Koleksi pertama
Seingat saya, dua buah buku pertama yang mula-mula saya
beli dan masih tersimpan di dalam bilik buku saya ialah buku berkaitan dengan
agama, buku yang bertajuk ‘Tanda-Tanda Kiamat’ dan ‘Azab Di Neraka’, kedua-dua
buah buku tersebut susunan oleh Ibnu Idris, terbitan Pustaka Al-Mizan. Buku
tersebut saya beli ketika mengikuti satu program di Taman Melewar, Gombak, Kuala Lumpur, sekitar tahun 1988, sewaktu
program Intifadah Kurun Ke-15. Alhamdulillah, buku tersebut masih elok cuma
agak kusam sedikit, maklum sudah berpuluh tahun tersimpan, masih releven untuk
dibaca untuk peringatan diri yang sering lupa.
Kedua buah buku tersebut dan buku-buku yang lain telah
pernah dipinjam oleh seseorang, agak lama menjadi koleksi pribadi dia, berbulan
juga waktu itu, sudah sampai peringkat seperti milik sendiri, saya masih
sayangkan buku-buku tersebut, sedaya upaya saya mesti dapatkannya kembali,
waktu itu rasa sayang pada buku sudah mula berputik, maklum harta sendiri sudah
menjadi seperti harta orang lain. Satu masa, saya cuba memberanikan diri untuk
meminta kesemua buku-buku tersebut, akhirnya dikembalikan buku tersebut. Rasa
syukur tidak terhingga waktu itu.
Siapa yang tidak sayangkan harta bukan?. Lebih-lebih lagi
barang yang kita suka dan sayangi, seperti buku-buku itu. Dari sehari ke
sehari, biarpun tidak banyak saya beli, maklum waktu itu, masih bersekolah
lagi. Duit belanja pun bukan banyak emak bapa beri, adakalanya, tiada langsung
untuk berbelanja, terutamanya sewaktu rehat. Maklum waktu itu susah, emak bapa
cuma bekerja kampung, sebagai anak sedia maklum atas kesusahan emak bapa. Waktu
itu mahu beli buku tak dapat lagi, duit tidak punya. Namun rasa seronok bila
lihat buku-buku sudah mula tersemat di
hati.
Mengingatkan kembali, zaman persekolahan, sewaktu darjah
satu hingga darjah enam, waktu itu, ada perpustakaan bergerak datang ke
sekolah. Saya telah menjadi ahli dan setiap dua minggu sekali perpustakaan
bergerak akan datang ke sekolah. Memang seronok memilih buku, pelbagai buku ada
di dalam sebuah kenderaan yang diubah suai menjadi perpustakaan. Berpusu-pusu
pelajar memilih buku, kami diberi tempoh beberapa minit untuk memilih buku dan
seterusnya meminjam. Denda akan dikenakan pada setiap buku yang lambat
dipulangkan. Bagi saya, waktu itu tidak kisah, denda pun dendalah, yang penting
dapat meminjam buku. Setakat yang saya ingat, tidak pernah kena denda
disebabkan lewat memulangkan buku.
Seperkara lagi yang aku ingat, sewaktu disekolah, ada
seorang guru, namanya Cikgu Musa, dia mengedar majalah-majalah kanak-kanak,
malah dia menjualnya kepada pelajar-pelajar yang berminat. Apa yang menariknya,
pelajar boleh membayar secara beransur-ansur mengikut syarat yang ditetapkan,
seingat saya setiap hari Cikgu Musa akan datang ke kelas-kelas untuk mengutip
duit ansuran tersebut. Ada beberapa majalah yang agak popular waktu itu, jika
tidak silap saya, majalah seperi Bambino, Al-Ain, dan Kuntum dijual oleh Cikgu
Musa. Saya sendiri telah menjadi pembeli tegar untuk majalah-majalah tersebut.
Setiap bulan rasa tidak sabar untuk memilikinya, rasa
seronok waktu itu tidak terkira. Majalah-majalah tersebut telah menjadi bacaan
dan koleksi simpanan saya waktu itu. Adakalanya saya terpaksa mengikat perut
tiap kali waktu rehat, dek kerana duit belanja sekolah saya terpaksa guna untuk
membayar ansuran majalah tersebut. Begitulah detik permulaan, minat membaca
kian hari kian berputik di dalam diri saya waktu itu. Dari sehari ke sehari
minat membaca itu, kian mendalam. Jika saya tidak balik awal ke rumah, saya
akan ke perpustakaan atau pusat sumber di sekolah waktu itu. Itu bagi
melepaskan keinginan untuk membaca bahan bacaan lain seperti buku cerita.
Bila masuk ke sekolah menengah, dunianya semakin berbeza,
umur pun sudah meningkat, pembacaan makin meluas. Maklum, bila sudah masuk
sekolah menengah, banyak kena baca buku, terutamanya buku-buku teks mata
pelajaran. Buku sejarahnya, geografinya, agamanya, sainsnya dan lain-lain lagi.
Dari satu tingkatan ke satu tingkatan, bermula SRP sewaktu tingkatan tiga,
serta SPM di tingkatan lima. Dunia pembacaan sekitar buku-buku teks pelajaran.
Sesekali berkelapangan, baca juga bahan-bahan ringan, seperti buku cerita yang
dipinjam melalui pusat sumber atau perpustakaan sekolah.
Dunia pembacaan sekitar sekolah menengah seingat saya,
tertumpu kepada buku pelajaran, waktu itu, ada dua peperiksaan besar, seperti
yang saya tuliskan di atas tadi. Pembacaan buku teks pelajaran lebih banyak,
membaca sambil menulis nota, itu dilakukan semata-mata kerana peperiksaan yang bakal
diharungi nanti. Ada juga saya membeli majalah-majalah ilmiah berbentuk agama
seperti Al-Mukminah, Al-Munir, dan selainnya. Juga, senbuah tabloid berkaitan
dengan dunia pelajaran, khususunya SPM, saya lupa apa nama tabloid tersebut.
Memang menarik akhbar tersebut, setiap minggu juga saya berbasikal akan
membelinya di sebuah kedai di Kampung Bukit Kapar.
Isikandungannya sangat menarik dan baik untuk para
pelajar, tip-tip, soalan-soalan contoh, dan rencana motivasi untuk pelajar juga
turut terkandung di dalam akhbar tabloid tersebut. Bila saya ingat kembali,
rasa sayang dan menyesal sekali, kerana tidak disimpan akhbar tabloid tersebut.
Juga majalah-majalah yang saya beli dahulu. Apa pun yang berlaku, tidak
mengendurkan rasa cinta dan sayangnya saya dalam dunia buku dan pembacaan.
Walaupun dalam dunia persekolahan tidak terlalu banyak dan memiliki buku waktu
itu, ia bukanlah alasan untuk saya tidak membaca buku.
Begitulah beberapa rentetan yang masih ingat dalam minda
ini, yang saya dapat kongsikan dan seterusnya saya dokumentasikan setiap apa
yang terjadi sewaktu dahulu dalam detik perjalanan dunia pembacaan masshah.
Agar nanti, anak-anak yang saya tinggalkan, andainya saya kembali ke negeri
abadi terlebih dahulu dari mereka. Mereka akan dapat menatapi dan membaca
rakaman dokumentasi ini, seterusnya mengambil ibrah hasil pembacaan penulisan
ini. Seterusnya mereka dapat merealisaikan dalam kehidupan mereka. Membaca
terus membaca.
Insyallah, akan bersambung di siri penulisan yang
seterusnya, detik perjalanan dunia pembacaan massha ini akan terus
berkesinambungan selagi hayat ini masih ada. Jika ada ibrahnya ambilah sebagai
motivasi diri, untuk turut bersama minat membaca, membac dan terus membaca.
Dunia pembacaan tidak akan selesai-selesai selagi ada buku dan penulisan yang
berterusan. Semoga para sahabat terus segar, seronok, gembira, ghairah dalam
menelusuri kehidupan dalam dunia pembacaan ini.
JOM MEMBACA.
No comments:
Post a Comment