Assalamualaikum sahabat pencinta buku;
Dalam pertemuan hari ini, saya kongsikan serba sedikit
empat buah buku yang saya dapat selesaikan membacanya sepanjang minggu pertama
tahun 2013. Alhamdulillah dengan izin-Nya, dengan masa yang diberikan, saya
dapat mengisi waktu yang terluang dengan membaca buku.
Bagaimana denga para sahabat semua ?, diharapkan pun
begitu. Maklum, jika tidak dipaksa diri, mungkin juga saya tidak dapat
menghabiskan pembacaan saya.Sekurang-kurangnya waktu yang terluang tidak di isi
dengan perkara yang sia-sia dan merugikan.
Oklah, buku pertama yang ingin saya kongsikan;
1)Travelog Minda Tajdid (Catatan
Perjalanan Dari Tanah Barat)
Buku dibeli: Pesta Buku
Sinar di Tesco Setia Alam.
Harga: RM16.00 (Sebelum diskaun)
Muka Surat: 207 Muka
Surat.
Terbitan: PTS ISLAMIKA Sdn Bhd.
Cetakan: Ketiga 2012
Penulis: Mohd Asri Zainul Abidin.
Habis dibaca: Pertama kali
habis dibaca pada 3hb 01 2013, hari khamis malam jumaat,
di surau tempat kerja.
Buku ini sebuah buku travelog, penulis yang terkenal
dengan tokoh ilmuan yang sangat disegani dan juga merupakan mantan mufti Negeri
Perlis Indra Kayangan. Tulisan dalam buku ini hasil dari catatan-catatan yang
beliau tulis semasa percutian di luar Negara, United Kingdom. Sepanjang
percutian itu beliau telah berkesempatan untuk mengkongsi catatan untuk
masyarakat di Malaysia melalui ruang bicara atau tinta beliau di akhbar perdana
dan melalui ruang maya di laman blog beliau. Buku ini terhasil dari kumpulan
artikel yang beliau tulis di akhbar dan blog.
Tulisan dan pandangan beliau sering ditunggu-tunggu
oleh khalayak, melalui buku ini, pembaca yang ketinggalan dengan tulisan beliau
bolehlah memilikinya sebagai koleksi pribadi sebagai rujukan. Kupasan dalam
satu-satu isu dalam masyarakat di olah dan di kupas dengan cukup menarik dan
mudah difahami.
Bermula dengan tajuk Kembara Mencari Bekalan
Perjuangan, Jangan Takut Bawa Pembaharuan, Jumud Mengundang Kebangkitan Liar
sehinggalah catatan terakhir beliau Kembara
Merentasi Benua Kehidupan mempunyai minda tajdidnya tersendiri. Tulisan tentang
Palestin, menyeru kepada masyarakat terus membuat bantahan melalui apa cara
sekali pun, namun dengan batas atau norma-norma yang masih diizinkan oleh
undang-undang.
Bagi beliau;
“..Bagi Umat Islam sepatutnya tugas kita lebih besar
daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita wajib membantu saudar seislam kita yang
ditindas ataupun dizalimi dengan harta dan nyawa kita.”
Pada muka surat 208, koleksi gambar kenangan beliau
semasa percutian tersebut juga boleh dilihat, warna-warni.
Banyak lagi yang disentuh oleh beliau dalam buku ini
yang perlu diambil perhatian oleh setiap umat Islam. Untuk mengetahui lebih
lanjut eloklah para sahabat semua memilikinya dari gedung buku yang berdekatan.
Buku kedua;
2) 69 Jam Di Neraka Zionis
Buku dibeli: Program Di
Ambang 2013, Dataran Kemerdekaan Shah Alam
Harga: RM20.00
Muka Surat: 262 Muka
Surat.
Terbitan: Institut Terjemahan & Buku
Malaysia
Cetakan: Pertama 2012
Penulis: Norazman Mohd Samsuddin
Habis dibaca: Pertama kali
habis dibaca pada 2hb 01 2013, Sabtu, jam 9:10 malam.
Buku hasil tulisan pengalaman sepanjang mengikuti
bantuan kemanusian ke Gaza, oleh salah seorang sukarelawan, Norazman Mohd
Samsuddin yang menyertai misi tersebut.
Buku 69 jam di Neraka zionis menceritakan detik-detik permulaan perjalanan misi
hinggalah detik-detik mencemaskan serangan tidak bertamadun oleh komando Israel
zionis di tengah-tengah lautan Antarabangsa sehinggalah detik-detik pembebasan
dari tahanan Neraka Zionis Israel hingga sambutan sebagai wira Negara.
Seramai 12 orang wira Negara telah menyertai misi
kemanusian bersama-sama dengan rakyat Negara lain serta pelbagai bangsa dan
agama. Mereka satu hati demi meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Pengalaman
yang sungguh menarik ini dirakamkan sepenuhnya di dalam buku ini. Keakraban,
persaudaran, kemesraan, tautan kasih sayang sangat indah bila membaca buku ini.
Walaupun berlainan bangsa dan agama mereka tetap bersatu
dalam misi kemanusian ini. Rakaman detik-detik serangan kejam dan tidak
bertamadun disertai gambar-gambar sungguh mengesankan, pembaca dapat
membayangkan bagaimana situasi gawat ketika berlaku serangan tersebut, emosi
pembaca terbawa-bawa dan membayangkan andainya pembaca sendiri dalam situasi
tersebut, Geram, marah, sakit hati dan pelbagai perasaan yang bergejolak di
hati pembaca.
Sungguh kejam, zalim bangsa yahudi zionis ini, mereka
bukan sahaja kejam tetapi langsung tidak ada sedikit pun rasa kemanusiaan.
Bayangkanlah bila mana seorang daripada sukarelawan mengangkat bendera putih,
menunjukkan tanda hentikan serangan, namun hati binatang tentera yahudi zionis
terus menerus dengan serangan dan tembakan bertubi-tubi. Kejam dan zalim, itu
sahaja bahasa yang selayaknya untuk bangsa yang ganas dan bangsat itu.
Cukup sedikit perkongsian dari buku tersebut, untuk
selanjutnya cari, beli dan baca, ikuti dan telusuri satu persatu catatan
tersebut. Banyak gambar-gambar terkandung dalam buku ini. Senjata-senjata yang
diguna pengganas zionis yahudi juga terdapat di dalamnya. Rasanya tidak rugi
memiliki buku yang penuh sejarah ini.
Buku Ketiga;
3) 43 Inspirasi Mendidik Anak
Buku dibeli: Pesta Buku
Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.
Harga: RM19.00 (Sebelum diskaun)
Muka Surat: 245 Muka
Surat.
Terbitan: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Cetakan: Pertama 2013
Penulis: Mohd Hisham Mohd Sharif &
Hasifah Zainuddin
Habis dibaca: Pertama kali
pada 5.01.2013 jam: 5.14 petang, Sabtu di tempat kerja.
Mendidik anak merupakan perkara yang sangat mencabar,
memerlukan kesabaran dan pergantungan dengan Allah SWT sepenuhnya tanpa
pertolongannya mana mungkin sebagai ibu bapa kita mampu mendidik dengan
sebaiknya. Penulis buku ini memberi suntikan motivasi kepada para ibu bapa
dalam mendidik anak-anak. Cabaran mendidik anak di Negara barat suatu yang
sangat mencabar, begitulah cabaran yang dihadapi oleh penulis buku ini.
Penulis merakamkan pengalamanya dalam mendidik anaknya
di bumi Australia, segala pahit manis pengalaman mendidik anaknya dinukilkan
dengan sangat menarik sekali. Setiap hujung daripada setiap penulisannya
disertai tip-tip yang sangat berguna untuk panduan pembaca. Buku ini juga
diserikan dengan gambar-gambar penulis semasa di Negara tersebut.
Buku ini mengandungi empat bab, yang mana setiap bab
membawakan tajuk yang berbeza; bab pertama lebih kepada bab tentang tarbiah
adab dan akhlak, bab kedua tarbiah tentang ibadah, bab ketiga tarbiah tentang
iman, bab keempat tarbiah tentang perjuangan dan bab yang kelima rencah
kehidupan.
Segala pengalaman penulis boleh diambil manfaat oleh
para pembaca yang mahukan setiap anak-anak mereka mempunyai jati diri yang
mantap, lebih-lebih lagi dalam mendidik anak-anak tentang perkara agama.
Bagi saya memiliki buku 43 Inspirasi Mendidik Anak
merupakan satu keuntungan kerana isi kandungan yang sangat bermanfaat dan boleh
dijadikan bahan rujukan dalam mendidik anak. Ia merupakan sebuah lagi buku yang
menjadi koleksi buku dalam bilik bacaan saya.
Untuk ibu bapa yang ingin mengetahui lebih banyak isi
kandungan buku ini, segeralah mencarinya di gedung buku yang berhampiran.
Buku Keempat;
4)Kemahiran Menulis
Buku dibeli: Pesta Buku
Sinar Karangkraf di Tesco Setia Alam.
Harga: RM20.00 (Sebelum diskaun)
Muka Surat: 135 Muka
Surat.
Terbitan: PTS Professional.
Cetakan: Kedua
Penulis: Goh Ying Soon & Wan Mohd
Nazif Wan Mohd Nori
Habis dibaca: Pertama kali
pada 5.01.2013, Sabtu Malam, Jam: 10:23 malam.
Buku berkaitan dengan dunia penulisan, ia merupakan
sebuah buku yang menerangkan teknik kemahiran menulis e-mel, memo, surat dan
laporan. Ia sesuai untuk rujukan oleh para eksekutif termasuk juga para
penyelia, pengurus dan pegawai eksekutif. Teknik-teknik setiap penulisan diterangkan
dengan sebaiknya.
Sebagai seorang pengurus tentunya memerlukan kemahiran
menulis dengan lancar dan baik serta hasil tulisan boleh mempengaruhi
pelanggan.untuk menjadi pelanggan utama mereka. Oleh itu hasil penulisan yang
baik menjadikan sebuah organisasi itu akan lebih di percayai dan menjadi
keutamaan mereka yang mahu berhubungan bisnis dengan mereka.
Setiap organisasi memerlukan staf atau pekerja yang
berkemahiran menulis seperti pegawai pemasaran, pegawai eksekutif bahkan
penyelia sekali pun perlu mempunyai kemahiran ini. Jadi buku ini sesuai sangat
untuk mereka yang mempunyai kerjaya yang berkaitan denga tulis menulis ini.
Jadi apa lagi milikilah buku panduan kemahiran menulis
ini. Sesungguhnya anda tidak akan rugi jika memilikinya.
Sekadar ini sahaja yang saya dapat kongsikan dalam
dunia pembacaan, semoga empat buah buku yang saya kongsikan serba sedikit ini
dapat menyuntik motivasi para sahabat untuk memiliki dan seterusnya menekuni
dan mengambil manfaat darinya.
Sampai jumpa lagi dalam perkongsian buku yang lain.
Selamat membaca,
Jom Membaca…Jom Menulis.
No comments:
Post a Comment