Followers

Tuesday, January 15, 2013

Perkongsian Buku Minggu Pertama Januari 2013




Assalamualaikum sahabat pencinta buku;

Dalam pertemuan hari ini, saya kongsikan serba sedikit empat buah buku yang saya dapat selesaikan membacanya sepanjang minggu pertama tahun 2013. Alhamdulillah dengan izin-Nya, dengan masa yang diberikan, saya dapat mengisi waktu yang terluang dengan membaca buku.

Bagaimana denga para sahabat semua ?, diharapkan pun begitu. Maklum, jika tidak dipaksa diri, mungkin juga saya tidak dapat menghabiskan pembacaan saya.Sekurang-kurangnya waktu yang terluang tidak di isi dengan perkara yang sia-sia dan merugikan.

Oklah, buku pertama yang ingin saya kongsikan;


1)Travelog Minda Tajdid (Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat)

Buku dibeli: Pesta Buku Sinar di Tesco Setia Alam.

Harga: RM16.00 (Sebelum diskaun)

Muka Surat: 207 Muka Surat.

Terbitan: PTS ISLAMIKA Sdn Bhd.

Cetakan: Ketiga 2012

Penulis: Mohd Asri Zainul Abidin.

Habis dibaca: Pertama kali habis dibaca pada 3hb 01 2013, hari khamis malam jumaat,
di surau tempat kerja.

Buku ini sebuah buku travelog, penulis yang terkenal dengan tokoh ilmuan yang sangat disegani dan juga merupakan mantan mufti Negeri Perlis Indra Kayangan. Tulisan dalam buku ini hasil dari catatan-catatan yang beliau tulis semasa percutian di luar Negara, United Kingdom. Sepanjang percutian itu beliau telah berkesempatan untuk mengkongsi catatan untuk masyarakat di Malaysia melalui ruang bicara atau tinta beliau di akhbar perdana dan melalui ruang maya di laman blog beliau. Buku ini terhasil dari kumpulan artikel yang beliau tulis di akhbar dan blog.

Tulisan dan pandangan beliau sering ditunggu-tunggu oleh khalayak, melalui buku ini, pembaca yang ketinggalan dengan tulisan beliau bolehlah memilikinya sebagai koleksi pribadi sebagai rujukan. Kupasan dalam satu-satu isu dalam masyarakat di olah dan di kupas dengan cukup menarik dan mudah difahami.

Bermula dengan tajuk Kembara Mencari Bekalan Perjuangan, Jangan Takut Bawa Pembaharuan, Jumud Mengundang Kebangkitan Liar sehinggalah  catatan terakhir beliau Kembara Merentasi Benua Kehidupan mempunyai minda tajdidnya tersendiri. Tulisan tentang Palestin, menyeru kepada masyarakat terus membuat bantahan melalui apa cara sekali pun, namun dengan batas atau norma-norma yang masih diizinkan oleh undang-undang.

Bagi beliau;

“..Bagi Umat Islam sepatutnya tugas kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita wajib membantu saudar seislam kita yang ditindas ataupun dizalimi dengan harta dan nyawa kita.”

Pada muka surat 208, koleksi gambar kenangan beliau semasa percutian tersebut juga boleh dilihat, warna-warni.

Banyak lagi yang disentuh oleh beliau dalam buku ini yang perlu diambil perhatian oleh setiap umat Islam. Untuk mengetahui lebih lanjut eloklah para sahabat semua memilikinya dari gedung buku yang berdekatan.

Buku kedua;



2) 69 Jam Di Neraka Zionis

Buku dibeli: Program Di Ambang 2013, Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Harga: RM20.00

Muka Surat: 262 Muka Surat.

Terbitan: Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Cetakan: Pertama 2012

Penulis: Norazman Mohd Samsuddin

Habis dibaca: Pertama kali habis dibaca pada 2hb 01 2013, Sabtu, jam 9:10 malam.

Buku hasil tulisan pengalaman sepanjang mengikuti bantuan kemanusian ke Gaza, oleh salah seorang sukarelawan, Norazman Mohd Samsuddin yang  menyertai misi tersebut. Buku 69 jam di Neraka zionis menceritakan detik-detik permulaan perjalanan misi hinggalah detik-detik mencemaskan serangan tidak bertamadun oleh komando Israel zionis di tengah-tengah lautan Antarabangsa sehinggalah detik-detik pembebasan dari tahanan Neraka Zionis Israel hingga sambutan sebagai wira Negara.

Seramai 12 orang wira Negara telah menyertai misi kemanusian bersama-sama dengan rakyat Negara lain serta pelbagai bangsa dan agama. Mereka satu hati demi meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Pengalaman yang sungguh menarik ini dirakamkan sepenuhnya di dalam buku ini. Keakraban, persaudaran, kemesraan, tautan kasih sayang sangat indah bila membaca buku ini.

Walaupun berlainan bangsa dan agama mereka tetap bersatu dalam misi kemanusian ini. Rakaman detik-detik serangan kejam dan tidak bertamadun disertai gambar-gambar sungguh mengesankan, pembaca dapat membayangkan bagaimana situasi gawat ketika berlaku serangan tersebut, emosi pembaca terbawa-bawa dan membayangkan andainya pembaca sendiri dalam situasi tersebut, Geram, marah, sakit hati dan pelbagai perasaan yang bergejolak di hati pembaca.

Sungguh kejam, zalim bangsa yahudi zionis ini, mereka bukan sahaja kejam tetapi langsung tidak ada sedikit pun rasa kemanusiaan. Bayangkanlah bila mana seorang daripada sukarelawan mengangkat bendera putih, menunjukkan tanda hentikan serangan, namun hati binatang tentera yahudi zionis terus menerus dengan serangan dan tembakan bertubi-tubi. Kejam dan zalim, itu sahaja bahasa yang selayaknya untuk bangsa yang ganas dan bangsat itu.

Cukup sedikit perkongsian dari buku tersebut, untuk selanjutnya cari, beli dan baca, ikuti dan telusuri satu persatu catatan tersebut. Banyak gambar-gambar terkandung dalam buku ini. Senjata-senjata yang diguna pengganas zionis yahudi juga terdapat di dalamnya. Rasanya tidak rugi memiliki buku yang penuh sejarah ini.

Buku Ketiga;



3) 43 Inspirasi Mendidik Anak

Buku dibeli: Pesta Buku Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.

Harga: RM19.00 (Sebelum diskaun)

Muka Surat: 245 Muka Surat.

Terbitan: Galeri Ilmu Sdn Bhd

Cetakan: Pertama 2013

Penulis: Mohd Hisham Mohd Sharif & Hasifah Zainuddin

Habis dibaca: Pertama kali pada 5.01.2013 jam: 5.14 petang, Sabtu di tempat kerja.

Mendidik anak merupakan perkara yang sangat mencabar, memerlukan kesabaran dan pergantungan dengan Allah SWT sepenuhnya tanpa pertolongannya mana mungkin sebagai ibu bapa kita mampu mendidik dengan sebaiknya. Penulis buku ini memberi suntikan motivasi kepada para ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Cabaran mendidik anak di Negara barat suatu yang sangat mencabar, begitulah cabaran yang dihadapi oleh penulis buku ini.

Penulis merakamkan pengalamanya dalam mendidik anaknya di bumi Australia, segala pahit manis pengalaman mendidik anaknya dinukilkan dengan sangat menarik sekali. Setiap hujung daripada setiap penulisannya disertai tip-tip yang sangat berguna untuk panduan pembaca. Buku ini juga diserikan dengan gambar-gambar penulis semasa di Negara tersebut.
Buku ini mengandungi empat bab, yang mana setiap bab membawakan tajuk yang berbeza; bab pertama lebih kepada bab tentang tarbiah adab dan akhlak, bab kedua tarbiah tentang ibadah, bab ketiga tarbiah tentang iman, bab keempat tarbiah tentang perjuangan dan bab yang kelima rencah kehidupan.

Segala pengalaman penulis boleh diambil manfaat oleh para pembaca yang mahukan setiap anak-anak mereka mempunyai jati diri yang mantap, lebih-lebih lagi dalam mendidik anak-anak tentang perkara agama.

Bagi saya memiliki buku 43 Inspirasi Mendidik Anak merupakan satu keuntungan kerana isi kandungan yang sangat bermanfaat dan boleh dijadikan bahan rujukan dalam mendidik anak. Ia merupakan sebuah lagi buku yang menjadi koleksi buku dalam bilik bacaan saya.
Untuk ibu bapa yang ingin mengetahui lebih banyak isi kandungan buku ini, segeralah mencarinya di gedung buku yang berhampiran.

Buku Keempat;



4)Kemahiran Menulis

Buku dibeli: Pesta Buku Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.

Harga: RM20.00 (Sebelum diskaun)

Muka Surat: 135 Muka Surat.

Terbitan: PTS Professional.

Cetakan: Kedua

Penulis: Goh Ying Soon & Wan Mohd Nazif Wan Mohd Nori

Habis dibaca: Pertama kali pada 5.01.2013, Sabtu Malam, Jam: 10:23 malam.

Buku berkaitan dengan dunia penulisan, ia merupakan sebuah buku yang menerangkan teknik kemahiran menulis e-mel, memo, surat dan laporan. Ia sesuai untuk rujukan oleh para eksekutif termasuk juga para penyelia, pengurus dan pegawai eksekutif. Teknik-teknik setiap penulisan diterangkan dengan sebaiknya.

Sebagai seorang pengurus tentunya memerlukan kemahiran menulis dengan lancar dan baik serta hasil tulisan boleh mempengaruhi pelanggan.untuk menjadi pelanggan utama mereka. Oleh itu hasil penulisan yang baik menjadikan sebuah organisasi itu akan lebih di percayai dan menjadi keutamaan mereka yang mahu berhubungan bisnis dengan mereka.

Setiap organisasi memerlukan staf atau pekerja yang berkemahiran menulis seperti pegawai pemasaran, pegawai eksekutif bahkan penyelia sekali pun perlu mempunyai kemahiran ini. Jadi buku ini sesuai sangat untuk mereka yang mempunyai kerjaya yang berkaitan denga tulis menulis ini.

Jadi apa lagi milikilah buku panduan kemahiran menulis ini. Sesungguhnya anda tidak akan rugi jika memilikinya.

Sekadar ini sahaja yang saya dapat kongsikan dalam dunia pembacaan, semoga empat buah buku yang saya kongsikan serba sedikit ini dapat menyuntik motivasi para sahabat untuk memiliki dan seterusnya menekuni dan mengambil manfaat darinya.

Sampai jumpa lagi dalam perkongsian buku yang lain.

Selamat membaca,

Jom Membaca…Jom Menulis.



No comments:

Post a Comment

DEMI MASA