Siti Rosmizah Semail
SIAPA sangka, sebuah mimpi menjadi pencetus untuk
seseorang itu menceburi bidang penulisan. Bagi penulis novel, Siti Rosmizah
Semail, 40, semuanya bermula daripada mainan tidur itu.
Ditanya lebih lanjut
mengenai mimpi yang menjadi titik tolak kepada minat itu, agak memeranjatkan
apabila beliau memberitahu, ia bukan mimpi biasa tetapi mimpi selama tiga malam
berturut-turut. Mimpi itu, menurutnya, bersambung-sambung hingga menjadi satu
cerita yang lengkap.
“Saya mula tertanya,
makna mimpi yang saya alami itu. Adakah mainan tidur atau anugerah tuhan?
“Akhirnya saya
memutuskan ia satu anugerah tuhan lalu menterjemahkannya dalam bentuk
penulisan. Bermula daripada itu, terhasilnya novel pertama saya, Andai Itu
Takdirnya pada tahun 2008,” kata Siti.
Walaupun tidak pernah
menyimpan cita-cita menjadi penulis mahupun memiliki pengetahuan dalam bidang
penulisan, mimpi tersebut telah memimpin Siti kepada penghasilan beberapa buah
novel sekarang.
Peguam yang juga ibu
kepada dua orang anak itu kini senang bergelar penulis sekali gus memiliki
syarikat penerbitan, SR Publications.
Ilham daripada kes
Memiliki Ijazah Sarjana
Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti
mengakui, sifat kerjayanya yang banyak bergaul dengan orang ramai, terutama
semasa mengendalikan kes-kes menjadi antara faktor penyumbang kepada idea
menghasilkan novel.
“Jika dilihat pada
novel-novel saya seperti Cinta Kau Dan Aku, Lafazkan Kalimah Cintamu, 7 Hari
Mencintaiku dan terkini Takdir Itu Milik Aku, penceritaan lebih kepada kisah
masyarakat setempat,” katanya.
Mengambil contoh karya
Takdir Itu Milik Aku, Siti mengupas isu penderaan mental yang dilakukan oleh
seorang suami.
Katanya, ia satu watak
yang mungkin wujud dan penceritaan novelnya boleh membawa elemen yang
memeranjatkan pembaca.
Lazimnya, kisah suami
mendera isteri yang dipapar adalah dari segi fizikal dan bukan mental.
Bagitupun, Siti mengetengahkan hakikat penderaan mental yang membawa impak yang
lebih teruk buat mangsa sekali gus memerlukan pemulihan trauma yang jauh lebih
lama.
Wanita yang meminati
penulis novel dan skrip drama Sharifah Abu Salem mengakui, dia mengambil masa
sekitar tiga bulan untuk menghasilkan sesebuah novel.
Tetapkan tempoh masa
“Saya perlu mengehadkan
tempoh masa penulisan dan memberikan deadline untuk menyiapkannya atas faktor
kesibukan kerja. Jika saya tidak berbuat demikian, ia akan mengganggu tugasan
saya yang lain. Atas faktor itu, disiplin amat penting,” ujarnya.
Selain itu, Siti
Rosmizah juga mengakui bahawa bidang penulisan novel mempunyai cabaran
tertentu.
Baginya, menjiwai
watak-watak yang digarap, misalnya bagi watak sedih, dia perlu menyerap emosi
kesedihan sebelum mula mengarang.
“Selaku penulis, saya
perlu menangis dan merasai kesedihan. Ia akan menyumbang kepada impak pada diri
pembaca. Begitu juga dengan watak komedi, perkara yang sama perlu dilakukan
supaya pembaca yang membaca turut sama akan ketawa semasa membaca.
“Namun, untuk
menghasilkan penulisan sebegini, memerlukan komitmen yang tinggi sebab kita
perlu hidup dalam dunia halusinasi seketika,” kata Siti yang percaya ia turut
menyebabkan tekanan dan menjadi cabaran utama.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment