peristiwa hijrah ini.

Mereka adalah watak-watak manusia yang punyai intigriti yang sangat mulia, antara mereka Sayidina Ali Bin Abi Talib, Abu Bakar As-Siddik, Asmak Binti Abu Bakar dan para sahabat yang lainnya. Mereka adalah manusia-manusia yang cukup setia dengan arahan Nabi SAW. Nabi SAW sebagai ketua yang sangat dipercayai dan Nabi SAW telah memberi kefahaman kepada para sahabat tentang betapa perlunya mereka berhijrah.

Bagimana dengan kita?. Saban tahun menyambutnya, apakah kita turut sama berhijrah atau hanya tahunnya sahaja yang hijrah?. Sebagai umat Muhammad SAW, sudah sewajarnya kita mengambil ibrah dari peristiwa ini. Bukan sekadar mendengar ceramah atau syarahan sahaja tetapi lebih daripada itu, kita sudah sewajarnya menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai pemangkin untuk diri kita melakukan sesuatu yang terbaik dalam kehidupan kita. Marilah kita sama-sama bermuhasabah pada awal tahun hijrah ini.

Kita renung-renung kembali, sejauh manakah kita mengamalkan suruhan-Nya serta meninggalkan larangn-Nya, sejauh manakah kita telah benar-benar menghayati sunnah Nabi SAW dan mengamalkannya dalam kehidupan kita, juga al-Quran sebagai kitab panduan dan rujukan kita, sejauh mankah kita menguliti, menghayati isikandungan dan mengaplikasikan dalam kehidupan kita?.

Apakah selama setahun dalam tahun hijrah kita benar-benar menghayati kehidupan sebagai seorang muslim yang baik, keluarga muslim yang baik, suami muslim yang baik, isteri muslim yang baik, anak muslim yang baik, pemimpin muslim yang baik atau masih banyak lagi lompang-lompang yang banyak, perlu kita perbaiki. Jika tidak, kita akan rugi setiap masa kerana kita tidak mengamalkan kehidupan muslim yang sempurna.

Oleh itu, mulai saat dan detik ini, marilah kita hijrah dengan makna yang sesungguh-sungguhnya. Agar kehidupan kita akan lebih teratur dengan mengikut aturan syariat yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada kita. Hanya dengan aturan agamalah yang bisa menyelamatkan kita di dunia, lebih-lebih lagi nun di akhirat sana.

Semoga hijrah membentuk kita sebagai pribadi muslim yang unggul. Iman dan taqwa menjadi benteng diri yang ampuh. Juga dalam segenap kehidupan kita akan diredhai Allah SWT, pada tiap saat dan detik semuanya menuju ke matlamat yang satu, iaitu hanya untuk Allah SWT semata-mata. Akhirnya, moga hijrah kita diterima oleh Allah SWT sebagai hijrah yang sebenar-benar hijrah.


Selamat Menyambut Maal Hijrah 1435H.