Monday, March 10, 2014

Catatan: Kasih Anak Kepada Ayah




Pagi Selasa Yang Dingin

Sememangnya sudah berniat mahu bekerja hari ini macam biasa, kebetulan pagi ini hantar anak ke rumah emak, tugas rutin sebelum pergi ke tempat kerja aku akan hantar anak perempuan anak aku ke sekolah Pasti. Entah pagi ini si bujang pula manja pula mahu naik motor, terpaksalah aku hantar kedua anak aku ke rumah emak, kebetulan anak perempuan tidak bersekolah hari ini. Malam tadi umi terima panggilan dari gurunya menyatakan sekolah pasti cuti dua hari dek kerana jerebu.  Jerebu yang boleh membahayakan kesihatan manusia.

Pagi itu aku hantar keduanya ke rumah neneknya, dalam kesempatan yang ada, aku bertanyakan tentang bapak, mak kata, malam tadi bapak tidak boleh tidur, sakit sangat katanya, bapak cuba bangun untuk ke bilik air tetapi langsung tidak boleh. Sakit yang amat sangat, gara-gara dilanggar oleh motor sewaktu pulang dari surau tempohari. Aku tak sanggup melihat bapak begitu, kena bawa hospital juga gayanya. Kebetulan kakak yang mahu pergi kerja berselisih, aku katakan padanya. Mesej hantar tidak dijawab mengapa, agak jengkel juga melihatnya.

Hantar Bapa Ke Klinik

Tidak lama, sedang aku bersembang dengan emak, dan sambil menyapukan minyak di bahagian sakit bapak, kakakku naik memberitahu dia cuti, nak sama-sama bawa bapak ke hospital. Ketika itu hujan turun dengan lebatnya, setelah sekian lama tidak turun hujan hari itu hujan turun dengan selebat-lebatnya. Dalam hatiku merafakan kesyukuran yang tidak terhingga pada yang memberi hujan turun, Allah SWT, dingin sungguh hari itu, namun hatiku resah gelisah melihat kesakitan bapa yang ditanggung, aku tak sanggup melihat dia begitu, mesti bawa ke hospital.

Sambil-sambil mengurut bapak aku, emak dan kakak berbincang-bincang dahulu, untuk ke mana bapak perlu di bawa, terus ke hospital ke atau ke klinik dahulu untuk xray, membuat imbasan pada tempat yang sakit. Hujan terus-terusan turun dengan lebatnya, dalam fikiran jahat ini, tergambar tilam yang empuk, apa lagi tidurlah...Itu pula yang difikirkan. Keputusan dibuat, bawa bapa ke klinik dahulu untuk membuat xray. Jika dibawa ke hospital terus, macam-macam pula penyakit yang timbul, sedangkan hanya sakit belakang sahaja.

Sekitar jam 9:30, dalam hujan yang begitu lebat sekali, kami bawa bapak ke klinik, hujan disepanjang perjalanan, syukurlah hujan boleh hilangkan jerebu yang mengganas sejak beberapa hari lalu. Kami bawa bapak ke klinik lucky, bapa sudah di bawa masuk ke klinik, bila ditanya ada xray atau tidak di situ, penjaga kaunter mengatakan mesin xray rosak, pulak dah, dalam hatiku, abang ipar sementara aku dan anak buah uruskan hal bapak, dia pergi ke klinik panel dia, ambil mc katanya. Kami terpaksa tunggu beberapa minit di klinik lucky tersebut. Anak buah pula pergi sarapan di restoran sebelah klinik tersebut.

Bapa minta untuk berjalan ke depan klinik, bawanya dan pimpin takut jatuh. Aku ajak bapak pergi ke restoran untuk minum-minum dulu sementara tunggu abang ipar datang ambil kami. Tak lama dari itu, abang ipar pun sampai, dia ambil tempat duduk untuk bersarapan dulu. Tak mengapalah, masing-masing belum sarapan pagi. Sambil berborak-borak mahu ke klinik mana selepas itu. Cadang mahu ke klinik Kapar berdekatan dengan Balai Polis Pekan Kapar.

Xray Di Klinik Kapar

Kami bertolak ke klinik Kapar, alhamdulillah, di situ ada xray, anak buah pimpin bapak masuk ke dalam klinik kapar, aku ke kaunter pendaftaran. Sementara itu bapa duduk sebelum namanya di panggil, lebih kurang 10 minit baharulah giliran bapa namanya dipanggil. Anak buah pimpin bapa masuk ke bilik doktor. Kami menjelaskan apa yang berlaku pada bapa, doktor memberitahu tulang bapa nampak bengkok, mungkin usia yang sudah lanjut, salah satu punca sakit yang amat sangat pun ada kaitan dengan tulang, kesan hentakan yang kuat salah satu faktornya.

Selepas diperiksa, doktor menyuruh membawa bapa ke bilik xray di bahagian belakang. Dua petugas menyuruh bapa baring meniarap untuk dixray. Aku dan anak buah keluar sementara bapa sedang diambil xray. Bila selesai xray, kami bawa bapa semula berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan penjelasan hasil diambil xray. Doktor memberiyahu, tulang tidak ada apa-apa kesan retakan atau pun patah, macam sebelumnya, Dr memberitahu, tulang orang tua, sudah kleihatan rapuh, kesan hentakan kuat yang menyebabkan kesakitan, bengkak pada otot, lebih kurang begitulah menurut doktor tersebut.

Ambil Cuti

Selepas membuat bayaran dan minta surat hantar bapa, kami pun terus balik, hujan sudah semakin reda, renyai-renyai. Syukur alhamdulillah, selesai juga untuk bawa bapa ke klinik, semoga bapa cepat sembuh. Bersabar dalam menghadapi ujian sakit, moga terhapus dosa-dosa. Bukankah sakit itu penghapusan dosa?. Begitulah yang pernah saya dengar dengan kata-kata tersebut. Niat untuk pergi kerja saya batalkan, kerana melihat bapa yang masih kesakitan, memandangkan emak tidak ada siapa-siapa di rumah, saya mengambil keputusan untuk cuti tanpa bergaji selam dua hari, semata-mata demi untuk menjaga bapa.

Ya, semoga pengorbanan ini ada kebaikannya dan diterima oleh Allah SWT sebagai ibadat, sebagai anak yang mengenag jasa-jasnya terdahulu, bila bapa sudah terlantar begitu, aku terbayang-bayang masa lalu, teringat-ingat jasa bapa mengambil aku balik kerja, sewaktu aku berkerja di Shah Alam, bapalah yang mengambil aku, bukankah itu juga jasa seorang bapa, sanggup bermotorsikal semata-mata mahu mengambil anaknya pulang dari kerja. Lebih dari itu, seorang bapa boleh membesarkan anak-anaknya walaupun dalam keadaan susah perit mencari rezeki, pun begitu masih bisa sabar menghadapi kehidupan yang sukar.

Dalam fikiran, tak mengapalah potong gaji ke apa ke, itu aku tidak peduli, yang penting niat dua hari aku bercuti untuk memantau bapa yang tidak sihat itu. Rezeki Allah SWT yang beri, itu pasti dan sudah pasti. Dua hari ini aku manfaati untuk memantau dan jaga bapa. Ingatkan tentang ubatnya, makan walau sedikit pun kena makan, jangan sampai tidak makan, nanti badan akan lemah, boleh jadi sakit pula. Boleh pimpin ke bilik air, maklum bila berjalan masih sakit, takut jatuh ke apa, itu yang aku risau.

Seperkara lagi bapa masih suka solat di bahagian atas ruang tamu, terpaksa naik ke atas dalam keadaan sakit begitu. Aku sering ingatkan, solat di bawa sahaja, sebab sakit, solat sambil duduk pun dibolehkan dan mengiring pun boleh. Begitulah agama Islam yang memudahkan dan tidak pernah menyusahkan, buat orang sakit pun ada diberi kelonggaran untuk tidak berdiri. Dalam keadaan apa sekalipun solat mesti ditunaikan, tak ada air, guna debu untuk bertayamum, bermusafir boleh solat jamak dan qasar dan macam-macam lagi hadiah yang Allah SWT beri pada kita. Asal mahu atau tidak kita mempraktiskannya di saat kita melalui keadaan sebegitu, yang membolehkan kita layak menggunakan kaedah tersebut.


Harapan
Hari pertama aku jaga, tiap berapa jam bapa mahu diurut sapu minyak, mungkin kalau dibuat begitu ada sedikit kelegaan rasanya. Tidak terbayang andai aku di tempat bapa ketika ini, apakah aku boleh bersabar atau pun tidak. “Ya...Allah ringankanlah beban kesakitan yang ditanggung oleh bapaku, engkau sembuhkanlah sakitnya...engkau beri kesabaran pada dirinya dalam menghadapi ujian sakit dari-MU...Ya...Allah, tenangkanlah jiwanya, kuatkan semangatnya...berilah kesihatan yang sebaik-baiknya untuk bapaku...Amin Ya Rabb.”
Aku nukilkan juga harapanku tentang kesihatan bapaku dalam sajak ‘Harapan’.
Harapan

Sakit itu ujian keimanan
sabar serta redha berserah pada Tuhan
mohon ampunan menadah tangan
moga sembuh diberi kesihatan dan kesejahteraan
yakin sepenuh jiwa itulah harapan.

Masshah2014
5032014
Meru.


Itulah harapanku terhadap kesihatan bapa waktu ini. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin Ya Rabb...!

No comments:

Post a Comment