Gambar: Google Image
BANYAK tanda yang menunjukkan bahawa realiti sastera Melayu semasa berada pada
paras yang kurang memberangsangkan. Sastera semasa dilihat kebelakangan ini
tidak lebih daripada sekadar rentetan atau kesinambungan daripada perkembangan
sebelumnya tanpa memperlihatkan sesuatu kemajuan yang besar dan membanggakan.
Peneliti sastera umumnya menyatukan pendapat bahawa era 1970-an merupakan
lonjakan terbaik dalam landskapnya di tanah air. Kemajuan yang dicapai pada
waktu itu ketara selepas negara mencapai kemerdekaannya, dan melepas era
1960-an yang menjadi tapak kukuh perkembangan pesat dekad selepasnya.
Penerbitan memainkan peranan penting. Perlu disebut, penanda aras baharu.
Terbitnya majalah Dewan Sastera (dieja Dewan Sastra pada awal penerbitannya)
pada 15 Januari 1971 memberi nafas yang segar dan menjanjikan dalam momentum
pergerakannya. Media penerbitan terus memainkan peranan besar memuatkan
pelbagai bentuk penulisan kreatif seolah-olah 'melepas geram' sejak kita
beroleh kemerdekaan yang cepat membentuk satu acuan terpenting sastera Melayu
era itu.
Pemberian Hadiah Karya Sastera yang juga bermula pada tahun 1971 oleh
kerajaan menyuntik dorongan yang sangat luar biasa. Penulis muncul, karya
sastera tumbuh di sana sini. Sekiranya penerbitan buku menjadi pencapaian
baharu, hasil karya secara stensilan ikut sama menumpang, malahan ada yang
diangkat, diberikan hadiah oleh ketinggian tahap ciptaannya.
Selain majalah dan akhbar arus perdana, akhbar tabloid dan majalah yang
dianggap picisan turut menyambut meraikan kemeriahan dunia sastera. Tidak syak
lagi sastera diberikan tempat yang sedikit terhormat dalam dua dekad
sebelumnya.
Pengarang dikenali, buku-buku dicari, selebihnya sastera mula dilihat
sebagai boleh memainkan peranan dalam membina masyarakat dan arah pembangunan
negara apabila sasterawan didengar suaranya. Banyak seruan yang membina
dizahirkan sasterawan baik melalui lontaran pandangan malahan yang jauh
tersirat dalam hasil ciptaan.
Entah di manakah silapnya, pemikiran kesusasteraan kemudiannya semakin
layu. Banyak yang tersadai dek idealisme yang terbantut. Tidak kurang juga yang
berjaya 'didiamkan' pihak berkepentingan. Yang lain beralih arah mencari alur
dan rentak kehidupan di lapangan berlainan. Buku-buku yang diterbitkan semakin
hilang punca. Kegiatan lebih merupakan redundensi kepada sekian yang ada.
Pemberian Anugerah Sastera Negara, bagi kebanyakan orang pula tidak lebih
sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan buat-buat lupa, SEA Write dan
beberapa yang lain bukan pemberian asli kita! Anugerah MASTERA pula
ketara kurang impaknya sehinggakan seolah-olah tidak dipedulikan sesiapa.
Sastera kita pun mula dimomokkan. Buku lebih cenderung diterbit untuk
mengejar keuntungan. Bayangkan sepanjang 10 tahun dekad yang lalu, kita hanya
ingat satu judul Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan
sahaja. Selain itu, seperti kebanyakannya, karya lahir dan menghilang di ufuk
pandangan tanpa kesan tanpa bekasnya. Pemberian hadiah lebih hanya untuk
menutup mulut pengkritik nakal yang sering kalinya mudah 'meroyan.'
Ketika kemajuan dan perkembangan sastera banyak negara luar terus-terusan
mencipta rentak dinamiknya, semakin kita terasakan kerdil tak bermaya. Keadaan
lesu sastera Melayu tidak lagi boleh dibiarkan layu terlalu lama. Kita perlu
segera bangkit. Masyarakat meminta satu pembaharuan cepat dibina. Seiring
transformasi di segenap lapangan dalam pentadbiran kerajaan barang kali
penggerak kesusasteraan Melayu patut membentuk anjakannya yang tersendiri juga.
KUNCI
Sastera kita dalam keadaan semasa seolah-olah kehilangan 'induknya'. Maka,
rasanya tidak keterlaluan jika dituntut sebuah badan penyelaras yang dikenal
pasti untuk memegang ratusan kunci ke arah membangunkan semula kesusasteraan
Melayu kita. Badan penyelaras ini boleh dibentuk kerajaan ataupun dijantungkan
sebuah NGO seumpama Perkasa. Melaluinya, pelbagai penyelarasan dapat dilaksana.
Pertama, gerakan untuk menentukan hala tuju yang jelas akan orientasi
penghasilan karya kreatif negara. la kedengarannya agak besar. Akan tetapi, ia
penting difikirkan. Betul, sasterawan dan segala macam karyawan sukar disekat
daya kreativiti dan kecenderungan berkarya mereka. Namun, kita perlu mempunyai
satu kerangka yang wajar dipenuhi demi mengangkat hasil kesenian kita. Jika
pada masa ini karya menjurus kepada perihal remeh-temeh sekitar diri dan
peribadi, mengapakah tidak boleh difikirkan satu kecenderungan nasional dalam
menggerakkan corak penulisan?
ASAS 50 mempunyai idealisme. Slogan 'Seni untuk masyarakat' yang dibawanya
sebagaimana umum ketahui telah mencorakkan hala tuju penulisan. Jika negara
mempunyai kepentingan, misalnya ke arah keteguhan jati diri bangsa dengan
fikiran universal memperjuangkan kemanusiaan sejagat, mengapa tidak ini
dijadikan asas penulisan pengarang dan sasterawan? Kita perlu terus-menerus
menjana perkiraan seumpama ini dari semasa ke semasa, dan badan penyelaras ini
yang kelak boleh membuka pintunya.
Badan penyelaras ini tidak bersifat menyekat, atau membantutkan, termasuk
dalam bidang penerbitan buku. Benar juga hak penerbitan buku merupakan hak
persendirian selagi mereka berniaga secara sah di sisi undang-undang.
Namun, kita juga percaya, kita mesti memiliki satu kerangka kerja dan
wilayah kecenderungan yang beragenda serta menguntungkan. Sehingga ini, perlu
diakui bahawa kita tercicir jauh dari sesuatu matlamat yang kukuh walaupun
banyak berita diterima ada penerbit beroleh untung puluhan juta, dan ada
pengarang telah kaya raya.
Soal royalti yang adil, soal pemasaran termasuk menghapuskan cengkaman
lintah orang tengah yang mencekik, rancangan pembinaan pengarang, memperluas
dan mencari kumpulan pembaca berkualiti, soal pemberian segala bentuk hadiah
dan anugerah tidak terkecuali memikirkan anugerah-anugerah baharu yang diyakini
lebih berimpak, soal promosi karya tempatan kepada khalayak sastera dunia
antara lain hendaklah dijuruskan dengan cara yang lebih tersusun.
Setiap yang disebutkan ini penting. Soal sokongan dan dukungan kerajaan
dilihat perlu memandangkan pengarang dan persatuan penulis tidak boleh bergerak
tanpa dana yang mengizinkan, ilmu tambah kepada pengarang melalui pengajian di
universiti atau segala bentuk peluang latihan, wajar dimasuk kira. Semua maklum
dan mengakui ada penggerak yang ampuh pada masa kini. GAPENA dan PENA
dilihat amat penting. PENA misalnya sedang dinilai kerana menjadi rakan
kongsi ITBM (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) yang mula berimpak
kerana gerak dayanya yang dinamik.
Selebihnya, kita tidak mudah menyembunyikan rasa bimbang akan kedudukan
sastera Melayu suatu hari kelak, hanya gah sebagai sastera akhbar-akhbaran.
Pada ketika itu, kita tentu perlu menunggu berdekad-dekad lagi untuk bangun
semula bagi mengatur langkah yang serba tak kena dengan mula bertatih sekali
lagi!
No comments:
Post a Comment